Tanjong Malim, 20 Sept. – Walaupun telah ditamatkan kontrak sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 31 Ogos lalu, namun semangat untuk terus menabur bakti sebagai pendidik tidak pernah hilang bagi Prof Datuk Dr. Aminah Ayub.
Beliau yang memegang jawatan sebagai Naib Canselor UPSI selama kira-kira 5 tahun sebelum ini dilaporkan akan terus berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia.
UPSI walau bagaimanapun dikatakan sedia menerima Aminah sebagai tenaga pengajar biasa meskipun beliau pernah berada di kerusi nombor satu dalam organisasi Pegawai Eksekutif UPSI.
Tempat beliau kini disandang oleh Prof. Dr. Zakaria Kasa yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPSI.
Tanjong Malim 20 Sept. – Rentetan isu graduan pendidikan yang masih menunggu penempatan untuk bertugas sebagai guru, sekumpulan mereka menubuhkan ‘fanpage’ Keluhan Hati Graduan Pendidikan di laman sosial facebook sebagai medium berkongsi maklumat berkaitan isu tersebut.
Pemilik akaun facebook tersebut yang menamakan kumpulannya sebagai Gabungan Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan mula beroperasi pada 13 September 2011.
Sehingga kini seramai 1229 pengikut telah menyertai laman ini.
Tanjong Malim, 20 Sept. – Rasa tidak puas hati di kalangan mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terhadap pendekatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A), Datuk Paduka Dr. Junaidi Abu Bakar yang menangguhkan program-program kerohanian semakin jelas apabila sebilangan penuntut di sini mula mengeluarkan komen-komen bantahan yang ditulis di dalam laman sosial facebook UPSIkini.
Rata-rata komen yang ditulis membantah pendekatan Junaidi yang dilihat menolak program-program berbentuk kerohanian dan ilmiah tetapi begitu terbuka terhadap program hiburan.
Antara yang menjadi perhatian adalah penagguhan program Rakan Penggerak Ad-Din dan Pengajian Pondok yang semakin mendapat tempat di kalangan mahasiswa di sini namun diarahkan oleh Junaidi supaya program tersebut ditangguhkan daripada dilaksanakan.
Dalam satu kenyataan, pihak HEP&A menjelaskan penangguhan program-program tersebut adalah bagi memberi laluan kepada perancangan satu program kerohanian yang lebih besar. Namun sehingga kini, pengumuman berkenaan program tersebut masih belum dibuat.
Menurut sumber yang dihubungi UPSIkini, penjelasan pihak HEP&A yang mengatakan program-program tersebut ditangguh hanyalah bagi meredakan keadaan dan hakikatnya program-program tersebut cuba diharamkan daripada terus berjalan.
“Kami tidak faham mengapa program yang baik seperti ini tidak disenangi beliau (Junaidi) dan kami percaya alasan penangguhan hanyalah jawapan politik Junaidi yang lebih gemar berkaraoke berbanding menggiatkan program ilmiah”, kata sumber.
Tanjong Malim, 20 Sept. – Meskipun sudah bergelar guru dan bertugas di Kuching Sarawak, mantan Pengerusi Rakan Penggerak Ad-Din (RPA), saudara Akmal Madzir memohon kepada pihak Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) supaya program tersebut ditarik balik penangguhannya dan diteruskan dalam usaha memupuk budaya ilmu di kalangan mahasiswa.
Melalui surat terbukanya kepada Timbalan Naib Canselor (HEP&A), beliau menegaskan program tersebut adalah menepati kehendak Falsafah Pendidikan Negara dan berupaya melahirkan graduan yang mantap dari aspek kerohanian.
Berikut merupakan teks penuh surat terbuka beliau yang dikirimkan kepada UPSIkini.
Surat Terbuka kepada TNC HEP UPSI:
Mohon program Rakan Penggerak Ad-Din diteruskan
Berhubung dengan perkara di atas, saya sebagai mantan Pengerusi Rakan Penggerak Ad-Din (RPA) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merasa terpanggil untuk memberikan sokongan dari pihak saya dan rakan-rakan seangkatan terhadap program RPA supaya ianya diteruskan bagi semester ini dan semester-semester akan datang tanpa penangguhan dari pihak universiti. Saya merasa cukup terkilan dan kecewa apabila mendengar berita bahawa program yang bermanfaat bagi mahasiswa seperti ini ditangguhkan.
Saya berpendapat bahawa progam ini wajar diteruskan dan sepatutnya disokong oleh pihak universiti kerana ianya memberikan manfaat yang besar kepada mahasiswa mahasiswi khususnya kepada bakal-bakal guru. Dengan cabaran dunia masa kini, program seperti ini dapat mengisi aspek rohani yang disebut di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Secara jujurnya, program ini memberikan begitu banyak kebaikan dan tidak sedikit pun memberikan keburukan kepada mahasiswa. Saya juga merasakan bahawa pihak universiti khususnya di bawah kepimpinan tuan sememangnya menginginkan generasi pendidik yang bitara dan lengkap dari seluruh aspek kehidupan.
Di sini, saya ingin menyangkal bahawa program ini ditangguhkan kerana adanya perancangan dari pihak tuan untuk mengadakan program kerohanian yang lebih besar. Bagi pendapat saya, apalah salahnya jika program ini masih diteruskan dan pihak tuan melakukan penambahbaikkan dengan memperbanyakkan lagi program-program berbentuk kerohanian. Saya sememangnya menyokong usaha pihak tuan untuk mengadakan program kerohanian yang lebih besar seperti dirancangkan, namun tidak seharusnya pihak tuan menangguhkan program RPA ini.
Akhir kata, saya sekali lagi memohon pihak tuan untuk mengeluarkan arahan untuk meneruskan program yang sangat bermanfaat ini dan menarik balik surat arahan penangguhan program RPA ini dari pihak tuan. Jasa baik pihak tuan amat saya hargai dan saya doakan pihak tuan diberikan taufiq dan hidayah dari Allah untuk memimpin universiti ke arah yang lebih baik.
Tanjong Malim, 20 Sept. – Tinjauan UPSIkini dalam isu penempatan graduan pendidikan di universiti ini dan beberapa universiti lain mendapati 85 % daripada mereka yang disoal selidik tidak menolak akan membuat keputusan mengundi Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum akan datang sekiranya masalah penempatan mereka masih tergantung.
Isu penempatan yang masih menjadi tanda tanya di kalangan graduan pendidikan seluruh IPTA dikatakan menjadi punca utama kepada kecenderungan mereka memilih PR apabila melihat pihak kementerian yang bertanggungjawab tidak dapat menyelesaikan isu ini meskipun sudah beberapa kali keluhan mereka disiarkan di akhbar tempatan.
Menurut salah seorang graduan yang dihubungi, keputusan pihak kementerian dalam memberi tawaran kepada 13000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) merupakan salah satu punca mengapa graduan pendidikan yang melanjutkan pengajian selama 4 tahun dalam bidang ini dipinggirkan daripada diserap ke jawatan tersebut.
“Pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran seharusnya membuka ruang dan peluang juga kepada kami sebagai graduan dalam bidang pendidikan dan bukannya mengambil GSTT secara pukal tanpa memikirkan implikasi terhadap graduan seperti kami”.
Tambahnya lagi, “ Laungan pihak kerajaan untuk membuat transformasi dan memberi ruang kepada anak muda menabur bakti kepada negara nampaknya seakan-akan omongan kosong apabila luahan kami yang hampir kesemuanya anak muda tidak diendah oleh pihak kerajaan dan sebagai pengundi yang berdaftar kami mungkin bersuara melalui undi dalam pilihanraya akan datang”.
Untuk rekod, UPSI merupakan universiti yang mengeluarkan graduan pendidikan paling ramai sejak ditubuhkan.
Tanjong Malim, 19 Sept. – Kenaikan pangkat luar biasa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEP&A) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Paduka Dr. Junaidi bin Abu Bakar mendapat perhatian ramai pihak apabila beliau dilaporkan memperoleh kenaikan pangkat luar biasa – daripada gred DS 52 ke JUSA B.
Dalam pada itu, sumber yang menyampaikan maklumat tersebut kepada UPSIkini mendedahkan kenaikan pangkat luar biasa tersebut merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku kepada mana-mana kakitangan akademiksebelum ini.
Sumber turut mendakwa terdapat campur tangan politik dalam memberi ‘anugerah’ tersebut kepada beliau.
Kenaikan pangkat luar biasa Junaidi mula menjadi bualan ramai di kalangan warga UPSI setelah beberapa pihak menyedari keakrabannya dengan beberapa orang menteri.
Beliau yang menggantikan Prof. Dr Shaharudin Abd Aziz sebelum ini merupakan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia.
Kehilangan Pro Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Almarhum Tan Sri Dr Abdul Shukor Abdullah pada pagi 31 Ogos (semalam) amat dirasai oleh seluruh warga kampus.
Almarhum merupakan Pro Canselor Upsi dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan telah banyak berjasa khususnya dalam memajukan pendidikan ke suatu tahap yang lebih baik.
Menurut reaksi beberapa graduan disini, pesan almarhum semasa sesi konvokesyen yang lalu amat jelas memberi mesej bahawa peranan guru-guru dalam mendidik amat penting dalam membentuk generasi Malaysia yang berkualiti.
Sewaktu memberi reaksi kepada 'National Education Blue Print' lima tahun dahulu, beliau pernah menyatakan bahawa dalam melaksanakan transformasi visi pendidikan, peranan guru dalam bilik darjah amat penting.
Katanya ' guru-guru berperanan penting kerana mereka adalah kelompok yang akan melaksanakan transformasi visi (pendidikan) menjadi realiti'. Takziah dan al-fatihah buat almarhum.
Sebelum saya melakar secebis nukilan merdeka ini, saya mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris khususnya dan seluruh rakyat Malaysia 'amnya.
Upsi dulunya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah banyak memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara. Guru-guru negarawan lepasan institusi ini telah banyak mengisi ruang kemerdekaan negara dengan mendidik anak bangsa sehingga kita mencapai apa yang kita ada pada hari ini.
Benar, peranan para pendidik dalam mengisi ruang kemerdekaan amat besar. Kita lihat tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain sentiasa menyemat semangat merdeka dalam jiwa mereka.
Misalnya, Dr. Burhanuddin al-Helmy sebelum terjun ke medan perjuangan kemerdekaan, pernah menjadi guru di Singapura serta banyak memberi sumbangan. Ini pesan Dr Burhanuddin kepada guru-guru untuk mengisi merdeka;
"Golongan guru-guru sekolah Melayu yang rajin membaca, yang sedar dirinya terhadap kanak-kanak yang diajarnya sekarang akan jadi pemuda esok hari-pemuda harapan bangsa, bukan guru-guru menunggu gaji dari sebulan ke sebulan.
Guru-guru insaf itu suka memperhatikan surat-surat khabar dalam dan luar negeri terutamanya buku buku pergerakan saudara sebakanya yang sedang membina bangsa dan negara baharu telah dapat pemandangan dan melambai jiwa mereka untuk bertindak dan mempersiapkan langkah terhadap kebangsaan."
Begitu juga Pendeta Za'ba, pernah menjadi pendidik, seorang pejuang Bahasa Melayu, beliau yang pernah mengajar di Tanjong Malim, SITC berusaha untuk memasukkan aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks persekolahan dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu demi kemajuan anak bangsa.
Walau pun tidak sempat menikmati era kemerdekaan, Pendeta Za'ba merupakan tokoh merdeka yang banyak memberi sumbangan kepada negara dalam memberi kesedaran melalui pendidikan.
Itulah sekilas nukilan saya tentang merdeka. Kita mengharapkan kemerdekaan negara dapat kita isi dengan benar-benar memerdekakan fizikal, pemikiran-aqal dan emosi kita dari penjajahan budaya asing kebaratan sepertimana tokoh-tokoh diatas memberi sumbangan kepada negara.
Selamat Hari Kemerdekaan!
*Penulis merupakan Exco Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak.
Kami, ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Mahasiswa Pendidik dan Legasi Mahasiswa Progresif ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat samua warga UPSI dan seluruh Muslimin Muslimat yang dihormati. Kami mendoakan agar kita semua diberikan nikmat kebahagiaan dalam menyambut hari lebaran ini.
Semoga kita sentiasa berbahagia dan mendapat rahmat Tuhan serta dipermudahkan segala urusan dalam mengharungi kehidupan.
Selamat Hari Raya 'Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin."
Seluruh warga kerja Upsikini mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh warga Upsi dan semua pembaca budiman. Semoga syawal kali ini dapat memberi makna kepada kehidupan seluruh umat Islam yang menyambutnya dengan penuh ketaqwaan.
Semoga segala amalan kami dan amalan kita semua diterima oleh-Nya. Warga kerja Upsikini memohon kemaafaan zahir dan batin diatas segala kekurangan dalam menyampaikan maklumat disepanjang tahun ini.
Tanjong Malim, 25 Ogos - Pelajar semester 8 yang bakal kembali ke kampus awal September nanti dikatakan merungut berikutan harga rumah sewa tidak berpatutan dan lebih mahal berbanding harga bayaran kolej kediaman Upsi.
Dalam satu surat yang dihantar kepada Upsikini, pelajar tersebut mendakwa sewa rumah disekitar Tanjong Malim agak mahal jika diduduki oleh seorang dua pelajar dan kami tak mampu bayar. PTPTN pun hanya beberapa ringgit saja lebihan.
Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan berhubung keselamatan dan pengangkutan kerana pelajar wanita lebih mudah terdedah kepada bahaya.
Dalam hal berkaitan, beliau turut meminta pihak yang terbabit memberi cadangan dan menyediakan senarai rujukan berhubung rumah sewa yang berpatutan dan selamat diduduki disekitar kampus.
Tanjong Malim, 25 Ogos - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris , Prof Datuk Dr. Aminah Ayub tampil untuk menjawab surat graduan kecewa yang dihantar di forum Utusan Malaysia 10 0gos lalu dengan menyatakan bahawa graduan Upsi berdaya saing.
Surat jawapan beliau telah dihantar di forum Utusan Malaysia dibawah tajuk "Graduan Upsi berdaya saing' (klik) bagi menjawab surat graduan kecewa yang mendakwa Upsi tidak lagi menawarkan jawatan guru.
Katanya "Segulung ijazah yang diterima Graduan Kecewa membuktikan beliau kini layak dilantik sebagai guru kerana kesemua program Pendidikan Guru yang ditawarkan oleh UPSI adalah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi, juga oleh beberapa negara luar yang turut menghantar pelajar mereka belajar di UPSI. "
"Pengambilan pelajar ke program pendidikan guru di IPTA adalah berlandaskan unjuran yang dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada setiap tahun. Kepada UPSI, biasanya diunjurkan sekitar 50 peratus hingga 60 peratus pelajar iaitu dalam lingkungan 2,300 pelajar baharu setiap kali pengambilan."
Tambah beliau lagi "UPSI tidak pernah melanggar permuafakatan baik dengan KPM yang telah wujud sekian lama. Tuduhan menyatakan UPSI tidak berunding dengan KPM dalam pengambilan bakal guru tidak benar."
Selain itu, katanya "Setiap tahun lebih kurang 95 peratus graduan program pendidikan guru UPSI sama ada pemegang biasiswa KPM atau pinjaman PTPTN, bergantung kepada pelbagai faktor, misalnya kekosongan yang ada dan graduan lulus ujian INSAK serta temu duga dan mendapat PNGK sekurang-kurangnya 2.75."
Tanjong Malim, 22 Ogos- Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Afiq Fikri mengingatkan bahawa tugas guru adalah mengembangkan potensi pelajar, bukan berpolitik.
Pandangan beliau itu telah dinyatakan menerusi laman sosial Facebook dan mendapat respon 'hangat' ramai mahasiswa yang mempunyai pandangan pro dan kontra.
Selain itu, katanya " dah bijak, dah pandai, dah berintegriti , ermmm senang cerita Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial dah benar-benar ditahap yang baik dia berhak untuk memimpin negara, bercakap dan sebaginya, jika mereka tidak berada ditahap yang saya sebutkan mereka hanya akan menjadi kuda tunggangan dan diperalatkan serta diperbodohkan.."
"Guru: ajarlah mereka dahulu sebelum ingin membawa mereka ke tahap yang lebih mencabar"
Dalam pada itu, beberapa orang mahasiswa, turut memberi respon antaranya Nadiah "tidak salah mengembangkan ilmu politk kepada pelajar, tapi bukan menentukan kepada pelajar politik mana yang perlu dipilih"
Menurut Mohd Muaz pula "jika pelajar yang diajar memang ada potensi untuk jadi pemimpin politik di masa hadapan sejak dari bangku sekolah lagi, adakah guru akan membantutkan potensi yang ada pada diri pelajar tersebut?"
Dalam hal berkaitan, isu guru berpolitik telah lama timbul dan ianya dikatakan masih belum diwacanakan secara serius dan ilmiah oleh mana-mana persatuan mahasiswa mahu pun MPP di Universiti yang bakal melahirkan pendidik ini.
Tanjong Malim, 18 Ogos - Seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Adam Adli yang juga merupakan Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) menyertai satu Dialog Bersama Menteri yang bertajuk Peranan Mahasiswa Dalam Memperbaiki Sistem Demokrasi Malaysia.
Dialog tersebut menampilkan Adam Adli sebagai moderator dan 3 ahli panel termasuk Dato' Ahmad Maslan, Tim. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Syazwan Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) dan Muhammad Firwan Pres. MPPUIA.
Perbincangan tersebut dikatakan akan merungkai peranan mahasiswa dalam memurnikan sistem demokrasi yang diamalkan dinegara ini yang dilihat telah lari dari prinsip-prinsip dan norma-norma demokrasi-murni yang membawa kesejahteraan.
Tanjong Malim, 18 Ogos - Gambar Konvokesyen ke-13 yang diadakan pada hujung Julai baru-baru ini dikatakan tidak mempunyai kualiti dan mendapat rungutan graduan.
Sejak beberapa hari lalu Upsikini menerima beberapa aduan berhubung kualiti gambar yang diterima, tidak setimpal dengan bayaran, antaranya menurut Eman Rashid katanya "sila dapatkan jurugambar konvokesyen yang lebih berkemahiran. pentingkan kualiti bukan pentingkan kronism"
Menurut Ahmad Wafi " gambar yang kami terima tak di 'shot' dengan baik oleh jurugambar hinggakan wajah kami nampak tak kemas, tolonglah upah yang profesional dan kemas sikit".
Dalam pada itu, ada yang meminta agar pihak yang terbabit mendapatkan khidmat jurugambar yang berkualiti semasa konvokesyen agar semua pihak berpuas hati.
Tanjong Malim, 18 Ogos- Tiga mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini telah tampil membuat satu laporan polis terhadap peniaga gerai makanan yang didakwa menjual makanan seawal 8 pagi.
Laporan tersebut dibuat 3 mahasiswa Upsi yang juga merupakan pelajar 'short sem' Pendidikan Islam setelah melihat gerai makanan tersebut dibuka seawal jam 8 pagi kepada orang ramai bersebelahan dengan lebuh raya menghala ke Proton City.
Menurut Muhamad Amirul, Mohd Firdaus dan Ahmad Mustafa, "Setiap kali kami keluar mahu ke kuliah di kampus, kami perasan aktiviti menjual makanan kepada masyarakat sekitar rancak berjalan dan yang menyedihkan orang Islam turut membeli makanan tersebut."
Kata mereka, setelah laporan polis dibuat "pihak polis terus menghubungi pegawai Jabatan Agama Islam Perak untuk tindakan selanjutnya. Pegawai Jabatan Agama Islam Perak yang berkenaan menyatakan bahawa peniaga di gerai itu telah diberi amaran agar tidak menjalankan perniagaannya di siang hari (seawal pagi) Ramadhan. "
Tambahnya lagi "menurut pegawai Jabatan Agama Islam Perak, gerai terbabit telah melakukan operasi sebegini sejak Ramadhan tahun lepas lagi, namun tiada tindakan boleh dikenakan kerana mereka hanya menjual, tidak makan atau minum di gerai"
"Peniaga berkenaan mengetahui bahawa tiada enakmen boleh dikaitkan dengan operasi mereka, maka mereka berani untuk terus beroperasi" ujar mereka.
Dalam hal berkaitan, laporan tersebut dibuat kerana dicurigai gerai itu menjual makanan kepada orang Islam yang melanggar kewajiban berpuasa.
Tanjong Malim, 14 Ogos -Bahagian Maklum Balas Agensi Kerajaan (klik) Jumaat lalu telah menjawab surat Graduan Kecewa berhubung isu lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikatakan tidak lagi dijamin penempatan guru.
Agensi tersebut memberi maklum balas bahawa "Setiap tahun lebih kurang 95% graduat program pendidikan guru UPSI, sama ada pemegang biasiswa KPM atau pinjaman PTPTN, berjaya menjadi guru di bawah KPM, cuma lambat atau cepat penempatan dibuat oleh KPM, bergantung kepada pelbagai faktor, misalnya kekosongan yang ada dan garaduan lulus ujian INSAK serta temu duga,dan mendapat PNGK sekurangnya 2.75."
Selain itu, maklum balas itu juga menyatakan "Pengambilan pelajar ke program pendidikan guru di IPTA adalah berlandaskan ujuran yang dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) pada setiapa tahun. Kepada UPSI biasanya diunjurkan sekitar 50% hingga 60% pelajar, iaitu dalam lingkungan 2,300 orang pelajar baharu setiap kali pengambilan. "
Tanjong Malim, 10 Julai - Tan Sri Nordin Kardi (gambar) yang juga merupakan Penyandang Kerusi Za'aba Universiti Pendidikan Sultan Idris yang baru dilantik baru-baru ini, telah memulakan tugas beliau dengan menganjurkan satu dialog bertajuk Ekonomi Melayu.
Dialog yang akan membincangkan survival Ekonomi Melayu tersebut akan disampaikan oleh jemputan khas Dato' Awang Adek , Timbalan Menteri Kewangan sebagai panel utama.
Tarikh : 24hb Ogos (Rabu)
Waktu : 3ptg - 8 mlm (Berbuka puasa)
Lokasi : Dewan Konvensyen E-Learning UPSI, Tanjung Malim.
Jemputan : Dato' Awang Adek (Timbalan Menteri Kewangan)
Dalam hal berkaitan, forum ini merupakan anjuran bersama ALMA Keris, Kowaris, Yayasan Albitan dan Tan Sri Nordin Kardi yang juga merupakan mantan Naib Canselor UUM.
Tanjong Malim, 10 Julai - Seorang graduan lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang baru berkonvokesyen hujung Julai baru-baru ini menyatakan rasa kekecewaan berhubung status graduan Upsi yang dikatakan tidak lagi dijanjikan jawatan sebagai guru.
Luahan itu dinyatakan individu tersebut dalam satu ruangan forum akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk 'Malang Nasib Graduan Upsi' (klik). Katanya "UPSI tidak lagi menjanjikan sebarang jawatan guru untuk graduannya seperti dulu. Anda adalah bakal graduan untuk pasaran terbuka."
Selain itu, katanya lagi "Sepanjang istiadat berlangsung, kesemua ucapan yang diberikan oleh pihak pengurusan UPSI membayangkan seolah-olah kesemua kami akan keluar dan menjadi guru seperti kebiasaannya."
"Hakikatnya, hanya pelajar-pelajar di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sahaja yang akan ditawarkan jawatan guru. Kami yang selebihnya dikategorikan sebagai graduan UPSI Pasaran Terbuka."
Tambahnya lagi,"UPSI gagal membuat sebarang perjanjian muktamad dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menjamin tempat kesemua graduannya sebagai bakal guru"
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mahasiswa Upsi katanya"kepada semua pelajar UPSI amnya dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI khususnya, harap bangun daripada mimpi anda."
Dalam hal berkaitan, surat yang disiarkan dalam forum akhbar Utusan Malaysia tersebut tidak mempunyai nama sebenar penulis sebaliknya menggunakan nama samaran 'Graduan Kecewa'.
"Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar.." - Prof Ungku A. Aziz.
Bacaan bulan ini
Mahasiswa Menggugat karangan Prof. Dr. Muhammad Abu Bakar
Kalau Saya Mahasiswa (klik gambar)
Karangan Datuk Saifuddin Abdullah, Tim. Menteri Pengajian Tinggi
Baca
Keadaan intelektual dan juga academia di Negara ini, yang disifatkannya tertawan oleh penguasaan politik
Teruskan membaca
Ayuh sertai!!
TAMPAL DI BLOG ANDA TANDA SOKONGAN
Waktu sekarang
Pemberitahuan
Semua tulisan dan berita yang dimuatkan di dalam blog ini adalah laporan dan tulisan beberapa wartawan upsikini.blogspot.com Semua tulisan merupakan pandangan, kritikan dan berita-berita yang diperoleh daripada beberapa sumber. Tidak ada sebarang kepentingan peribadi dalam mewujudkan blog ini. Sebarang maklumat yang ingin disampaikan anda boleh emelkan ke upsikini@gmail.com. Terima kasih.
SEBARANG PENGAMBILAN MANA-MANA BERITA/ARTIKEL DARIPADA RUANGAN BLOG INI PERLULAH MENDAPAT IZIN DARIPADA UPSIKINI ATAU MEMBERI KREDIT BAHAWA BERITA/ARTIKEL YANG ANDA AMBIL ADALAH DARIPADA BLOG INI. TERIMA KASIH