November 17, 2011

Pembekuan 'posting' ISMP dibahas di parlimen

Tanjong Malim, 17 Nov. - Isu pembekuan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) yang masih 'tergantung' telah dibahas di Dewan Rakyat (Parlimen) dalam satu sesi perbahasan Menteri Pelajaran kira-kira jam 5 hingga 7 petang semalam.

Menurut sumber, perbahasan tentang status seluruh graduan ISMP Malaysia telah dibawa oleh YB Salahuddin Ayub (gambar), Ahli Parlimen Kubang Kerian dengan mengajukan soalan lisan kepada Tim. Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Salahuddin Ayub telah mengajukan soalan lisan kepada Tim. Menteri Pelajaran dengan bertanya 'bilakah graduan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) akan ditempatkan ?'

Namun, Dr. Wee Ka Siong dilaporkan mengelak dari memberi jawapan yang jelas dan menyatakan bahawa kerajaan melalui surat JPA 12 Oktober 2011 membekukan pengambilan sehingga 31 Disember 2011 disebabkan Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bermula tahun depan.

Dalam pada itu, ekoran tiada jawapan yang jelas, Ahli Parlimen Padang Terap (PAS), Nasir Zakaria turut membahaskan isu tersebut dan mendesak agar penempatan graduan ISMP ini dilakukan dengan kadar segera.

Katanya "Timbalan Perdana Menteri mencadangkan agar mereka mencari kerja lain. Ini jelas merupakan penghinaan terhadap graduan-graduan UPSI,"

Namun dalam masa yang sama, menurut beliau, guru-guru tanpa ijazah pula diberikan keistimewaan oleh pihak kerajaan dengan diberikan peluang penempatan mengajar dengan sewajarnya.

"Jadi saya minta Kementerian Pelajaran lihatlah isu ini dan selesaikan dengan baik dengan segera " katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 Peringkat Jawatankuasa pada persidangan Dewan Rakyat, 16 November semalam.



November 16, 2011

Siri Satu: Adakah Sejarah Era 2005 – 2007 Akan Berulang di UPSI?

Teringat kata-kata Prof. Sidek Baba di suatu pertemuan yang tidak disengajakan. Pertemuan itu berlaku di hari-hari terakhir Prof. Dr. Yusuf Abu Bakar sebagai TNC HEPA di UPSI. Katanya “Apa yang berlaku pada Prof. Yusuf adalah mengulangi apa yang berlaku pada saya. saya pernah diminta dan diugut agar memenangkan kumpulan tertentu di dalam pemilihan MPP. Walau demikian saya tidak sanggup untuk menggadaikan prinsip yang saya pegang sebagai seorang ahli akademik beragama Islam. Walau kerap kali diugut akan dipecat daripada Timbalan Rektor UIAM. Jawapan saya mudah, bumi Allah ini luas. Akhirnya Allah benar-benar menguji saya sehinggakan bukan sahaja dipecat daripada jawatan Timbalan Rektor UIAM, bahkan saya di sumbat ke dalam tahanan ISA”

Walau lebih enam tahun pertemuan itu berlalu, tetapi kata-kata yang lahir daripada CIKGU yang berjiwa besar masih tersemat dalam hati sanubari penulis. Teringat pesanan dalam keindahan kata-katanya yang benar, “Jangan gadaikan prinsip hidup hanya sekadar mengejar jawatan dan sedikit kemewahan hidup dunia. Jika benar kita mempunyai prinsip hidup pasti kita akan diuji dan terus diuji di dunia sementara ini”.

Kehilangan TNC HEPA yang pertama di UPSI dengan jalan yang hampir sama dilalui oleh Prof. Dr. Sidek Baba di UIAM. Bezanya dia tidak disumbat di ISA, tetapi di “sejuk beku” di KPT. Namun orang yang ada prinsip hidup berteraskan Islam akan terus kekal membawa perubahan ke arah kebaikan walau di mana dia dicampakkan.

Kehadiran TNC HEPA yang kedua di UPSI dengan misi yang utamanya adalah untuk “membersihkan” UPSI, kerana pada ketika itu UPSI dianggap sebagai universiti pembangkang. UPSI dianggap pembangkang hanya kerana TNC HEPA pada waktu itu adalah orang yang mempunyai prinsip dan mengikut AUKU yang ditetapkan, jadi pemilihan MPP diadakan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh AUKU. Siapa yang berhak menang maka selayaknya dilantik sebagai wakil MPP. Walaupun diugut untuk mencabut jawatan yang dimiliki, pemilihan MPP diadakan dengan seadilnya. Dalam masa yang masa TNC HEPA pada waktu itu adalah seorang pemimpin yang mempunyai matlamat yang jelas untuk membangunkan pelajar dari aspek rohani dan jasmani.

Operasi “pembersihan” selama lebih dua tahun yang diketuai oleh TNC HEPA kedua dan juak-juaknya telah menghuru-harakan UPSI. Selama dua tahun pemilihan MPP tidak diadakan dan calon-calon tajaan TNC HEPA dan juak-juaknya diisytiharkan menang tanpa bertanding melalui proses TIPUDAYA. Apa yang lebih malang berlaku pada ketika itu ialah “membersihkan Islam” didahulukan daripada pembersihan yang lain. Maka operasi “membersihkan Islam” bermula dengan pemantauan di surau-surau universiti. Pengetua dan felo diarahkan untuk memantau pelajar yang berkunjung ke surau. Bagi menjamin “pembersihan” itu benar-benar berkesan, pesta-pesta hiburan diperbanyakan, program “santai seni” merupakan projek khas pengetua di kolej kediaman. Saban minggu, pengetua akan “membimbing” pelajar dengan ketukan dram dan petikan gitarnya di hadapan surau Al-Falah.

Sejarah telah menyaksikan bahawa apabila HEPA lebih sibuk untuk berpolitik dan mengambil tidankan untuk membersihkan Islam. Natijahnya adalah senarai nama panjang pelajar UPSI yang terlibat dengan tangkapan khalwat dikeluarkan oleh JAIPk untuk tindakan UPSI. Tersebarlah satu rakaman hubungan seks terlarang salah pensyarah dengan pelajar UPSI yang kian dilupakan pada hari ini. Ternyata tiada apa-apa tindakan yang dikenakan kepada pensyarah tersebut, dalam masa yang sama tindakan telah dikenakan kepada pelajar terbabit dengan tujuan untuk melindungi pensyarah kesayangan pihak pengurusan universiti pada ketika itu. Kemuncak kepada operasi “pembersihan Islam” ini banar-benar berjaya sehingga akhirnya seorang pelajar UPSI memohon untuk menukar agama Islam yang dianuti sejak kecil kepada agama lain. Wahai warga UPSI yang budiman, tidakkah anda rasa gerun sejarah ini akan berulang untuk kali kedua, kerana operasi “pembersihan Islam” telah bermula untuk pusingan yang kedua di UPSI.

Di atas rasa tanggungjawab dan rasa gerun di hati takut-takut peristiwa gelap yang pernah melanda UPSI berulang untuk kali kedua, kelak tidak mampu dijawab di hadapan Allah. Maka penulis akan membuat analisis dan perbandingan apa yang berlaku pada era tahun 2005-2007 (secara spesifikinya antara bulan Februari 2005 hingga Jun 2007) dengan apa yang berlaku di UPSI pada ketika ini, kerana jalan ceritanya adalah hampir sama. Semoga penulisan dan usaha yang sedikit ini mampu membina kesedaran dan memberi peringatan kepada warga UPSI yang cintakan Islam dan kebenaran agar tidak terus lena dalam keseronokan individu tertentu meracuni Islam.

Antara perbandingan yang akan dilakukan oleh penulis adalah dalam aspek pelantikan TNC HEPA, pola serangan dan fitnah terhadap Islam, bentuk kepimpinan, pendekatan terhadap pelajar, strategi untuk memenangi pemilihan MPP dan lain-lain aspek yang difikirkan bersesuaian dari masa ke semasa. Harapan penulis agar semua pembaca yang prihatin menyalurkan maklumat ini kepada semua warga UPSI agar semua warga UPSI mendapat maklumat yang jelas tentang apa yang berlaku di UPSI. Terutamanya dalam memahami poela serangan yang dilakukan terhadap Islam. JANGAN JADI ORANG YANG TIDAK BERBUAT APA-APA UNTUK MEMPERTAHANKAN ISLAM YANG SEDANG DIBERSIHKAN DI UPSI

Nantikan sambungan pada siri yang akan datang, penulis akan menjawab kenapa penulis memilih medium ini sebagai medan untuk menyampaikan maklumat semua pembaca.

Bawa Ezam, Junaidi jadikan UPSI medan politik sempit


Tanjong Malim, 17 Nov - Datuk Paduka Dr. Junaidi Abu Bakar (DDJ) , Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) didakwa mula menggerakkan UPSI ke medan politik sempit dengan membawa Mohamad Ezam Mohd Nor , ahli politik, juga senator yang penuh kontroversi bagi menyampaikan 'pidato politik' dalam Minggu Suai Kenal pelajar ambilan diploma baru-baru ini.

Menurut sumber, perkara tersebut merupakan salah satu agenda berkala DDJ bagi membawa doktrin politik sempit UMNO dalam menggerakkan agenda 'membersihkan' Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada pengaruh 'pembangkang'.

Mohamad Ezam dilaporkan telah dibawa oleh DDJ bagi menyampaikan satu pidato ala-ala BTN kepada pelajar baru ambilan diploma yang rata-rata masih belum terdedah dengan dunia kemahasiswaan.

Dalam pidato tersebut, Mohamad Ezam dikatakan mengecam tindakan Prof. Dr. Aziz Bari yang kononnya menentang institusi diraja dan turut menyifatkan bahawa negara ini berada dalam keadaan bahaya dengan bermacam-macam ancaman.

Selain itu, Ezam turut menyokong Akta Universiti & Kolej Universiti (AUKU) , beliau menyebut bahawa mahasiswa UPSI tidak sepatutnya terpengaruh dengan anasir politik luar dan menyifatkan mahasiswa yang terlibat dengan politik luar sebagai alat dan perkakas mana-mana ahli politik.

Katanya "apa yang susah sangat ada AUKU ni, apakah kita tak boleh berjuang jika ada AUKU ni..mahasiswa UPSI perlu fokus kepada pelajaran"

Dalam masa yang sama, Ezam juga berterusan menyokong dan memuji kepimpinan UMNO dibawah pimpinan Najib Razak kerana katanya jujur dalam memperjuangkan isu rasuah dan jujur dalam memansuh ISA. Ujarnya dalam pidato politik tersebut.

Dalam hal berkaitan, Mohamad Ezam merupakan ahli politik Malaysia bermula dari UMNO dan keluar dari parti pada 1998 dan kemudian menyertai Parti Keadilan Rakyat, namun kembali menyertai UMNO pada Mei 2008.

November 1, 2011

Sudut Pidato Mahasiswa: Dimana Hak Kita Graduan ISMP ?

Seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris diseru agar turun untuk menyatakan sokongan bagi menuntut jaminan penempatan lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sudut pidato ini bakal menampilkan ucapan pidato dari kepimpinan gabungan front mahasiswa Upsi yang akan memperjuangkan jaminan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).




Isu posting: Front mahasiswa Upsi bersatu perjuang jaminan 'posting'

Tanjong Malim, 2 Nov - Gabungan 'front' mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menyatakan persetujuan untuk memperjuangkan jaminan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) setelah isu 'posting' mereka dibekukan pada tahun ini.

Front yang terdiri daripada Mahasiswa Pendidik, Legasi Mahasiswa Progresif, Pimpinan Bitara dan beberapa front lain telah menyatakan persetujuan bersama untuk memperjuangkan jaminan penempatan ISMP.

Isu 'posting' graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) telah menjadi isu 'buah mulut' mahasiswa ISMP setelah wujudnya Gabungan Graduan ISMP Malaysia (GGIM) yang memperjuangkan isu 'posting' pada bulan lalu.

Sementara itu, isu ini menjadi lebih hangat apabila wujud kenyataan dari Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Buletin Utama 30 November (Ahad) lalu bahawa tiada lagi jaminan penempatan bagi graduan ISMP yang tidak ditaja KPM.

Selain itu,beliau turut menyebut bahawa graduan pendidikan perlu mencari kerja ditempat lain yang sesuai dengan ijazah mereka.

Muhyiddin turut menyifatkan keutamaan penempatan turut diberikan kepada KPLI dan GSTT manakala penempatan graduan ISMP akan dibuat setelah selesai penempatan GSTT dan KPLI.

Menurut Mohd Zahar yang juga wakil Mahasiswa Pendidik, isu penangguhan penempatan pada tahun ini jika tak diselesaikan segera bukan sahaja memberi kesan kepada graduan bahkan turut memberi kesan penangguhan penempatan kepada pelajar yang akan bergraduat tahun hadapan.

Dalam pada itu, sebagai respon pertama front mahasiswa UPSI menganjurkan pidato khas bagi membahaskan isu jaminan penempatan pada 2 November , jam 1.00 tengahari.

October 25, 2011

UPSIkini ucap Selamat Bercuti

Kumpulan Media UPSIkini ingin mengucapkan Selamat Bercuti kepada semua pembaca UPSIkini khususnya warga UPSI sempena sambutan
Hari Deepavali.

Berhati-hatilah di jalan raya.

Teruskan Bersama UPSIkini

Raja Muda Perlis rasmi bengkel anjuran HEP&A, makan malam di rumah Tok Pa.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail (duduk, dua dari kiri), Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil (duduk, dua dari kanan) dan Azizan Hamid (duduk, kiri) bersama 13 pelajar Perlis di Novotel, Bandung, - BERNAMA
(Gambar hiasan)

Tanjong Malim, 25 Okt. - Program Bengkel Profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman UPSI, yang berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober 2011 yang lalu mendapat kunjungan Raja Muda Perlis, D.Y.T.M Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk merasmikan program tersebut.

Kehadiran Tuanku Raja Muda Perlis ke program terbabit menimbulkan rasa terharu kebanyakan peserta kerana tidak menjangka perasmi program adalah di kalangan kerabat diraja.

Rentetan itu, timbul pelbagai spekulasi mengaitkan hubungan rapat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) UPSI, Datuk Paduka Junaidi Abu Bakar dengan Tuanku Raja Muda Perlis yang dikatakan mula terjalin semasa Junaidi memegang jawatan sebagai Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia.

Dalam pada itu, program tersebut turut membawa peserta ke kediaman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Dato’ Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis makan malam. Majlis tersebut dikatakan sebagai majlis santai bersama pemimpin tempatan dalam memenuhi acara program.

Menurut beberapa sumber, program yang menjurus kepada peningkatan profesionalisme Pengetua dan Felo Kolej Kediaman pada kali ini walau bagaimanapun dilihat sebagai permulaan kepada perkenalan Junaidi sebagai TNC HEP&A UPSI dengan tokoh politik UMNO menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13.