Tanjong Malim, 5 Jan. – Kemenangan Pro Kebajikan di UPSI merupakan kemenangan semua di saat mahasiswa dahagakan perubahan.
Demikian ujar seorang calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK UPSI baru-baru ini, Nur Aqilah Hanis Mohd Yusoff. Beliau turut optimis perkara sama akan berlaku di kampus-kampus sekitar Lembah Klang yang akan mengadakan Pilihanraya dalam masa terdekat.
Dalam kenyataannya juga beliau mengingatkan calon-calon agar memasakkan dalam diri mereka, bahawasanya niat utama untuk bertanding adalah kesediaan untuk memikul beban, amanah serta harapan mahasiswa.
Beliau turut menyarankan agar calon-calon melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu kepimpinan sebagai persediaan untuk berpencak dengan situasi semasa politik kampus di samping meneruskan pengharapan pada Yang Maha Esa.
Dalam perenggan akhir kenyataannya, beliau mengharapkan kemenangan akan berpihak kepada calon-calon yang sama matlamatnya dengan Pro Kebajikan di UPSI dalam PRK di kampus-kampus sekitar Lembah Klang.
Dalam satu kenyataan lain, Arif Mohamad, calon umum yang menang dalam PRK UPSI yang lalu, memberi sokongan sepenuhnya kepada calon-calon di kampus sekitar Lembah Klang yang sealiran dengan Pro Kebajikan di UPSI.
Beliau turut menyatakan kesediaan Pro Kebajikan untuk berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak yang berminat sebagai persediaan sebelum berlangsungnya PRK di kampus masing-masing.
Dalam pada itu, Arif turut menyarankan agar calon-calon di kampus-kampus yang akan menjalankan undian secara e-voting agar meneliti sistem tersebut sebaik-baiknya sebelum bersetuju menggunakannya.
Bagi Akmal Madzir, ahli MPP Pro Kebajikan yang kini memegang Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah mengharapkan agar mahasiswa diberikan kebebasan sepenuhnya dalam memilih kepimpinan kampus dalam merealisasikan harapan baru mahasiswa.
Ujarnya lagi, Pro Kebajikan berlapang dada dalam berkongsi idea, pengalaman dan pendapat sebagai kampus yang telah berhadapan dengan segala rencam PRK baru-baru ini.
Beliau turut mensasarkan peratusan pengundi yang akan keluar mengundi meningkat sehingga 90% di kampus-kampus yang akan mengadakan PRK dalam masa terdekat berdasarkan perkembangan semasa dan berharap perkara ini benar-benar berlaku untuk menolak pandangan masyarakat yang melihat mahasiswa sebagai golongan yang mandom.
PRK bagi kampus-kampus sekitar Lembah Kelang dijangka berlangsung pada 15 Januari ini dan bakal menyaksikan pertembungan 2 penjuru antara Pro Mahasiswa dan Aspirasi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment