Ulu Yam, 29 Jan. – Program Kem Jati Diri Muslim (KERIS) ’09 yang dijalankan pada 24 hingga 26 Januari lalu mencapai objektif yang disasarkan. Demikian ujar Ahli Jawatankuasa Pelaksana program baru-baru ini.
Program yang disertai oleh 95 peserta ini merupakan anjuran Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin dengan kerjasama Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah, Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid.
Dalam pada itu, program yang dimuatkan dengan aktiviti kerohanian ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada peserta dan maklumbalas yang diterima mencadangkan agar program ini dijadikan program wajib pada masa akan datang.
Menurut Pengarah Program, saudara Zulkifli Mohd Yusof, program yang pertama kali seperti ini dijalankan atas kesedaran KERAS yang melihat program ‘outdoor’ yang menjurus kepada kerohanian sangat kurang sejak akhir-akhir ini.
“Kita melihat program luar yang bertemakan kerohanian ini sangat kurang di UPSI dan ini adalah langkah positif yang dilihat mampu mengisi kekosongan tersebut dan sambutan kepada program ini begitu menggalakkan”, ujarnya.
Katanya lagi,”program ini tidak mengehadkan kepada mana-mana individu malah kami turut menerima penyertaan daripada mereka yang tidak bertudung bagi membuktikan keterbukaan pihak penganjur kepada pengisian kerohanian kepada semua lapisan mahasiswa”.
Apabila ditanya perancangan masa depan beliau mengulas untuk membuka penyertaan program ini pada masa akan datang bukan sahaja kepada mahasiswa muslim malah kepada mereka yang bukan beragama Islam.
Gambar cahaya lilin tertera tulisan ALLAH
Program ini turut mendapat perhatian seluruh warga kampus apabila beberapa gambar yang diambil semasa sesi muhasabah sekitar jam 1 hingga 3 pagi menunujukkan tertera tulisan ALLAH pada cahaya lilin.
Kewujudan tulisan Allah ini disedari oleh AJK muslimat program tersebut yang mendapati gambar cahaya lilin tersebut mirip kepada tulisan ALLAH pada hampir setiap cahaya lilin yang dinyalakan untuk para peserta menjalani aktiviti muhasabah diri.
Ketika ditanya tentang kejadian ini, Zulkifli mengulas ringkas mengatakan kejadian itu adalah dari Allah dan bukti keagungannya.
“Kita memang terkejut apabila melihat gambar tersebut dan secara peribadi saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan sesuatu petunjuk kepada kita”,ulasnya ringkas.
January 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment