Tanjong Malim, 7 Dis. – Tragedi tanah runtuh di Taman Bukit Utama dan Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa Hulu Kelang yang meranapkan 14 buah banglo mengundang rasa simpati pelbagai pihak termasuk mahasiswa UPSI di sini. Setakat ini 4 mangsa yang terkorban telah ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan. Kejadian yang berlaku dikatakan berhampiran dengan tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993.
Akmal Madzir, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP UPSI, ketika mengulas tentang tragedi ini mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.
“Saya mewakili seluruh mahasiswa UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka dapat bersabar dan tabah menghadapi dugaan daripada Allah ini,”ulasnya.
Beliau turut menyarankan agar tragedi ini diberi perhatian serius oleh semua pihak dan berwaspada dengan setiap tindakan menebang pokok di lereng-lereng bukit dan aktiviti yang boleh mengundang kejadian seperti ini.
“Saya berpandangan agar semua aktiviti atau bentuk pembangunan yang dibuat perlu diselidiki dengan teliti sebelum diluluskan misalnya penebangan pokok,tarahan bukit dan yang sepertinya kerana ini boleh mengundang kejadian seperti ini berlaku dan tidak mustahil lebih buruk daripada ini.”katanya.
Presiden Kelab Rakan Surau Ar-Rasyidin (KERAS), saudara Zulkifli Yusof yang mengulas tentang tragedi ini turut melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan mengucapkan takziah kepada mereka. Beliau turut mengingatkan kepada semua agar melihat perkara ini sebagai satu ujian daripada Allah dan redha dengan ujian tersebut.
“Ini adalah satu bentuk ujian dari Allah dan sebagai hambaNya yang lemah kita perlu menginsafi diri dan menjadikannya sebagai satu peringatan dan pengajaran dari Allah”,ualsnya. Tambahnya lagi,”Sebagai seorang muslim, sudah semestinya kita perlu memperbaiki diri dan tragedi ini juga adalah tarbiah dari Allah kepada kita”.
Operasi mencari dan menyelamat di kawasan kejadian dilaporkan masih lagi diteruskan.
No comments:
Post a Comment