Tanjong Malim, 15 Jan- Mahasiswa bidang pendidikan terutama di Universiti Pendidikan Sultan Idris melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menarik semula beberapa bantuan makanan kepada pelajar-pelajar sekolah.
Menurut Exco MPP dari wakil Pro Kebajikan, Norhisham bin Che Hamid, penarikan semula bantuan ini sesuatu yang mengecewakan dan melihatkan ketidaksungguhan kerajaan dalam membantu rakyat.
“Kami selaku bakal pendidik amat kecewa dengan tindakan yang dibuat oleh pihak KPM dalam hal ini. Di mana kah kesungguhan pihak kerajaan dalam memberikan bantuan terutama dalam bidang pendidikan ini? Saya kira sewajarnya perkara ini diberikan perhatian yang serius terutama dalam mendahulukan rakyat.
“Paling mengecewakan kami adalah apabila Rancangan Makanan Tambahan (RMT) juga telah ditarik sementara waktu. Seperti mana yang kita tahu, RMT ini adalah bantuan untuk pelajar-pelajar miskin. JIka bantuan ini tiada, apakah mereka perlu berlapar sehingga habis sesi persekolahan,” katanya.
Menurut seorang lagi mahasiswa pendidik yang ditemui, Mohd Zahar bin Mohamad berkata KPM perlu menangani perkara ini dengan bijak dan mendesak agar bantuan-bantuan ini diberikan semula dalam kadar yang segera.
“Kita dapat maklumat ada pelajar-pelajar yang tinggal di asrama perlu pulang setiap minggu dan jika ingin tinggal di asrama, mereka perlu membayar RM 8 sehari. Saya kira perkara ini sangat tidak wajar dan membebankan. KPM perlu bijak dalam menangani perkara yang melibatkan rakyat. Kami selaku bakal pendidik Negara pada masa depan, ingin mendesak kerajaan supaya mengembalikan semula bantuan yang ditarik ini dengan kadar yang seberapa segera.
Mulai 2010, pihak KPM dikatakan telah menaikkan yuran makan asrama daripada RM 1 kepada RM 3 bagi ibu bapa yang berpendapatan RM 5000 dan ke atas. Lebih mengecewakan KPM dikhabarkan menarik semula Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi pelajar-pelajar miskin. Bagi yang tinggal di asrama, subsidi kerajaan telah dikurangkan dari 24 hari kepada 20 hari sebulan.


Pejabat Naib Canselor dan Kursi Tun Ghafar Baba menganjurkan Wacana Kontemporari Persoalan Kalimah Allah. Semua dijemput hadir . Butirannya seperti berikut :

