Tanjong Malim, 26 Nov. – Mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meminta agar isu penyelewengan RM 36 000 diberi penjelasan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Permintaan ini disuarakan oleh beberapa mahasiswa yang ditemui minggu lalu. Dalam satu kenyataan yang dibuat oleh seorang mahasiswa UPSI tahun 3, Hasmah, mengatakan bahawa MPP baru sesi ini perlu membuat penjelasan yang sebenarnya tentang isu ini.
“Kami sebagai mahasiswa mempunyai hak untuk mengetahui keadaan sebenar yang berlaku tentang isu tersebut kerana kes tersebut tidak sepatutnya ditutup tanpa ada penyiasatan yang telus”, katanya.
Tambahnya lagi,”Kami berharap agar MPP yang baru ini dapat memberi penjelasan sewajarnya kepada mahasiswa kerana penyelewengan tersebut melibatkan wang pelajar”.
Sementara itu, seorang lagi mahasiswa yang mahu dikenali sebagai Zek, menuntut agar MPP memandang serius isu ini meskipun kes tersebut berlaku semasa sesi MPP yang lepas.
“Harapan mahasiswa untuk diberi penjelasan tentang kes ini begitu tinggi kerana mereka wakil kami yang telah diberi mandat”,ujarnya. “Ketika negara sedang dilanda dengan pelbagai masalah korupsi, kita tidak mahu perkara ini turut berlaku dalam universiti ini apatah lagi dalam organisasi mahasiswa dan didiamkan tanpa sebarang penjelasan”,tambahnya lagi.
Isu penyelewengan ini dikatakan dilindungi oleh beberapa pegawai tertentu bagi menghindar kes tersebut dibawa ke atas.
Upsikini sebelum ini mendedahkan penyata akaun MPP yang mencatatkan pengeluaran wang tanpa diaudit dan didakwa diseleweng oleh pihak tertentu. [Klik]