November 11, 2009

71% setuju bukti Pro Kebajikan diterima mahasiswa

Tanjong Malim, 11 Nov. – Keputusan undian sama ada Pro Kebajikan perlu bertanding dalam Pilihan Raya Kampus akan datang atau pun tidak yang menunjukkan 71% pengundi bersetuju disifatkan Ketua Penerangannya sebagai bukti bahawa Pro Kebajikan diterima di kalangan mahasiswa UPSI.



Beliau yang mengulas berkenaan keputusan tersebut mendakwa tahap sokongan kepada Pro Kebajikan adalah konsisten dan mempunyai penyokong setia dalam agenda perubahan yang dibawa.

Katanya lagi, dalam tinjauan rambang yang dibuat menunjukkan rata-rata mahasiswa mempunyai persepsi yang positif terhadap Pro Kebajikan namun perkara tersebut tidak akan dapat dibuktikan sekiranya tidak ada ‘pengukur’ iaitu pilihan raya.

Dalam pada itu katanya, Majlis Tertinggi Pro Kebajikan harus membuat keputusan yang tepat dalam memutuskan sama ada Pro Kebajikan perlu bertanding atau tidak dalam PRK akan datang dan tidak hanya bergantung kepada saranan Biro Politik dan Risikan (BPR) Pro Kebajikan semata-mata.

Beliau turut memaklumkan Pro Kebajikan sehingga hari ini masih belum memutuskan sama ada akan menghantar calon atau tidak dalam PRK.

Ditanya bila keputusan tersebut akan diumumkan, beliau berkata kemungkinan dalam minggu ini – bergantung kepada mesyuarat khas yang akan diadakan esok.

Aqilah mohon semak penulisan pengumuman sebelum disiar

Tanjong Malim, 11 Nov. – Exco Akademik dan Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis hari ini mengeluarkan kenyataan memohon agar pihak Unit ICT UPSI atau mana-mana pihak yang berkaitan dalam menyiarkan pengumuman di ruangan ‘Headlines’ dalam MyUPSI Portal agar menyemak penggunaan tanda baca dan tatabahasa yang digunakan dalam pengumuman tersebut sebelum disiar.

Ini berikutan kesilapan yang sering kali berlaku dalam penggunaan tanda baca dalam beberapa tulisan pengumuman yang dibuat.


Beliau ketika mengeluarkan kenyataan tersebut merujuk kepada pengumuman yang disiar berkenaan Program Baktisiswa Cakna Ilmu 2009.

Menurutnya ada beberapa penggunaan tanda baca yang salah dalam tulisan pengumuman tersebut dan ia telah beberapa kali berlaku.

“Saya rasa kesilapan tersebut sudah beberapa kali berlaku dengan penggunaan tanda baca yang salah dalam beberapa pengumuman sebelum-sebelum ini dan ini berkemungkinan berpunca daripada kesilapan teknikal namun apa yang saya mohon adalah perbetulkannya pada masa akan datang sama ada kesilapan berpunca daripada sistem komputer atau kesilapan lain”,katanya.

Tambahnya,”meskipun perkara tersebut dilihat remeh bagi sesetengah pihak, namun sebagai sebuah institusi pendidikan yang terulung, perkara remeh tersebut tidak sepatutnya berlaku apatah lagi melibatkan soal bahasa”.

November 9, 2009

Tuntutan peralatan suaikenal pelajar ambilan Julai 2009/10

Pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI memaklumkan semua pelajar ambilan Julai 2009/10 (ISMP & DPLI) yang belum menerima peralatan suaikenal boleh mengambil peralatan tersebut di stor peralatan suaikenal JHEPA pada 10 November 2009 bermula jam 10.00 pagi.

“Kediaman kami tak selamat” - pelajar DPLI

Tanjong Malim, 9 Nov. – Kejadian pecah masuk yang berlaku di kediaman pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) minggu lalu menimbulkan kebimbangan di kalangan mereka dan mendakwa kediaman mereka tidak lagi selamat untuk didiami.

Kejadian yang dilaporkan berlaku di Kota Malim Prima pada malam Sabtu yang lalu membuatkan mereka semakin bimbang untuk terus menginap di kawasan terbabit.

Menurut sumber, kejadian pecah rumah yang melibatkan kediaman pelajar DPLI kebanyakannya berlaku di tingkat 4 dan ke atas.

Mereka walau bagaimanapun dilaporkan telah mengambil tindakan dengan membuat laporan polis sebaik sahaja mendapati rumah mereka diceroboh masuk.

Berikutan kejadian tersebut, pelajar DPLI sekali lagi mendakwa pihak UPSI tidak mempedulikan hal keselamatan dan kebajikan mereka meskipun kejadian yang sama pernah berlaku sebelum ini.

October 29, 2009

UPSIkini ucap Selamat Menghadapi Peperiksaan

Warga kerja UPSIkini mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Semester kepada seluruh mahasiswa UPSI yang sudah pun bermula beberapa hari lalu.

Untuk itu pihak UPSIkini juga memohon maaf atas kelewatan ucapan dan penangguhan operasi penyiaran berita dan laporan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pihak UPSIkini sedang berusaha untuk menstruktur semula tugas semua editor bagi membolehkan laporan terkini dapat disiarkan seperti biasa terutamanya dalam minggu peperiksaan.

Selamat Menghadapi Peperiksaan.

Teruskan bersama UPSIkini.

October 22, 2009

Semakan panggilan temu duga GSTS IPTA Sesi Okt/Nov 2009

Pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa semakan temu duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) keluaran IPTA bagi sesi Okt / Nov 2009 telah dibuka bermula 22 Oktober sehingga 7 November 2009.

Semakan tersebut adalah bagi calon-calon yang telah memohon untuk mengisi jawatan tersebut melalui Sisitem Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Keluaran IPTA (e-gst) yang telah dibuka pada 10 Ogos hingga 10 September yang lalu.

Semakan ini boleh dibuat dengan melayari laman web KPM atau di alamat http://apps.emoe.gov.my/egst/tduga/index.cfm

October 21, 2009

AMI gesa Pro Kebajikan segera nyata pendirian

Tanjong Malim, 21 Okt. – Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI hari ini menggesa pimpinan Pro Kebajikan UPSI segera menyatakan pendirian berhubung keputusan sama ada mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang ataupun sebaliknya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, AMI berharap dengan membuat keputusan lebih awal, persiapan dan tindakan susulan dapat disusun supaya matlamat keputusan tersebut dapat dicapai.

Tambahnya, Pro Kebajikan perlu mengambil kira faktor luaran dan tidak hanya tertumpu kepada perbincangan dalaman untuk membuat keputusan berkenaan perkara tersebut.

Sambil menyokong kepada pandangan ahli MPP Pro Kebajikan yang menolak cadangan Biro Politik & Risikan (BPR) kumpulan tersebut, AMI mendakwa tindakan tidak bertanding akan merugikan bakat kepimpinan yang ada di kalangan mereka sekali gus melenyapkan harapan ribuan mahasiswa yang mahu melihat perubahan menyeluruh dalam kepimpinan MPP.

Majlis Tertinggi Pro Kebajikan pada ketika ini dikatakan masih lagi meneliti cadangan yang diusulkan BPR dan menerima pelbagai reaksi di kalangan penyokong kumpulan terbabit.

Bakal guru pegang janji Menteri Pelajaran 13 000 guru tambahan

Tanjong Malim, 21 Okt.- Bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mampu menarik nafas lega dengan pengumuman keperluan 13 000 guru tambahan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tersebut dalam jawapannya kepada soalan Mohd Noor Othman (Hulu Terengganu) berkenaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diganti dengan dasar baru, memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris(MBMMBI) mulai 2011.

Mengulas berkenaan kenyataan tersebut, Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis (gambar) berkata, kenyataan itu adalah positif untuk bakal guru dan sudah pasti janji tersebut dipegang apatah lagi apabila timbul isu penempatan akan dilewatkan baru-baru ini.

“Bakal guru sudah pasti positif dengan pengumuman tersebut dan kita akan berpegang kepada janji tersebut’, ulasnya.

Jelasnya lagi,”perkara tersebut akan menjadi satu lagi bukti bahawa guru memang diperlukan cuma apa yang menjadi persoalan sekarang adalah, kenyataan yang dikeluarkan adalah berhubung dengan isu MBMMBI yang menjurus kepada bekalan guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, bagaimana pula dengan guru-guru subjek lain. Jadi kita kena lihat juga keperluan guru-guru opsyen lain.”

Beliau sebelum ini mendedahkan kenyataan bekas Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan sebanyak 26 000 kekosongan jawatan perguruan akan diisi sebagai maklum balas terhadap isu kemungkinan berlaku kelewatan penempatan.

Transkrip peperiksaan pelajar semester 8 boleh diambil pada Disember

Tanjong Malim, 21 Okt – Semua pelajar semester 8 yang telah menjalani praktikal boleh mengambil transkrip keputusan peperiksaan masing-masing pada awal Disember ini, dua minggu selepas mesyuarat senat bersidang pada 17 November ini.

Perkara tersebut disampaikan Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Zulhelmi Mohd Noor (gambar) selepas mendapatkan maklumat tersebut di Bahagian Akademik UPSI pagi tadi.

Katanya, transkrip tersebut hanya boleh diambil oleh pelajar terlibat dua minggu selepas mesyuarat senat bersidang dan tidak boleh diwakilkan oleh mana-mana pihak.

Berkenaan prosedur, pihak akademik akan memaklumkannya melalui ruangan pengumuman di MyUPSI Protal.

October 20, 2009

MPP Pro Kebajikan sepakat tolak cadangan BPR

Tanjong Malim, 20 Okt. – Semua lapan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan menolak cadangan Biro Politik & Risikan (BPR) Pro Kebajikan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kampus akan datang.

Koordinatornya, Akmal Madzir yang juga merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP mengatakan cadangan tersebut merupakan langkah ke belakang setelah Pro Kebajikan berjaya mendapat mandat besar mahasiswa pada PRK yang lalu.

“Kami dalam barisan MPP yang membawa nama Pro Kebajikan berpendapat cadangan tersebut merupakan langkah ke belakang yang tidak sejajar dengan kehendak mahasiswa yang sudah memberi kepercayaan kepada kita”, ulasnya.

Tambahnya, “meskipun kajian BPR membawa kepada cadangan tersebut, namun saya yakin dengan sokongan mahasiswa, terus bertanding adalah pilihan terbaik bagi memberi peluang kepada mahasiswa memilih barisan kepimpinan terbaik’.

Beliau mengulas perkara tersebut selepas timbul desas-desus mengatakan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan akan mempertimbang cadangan BPR Pro Kebajikan untuk tidak bertanding dalam PRK akan datang.

Sementara itu, Exco Akademik & Kerjaya MPP, Nur Aqilah Hanis dalam kenyataannya turut memberi respon yang sama – mahu Pro Kebajikan menghantar calon terbaik dalam PRK akan datang.

Katanya, penghormatan kepada arahan ketua adalah perlu namun keadaan semasa yang mahu perubahan menyeluruh dalam kepimpinan MPP menjadi tanggungjawab Pro Kebajikan untuk merealisasikannya di samping melahirkan kepimpinan yang dinamik dan bersifat kemahasiswaan.

“Semua ahli AMI UPSI dapat penempatan”- Presiden

Tanjong Malim, 20 Okt. – Presiden Alumni Mahasiswa Islam (AMI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersyukur apabila semua ahlinya mendapat penempatan masing-masing selepas berjaya menamatkan pengajian dan bergraduat pada Ogos lalu.

Beliau yang memaklumkan perkara tersebut kepada UPSIkini melahirkan rasa syukur dan gembira dengan khabar tersebut dan berharap semua ahli AMI akan terus memberi sumbangan dan bakti dalam kerjaya sebagai guru pula.

“Saya benar-benar bersyukur dan rasa gembira dengan perkhabaran tersebut dan ini menunjukkan bahawa kebergantungan kita kepada Allah di samping usaha dan doa yang dipanjatkan dimakbulkan-Nya”,ulasnya.

Dalam pada itu katanya, ada beberapa ahli AMI yang memohon untuk menangguh penempatan pada hujung Oktober ini kerana ingin menamatkan kontrak perkhidmatan di Sekolah Agama Rakyat di kawasan mereka yang berakhir hujung tahun ini.

October 19, 2009

Pameran Seni dan Kraf Tangan

Seluruh warga UPSI dijemput untuk menyaksikan ‘Pameran Seni dan Kraf Tangan Dalam Pendidikan Khas’ pada 23 Oktober (Jumaat) ini bertempat di Foyer Bangunan IPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pameran akan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan tema "Penghargaan Seni Untuk Insan-Insan Istimewa”.

Program merupakan anjuran mahasiswa/i kursus pengajaran muzik, seni dan kraf tangan dalam pendidikan khas.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Khairul Izuan di talian +6019-4306209.


Pro Kebajikan pertimbang cadangan tak bertanding PRK

Tanjong Malim, 19 Okt – Pro Kebajikan UPSI, kumpulan mahasiswa UPSI yang mula mendapat perhatian sejak menang mengejut 8 kerusi termasuk 3 kerusi Umum pada Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lalu akan mempertimbangkan cadangan Biro Politik & Risikan kumpulan tersebut supaya tidak bertanding dalam PRK akan datang.

Cadangan tersebut dibentangkan Ketua Biro tersebut dalam satu mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan beberapa hari lalu.

Tindakan menarik diri dalam PRK akan datang disifatkan Biro tersebut sebagai langkah pilihan selepas mempertimbangkan beberapa perkara mengikut kajian yang dijalankan.

Dalam pembentangannya, Ketua Biro terbabit mengatakan, melalui risikan yang dibuat, sistem e-voting yang digunakan dalam pengundian berkemungkinan besar dimanipulasi pihak tertentu dalam memastikan calon Pro Kebajikan tewas.

Justeru katanya, adalah sesuatu yang agak sukar untuk menerajui kepimpinan MPP meskipun calon terbaik diletakkan selagi system tersebut digunakan.

Tambahnya, faktor lain yang mendorong kepada cadangan itu adalah bagi memberi penumpuan kepada organisasi lain yang lebih praktikal dalam pelaksanaan program-program yang selari dengan prinsip Pro Kebajikan.

Selain itu, biro tersebut juga mengusulkan sistem dwi tahunan yang mencadangkan Pro Kebajikan bertanding sekali dalam tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dikatakan menimbulkan pelbagai pandangan daripada ahli MT Pro Kebajikan.

Setiausahanya ketika mengulas perkara terbabit berkata cadangan itu masih belum diputuskan kerana beberapa faktor lain harus diambil kira.

“Perkara ini masih di peringkat cadangan kerana kita perlu menilai dari semua aspek sebelum membuat keputusan”,ulasnya

Ditanya adakah tindakan tersebut dipengaruhi faktor kekurangan calon untuk bertanding, beliau berkata, “setakat ini ramai yang menawarkan diri untuk bertanding atas nama Pro Kebajikan dan soal kurang calon memang tidak timbul”.

UPSI dijangka bakal mengadakan PRK awal tahun depan bersama-sama 4 kampus utama di Lembah Klang – UM, UKM, UPM, dan UIA.

Adriyani : Hati-hati beli tiket balik kampung

Tanjong Malim, 19 Okt – Menjelang cuti akhir semester bermula 23 November ini, perkhidmatan bas catar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing menjadi salah satu pilihan pelajar di sini.

Berikutan itu, ramai di kalangan pelajar yang menjadi agen menjual tiket perkhidmatan bas catar mengikut negeri masing-masing lebih awal bagi memudahkan urusan.

Mengulas berkenaan perkara tersebut, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Adriyani Yamin (gambar) mengingatkan pelajar supaya berhati-hati untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, pelajar perlu memastikan tiket yang dibeli mempunyai jaminan untuk mengelak ditipu seperti yang berlaku sebelum ini.

“Rakan-rakan pelajar saya nasihatkan supaya berhati-hati dalam menggunakan perkhidmatan bas catar, dan kalau boleh pastikan tiket yang dibeli mempunyai jaminan perjalanan supaya tidak lagi ditipu seperti yang berlaku sebelum ini”, ulasnya.

Tambahnya lagi, “kepada mereka yang menjadi agen pula, pastikan anda juga tidak ditipu pengusaha-pengusaha bas, pastikan ada hitam putih”.

Dalam pada itu, beliau mengakui perkhidmatan bas catar memang membantu pelajar kerana perkhidmatan pengangkutan awam memang tidak mencukupi bagi menampung jumlah pelajar yang ramai semasa cuti bermula.

October 16, 2009

Gangguan bekalan elektrik di UPSI

Pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) UPSI memaklumkan bekalan elektrik akan diputuskan buat sementara waktu di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI bagi menjalankan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah dan penyambungan bekalan elektirk di Bangunan E-Learning. Gangguan bekalan elektrik akan berlaku bermula pada jam 10.00 pagi 17 Oktober 2009 (Sabtu) sehingga 7.00 malam 18 Oktober 2009 (Ahad).

Antara lokasi yang terlibat adalah di kawasan yang menggunakan Pencawang Elektrik No. 1, 5 dan 7 iaitu :
  • Perpustakaan Tuanku Bainun
  • Auditorium
  • Bangunan Palapes dan Suksis
  • Galeri Seni
  • Bangunan Yusof Ahmad
  • Tangki Air
  • Blok A (JHEPA)
  • Blok B (Fakulti Bahasa)
  • Bangunan Suluh Budiman
  • Bangunan Pusat ICT
  • Tadahan Utara
  • Blok C dan D
  • Lampu Padang UPSI
Pihak JPPHB turut memohon agar semua pihak mengambil langkah awal keselamatan dengan menutup semua suis dan soket serta peralatan-peralatan elektrik sepanjang tempoh gangguan tersebut.

October 15, 2009

KPM tak kenal siapa kamu

Amran Kusrin
Okt 15, 2009

Semasa awal-awal dulu penulis menjejakkan kaki ke UPSI, langsung tak faham apa ke jadahnya Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB). Disuruh pula menyanyi dengan penuh semangat oleh abang-abang dan kakak-kakak 'bersama universiti' lagu Ibu Kandung Suluh Budiman (IKSB).

Kemudian mereka bersungguh-sungguh mahu membentuk anak-anak baru lahir ini bersama universiti. Bila tanya mereka apa ke jadahnya Anak@Ibu Kandung Suluh Budiman, dia pun tak tahu tapi tetap bertegas dialah satu-satunya yang bersama universiti. Itu strategi kempen sebelum UPSI tukar logo.

Apa yang ingin penulis kongsikan, sudah diberi petunjuk kepada kita dengan keputusan penempatan graduan UPSI baru-baru ini, rupa-rupanya KPM tak kenal siapa kita. Kamu AKSB ke IKSB ke Pro Kebajikan ke Pro Kualiti ke MPP ke JMK ke pemegang biasiswa KPM ke apa pun kamu hatta penerima Anugerah Nadi Wanita UMNO 2009 (bukan UMNO bagi, Kerajaan Malaysia yang bagi), KPM tak kenal siapa kamu.

KPM kenal kita dengan borang, ujian INSAK dan temuduga. Kamu lantang masa berkempen semasa pilihan raya nak buat stesen radio UPSI, tapi bila temuduga kamu buat lemah gemalai, KPM boleh nilai kamu. Kamu hebat ulang-ulang 6 7 kali nama kamu nak suruh orang kenal semasa kempen, tapi dalam ujian INSAK kamu dikategori orang yang suka guna kabel, kamu juga ditolak. Rupa-rupanya KPM tak kenal kamu. Kamu hebat tanda tangan surat jemputan itu dan ini, program telan juta-juta, bila isi borang salah, tak ada guna. KPM tak kenal kamu.

Jadi, mesejnya, kamu adalah kamu dan KPM hanya nak kenal kamu dalam 3 perkara tadi, borang, ujian INSAK dan temuduga. Siapa yang KPM kenal?

*penulis merupakan mantan sebuah persatuan di UPSI.

Pengambilan baru : Hanya empat program ditawar, tiada jaminan penempatan

Tanjong Malim, 15 Okt.- Pengambilan pelajar baru bagi ambilan Disember 2009/10 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hanya menawarkan empat program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan iaitu Sains Kejurulatihan, Seni Komunikasi Visual, Multimedia dan Teknologi Rekabentuk Berkomputer yang mengambil masa 4 tahun atau lapan semester pengajian.

Program dibuka kepada calon lulusan STPM, Matrikulasi dan Diploma untuk setiap program yang ditawarkan.

Kesemua program yang ditawarkan adalah untuk pasaran terbuka (open market) dan tidak mempunyai sebarang jaminan penempatan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selepas tamat pengajian berdasarkan iklan yang disiarkan web permohonan atas talian UPSI.

Bagi mereka yang berminat, sila layari laman web www.upsi.edu.my/online.

80 graduan B & K gagal INSAK, temuduga

Tanjong Malim, 15 Okt – Kira-kira 80 graduan program Bimbingan & Kaunseling dilaporkan gagal dalam ujian INSAK dan temuduga menyebabkan graduan program tersebut antara yang terbanyak gagal dalam penempatan pada kali ini.

Perkara tersebut disampaikan oleh Ketua Jabatan Bimbingan & Kaunseling, Dr. Nasir malam semalam dalam satu program perjumpaan antara pelajar dan Penasihat Akademik di Dewan Peperiksaan UPSI.

Bilangan tersebut dikatakan yang terbanyak sejak UPSI mengeluarkan graduan dalam program tersebut.

Mantan ahli MPP dapat anugerah daripada UMNO

Tanjong Malim, 15 Okt – Seorang bekas pelajar UPSI yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sesi 2007/08, saudari Khasyatul Rodziah Ilias dilaporkan terpilih sebagai penerima Anugerah Nadi Negara Wanita UMNO 2009 sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Beliau antara 11 penerima anugerah yang dipilih di kalangan graduan muda. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang akademik selain bertujuan membajai bakat kepimpinan sebagai persediaan melahirkan golongan pemimpin bagi melestarikan Malaysia.

Dalam kenyataan berkenaan anugerah yang diterimanya Khasyatul dipetik sebagai berkata anugerah yang diberi kepadanya akan menjadi pendorong untuk beliau terus bergiat aktif dan menjadi pendidik yang berkualiti.

Mengulas tentang perkara tersebut, Ketua Penerangan Pro Kebajikan UPSI mendakwa anugerah yang diterima Khasyatul yang juga merupakan mantan ahli MPP membuktikan beliau sudah mula aktif dalam politik khususnya parti UMNO sejak dalam pengajian di UPSI.

“Ini jelas, mereka sering dakwa ada pelajar terlibat dengan politik luar, dan saya nak sahkan perkara tersebut sekarang, merekalah yang terlibat dengan politik luar, parti UMNO tapi yang menghairankan pihak yang berkaitan buat nampak tak nampak saja perkara tersebut”,ulasnya.

Tambahnya lagi,”kenyataan beliau juga sudah membuktikan beliau terlibat dengan politik sejak dalam pengajian apabila beliau berkata ‘akan terus bergiat aktif’, maknanya sebelum ni pun dah aktif”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menggesa pihak universiti berlaku lebih adil dalam memantau pergerakan pelajar dalam menyertai aktiviti parti politik di luar.

“Saya nak pesan kepada pihak yang bertanggungjawab, jangan bersikap ‘double standard’ dalam memantau perkara ini, bila parti UMNO kamu diam, bila ada aktiviti UMNO dan BN dalam kampus kamu diam, sebelum ini bukan main bersungguh-sungguh nak berlaku adil, tak mahu ada politik dalam kampus, tapi bila UMNO kamu senyap. Adil ke ini?,”katanya.

Terdahulu, Khasyatul Rodziah dilaporkan antara graduan yang gagal mendapat penempatan pada sesi kali ini.

Denggi : Wan Aini telah sedar dari koma

Tanjong Malim, 15 Okt. – Seorang siswi UPSI, Wan Aini Wan Ibrahim, pelajar semester satu program Pengajian Malaysia yang koma sejak 2 Oktober lalu akibat demam denggi dilaporkan sudah mula sedar semalam.

Demikian dimaklumkan Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Adriyani Yamin (gambar) kepada UPSIkini lewat malam semalam.

Menurutnya, kesihatan Wan Aini semkain pulih selepas hampir 2 minggu tidak sedarkan diri. Wan Aini kini walau bagaimanapun mempunyai masalah dari sege ingatannya dan mengambil masa untuk mengingati semula orang-orang yang dikenalinya sebelum ini. Setakat ini beliau dikatakan hanya mengingati ibu dan ayahnya serta beberapa orang sahaja.

Tambahnya, Wan Aini juga mengalami laptospirosis yang menyebabkan tangan dan kakinya berwarna kehitam-hitaman.

Sementara itu, Adriyani turut mengucapkan terima kasih dan rasa terharu beliau kepada rakan-rakan Wan Aini yang sanggup menjaga beliau sepanjang berada di hospital serta mengajak semua warga UPSI mendoakan kesihatan Wan Aini akan segera pulih.