Tanjong Malim, 4 Mac – Isu pengajaran & pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang sedang hangat diperkatakan kini mula menular di kalangan bakal pendidik di UPSI.
Sehubungan dengan itu, Upsikini diajukan beberapa persoalan daripada mahasiswa di sini yang meminta Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) menyatakan pendirian mereka tentang isu ini.
Meskipun isu ini dilihat begitu relatif dengan penuntut di UPSI namun kenyataan rasmi daripada MPP sebagai badan penting kepimpinan mahasiswa masih belum didengari.
Seorang mahasiswa yang ditemui, Azam, menyampaikan rasa ingin tahu beliau apakah pendirian MPP tentang isu ini memandangkan masyarakat sudah mula merasai kesan dasar ini kepada sistem pendidikan negara.
“Sebagai penuntut yang bakal menerajui profesion perguruan ini, MPP sebagai badan kepimpinan mahasiswa seharusnya menyatakan pandangan tentang isu ini,”katanya.
“Masyarakat sudah mula merasai kesan dasar ini kepada sistem pendidikan negara dan sebagai mahasiswa yang berada dalam bidang ini, kita juga mempunyai peranan dalam menyatakan pandangan dan saranan,”tambahnya lagi.
Seorang lagi mahasiswa yang ditemui, Norshuhada turut menggesa MPP segera menyatakan pendirian tentang isu PPSMI ini.
“Sebagai wakil mahasiswa, mereka (MPP) seharusnya peka dengan isu ini dan menyatakan pandangan berkenaan isu ini kerana saya yakin ramai di luar sana ingin tahu pendirian kita,”ujarnya.
Tambahnya lagi,“kita juga tahu, UPSI adalah satu-satunya IPTA yang menawarkan kursus pendidikan sepenuhnya dan sudah semestinya pandangan kita menjadi dinanti-nantikan ramai pihak”.
Isu PPSMI mula menjadi perhatian setelah beberapa tokoh bahasa menyatakan bantahan mereka secara terbuka terhadap isu ini dan bakal mengadakan perhimpunan besar-besaran 7 Mac ini.
March 4, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment