January 15, 2010
Futsal terbuka KUO
PTPTN dijangka adakan sidang media
Tanjong Malim , 15 Disember - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dikatakan akan mengadakan satu sidang media dalam masa terdekat bagi menjelaskan status kelewatan kredit akaun pinjaman pelajar pada kali ini.
Kelewatan ini dikatakan melibatkan kebanyakan pelajar IPTA dan kemungkinan tarikh akaun dikreditkan sebelum ini akan ditunda. Menurut sumber, sistem ICT PTPTN mempunyai beberapa masalah yang menyebabkan berlaku kesukaran bagi akaun dikreditkan secara online.
Dalam hal berkaitan, Unit Kebajikan dan Kewangan Pelajar (UKKP) menjelaskan bahawa kelewatan akaun dikreditkan sebenarnya disebabkan oleh pihak PTPTN sendiri dan pihak UKKP telah cuba menguruskannya seawal mungkin berhubung pinjaman. UKKP mengharapkan agar pelajar bertenang dan dikatakan dalam masa terdekat, pelajar akan diberikan sedikit bantuan kewangan sekiranya mendapat kelulusan.
Semalam, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI, Akmal Madzir menyatakan, "saya amat tidak setuju dengan tindakan PTPTN , kita bayar caj pinjaman 1% tapi perkhidmatan entah ape-ape, kalau macam ni baik hapuskan sahaja caj itu. Saya berharap agar pihak PTPTN mengadakan sidang media dengan segera dan lagi bagus kalau mereka bersedia mengadakan dialog dengan mahasiswa berhubung kelewatan ini."
PTPTN dijangkan dikreditkan ke akaun pelajar dalam masa terdekat namun, pihak UKKP tidak yakin dengan janji PTPTN dan dikatakan berlaku sedikit kelewatan dari tarikh sebenar.
January 14, 2010
JHEPA belum umum Pilihan Raya Kampus

Pihak HEP telah menggunakan kaedah yang sama sebelum PRK diadakan dengan meletakkan pra syarat supaya semua calon yang berminat untuk bertanding perlu menghadiri 3 siri kursus bagi melayakkannya membeli borang pencalonan seterusnya bertanding dalam PRK.
Namun sehingga minggu ini, pengumuman berkenaan tarikh PRK tersebut masih belum dikeluarkan. Hal ini merumitkan mahasiswa yang berpersatuan membuat perancangan.
Menurut pimpinan persatuan ditemui semalam, ”tindakan JHEPA kurang bijak kerana lambat mengumumkan tarikh PRK, semester lepas bila kami nak buat program pada Oktober dia tidak bagi dengan alasan PRK, kemudian semester ini kita nak buat program pada hujung Januari juga tidak dibenarkan, ini menyusahkan kami merancang program dan terpaksa berkali-kali menunda tarikh aktiviti kami”, katanya.
Pro Kualiti yang dahulunya dikenali sebagai kumpulan aspirasi pada ketika ini dikatakan telah menjalankan kempen kecil-kecilan dalam menonjolkan muka-muka yang bakal bertanding dalam PRK kali ini.
“Allah mudahkan pemergian mereka"
Tanjong Malim, 14 Jan- “Alhamdulillah, Allah s.w.t telah permudahkan segala urusan arwah Fadhiri dan Faizol. Insya-Allah, moga-moga Allah menerima kebaikan yang telah mereka lakukan dan mengampunkan dosa-dosa mereka,” kata seorang saksi kejadian kemalangan maut yang lepas.
Menurut seorang lagi saksi iaitu Suhainizam Sharif ketika ditemui berkata, kedua-dua arwah hanya melafazkan nama-nama Allah sebelum kedua-dua mereka meninggal dunia. Saudara Faizol sempat mengangguk-anggukkan kepala apabila dibacakan kalimah LailahaillAllah (tiada Tuhan melainkan Allah).
“Allah telah memberikan kesempatan kepada saya untuk membisikkan perkataan mulia ini kepada saudara Faizol ketika saat-saat akhir arwah di dunia ini. Apabila berlakunya kemalangan, saya terus mendapatkan Faizol dan membisikkan kalimah LailahaillAllah. Alhamdulillah, arwah mengangguk-angguk tanda faham dan terus pergi meninggalkan kita semua,” katanya dengan sebak.
“Bagi arwah Fadhiri pula, saya mencabut topi keledar yang dipakai dan memangku arwah serta membisikkan kalimah yang sama. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan arwah ke Hospital Slim dan Hospital Teluk Intan, mulut arwah tak pernah lekang dengan menyebut nama-nama Allah sehinggalah beliau pergi,” kata saksi yang mengiringi arwah ke Hospital Slim dan Hospital Teluk Intan pada hari kejadian.
Bagi saudara Nik Azrul Nik Kamaruddin pula, beliau melihat betapa mudahnya Allah s.w.t memudahkan urusan arwah dan melihat ramainya tetamu yang hadir untuk menyolatkan kedua-dua arwah.
“Apabila saya melihat segala urusan arwah dipermudahkan dengan baik dan betapa ramainya tetamu yang hadir ketika menyolatkan mereka, hati saya tenang dan bersyukur pada Allah. Arwah Faizol disolatkan sebanyak dua kali di surau Al-Falah manakala arwah Fadhiri pula sehingga orang ramai melimpah keluar dari kediaman beliau termasuk dari pelajar-pelajar pondok yang pernah beliau menuntut ilmu,”
“Di kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada pihak HEP UPSI dibawah kepimpinan Prof. Shaharuddin kerana banyak membantu urusan arwah. Tidak lupa kepada yang menziarahi beliau sama ada dari UPSI mahupun daripada luar. Semoga Allah, menerima mereka dan menjadi iktibar untuk kita semua, insyaAllah,” tambahnya lagi.
PTPTN masuk 20 Januari
Menurut Adriyani , Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, beliau telah menghubungi bahagian kebajikan JHEPA dan pihak bendahari Universiti Pendidikan Sultan Idris dan mereka menyatakan bahawa PTPTN akan dikreditkan ke akaun pelajar pada 20 Januari ini.
Beliau turut memohon maaf atas kesulitan dialami disamping kelewatan makluman kepada semua mahasiswa yang rata-rata sedang menunggu bilakah wang pinjaman dikreditkan kedalam akaun pelajar.
Sebelum ini, wang PTPTN dimasukkan ke akaun pelajar lebih awal berbanding semester ini iaitu pada 6 Januari. Pada semester ini, wang PTPTN dikatakan agak lewat dikreditkan berbanding semester-semester lepas.
January 13, 2010
Kronologi kemalangan maut
Gambar jenazah di Hospital Teluk Intan4.30 pagi – Arwah Faizol bersama 5 orang rakan ke KTM Tanjong Malim untuk menjemput rakan-rakan yang lain. Namun, arwah Faizol tiba agak lewat berbanding rakan-rakan yang lain dengan menaiki motosikal Kriss milik rakan sebilik di KUO.
5.00 pagi – Kemalangan melibatkan motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa. Motosikal mangsa bertembung dengan lori kiriman barangan ekspress yang datang dari arah Rawang untuk ke Pulau Pinang.
5.15 pagi – Ambulans dari Klinik Kesihatan Tanjong Malim tiba. Arwah Faizol disahkan meninggal dunia ditempat kejadian manakala arwah Fadhiri dibawa menaiki ambulans untuk ke klinik kesihatan Tanjong Malim.
5.20 pagi – Polis tiba untuk mengawal lalu lintas. Orang ramai telah mulai mengerumuni tempat kejadian.
5.45 pagi – Arwah Fadhiri dibawa ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Ahli keluarga kedua-dua mangsa dimaklumkan mengenai kejadian yang berlaku. Arwah masih dalam keadaan sedar dan hanya mampu menyebut, “Allah…Allah…Allah…”
6.15 pagi – Pegawai Penyiasat Polis Trafik IPD Slim River tiba di tempat kejadian untuk membuat siasatan.
6.30 pagi – Mayat arwah Faizol di bawa menaiki Land Rover PDRM ke Hospital Slim River untuk dibuat bedah siasat.
7.00 pagi – Pegawai Perubatan memaklumkan arwah Fadhiri perlu dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah segera kerana mengalami kecederaan dalaman yang serius.
7.15 pagi – Pegawai HEP dan Felo Kolej Ungku Omar (KUO) tiba di Hospital Slim River.
7.30 pagi – Arwah Fadhiri dibawa ke Hospital Teluk Intan.
9.00 pagi – Arwah Fadhiri sudah tidak sedarkan diri. Arwah sudah mula berhenti bernafas dan otaknya sudah tidak berfungsi dan hanya jantung sahaja yang masih berfungsi. Pegawai Perubatan hospital berusaha keras untuk menyelamatkannya.
10.30 pagi – Pegawai Perubatan memaklumkan kepada rakan-rakan yang hadir bahawa arwah sudah meninggal dunia. Di Hospital Slim, arwah Faizol menerima kunjungan dari segenap lapisan masyarakat. Ahli keluarga arwah Faizol tiba untuk pengesahan mayat. Persediaan untuk memandi dan mengkafankan arwah Faizol dilakukan.
11.00 pagi – Abang sulung arwah Fadhiri, saudara Khairul yang datang dari Kuala Lipis tiba di Hospital Teluk Intan dan dimaklumkan mengenai kematian arwah. Keluarganya yang lain masih berada di Grik.
1.30 petang – Ayah dan ibu arwah Fadhiri tiba di bilik mayat. Persediaan untuk memandi dan mengkafankan jenazah dilakukan. Di Surau Al-Falah, arwah Faizol tiba untuk disolatkan.
2.30 petang – Arwah Faizol di bawa menaiki van jenazah Hospital Slim untuk dibawa ke Pasir Mas, Kelantan.
3.30 petang – Arwah Fadhiri disolatkan di surau Hospital Teluk Intan.
4.00 petang – Arwah Fadhiri dibawa menaiki van jenazah UPSI untuk dibawa ke Tanah Merah, Kelantan.
8.30 malam – Jenazah arwah Faizol tiba di kediamannya.
10.30 malam – Jenazah Fadhiri tiba di kediamannya manakala Jenazah Faizol telah selamat dikebumikan. Keluarga arwah Fadhiri masih menunggu seorang lagi abangnya yang dalam perjalanan dari Sarawak.
1.00 pagi – Arwah Fadhiri disolatkan. Hadirin yang datang untuk bersolat melimpahi hingga ke luar rumah.
1.30 pagi – Jenazah Fadhiri selamat dikebumikan.
Al-Fatihah
Allah lebih sayang mereka - Pro Kebajikan
Tanah Merah, 13 Jan- Pro Kebajikan UPSI hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya, Mohd Fadhiri bin Mohd Ariffin dan Mohd Faizol bin Abdul Sukor.
Menurut saksi , kedua-dua mangsa maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah motosikal Kriss dan sebuah lori penghantar barangan ekspress di simpang empat berdekatan kuil. Mangsa Mohd Faizol meninggal ditempat kejadian kerana mengalami kecederaan teruk di kepala manakala Mohd Fadhiri meninggal jam 10.30 pagi hari kejadian di Hospital Teluk Intan selepas mengalami kecederaan dalaman.
Wakil Pro Kebajikan ke rumah mangsa di Tanah Merah dan Pasir Mas , Akmal Bin Madzir merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap ahli keluarganya tabah dalam menghadapi ujian Allah.
“Saya mewakili Pro Kebajikan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mangsa. Alhamdulillah, pengkebumian kedua-dua mangsa berjalan dengan lancar pada jam 11 dan 2.30 pagi tadi . Kami senantiasa berdoa, semoga Allah memberikan kesabaran kepada keluarga mereka. "
“Di kesempatan ini saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada semua pihak terutama pihak HEP UPSI yang membantu urusan sahabat kami yang dikebumikan di Tanah Merah dan Pasir Mas, Kelantan,”katanya.
Beliau yang juga saksi utama ditempat kejadian turut menyatakan rasa penghargaan kepada kedua-dua mangsa yang banyak memberikan sumbangan terhadap masyarakat kampus.
“Allah telah memberikan kerehatan kepada sahabat saya, saudara Fadhiri dan faizol.semoga sahabat berdua boleh berehat dengan tenang. sahabat telah menunaikan janji-janji yang sahabat nyatakan depan Allah dan insyaAllah, saya dan sahabat-sahabat yang lain akan menuruti juga kalian berdua,” tambahnya lagi.
Kelmarin, dua pelajar UPSI terlibat dalam kemalangan maut dan telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung halaman masing-masing. Arwah Fadhiri selamat dikebumikan pada jam 2.30 pagi di Tanah Perkuburan Tanah Merah manakala arwah Faizol selamat dikebumikan pada jam 11.00 malam di Pasir Mas.
Kronologi kejadian akan menyusul selepas ini
January 9, 2010
Mahasiswa kecewa gereja dibakar
Tanjong Malim, 9 Jan - Mahasiswa UPSI melahirkan rasa kecewa terhadap peristiwa kebakaran di beberapa buah gereja kelmarin. Menurut bendahari Persatuan Pendidikan Islam (PPI), Ahmad Farid Mohamad, perkara ini perlu diambil serius oleh pihak yang bertanggungjawab kerana ia boleh membawa banyak kesan buruk.
“Saya mengharapkan agar pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dengan lebih teliti. Kita tidak perlu menuduh sesiapa kerana kita takut jika ianya merupakan satu provokasi untuk membuat satu pertembungan antara Islam dan Kristian.
“Kita mahu perkara ini diambil serius oleh semua pihak terutama pihak yang bertanggungjawab. Perkara seperti ini boleh menimbulkan sensitiviti agama dan perkauman yang sekaligus bertentangan bukan sahaja dengan syariat Islam malah juga bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia,” katanya.
Ketika ditanya apakah nasihat dan jalan terbaik dalam menangani isu ini, beliau menyarankan agar kita semua kembali kepada sirah Nabi Muhammad S.A.W. beliau juga menyarankan agar mahasiswa sama-sama berdoa agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik.
“Kita perlu kembali kepada sirah Nabi S.A.W, di mana baginda begitu berhikmah dalam menyelesaikan segala isu. Saya berpendapat sebenarnya isu Kalimah Allah yang timbul baru-baru ini boleh diselesaikan dengan baik dan bukannya dengan tindakan-tindakan yang boleh mencetuskan provokasi. Sebagai mahasiswa, marilah kita sama-sama berdoa supaya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan tenang,” tambahnya lagi.
Semalam, satu diskusi telah diadakan bagi membincangkan penggunaan kalimah Allah yang dianjurkan bersama oleh Pejabat Naib Canselor UPSI dan Penyandang Kursi Tun Ghafar Baba dengan kehadiran yang memberansangkan.
January 8, 2010
Wacana Kontemporari : "Persoalan Kalimah Allah"
Pejabat Naib Canselor dan Kursi Tun Ghafar Baba menganjurkan Wacana Kontemporari Persoalan Kalimah Allah. Semua dijemput hadir . Butirannya seperti berikut :Mahasiswa pendidik dan politik baru
January 7, 2010
Warga UPSI diajak untuk sama-sama kecam tindakan Mesir
Tanjong Malim, 7 Jan- Persatuan Pendidikan Islam UPSI (PPI) ingin mengajak kepada seluruh warga UPSI untuk sama-sama mengecam tindakan Mesir yang menyekat bantuan ke Palestin dan tindakan kerajaan negara itu yang bersekongkol dengan Israel menindas umat Islam di sana.
Dalam email yang dikirimkan semalam, Presiden PPI UPSI, saudara Muaz Abdul Hamid menyatakan bahawa seluruh warga UPSI perlu membantah tindakan kerajaan Mesir menghalang anggota konvoi Viva Palestina di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan bernilai lebih AS$1 juta kepada rakyat Gaza.
“Saya ingin mengajak kepada seluruh warga kampus tanpa mengira agama dan bangsa untuk kita sama-sama memberikan sokongan kepada rakyat Gaza dan mengecam tindakan Mesir yang menyekat bantuan kemanusiaan oleh anggota konvoi Viva Palestin.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua untuk kita sama-sama mengadakan solat hajat dan berdoa sama ada secara bersendirian ataupun berjemaah agar Allah membantu rakyat Palestin yang dalam kesusahan akibat tanah air mereka dirampas oleh kerajaan haram Israel,” katanya.
Dalam pada itu, Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI, Adriyani Yamin berkata bahawa Isu Palestin ini adalah isu nasional dan perlu diambil berat oleh semua .
“Isu Palestin ini menuntut kita untuk kita sedar bahawa umat Palestin ini telah ditindas sejak dahulu lagi. Tanah air mereka dirampas, anak-anak kehilangan ayah, isteri-isteri menjadi janda, rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal. Lebih malang lagi, kerajaan haram Israel tetap berkuasa tanpa ada sekatan dari mana-mana pihak terutama daripada negara-negara Islam."
“Ke mana perginya solidariti kita umat manusia dalam memberikan sokongan dan bantuan atas dasar ihsan kita nsesama manusia. Sudahlah tanah mereka dirampas, mereka dinafikan pula bantuan untuk makanan, kesihatan dan pendidikan yang menjadi asas kepada seseorang manusia itu,” tambahnya lagi.
Terbaru, Kerajaan Mesir telah menghalang anggota konvoi Viva Palestina di Pelabuhan El-Arish, yang mahu menghantar bantuan kemanusiaan untuk rakyat di sana. Selain itu, dua hari lalu pasport mereka juga dirampas Kerajaan Mesir sehingga memaksa mereka hanya duduk beramai-ramai di pelabuhan sehingga pasport dipulangkan semalam.
PTPTN konsep Ujrah caj 1%, pelajar boleh semak pembiayaan
Tanjong Malim, 7 Disember – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional telah mengumumkan pengurangan caj pinjaman iaitu dari 3% kepada 1% berkuatkuasa sejak 1 Jan 2008. Pengumuman ini telah dibuat menerusi laman sesawang PTPTN dan mana-mana pelajar yang telah membuat pinjaman PTPTN boleh menyemak status kelayakan caj baru 1%.Semalam, UPSIkini menerima e-mail dari Nik Azrul Nik Kamaruddin yang memohon agar perkara ini disebarkan kepada seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris kerana majoriti mahasiswa mendapat pinjaman dan perubahan dari 3% kepada 1% melibatkan perbezaan yang tinggi.
Menurut PTPTN, "mereka telah mula melaksanakan Pembiayaan Pendidikan berkonsepkan Ujrah satu (1) peratus kepada pelajar-pelajar baru mulai kelulusan pada 22 Disember 2008. Manakala penawaran Ujrah kepada pelajar-pelajar lama yang layak akan dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 1hb Ogos 2009.”
Dalam pada itu, Peringkat pertama tawaran Ujrah kepada pelajar-pelajar lama yang layak akan dibuat pada 1 Ogos 2009. Pelajar-pelajar yang ditawarkan ini akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (sms) daripada PTPTN.
Dalam hal berkaitan, Nik Azrul Nik Kamaruddin menyarankan agar pelajar menyemak status kelayakan mereka menerusi laman PTPTN termasuk beberapa maklumat penting yang perlu diketahui. Katanya juga, "tindakan PTPTN mengubah konsep pinjaman sebelum ini yang berasaskan caj perkhidmatan kepada konsep ujrah merupakan tindakan bijak dan mahasiswa boleh menarik lafaz lega kerana konsep ini telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008."
"Saya mengucapkan tahniah kepada PTPTN atas perubahan terbaru yang dilakukan walaupun konsep baru tersebut masih ada perbezaan pandangan, namun ia adalah lebih baik berbanding konsep caj perkhidmatan sebelum ini yang tidak disahkan oleh mana-mana majlis Syariah, selain kejelasan unsur riba dalam kiraannya,” katanya.
January 6, 2010
Mahasiswa UPSI sokong usaha KTMB
Tanjong Malim, 6 Jan - Mahasiswa UPSI menyokong usaha murni Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang memperkenalkan kad diskaun 50 peratus KTMB. Kad diskaun ini layak diperoleh oleh pelajar sama ada mereka di sekolah menengah, institusi pengajian tinggi awam atau swasta, pelajar separuh masa atau pengajian jarak jauh.
Menurut akhbar Sinar Harian, pelajar tempatan berumur 13 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan kad diskaun 50 peratus KTMB untuk perjalanan jarak jauh secara percuma di semua stesen KTMB dan pejabat perkhidmatan keretapi antara bandar. Kad yang dikeluarkan juga adalah tertakluk kepada syarat dan diberikan untuk tempat duduk kelas kedua dan ekonomi sahaja.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna UPSI, Wan Ahmad Fathi ketika diminta mengulas mengenai kad ini, beliau amat menyokong dan berterima kasih kepada kerajaan dan KTMB kerana peka akan kehendak dan masalah mahasiswa.
“Seperti yang kita ketahui, keretapi merupakan antara pengangkutan utama pelajar-pelajar dan mahasiswa. Sebagai contoh di UPSI, mahasiswa yang ingin ke utara tanah air lebih gemar menggunakan pengangkutan awam ini dan apabila diskaun 50 peratus ini diberikan, ia akan meringankan beban mahasiswa.
“Di sini saya ingin merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan pihak pengurusan KTMB sendiri atas usaha untuk membantu pelajar-pelajar dan mahasiswa. Di kesempatan ini juga, saya ingin menyeru kepada Syarikat Penerbangan Malaysia Airline System (MAS) dan Air Asia supaya mengikuti langkah murni KTMB ini terutama dalam membantu mahasiswa Sabah dan Sarawak.
Kad diskaun ini diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2010 untuk membantu pelajar, dan ianya mula dikeluarkan KTMB sejak semalam.
January 5, 2010
Pro Kebajikan cadang tubuh Sahabat Mahasiswa Pendidik (SMP)
Tanjong Malim, 5 Jan- Ketua Penerangan Pro-Kebajikan hari ini menyatakan cadangan penubuhan Sahabat Mahasiswa Pendidik (SMP) , katanya “kita bercadang untuk tubuhkan Sahabat Mahasiswa Pendidik atau SMP untuk bersama-sama dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa yang berada dalam bidang pendidikan.”
Beliau mengemukakan cadangan ini menerusi mesyuarat bulanan yang diadakan pada malam tadi. SMP bertujuan menjaga kebajikan mahasiswa pendidikan dan akan dimulakan di UPSI seterusnya ke fakulti-fakulti pendidikan di IPTA.
“Kita akan cuba mendaftarkan SMP ini di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) sebagai satu badan yang sah. Kita juga akan bersama-sama pihak universiti ke arah menjadi universiti yang bitara dan membuka mata Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bahawa UPSI dan Fakulti Pendidikan di IPTA adalah antara yang terbaik,” katanya.
Ketika diminta mengulas adakah pihak universiti bersedia untuk menerima SMP sebagai sebuah persatuan dan adakah perkara ini tidak menjejaskan perjalanan MPP pada sesi akan datang, beliau berpendapat bahawa SMP ini adalah satu persatuan yang boleh membantu universiti termasuk MPP.
“SMP yang kita cadangkan ini adalah bersifat fleksibel terutama dalam menjaga kebajikan semua mahasiswa. Saya kira tidak timbul pihak universiti tidak bersedia untuk menerima penubuhan ini kerana ianya sebagai usaha murni dari pihak kami untuk berusaha bersama-sama dengan mahasiswa.
“Kami juga akan bersedia membantu MPP dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab sebagai perwakilan mahasiswa. Kami akan menjadi sebagai badan ‘check and balance’ kepada MPP, universiti dan menjadi suara kepada semua mahasiswa bidang pendidikan khususnya di UPSI dan di Malaysia amnya,” tambahnya.
January 4, 2010
Kursus Kepimpinan Siri -3 , peserta pertikai 8 muka baru

Menurutnya, pihak JHEPA tidak adil dalam menguruskan program dan dimana integriti mereka berhubung isu ini. Adakah patut mereka yang hanya sekali ke kem dibenarkan untuk menjadi calon sedangkan yang lain terpaksa menempuh 3 kem berturut-turut.
Tindakan JHEPA membenarkan calon yang tidak mengisi borang menghadari kem menunjukkan wujud cubaan untuk mempermainkan mahasiswa dengan menyusun calon tajaan mereka agar bertanding dengan laluan mudah. "Kalau mereka membenarkan individu yang tidak ke kem kepimpinan siri 1 dan 2 menyertai siri 3, lebih baik JHEPA buat sekali sahaja, tak bazir duit yang boleh digunakan untuk kebajikan pelajar, kalau mereka boleh manipulasi hal ini, aku tak percaya PRK kali ini telus dan benar-benar demokrasi”, kata seorang peserta yang ditemui pagi tadi.
Seorang peserta yang ditemui pagi tadi menyatakan bahawa, tindakan JHEPA tidak sepatutnya berlaku , dan ini menggambarkan sesetengah pihak pentadbiran JHEPA tiada integriti dalam menguruskan Pilihan Raya Kampus sekaligus meruntuhkan demokrasi kampus dan menutup ruang politik kampus yang telus dan adil.
Katanya, kemungkinan berlaku pihak JHEPA akan memanipulasi borang calon pada PRK akan datang dengan meletakkan syarat sekurang-kurangnya sekali menyertai kem atau syarat itu tidak dimasukkan terus. Kita tidak boleh percaya pada orang-orang sebegini menguruskan PRK, kami akan mengemukakan bantahan dan jika terdesak kami akan menghantar surat kepada Naib Canselor berhubung isu ini”.
Menurut sumber, tindakan membawa 8 calon baru kem kepimpinan siri-3 ada kaitan dengan kegagalan beberapa peserta yang ke kem sebelum ini memenuhi syarat calon dimana keputusan peperiksaan mereka kurang dari 3.0 dan digantikan muka baru.
Kenyataan Timbalan Menteri tidak adil dan tidak tepat – Majlis Dekan Pendidikan
Katanya, ”Majlis Dekan Pendidikan Malaysia terpanggil untuk menjawab kerana kami rasa kenyataan ini tidak adil dan tidak tepat. Kenyataan ini juga menimbulkan keresahan dan kebimbangan di kalangan pelajar kami.”
Dalam kenyataannya ”tidak tepat dan tidak adil untuk menyatakan pelatih IPGM (Institut Pendidikan Guru Malaysia) mesti didahulukan kerana pelatih IPGM dilatih untuk sekolah rendah manakala pelatih IPTA untuk sekolah menengah”.
.
Majlis Dekan Pendidikan turut menyanggah kenyataan Dr Mohd Puad berhubung kenyataan IPTA bertanggungjawab untuk melatih guru-guru sekolah swasta dan menyatakan pendirian bahawa ”kami tidak pernah melatih guru untuk sekolah swasta. Oleh itu kami tidak pasti daripada mana Timbalan Menteri mendapat maklumat ini.”
Dalam hal berkaitan, kenyataan yang dikemukan Majlis Dekan Pendidikan selari dengan apa yan dijelaskan oleh Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob yang menyatakan KPM perlu adil dalam menempatkan graduan pendidikan dari IPTA, sepatutnya tidak timbul lebihan pendidik kerana pembahagian telah dibuat dan dipersetujui kabinet.
Baru-baru ini , kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran berhubung lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan menimbulkan pelbagai reaksi pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) termasuk menyatakan KPM tidak adil dan kerajaan kehabisan wang untuk menampung pendidikan.
January 3, 2010
Bantuan Zakat Pelajar
Sebarang permohonan sila rujuk MyUPSI Portal dengan mengisi borang permohonan di bahagian Fincancial dan klik item Bantuan Zakat untuk mengisinya. Sekian.
KPM perlu adil, sokongan padu terhadap kenyataan Naib Canselor
Pertamanya, saya ingin menyatakan sokongan padu terhadap kenyataan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob yang disiarkan dalam Buletin Utama, semalam. Semangat juang kami akan terus bersama Datuk.
Pembaca yang di hormati sekalian, saya berpandangan bagi mereka yang telah mendapat tempat di perkhidmatan perguruan kerajaan mahupun swasta mungkin menarik nafas lega kerana isu ini tidak menjejaskan masa depan mereka, tetapi pernahkah pihak bertanggungjawab berfikir kesan kenyataan yang dibuat terhadap pelajar-pelajar yang sedang dalam pengajian mahupun yang sedang menunggu posting? Sudah tentu semangat juang mereka terjejas dan berfikir kembali tentang masa depan mereka.Bagaimana kita hendak melahirkan guru yang berkualiti sedangkan dalaman bakal guru itu sendiri telah ‘runtuh’.
Kalau difikirkan di luar ruang lingkup itu,pernahkah mereka berfikir tentang masa depan bidang profesion guru itu sendiri, kalau pergolakan sebegini berlaku tanpa kesudahan, bagaimana kita hendak memupuk minat anak-anak muda sekarang menyertai profesion yang mulia ini sedangkan ramai yang mungkin akan menganggur.
Selain itu, ada benarnya pelajar perlu mencari kerja di bidang swasta tapi adakah ia satu kepastian bahawa semua akan mendapat tempat di bidang swasta? Mungkin sebilangan kecil dapat mengatasi masalah ini tapi bagaimana yang selebihnya?
Apa yang mungkin terjadi pada mereka yang mungkin menganggur? Sebulan atau dua bulan? Setahun atau dua tahun? Mungkin selepas beberapa lama isu ini akan selesai tapi adakah mereka yakin, adakah masyarakat yakin dengan kualiti guru yang menganggur ini?
Pastikah mereka masih ingat tentang apa yang mereka pernah belajar dulu? Yakinkah anda bahawa mereka masih mempunyai jati diri seorang guru? Jika itu yang berlaku, bagaimana kita hendak mencapai piawaian Standard Guru Malaysia (SGM) ? Dimana kualiti guru yang kita cari? Renungkanlah.
Mungkin benar ‘posting’ bukan hak istimewa pelajar UPSI, tetapi sudah jelas unjuran yang di buat UPSI tidak melebihi unjuran yang di buat oleh Kementerian Pelajaran Malaysia,mengapa isu ini timbul ? Kementerian perlu bijak menyelesaikan isu ini tanpa berat sebelah, tanpa menganiaya mana-mana pihak.
Semua di atas adalah sekadar pendapat.
Sekian terima kasih.
January 2, 2010
“Kami bersama Naib Canselor,”- Pro Kebajikan UPSI
Tanjong Malim, 2 Jan- Pro Kebajikan hari ini menyatakan sokongan terhadap kenyataan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Aminah binti Ayob yang disiarkan dalam buletin utama, semalam.
Beliau menyatakan pendirian supaya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) lebih jujur dan adil dalam melantik guru lepasan ijazah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)
“Tolong lebih jujur dan adil dalam melantik graduan pendidikan lepasan IPTA dan jangan pula disebabkan perpecahan kepada dua kementerian, graduan IPTA dipinggirkan.
“Kabinet sebelum ini juga yang memutuskan bahawa latihan guru untuk sekolah rendah diambilalih oleh IPGM, manakala sekolah menengah dibuat oleh universiti, khususnya UPSI. Jadi, tidak timbul persoalan/kenyataan oleh Timbalan Menteri Pelajaran yang mengatakan bahawa graduan lepasan IPTA melebihi penawaran,” katanya lagi.
Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang dihubungi berkata, Pro Kebajikan menyokong kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Canselor dan menyatakan kebersamaan pihak mereka dalam memperjuangkan isu ini.
“Pertamanya, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Datuk atas keprihatinan beliau dalam memperjuangkan isu ini. Keduanya, kami ingin menyatakan sokongan yang padu kepada Datuk dan akan bersama-sama dengan beliau dalam memperjuangkan isu nasional ini.
“Kami juga ingin mengajak semua mahasiswa dan mahasiswi UPSI untuk kita bersama-sama menyokong Datuk NC kita dalam memperjuangkan isu ini,”tambahnya lagi.
Sebelum ini, Dato’ Puad Zarkashi mengeluarkan kenyataan bahawa lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan dan hal ini menimbulkan keraguan mahasiswa pendidikan IPTA mengenai status penempatan mereka.
December 31, 2009
Isu penempatan, TNCA dijangka adakan pertemuan dengan KPM minta penjelasan
Beliau ketika dihubungi menjelaskan, “Saya mohon maaf kerana tidak dapat memberi penjelasan tentang penempatan 2010 dan 2011. Saya tidak mempunyai maklumat detail daripada KPM berkaitan perkara ini. Saya akan cuba mendapat maklumat tentang hal ini dalam pertemuan dengan SPP dan juga Bahagian Sumber Manusia Kementerian Pelajaran Malaysia yang akan diadakan tidak lama lagi. Itu pun jika kedua-dua pihak mengetahui tentang perancangan KPM berkaitan dengan penempatan 2010 dan 2011. InsyaAllah”.
Dalam hal berkaitan , Bahagian Sumber Manusia KPM baru-baru ini menyatakan terdapat 11,000 kekosongan jawatan guru di seluruh Malaysia menjelang tahun 2011. Perkara ini dijelaskan oleh Puan Faridatul Akma Bt Mat Taib , Timbalan Setiausaha Cawangan Perkhidmatan, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia dalam kolokium "Masa depan dan hala tuju graduan UPSI” November lepas bertempat di bitarasiswa.
Beliau turut menjelaskan , graduan Diploma Pendidikan Lanjutan Ijazah (DPLI) sebanyak 2700 yang akan bergraduat pada tahun 2011 , jika dicampur graduan dari UPSI dan Fakulti Pendidikan universiti lain, jumlah guru masih diperlukan, sekaligus membolehkan semua graduan pendidikan mendapat penempatan jika lulus ujian INSAK dan temuduga KPM.
Sementara itu, Saudari Nur Aqilah Hanis , Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar UPSI ketika dihubungi mencadangkan kepada pihak universiti supaya menjelaskan kepada seluruh mahasiswa tanpa perlu menyorokkan status sebenar mereka sama ada wujud penangguhan penempatan atau tidak sekaligus memudahkan mereka menyediakan perancangan masa depan.
Katanya, pihak KPM juga patut menjelaskan secara terperinci jumlah program pendidikan yang sudah penuh dan program yang masih kekosongan di sekolah memandangkan beliau hanya menyatakan bahawa program Bahasa Inggeris sahaja yang kritikal dan memerlukan ramai guru.
Dalam pada itu, kenyataan Bahagian Sumber Mansuia KPM baru-baru ini dilihat bercanggah dengan apa yang dijelaskan oleh Dr. Mohd Puad Zarkashi pada hari ini dimana beliau menyatakan lantikan guru lepasan ijazah pendidikan mengikut kekosongan. Ini bermakna, mungkin akan wujud penangguhan penempatan bagi graduan 2010 dan 2011.
