August 14, 2009

Akmal : Semoga mereka faham

Tanjong Malim, 14 Ogos – Sejurus selepas tamat Forum Perdana Ehwal Islam malam tadi, seluruh hadirin yang hadir merasa puas dengan kupasan persoalan yang diutarakan sepanjang forum tersebut berlangsung.

Antaranya adalah Exco Sahsiah dan Pembangunan Pelajar Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saudara Akmal Madzir yang turut bersama mendengar kupasan perbincangan forum tersebut di bawah khemah penonton dan kelihatan tenang sebaik sahaja forum tersebut tamat.

Beliau yang juga merupakan wakil MPP yang membantah penganjuran konsert di sini bersyukur kerana forum malam ini dikatakan menjawab segala persoalan tentang tindakan yang diambil memprotes konsert terbabit tempoh hari.

Menurut beliau, forum ini benar-benar memberi satu pengajaran dan panduan yang cukup jelas kepada kita sebagai muslim tentang kealpaan kita mempraktikkan nilai Islam dalam kehidupan seharian.

“Apa yang dikupas oleh ahli panel tadi sememangnya bertepatan dengan apa yang berlaku pada masa kini apabila ramai di kalangan kita hari ini hanya menjadi muslim pada waktu-waktu tertentu, mengambil jalan Islam pada perkara-perkara tertentu seperti yang berlaku dalam bulan Ramadahan dan bulan-bulan lain.

“Kita menjadi orang yang baik dalam bulan Ramdhan tetapi tidak dalam bulan lain, menjadi wara’ pada malam jumaat, tetapi tidak pada malam yang lain”,jelasnya.

Tambahnya lagi,”maka sebagai orang yang faham, menjadi tanggungjawab kita untuk mencegah kemungkaran meskipun mendapat tentangan orang lain dan inilah ukuran iman yang boleh kita lihat di kalangan kita pada masa kini”.

Apabila ditanya adakah forum pada malam ini memberi kelebihan kepada kumpulan pembantah konsert sebelum ini, beliau berkata, perkara tersebut bukan soalnya tetapi yang lebih penting adalah seberapa ramai yang faham mesej yang disampaikan dalam forum tersebut.

“Itu bukan soalnya, tetapi persoalan sebenar yang perlu difikirkan adalah seberapa ramai yang faham kupasan forum itu tadi dan secara peribadi saya berharap semoga mereka faham”, katanya.

Forum pada malam ini dikatakan memberi kelebihan kepada kumpulan pembantah konsert apabila ahli panel forum tersebut secara terang menyindir pihak yang menyokong kepada program-program hiburan.

Forum Perdana sentuh persoalan konsert

Tanjong Malim, 14 Ogos – Program Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung malam tadi memberi tamparan hebat kepada penganjur konsert semalam apabila ahli panel secara terang menyentuh persoalan konsert dan hiburan yang semakin menjadi-jadi pada masa kini.

Forum yang menampilkan dua ahli panel, Dr. Ibrahim daripada UPSI dan Ustaz Fathul Bari Yahaya, Penasihat Agama daripada Institut Jantung Negara (IJN) serta dipengerusikan oleh Ustaz Saipul Barin Ramli, pensyarah Fakulti Bahasa UPSI menyentuh persoalan tersebut meskipun tajuk perbincangan forum tersebut adalah berkaitan Keberkatan Ramadhan.

Ustaz Fathul Bari dalam pusingan awal perbincangan dikatakan menempelak pihak yang kurang meminati majlis ilmu apabila melihat bilangan hadirin yang hadir dalam forum tersebut tidak begitu ramai.

Beliau turut membuat teguran secara sinis dengan mengatakan semakin kurang umat Islam masa kini mencari ruang untuk hadir dalam majlis ilmu berbanding program-program hiburan.

Dalam pada itu, forum yang berlangsung selama hampir 2 jam 30 minit itu mula menjadi perhatian hadirin semasa sesi soal jawab dibuka oleh pengerusi majlis.

Antara yang menarik perhatian, sejurus selepas sesi tersebut dibuka seorang demi seorang di kalangan mahasiswa yang hadir bangun bertanya berkaitan budaya hiburan dan kegagalan ramai umat Islam untuk menghayati erti sebenar Islam dalam kehidupan mereka.

Menjawab kepada persoalan tersebut, Ustaz Fathul Bari menjelaskan punca kepada keadaan tersebut berlaku adalah apabila ramai umat Islam malu dengan agamanya sendiri lantas tidak mempraktikkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian termasuklah penularan kepada budaya hiburan yang semakin menjadi-jadi pada hari ini.

Sementara itu, forum turut menyentuh kaedah membuat teguran kepada pihak yang mempunyai autoriti dalam sesuatu komuniti dalam memperbetulkan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.

Selain itu, forum turut mengupas beberapa persoalan berkenaan hukum dalam mengerjakan ibadah puasa.

August 13, 2009

Ustaz Asri Rabbani meninggal dunia

Tanjong Malim, 13 Ogos – Penyanyi utama Kumpulan Nasyid terkenal tanah air, Ustaz Asri Ibrahim telah meninggal dunia pagi tadi akibat serangan jantung.

Allahyarham yang bergerak di arena nasyid bersama Rabbani dilaporkan meninggal dunia pagi tadi di Hospital Pantai.

Baru-baru ini, Allahyarham bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se- Malaysia (GAMIS) telah bekerjasama dalam satu konsert yang diadakan di Stadium Melawati.

Allahyaraham juga dikenali di kalangan warga UPSI dan merupakan kumpulan nasyid yang sering dijemput untuk membuat persembahan di UPSI.

Seluruh warga kerja UPSIkini dan mahasiswa UPSI mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

Kumpulan pembantah batal protes, dakwa diekori individu tak dikenali

Tanjong Malim, 13 Ogos – Tindakan protes yang dirancang kumpulan pembantah dibatalkan pada saat-saat akhir selepas beberapa penyokong kumpulan tersebut mendakwa diekori individu tak dikenali sejak petang semalam.

Keadaan tersebut memaksa mereka mengeluarkan arahan supaya tindakan protes tidak diteruskan.

Menurut salah seorang daripada mereka, beliau menyedari dirinya diekori seseorang yang tidak dikenali sejak petang semalam dan mengesyaki individu tersebut adalah perisik yang mahu mencari maklumat tentang tindakan protes yang dijangka berlaka malam semalam.

Sejurus menyedari keadaan itu, beliau memaklumkan perkara tersebut kepada beberapa rakannya yang lain dan mendapati perkara yang sama berlaku terhadap beberapa lagi penyokong kumpulan tersebut.

Ketua kumpulan pembantah tersebut yang khuatir akan keselamatan para pembantah untuk mengadakan tindakan protes yang dirancang semalam, akhirnya mengeluarkan arahan untuk dibatalkan rancangan tersebut.

Walau bagaimanapun, kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut masih belum dikeluarkan kumpulan terbabit.

August 12, 2009

HEP : Kami sedia berunding

Tanjong Malim, 12 Ogos – Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI hari ini menyatakan kesediaan pihak HEP untuk berunding dengan kumpulan pembantah yang dikatakan akan membuat tindakan protes pada Konsert Faizal Tahir malam ini.

Kenyataan tersebut disampaikan melalui seorang pegawai HEP yang enggan namanya didedahkan dengan mengatakan pihak HEP sedia untuk berunding dengan kumpulan pembantah.

Beliau yang berharap tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku bersedia untuk berjumpa dengan kumpulan tersebut bagi meleraikan segala ketegangan yang timbul.

Pro Kebajikan melalui Ketua Penerangannya apabila ditanya tentang perkara tersebut berkata, rundingan sudah pun dibuat namun mereka langsung tidak mempertimbangkan segala saranan yang diberikan.

“Kita sudah hantar wakil bagi menjelaskan pendirian dan pandangan kami, namun mereka dari awal sudah menolak apa yang kita bawa”,jelasnya.

“Kita tidak ada masalah untuk berbeza pendapat tetapi tidak dari segi syariat dan prinsip yang kami pegang selama ini”,tambahnya lagi.

Sementara itu, beliau turut mengajak mahasiswa mencontohi Festival Konvokesyen Universiti Malaya (FESKUM) yang ternyata berbeza dengan pembawaan yang lebih matang dalam pengajuran program mereka sehingga dipuji Raja Dr Nazrin Shah yang merasmikan program tersebut dengan mengatakan FESKUM kali ini adalah yang terbaik daripada sebelumn-sebelum ini.

“Saya nak bawa mahasiswa di sini melihat bagaimana pendekatan MPM UM membawa FESKUM itu lebh matang dengan pengisian yang berteraskan intelektual seorang mahasiswa dan bukan masih leka dengan budaya hedonisme yang sudah semakin membarah di kalangan mahasiswa”,sarannya.

Protes diteruskan, lebih 300 nyata sokongan

Tanjong Malim, 12 Ogos – Tindakan memprotes konsert Faizal Tahir malam ini berkemungkinan mencatat satu sejarah buat UPSI apabila lebih 300 mahasiswa menyatakan sokongan untuk melakukan tindakan tersebut malam ini.

Sumber yang menyampaikan maklumat tersebut kepada UPSIkini melaporkan Pro Kebajikan bersama Alumni Mahasiswa Islam UPSI sedang giat mengumpul seramai mungkin penyokong mereka untuk melakukan tindakan protes malam ini.

Sementara itu, petang tadi, kumpulan pembantah konsert tersebut dilaporkan berkumpul di satu lokasi bagi sesi taklimat berkenaan tindakan yang bakal diambil malam ini.

Namun, modus operandi yang bakal dibuat bagi tindakan tersebut dirahsiakan untuk tujuan keselamatan, kata sumber.

Sumber turut menambah, tindakan nekad itu diambil setelah pihak penganjur gagal memahami signal yang diberikan kumpulan pembantah melalui tindakan protes terhadap konsert Jaclyn tempoh hari.

Dalam pada itu, semua persiapan bagi tujuan pengawasan dan pemantauan program malam ini turut disusun rapi dengan bantuan pengawal keselamatan dan pihak polis.

UPSIkini yang menghubungi wakil daripada Pro Kebajikan gagal mendapatkan respon terperinci berkenaan rancangan ini dan hanya menyampaikan mesej ringkas “tunggu dan lihat”.

Lebih ramai dijangka sertai protes

Tanjong Malim, 12 Ogos – Selepas berjaya memberi tekanan dengan protes senyap semasa persembahan Jaclyn Victor tempoh hari, timbul pula ura-ura mengatakan tindakan sama akan dibuat semasa konsert Faizal Tahir.

Ura-ura akan berlaku siri protes membantah Konsert Faizal Tahir mula timbul apabila tindakan protes kumpulan pembantah tempoh hari dikatakan berjaya memberi mesej kepada pihak penganjur.

Walau bagaimanapun bentuk dan tindakan protes yang akan dibuat masih menjadi tanda tanya ramai pihak yang mengikuti isu ini.

Menurut salah seorang sakretariat Pesta Konvo yang bertugas di bahagian protokol, pihak penganjur dikatakan akan meningkatkan kawalan dan pemantauan di kawasan program berlangsung serta meletakkan perisik-perisik bagi memberi maklumat kepada penganjur.

Sumber tersebut juga turut mengatakan berkemungkinan lebih ramai bilangan pengawal keselamatan dan polis akan dikerah berada di kawasan terbabit berbanding konsert Jaclyn tempoh hari bagi mengawal keadaan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan.

Dalam pada itu, antara tindakan yang dikatakan bakal diambil pihak penganjur adalah menghalang mana-mana pengunjung yang disyaki sebagai kumpulan pembantah terutamanya mereka yang memakai tudung labuh dan berkopiah untuk masuk ke kawasan konsert dijalankan.

Sementara itu, Pro Kebajikan apabila ditanya tentang perkara ini tidak memberi jawapan jelas sama ada mereka akan melakukan sesuatu berkenaan penganjuran konsert Faizal Tahir.

“Itu kita tidak perlu umumkan, tapi apa yang pasti penyokong-penyokong kita sudah bersiap sedia dan mereka juga mungkin mengambil tindakan sendiri tanpa arahan daripada kami”,jawabnya ringkas selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Pro Kebajikan semalam.

Kelmarin, sekumpulan pembantah konsert Jaclyn Victor mengejutkan hadirin di situ apabila bertindak keluar beramai-ramai tanda protes sejurus selepas bekas juara Malaysian Idol itu naik ke pentas.

Beredar daripada majlis hak individu

Tanjong Malim, 12 Ogos – Pro Kebajikan menegaskan tindakan beredar daripada majlis semalam sebagai hak individu yang tidak boleh dipertikai mana-mana pihak dan mengakui tindakan tersebut sebagai tanda protes setelah beberapa usaha membatalkan konsert tersebut tidak diberi perhatian pihak penganjur.

Kenyataan yang dibuat melalui Setiausaha Agung Pro Kebajikan sejurus selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi Pro Kebajikan semalam mengatakan, pada awalnya mereka meletakkan beberapa cadangan tindakan yang mahu diambil sebagai tanda tidak setuju dengan penganjuran konsert semalam namun hanya bertindak keluar daripada majlis selepas mempertimbangkan keadaan pada waktu itu.

“Sebenarnya ada beberapa tindakan lain yang dicadangkan namun kita memutuskan hanya beredar daripada majlis selepas mempertimbangkan keadaan pada waktu itu dan kita mahu tegaskan tindakan beredar daripada majlis adalah hak individu yang tidak boleh dipertikai mana-mana pihak kerana ia adalah program terbuka.

“Sekiranya ada usaha nak tangkap dan dakwa kita hanya kerana beredar dari program yang jelas bertentangan dengan nilai intelektual mahasiswa, kami sedia untuk itu”,jelasnya.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan mendakwa ada beberapa pihak yang cuba mengaitkan isu ini dengan perwatakan semua yang terlibat dalam tindakan protes semalam namun menegaskan itu adalah tindakan kurang matang pihak yang tidak faham mesej yang ingin disampaikan di sebalik tindakan tersebut.

“Kalau mereka nak kata perwatakan orang yang membuat tindakan protes semalam di kalangan tudung labuh dan berkopiah tidak bijak, kami nak tanya pada mereka apakah tindakan menjerit –jerit semasa konsert berjalan tindakan bijak yang menggambarkan perwatakan seorang mahasiswa”,katanya.

“Ini jelas, tohmahan yang dibuat memang bertujuan melepaskan emosi dan kurang matang selepas mendapati tindakan protes memberi kesan yang agak mendalam kepada mereka,”tambahnya lagi.

Untuk rekod, bantahan terhadap konsert yang dianjurkan sempena Pesta Konvo pernah dibuat tahun lalu sehingga memaksa artis jemputan pada ketika itu membatalkan kehadirannya ke UPSI.

HEP bermesyuarat bincang tindakan pembantah

Tanjong Malim, 12 Ogos – Protes senyap yang ditunjukkan sekumpulan pelajar yang membantah penganjuran konsert Jaclyn Victor malam tadi memaksa pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan pengetua kolej-kolej kediaman bermesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut semalam.

Sumber yang menyampaikan perkembangan tersebut mengatakan tindakan mereka yang bangun dari tempat duduk masing-masing sejurus Jaclyn Victor naik ke pentas sememangnya memberi kesan kepada semua hadirin yang hadir termasuk perasmi pada malam itu, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob yang duduk sebaris dengan beberapa para jemputan.

Sumber turut menambah, penyanyi jemputan, Jaclyn Victor turut terkesan dengan tindakan tersebut tetapi tetap meneruskan persembahan bagi memenuhi permintaan penganjur

Prof. Dr. Shaharudin yang turut hadir pada malam perasmian tersebut dikatakan turut menyedari tindakan protes senyap tersebut.

Berikutan itu, mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dikatakan mengambil langkah untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana pihak yang disyaki untuk membuat perkara yang sama dalam beberapa lagi acara yang bakal diadakan sepanjang Pesta Konvo ini.

Dalam perkembangan lain, pihak sakretariat juga dilaporkan membuat kawalan ketat terhadap sistem suara yang digunakan sepanjang Pesta Konvo berlangsung bagi memastikan tiada sebarang tindakan sabotaj.

Semalam, beberapa ahli jawatankuasa penganjur dikatakan terpaksa bermalam di kawasan Pesta Konvo bagi memastikan set sistem suara tersebut tidak disabotaj.

August 11, 2009

Presiden Persatuan Pengguna UPSI perjelas bahaya hedonisme, sokong bantah konsert

Isu bantah konsert yang menjadi bualan ramai pihak kini turut mengundang Presiden Persatuan Pengguna UPSI, saudara Wan Ahmad Fathi bin Wan Hasan menyatakan pandangan beliau.

Melalui blog peribadinya http://myahmadfathi.blogspot.com, beliau memperjelaskan bahaya budaya hedonisme dengan disertakan pendapat beberapa tokoh akademik. Ulasan beliau yang turut mengaitkan hedonisme sebagai pembunuh intelektual mahasiswa menyatakan kesannya dapat dilihat dengan pembentukan pelajar yang pandai tetapi tidak berakhlak.

Dalam pada itu, tulisannya juga menjurus kepada penganjuran konsert yang diadakan pada Pesta Konvo kali ini.

Pro Kebajikan : Tugas kita selesai

Tanjong Malim, 11 Ogos – Pro Kebajikan hari ini menegaskan tindakan membantah penganjuran konsert semalam adalah tuntutan yang menjadi tanggungjawab setiap muslim.

Wakil Pro Kebajikan yang bercakap tentang perkara tersebut mengatakan, bantahan yang dibuat bukan kerana mereka adalah kumpulan Pro kebajikan tetapi atas amanah sebagai muslim yang bertanggungjawab dalam mencegah kemungkaran.

“Apapun tugas kami sudah selesai dan kami telah laksanakan tanggungjawab kami”jelasnya ringkas.

Ketika ditanya adakah tindakan yang sama akan diambil dalam menyatakan bantahan terhadap perkara-perakra seumpamanya, beliau berkata, bergantung kepada keadaan tetapi bantahan terhadap penganjuran program yang bertentangan dengan syariat adalah prinsip asas yang dipegang Pro Kebajikan.

“Kita akan melihat bagaimana keadaan dan kondisi dalam setiap masalah namun tindakan membantah setiap penganjuran program dan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat sudah menjadi prinsip asas kami”,ulasnya lagi.

Pro Kebajikan dijangka akan mengadakan mesyuarat khas malam ini bagi membincangkan beberapa perkara berbangkit berkenaan Pesta Konvo.

Bantah konsert : Pro Kebajikan peroleh kemenangan moral

Tanjong Malim, 11 Ogos – Siri bantahan pimpinan Pro Kebajikan bersama penyokongnya yang berusaha untuk melihat persembahan Jaclyn Victor malam semalam dibatalkan disifatkan di kalangan pemerhati sebagai kemenangan moral bagi mereka meskipun gagal merealisasikannya.

Pandangan itu dikeluarkan oleh pemerhati politik UPSI yang sebelum ini pernah menjadi komentator di beberapa artikel UPSIkini, saudara Ihsan.

Beliau yang menghubungi UPSIkini melalui e-mel mengatakan Pro Kebajikan telah memperoleh kemenangan moral dalam isu ini yang memperlihatkan bagaimana mereka berjaya mencetuskan suasana bimbang dan risau di kalangan penganjur.

Beliau turut mengulas tindakan penganjur yang terpaksa mengerah pengawal keselamatan dan pihak polis untuk memberi lebih perhatian kepada perjalanan program tersebut meskipun pada hakikatnya tidak ada sebarang bentuk provokasi yang berlaku.

Dalam pada itu, ulasnya, Pro Kebajikan berjaya mewujudkan suasana bimbang pada pihak penganjur apabila wujud cakap-cakap mengatakan sesuatu bakal berlaku semasa program tersebut berlangsung dan kesannya, pihak penganjur terpaksa membuat garis panduan dan pesanan berulang-ulang kali supaya semua hadirin menjaga tingkah-laku.

Sementara itu, tindakan protes senyap dengan beredar daripada tempat duduk sejurus penyanyi jemputan, Jaclyn Victor naik ke pentas juga dilihat memberi kesan kepada tetamu VIP yang hadir apabila ramai di kalangan mereka menyedari tindakan tersebut sebagai tanda protes.

Walau bagaimanapun, di akhir coretannya, Ihsan menganggap Pro Kebajikan masih belum mampu melahirkan individu yang berani untuk bersuara secara lantang dalam isu-isu yang dibangkitkan.

Istiadat Konvokesyen bermula esok

Tanjong Malim, 10 Ogos – Istiadat Konvokesyen ke-11 Sidang Kedua yang bakal membuka tirai esok dijangka akan berlangsung dengan penuh istiadat dengan kehadiran Canselor UPSI, DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun.

Bermula esok, para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka dalam program Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana diberi penghormatan untuk menerima ijazah masing-masing pada hari pertama istiadat. Pada sesi yang berikutnya, para graduan daripada program Ijazah Sarjana Muda pula mengambil tempat sesi penerimaan ijazah masing-masing.

Istiadat Konvokesyen pada sidang kali ini menyaksikan sebanyak 9 sesi akan berlangsung di dewan SITC bermula pada esok 11 Ogos hingga 15 Ogos ini.

August 10, 2009

Persembahan Jaclyn dikawal ketat pengawal keselamatan, polis

Tanjong Malim, 10 Ogos – Persembahan Jaclyn Victor pada akhir majlis perasmian Pesta Konvo malam tadi dikawal ketat pengawal keselamatan dan polis yang berkeliaran serta membuat pemantauan di sekitar kawasan majlis berlangsung.

Tinajauan UPSIkini sejak mula majlis berlangsung mendapati pihak yang membantah persembahan Jaclyn Victor malam ini turut berada di kawasan majlis berlangsung tetapi beredar beramai-ramai sejurus selepas pengerusi majlis menjemput Jaclyn naik ke pentas.

Kumpulan tersebut pada awalnya duduk di barisan hadapan bagi mendengar ucapan dan acara perasmian Pesta Konvo secara serentak beredar meninggalkan tempat duduk masing-masing tanda protes terhadap persembahan malam ini.

Sumber yang ditemui turut melaporkan pihak keselamatan sememangnya membuat pantauan dan pemerhatian lebih ketat perjalanan majlis malam ini selepas mendapati tindakan luar biasa kumpulan yang membantah duduk di hadapan pentas sebaik bermulanya majlis pada kira-kira jam 8.45 malam.

Mereka juga diarahkan berbuat demikian oleh pihak atasan selepas mendapat maklumat mengatakan akan berlaku provokosi daripada pihak pembantah semasa persembahan tersebut berlangsung.

Namun, sehingga akhir program, tiada sebarang tindakan provokasi dilaporkan berlaku.

Sementara itu, sumber turut mengatakan perancangan untuk membuat tindakan protes memang ada dirancang oleh pihak pembantah namun dibatalkan di saat-saat akhir selepas mendapati terdapat bilangan pengawal keselamatan dan polis yang agak ramai di kawasan terbabit.

Wakil Pro Kebajikan yang ditemui bagi mendapatkan respon berkenaan tindakan tersebut dilaporkan enggan memberi komen dan hanya akan berbuat demikian dalam masa terdekat.

AMI UPSI : Batal konsert, elak masyarakat setempat pandang serong

Tanjong Malim, 10 Ogos – Meskipun tinggal beberapa jam sahaja untuk mendesak pihak penganjur membatalkan persembahan Jaclyn Victor malam ini, Alumni Mahasiswa Islam UPSI bersama MPP Pro Kebajikan tetap berusaha untuk memastikan konsert malam ini dibatalkan.

Wakil AMI UPSI dalam kenyataan hari ini berkata, sejak beberapa siri Pesta Konvo yang dijalankan, penentangan mahasiswa UPSI terhadap konsert adalah konsisten.

“Kita menentang sebarang bentuk program yang mengamalkan budaya hendonisme terutamanya konsert ini adalah kerana kita tidak mahu anak muda dihidangkan dengan hiburan yang melalaikan di samping mengelak daripada pandangan serong masyarakat terhadap UPSI.

“Kita semua sudah ditegur dalam khutbah jumaat, sudah diperli berulang kali, namun UPSI masih tidak faham dengan signal yang diberikan orang ramai yang dahulunya memandang tinggi terhadap UPSI namun semakin terhakis sejak kebelakangan ini”jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Shaharudin Abd Aziz supaya menggunakan kuasa yang ada membatalkan konsert tersebut bagi membuktikan keprihatinan beliau terhadap pembangunan sahsiah pelajar di UPSI.

“Saya dan rakan-rakan ingin mendesak Prof Shah selaku TNC HEP yang baru dilantik semula untuk membuktikan keprihatinan beliau terhadap pembangunan sahsiah mahasiswa di sini dengan membatalkan konsert ini”katanya lagi.

AMI UPSI adalah antara kumpulan yang menentang penganjuran konsert tersebut dan kebanyakan mereka merupakan bakal-bakal graduan yang akan bergraduat minggu ini.

Iklan Jaclyn Victor dikoyak

Tanjong Malim, 10 Ogos – Bantahan terhadap penganjuran konsert Jaclyn Victor malam ini mula ditonjolkan pihak yang membantah apabila iklan-iklan yang ditampal di beberapa tempat dikoyak dan dicabut.

Tinjauan UPSIkini mendapati tindakan mengoyak dan mencabut poster yang ditampal berpunca daripada rasa tidak puas hati beberapa pihak yang menentang konsert tersebut diadakan.

Dalam pada itu, timbul desas-desus mengatakan persembahan Jaclyn Victor pada malam ini masih belum dapat dipastikan kerana desakan daripada beberapa pihak yang mahu persembahan tersebut dibatalkan.

Sehubungan itu, Pro Kebajikan yang diminta mengulas tentang perkara tersebut menafikan tindakan mengoyak dan mencabut poster-poster tersebut adalah arahan daripada mereka.

Ketua Penerangan Pro Kebajikan menafikan tindakan tersebut arahan daripada Pro Kebajikan kepada penyokongnya dan mengatakan tindakan tersebut berkemungkinan daripada individu-individu yang turut membantah konsert tersebut diadakan.

“Kami tiada mengeluarkan arahan tersebut dan ini berkemungkinan adalah tindakan individu-individu yang turut membantah konsert tersebut diadakan”,jelasnya.

Penampilan Jaclyn Victor yang dijangka membuat persembahan malam ini mendapat bantahan daripada beberapa pihak dan semalam Pro Kebajikan memutuskan untuk membuat bantahan terhadap penganjuran konsert tersebut.

MPP Pro Kebajikan keluar kenyataan bantah konsert

Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi membantah penganjuran konsert yang akan diadakan sempena Pesta Konvo minggu ini. Berikut merupakan teks lengkap kenyataan rasmi yang dihantar kepada UPSIkini melalui kiriman e-mel.

Kenyataan Semasa:
Konsert Jaclyn Victor Mencemarkan Institusi Pendidikan Terulung Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)


Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan kecewa dengan penganjuran konsert Jacklyn Victor di UPSI. Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan memandang serius diatas penganjuran berkenaan dan membantah kehadiran artis ini sempena pesta konvokesyen pada kali ini yang seharusnya bersifat intelektual bukannya hedonism apatah lagi ketika ini kita berada di Bulan Syaaban dan akan menjalani ibadah Ramadhan tidak lama lagi. Persoalannya lagi, mengapa perlu dibazirkan wang untuk tujuan hiburan berbanding dengan perkara-perkara bersifat akademik dan kebajikan mahasiswa dan mahasiswi.

Kami begitu kecewa terhadap pihak pihak penganjur yang menjadi sebahagian dari warga pendidik seharusnya memainkan peranan untuk menapis permohonan persembahan artis dari luar negara. Tapisan ketat perlulah dibuat bagi artis-artis yang mengadakan pertunjukan yang tidak sesuai dengan budaya masyarakat di UPSI dan penduduk sekitarnya memandangkan UPSI adalah institusi yang melahirkan bakal pendidik. Gejala hendonisme, iaitu hiburan yang melampau-lampau semakin hari semakin menghakis daya intelektual dan budaya masyarakat Malaysia. Penganjuran konsert terbabit boleh menggalakkan budaya yang tidak sihat ini.

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Pro Kebajikan persembahan artis berkenaan akan melanggar garispanduan yang telah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdasarkan kepada latarbelakang dan sejarah penyanyi tersebut.
Mengikut kod 15.2 SKMM menyatakan pemakaian artis wanita yang ingin membuat persembahan di Malaysia di Malaysia adalah seperti berikut:

- Pakaian hendaklah lengkap, kemas, sopan dan tidak terlalu ketat;
- Pakaian hendaklah tidak mendedahkan sebahagian besar dada dan perut;
- Skirt hendaklah di bawah paras lutut; dan
- Kain berbelah sama ada di hadapan, di tepi atau di belakang, hendaklah tidak melebihi dua inci di atas paras lutut.

Garis panduan artis:

Selain itu, kod 15.3 pula menyatakan bahawa artis lelaki dan wanita perlu mematuhi garis panduan seperti di bawah:

- Muka hendaklah tidak diconteng;
- Pakaian hendaklah tidak koyak atau bertampal-tampal;
- Pakaian hendaklah tidak terlalu jarang atau yang memberi kesan jarang;
- Pakaian hendaklah tidak memaparkan simbol, perkataan sumbang atau gambar lucah;
- Jenis-jenis pakaian hendaklah tidak membayangkan pemakainya tidak berpakaian;
- Baju hendaklah berlengan kecuali semasa berpakaian tradisional;
- Tatu hendaklah tidak dipamerkan pada mana-mana bahagian tubuh badan kecuali sememangnya menjadi unsur budaya seseorang artis itu; dan
- Perwatakan hendaklah tidak berlawanan dengan jantina sebenar kecuali dengan kebenaran.

Berdasarkan kod etika di atas, sememangnya artis yang bakal dijemput sudah melanggar kod etika tersebut. Bukan setakat kod tersebut, bahkan dari segi adab dan budaya pun sudah bertentangan. Satu perkara lagi, bulan Ramadhan akan menjelma dalam minggu hadapan dan sekarang ini juga kita sedang berada dalam bulan Syaaban di mana bulan buku amalan kita ditukarkan. Di manakah sensitiviti pihak penganjur dalam menghormati bulan yang mulia ini.

Perlu ditegaskan sekali lagi di sini bahawa kami tidak menolak hiburan, bahkan merasakan hiburan ini adalah satu ‘alternatif’ manusia masa kini. Namun yang dipertikaikan disini ialah bentuk hiburan yang melampau dan merosakkan minda dan jiwa rakyat, hiburan yang melalaikan dan membawa anasir-anasir negatif seperti pergaulan bebas, khayalan cinta dan lupa diri kepada bakal pendidik UPSI khususnya dan masyarakat sekeliling amnya. Realiti hari ini, hiburan telah lari dari tujuan untuk merehatkan minda dan santai kepada tujuan perniagaan dan keuntungan. Tapi jika inilah yang dihadapkan pada anak bangsa yang merdeka ini kami sesekali tidak akan bersetuju dan akan menentangnya.

Kami juga mencadangkan agar program pembangunan terhadap mahasiswa/i mestilah diperbanyakkan dengan berlandaskan kepada Islam dan dasar negara bukannya hiburan yang akhirnya akan menghancurkan masa depan remaja dan negara.

Firman Allah,

"Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta".

Sekian desakan dan tuntutan kami

Yang menjalankan amanah
Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Adriyani binti Yamin
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan

Nur Aqilah hanis Bt Mohd Yusoff
Exco Akademik & Kerjaya

Arif bin Mohamad
Exco Akademik & Kerjaya

Akmal bin Madzir
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Norhafizawati bt Mahmad Razali
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah

Mohd Hanif Azwan bin Abd Rahman
Exco kesenian & Kebudayaan

Norhisham bin Che Hamid
Exco Kesenian & Kebudayaan

Pro Kebajikan putuskan tolak konsert

Tanjong Malim, 9 Ogos – Pro Kebajikan UPSI mengeluarkan kenyataan rasmi menolak konsert yang akan diadakan semasa Pesta Konvo minggu ini. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Pro Kebajikan disampaikan ke meja UPSIkini melalui e-mel kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Dalam kenyataan tersebut Pro Kebajikan memutuskan untuk membantah penganjuran konsert tersebut setelah mesyuarat Majlis Tertinggi memutuskannya bersama 8 ahli MPP Pro Kebajikan.

Kenyataan tersebut turut menyebut bahawa bantahan yang dibuat bukan atas sebab anti hiburan tetapi mempertimbangkan kepada aspek intelektual dan sensitiviti masyarakat setempat yang memandang tinggi terhadap UPSI selama ini.

Selain itu, Pro Kebajikan juga menegaskan mahu mendokong harapan Naib Canselor UPSI, Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob yang mahu melihat mahasiswa UPSI lebih diberi pendedahan kepada program yang membina intelektual dan membendung budaya hendonisme di kalangan mahasiswa yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Dalam pada itu, MPP Pro Kebajikan juga dikatakan akan mengeluarkan satu kenyataan bagi mendesak dan menuntut konsert tersebut digantikan dengan program lain.

Konsert yang bakal berlangsung sempena Pesta Konvo tersebut dikatakan bakal menampilkan bekas juara Malaysian Idol, Jaclyn Victor.

August 8, 2009

“Kami akan pastikan konsert gagal” – AMI UPSI

Tanjong Malim, 8 Ogos – Beberapa jam selepas laporan berkenaan kecaman terhadap konsert yang bakal diadakan sempena Pesta Konvo minggu depan, seorang pengirimm e-mel yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil Alumni Mahasiswa Islam UPSI (AMI UPSI) memberi amaran kepada pihak penganjur konsert tersebut supaya membatalkan program tersebut.

Dengan tajuk e-melnya, “kami akan pastikan konsert gagal”, pengirim memberi peringatan AMI UPSI yang dianggotai sekumpulan bakal graduan yang akan bergraduat minggu depan tidak teragak-agak untuk melakukan pelbagai usaha bagi memastikan konsert itu gagal.

Dalam penjelasannya juga, pengirim mengatakan UPSI masih belum sedar dengan kesilapan yang telah dilakukan walaupun berulang kali diberi peringatan malah pernah ditegur dalam khutbah jumaat berikutan isu yang sama.

Sementara itu, pengirim turut menasihatkan agar pihak pengajur tidak menjadikan menarik perhatian pengunjung hadir ke pesta konvo sebagai alasan konsert itu dibuat kerana kehadiran pengunjung bukan 100% terletak pada penganjuran konsert.

Pada akhir tulisannya, pengirim menyeru mahasiswa Islam sebulat suara menolak konsert dan budaya hedonisme bertapak di UPSI dengan membantah penganjuran konsert tersebut.

Cuti H1N1 : Peratusan setuju, tak setuju setara

Peratus undian tindakan UPSI memberi kebenaran pelajar pulang ke kampung masing-masing selepas UPSI diarahkan tutup mencatatkan bilangan yang hampir sama selepas sejumlah 130 pengundi memberikan undian masing-masing.

Keputusan UPSI memberi kebenaran pelajar pulang ke kampung sebelum ini dipertikai banyak pihak kerana beranggapan tindakan tersebut hanya akan memburukkan lagi keadaan - dibimbangi penularan wabak tersebut boleh merebak ke tempat-tempat lain.

Jumlah undi bagi yang bersetuju dengan tindakan tersebut mencatatkan kelebihan 2 undi dengan jumlah undian sebanyak 66 undi (50%) berbanding 64 undi (49%) bagi yang tidak bersetuju.

Rata-rata yang bersetuju dengan tindakan tersebut berpendapat, pelajar-pelajar yang sihat akan turut berisiko untuk dijangkiti jangkitan H1N1 sekiranya mereka tidak keluar dari tempat yang dikuarantin.

Pendapat lain turut mengaitkan perkara tersebut kepada arahan Kementerian Kesihatan yang mahu tindakan itu dibuat atas sebab pencegahan.

Berbeza dengan mereka yang setuju, ada pendapat mengatakan memberi kebenaran pelajar pulang hanya akan meningkatkan risiko virus itu tersebar ke tempat-tempat lain dan ini akan lebih memburukkan keadaan.

Sementara itu, ada juga yang berpandangan, mengkurantinkan semua pelajar di satu-satu tempat adalah lebih baik kerana pengawalan wabak dan pemantauan kesihatan secara berkala dapat dibuat.

Minggu lalu UPSI diarah tutup selepas wabak H1N1 dikesan mula merebak di sini dan akan mula dibuka semula untuk pelajar pada 10 Ogos ini.