Tanjong Malim, 6 September – Kehadiran Datuk Dr. Adham Baba dalam satu majlis berbuka puasa di sini didakwa Pro Kebajikan sebagai petanda Pilihan Raya Kampus sudah semakin hampir.Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan, bekas Setiausaha Parlimen KPT itu mempunyai rekod yang jelas dalam penglibatan beliau sebagai penggerak mahasiswa yang membawa ideologi parti politik tertentu ke dalam kampus dan kedatangannya sudah pasti membawa isyarat jelas PRK UPSI sudah hampir.
“Saya kira rata-rata mahasiswa di seluruh IPTA mengetahui bahawa beliau adalah penggerak sekumpulan mahasiswa untuk membawa ideologi parti politik tertentu di dalam kampus dan kita maklum kehadirannya ke UPSI pasti membawa petanda bahawa PRK sudah hampir”,katanya.
Adham yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Pasir Raja dikatakan antara pencatur utama kumpulan mahasiswa pro BN di dalam kampus. Namun, beliau dilihat tidak begitu ke depan selepas Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi orang nombor satu kementerian tersebut selepas Dato’ Mustapha Mohamed yang kini berada di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Turut bersama dalam majlis berbuka puasa tersebut Timbalan Naib Canselor HEP&A, Prof. Dr. Shaharudin Abd Aziz, Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Encik Faiezi Othman, dan beberapa ahli MPP.
Beliau yang hadir atas jemputan berbuka puasa Persatuan Mahasiswa Johor UPSI turut bersama menunaikan solat terawih di Surau Al-Falah.
