August 31, 2011

Guru merdeka, Burhanuddin al-Helmy dan Pendeta Za'ba

Mohd Zahar Mohamed Nor
31 Ogos 2011

Sebelum saya melakar secebis nukilan merdeka ini, saya mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan kepada seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris khususnya dan seluruh rakyat Malaysia 'amnya.

Upsi dulunya dikenali sebagai Sultan Idris Training College (SITC) telah banyak memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara. Guru-guru negarawan lepasan institusi ini telah banyak mengisi ruang kemerdekaan negara dengan mendidik anak bangsa sehingga kita mencapai apa yang kita ada pada hari ini.

Benar, peranan para pendidik dalam mengisi ruang kemerdekaan amat besar. Kita lihat tokoh-tokoh yang memberi sumbangan kepada kemerdekaan negara seperti Tunku Abdul Rahman, Dr. Burhanuddin al-Helmy dan lain-lain sentiasa menyemat semangat merdeka dalam jiwa mereka.

Misalnya, Dr. Burhanuddin al-Helmy sebelum terjun ke medan perjuangan kemerdekaan, pernah menjadi guru di Singapura serta banyak memberi sumbangan. Ini pesan Dr Burhanuddin kepada guru-guru untuk mengisi merdeka;

"Golongan guru-guru sekolah Melayu yang rajin membaca, yang sedar dirinya terhadap kanak-kanak yang diajarnya sekarang akan jadi pemuda esok hari-pemuda harapan bangsa, bukan guru-guru menunggu gaji dari sebulan ke sebulan.

Guru-guru insaf itu suka memperhatikan surat-surat khabar dalam dan luar negeri terutamanya buku buku pergerakan saudara sebakanya yang sedang membina bangsa dan negara baharu telah dapat pemandangan dan melambai jiwa mereka untuk bertindak dan mempersiapkan langkah terhadap kebangsaan."

Begitu juga Pendeta Za'ba, pernah menjadi pendidik, seorang pejuang Bahasa Melayu, beliau yang pernah mengajar di Tanjong Malim, SITC berusaha untuk memasukkan aturan tatabahasa Arab dan Bahasa Inggeris dalam buku-buku teks persekolahan dan bahan-bahan bacaan umum dalam Bahasa Melayu demi kemajuan anak bangsa.

Walau pun tidak sempat menikmati era kemerdekaan, Pendeta Za'ba merupakan tokoh merdeka yang banyak memberi sumbangan kepada negara dalam memberi kesedaran melalui pendidikan.

Itulah sekilas nukilan saya tentang merdeka. Kita mengharapkan kemerdekaan negara dapat kita isi dengan benar-benar memerdekakan fizikal, pemikiran-aqal dan emosi kita dari penjajahan budaya asing kebaratan sepertimana tokoh-tokoh diatas memberi sumbangan kepada negara.

Selamat Hari Kemerdekaan!

*Penulis merupakan Exco Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim Perak.

Upsikini ucap Selamat Hari Kemerdekaan

Seluruh warga kerja Upsikini mengucapkan Selamat Hari Kemerdekaan khususnya kepada seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Semoga nilai kemerdekaan yang diperolehi dapat dipenuhi dengan memberi sumbangan sebaik mungkin kepada negara kita yang tercinta.


Teruskan Bersama Upsikini

August 30, 2011

MPP Mahasiswa Pendidik, LMP ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

"Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Kami, ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Mahasiswa Pendidik dan Legasi Mahasiswa Progresif ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat samua warga UPSI dan seluruh Muslimin Muslimat yang dihormati. Kami mendoakan agar kita semua diberikan nikmat kebahagiaan dalam menyambut hari lebaran ini.

Semoga kita sentiasa berbahagia dan mendapat rahmat Tuhan serta dipermudahkan segala urusan dalam mengharungi kehidupan.

Selamat Hari Raya 'Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin."

Upsikini ucap Selamat Menyambut Aidilfitri

Seluruh warga kerja Upsikini mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri kepada seluruh warga Upsi dan semua pembaca budiman. Semoga syawal kali ini dapat memberi makna kepada kehidupan seluruh umat Islam yang menyambutnya dengan penuh ketaqwaan.

Semoga segala amalan kami dan amalan kita semua diterima oleh-Nya. Warga kerja Upsikini memohon kemaafaan zahir dan batin diatas segala kekurangan dalam menyampaikan maklumat disepanjang tahun ini.

Teruskan Bersama Upsikini

August 25, 2011

Sem 8: Pelajar dakwa rumah sewa mahal

Tanjong Malim, 25 Ogos - Pelajar semester 8 yang bakal kembali ke kampus awal September nanti dikatakan merungut berikutan harga rumah sewa tidak berpatutan dan lebih mahal berbanding harga bayaran kolej kediaman Upsi.

Dalam satu surat yang dihantar kepada Upsikini, pelajar tersebut mendakwa sewa rumah disekitar Tanjong Malim agak mahal jika diduduki oleh seorang dua pelajar dan kami tak mampu bayar. PTPTN pun hanya beberapa ringgit saja lebihan.

Selain itu, beliau turut menyatakan kebimbangan berhubung keselamatan dan pengangkutan kerana pelajar wanita lebih mudah terdedah kepada bahaya.

Dalam hal berkaitan, beliau turut meminta pihak yang terbabit memberi cadangan dan menyediakan senarai rujukan berhubung rumah sewa yang berpatutan dan selamat diduduki disekitar kampus.

NC jawab surat graduan kecewa: 'Graduan UPSI berdaya saing'


Tanjong Malim, 25 Ogos - Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris , Prof Datuk Dr. Aminah Ayub tampil untuk menjawab surat graduan kecewa yang dihantar di forum Utusan Malaysia 10 0gos lalu dengan menyatakan bahawa graduan Upsi berdaya saing.

Surat jawapan beliau telah dihantar di forum Utusan Malaysia dibawah tajuk "Graduan Upsi berdaya saing' (klik) bagi menjawab surat graduan kecewa yang mendakwa Upsi tidak lagi menawarkan jawatan guru.

Katanya "Segulung ijazah yang diterima Graduan Kecewa membuktikan beliau kini layak dilantik sebagai guru kerana kesemua program Pendidikan Guru yang ditawarkan oleh UPSI adalah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi, juga oleh beberapa negara luar yang turut menghantar pelajar mereka belajar di UPSI. "

"Pengambilan pelajar ke program pendidikan guru di IPTA adalah berlandaskan unjuran yang dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada setiap tahun. Kepada UPSI, biasanya diunjurkan sekitar 50 peratus hingga 60 peratus pelajar iaitu dalam lingkungan 2,300 pelajar baharu setiap kali pengambilan."

Tambah beliau lagi "UPSI tidak pernah melanggar permuafakatan baik dengan KPM yang telah wujud sekian lama. Tuduhan menyatakan UPSI tidak berunding dengan KPM dalam pengambilan bakal guru tidak benar."


Selain itu, katanya "Setiap tahun lebih kurang 95 peratus graduan program pendidikan guru UPSI sama ada pemegang biasiswa KPM atau pinjaman PTPTN, bergantung kepada pelbagai faktor, misalnya kekosongan yang ada dan graduan lulus ujian INSAK serta temu duga dan mendapat PNGK sekurang-kurangnya 2.75."

August 22, 2011

YDPMPP: 'Tugas guru mengembangkan potensi pelajar, bukan berpolitik'

Tanjong Malim, 22 Ogos- Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris, Muhammad Afiq Fikri mengingatkan bahawa tugas guru adalah mengembangkan potensi pelajar, bukan berpolitik.

Pandangan beliau itu telah dinyatakan menerusi laman sosial Facebook dan mendapat respon 'hangat' ramai mahasiswa yang mempunyai pandangan pro dan kontra.


Selain itu, katanya " dah bijak, dah pandai, dah berintegriti , ermmm senang cerita Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial dah benar-benar ditahap yang baik dia berhak untuk memimpin negara, bercakap dan sebaginya, jika mereka tidak berada ditahap yang saya sebutkan mereka hanya akan menjadi kuda tunggangan dan diperalatkan serta diperbodohkan.."

"Guru: ajarlah mereka dahulu sebelum ingin memb
awa mereka ke tahap yang lebih mencabar"


Dalam pada itu, beberapa orang mahasiswa, turut memberi respon antaranya Nadiah "tidak salah mengembangkan ilmu politk kepada pelajar, tapi bukan menentukan kepada pelajar politik mana yang perlu dipilih"

Menurut Mohd Muaz pula "jika pelajar yang diajar memang ada potensi untuk jadi pemimpin politik di masa hadapan sejak dari bangku sekolah lagi, adakah guru akan membantutkan potensi yang ada pada diri pelajar tersebut?"

Dalam hal berkaitan, isu guru berpolitik telah lama timbul dan ianya dikatakan masih belum diwacanakan secara serius dan ilmiah oleh mana-mana persatuan mahasiswa mahu pun MPP di Universiti yang bakal melahirkan pendidik ini.


August 18, 2011

Mahasiswa Upsi sertai dialog demokrasi bersama menteri

Tanjong Malim, 18 Ogos - Seorang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, Adam Adli yang juga merupakan Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) menyertai satu Dialog Bersama Menteri yang bertajuk Peranan Mahasiswa Dalam Memperbaiki Sistem Demokrasi Malaysia.

Dialog tersebut menampilkan Adam Adli sebagai moderator dan 3 ahli panel termasuk Dato' Ahmad Maslan, Tim. Menteri Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Syazwan Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia) dan Muhammad Firwan Pres. MPPUIA.

Perbincangan tersebut dikatakan akan merungkai peranan mahasiswa dalam memurnikan sistem demokrasi yang diamalkan dinegara ini yang dilihat telah lari dari prinsip-prinsip dan norma-norma demokrasi-murni yang membawa kesejahteraan.



Gambar konvo tak berkualiti, graduan merungut

Tanjong Malim, 18 Ogos - Gambar Konvokesyen ke-13 yang diadakan pada hujung Julai baru-baru ini dikatakan tidak mempunyai kualiti dan mendapat rungutan graduan.

Sejak beberapa hari lalu Upsikini menerima beberapa aduan berhubung kualiti gambar yang diterima, tidak setimpal dengan bayaran, antaranya menurut Eman Rashid katanya "sila dapatkan jurugambar konvokesyen yang lebih berkemahiran. pentingkan kualiti bukan pentingkan kronism"

Menurut Ahmad Wafi " gambar yang kami terima tak di 'shot' dengan baik oleh jurugambar hinggakan wajah kami nampak tak kemas, tolonglah upah yang profesional dan kemas sikit".

Dalam pada itu, ada yang meminta agar pihak yang terbabit mendapatkan khidmat jurugambar yang berkualiti semasa konvokesyen agar semua pihak berpuas hati.

Peniaga tak hormat Ramadan, mahasiswa Upsi buat laporan polis

Tanjong Malim, 18 Ogos- Tiga mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini telah tampil membuat satu laporan polis terhadap peniaga gerai makanan yang didakwa menjual makanan seawal 8 pagi.

Laporan tersebut dibuat 3 mahasiswa Upsi yang juga merupakan pelajar 'short sem' Pendidikan Islam setelah melihat gerai makanan tersebut dibuka seawal jam 8 pagi kepada orang ramai bersebelahan dengan lebuh raya menghala ke Proton City.

Menurut Muhamad Amirul, Mohd Firdaus dan Ahmad Mustafa, "Setiap kali kami keluar mahu ke kuliah di kampus, kami perasan aktiviti menjual makanan kepada masyarakat sekitar rancak berjalan dan yang menyedihkan orang Islam turut membeli makanan tersebut."

Kata mereka, setelah laporan polis dibuat "pihak polis terus menghubungi pegawai Jabatan Agama Islam Perak untuk tindakan selanjutnya. Pegawai Jabatan Agama Islam Perak yang berkenaan menyatakan bahawa peniaga di gerai itu telah diberi amaran agar tidak menjalankan perniagaannya di siang hari (seawal pagi) Ramadhan. "

Tambahnya lagi "menurut pegawai Jabatan Agama Islam Perak, gerai terbabit telah melakukan operasi sebegini sejak Ramadhan tahun lepas lagi, namun tiada tindakan boleh dikenakan kerana mereka hanya menjual, tidak makan atau minum di gerai"

"Peniaga berkenaan mengetahui bahawa tiada enakmen boleh dikaitkan dengan operasi mereka, maka mereka berani untuk terus beroperasi" ujar mereka.

Dalam hal berkaitan, laporan tersebut dibuat kerana dicurigai gerai itu menjual makanan kepada orang Islam yang melanggar kewajiban berpuasa.

August 14, 2011

Maklum balas agensi k'jaan: 95% graduat UPSI, KPM atau PTPTN berjaya jadi guru

Tanjong Malim, 14 Ogos -Bahagian Maklum Balas Agensi Kerajaan (klik) Jumaat lalu telah menjawab surat Graduan Kecewa berhubung isu lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikatakan tidak lagi dijamin penempatan guru.

Agensi tersebut memberi maklum balas bahawa "Setiap tahun lebih kurang 95% graduat program pendidikan guru UPSI, sama ada pemegang biasiswa KPM atau pinjaman PTPTN, berjaya menjadi guru di bawah KPM, cuma lambat atau cepat penempatan dibuat oleh KPM, bergantung kepada pelbagai faktor, misalnya kekosongan yang ada dan garaduan lulus ujian INSAK serta temu duga,dan mendapat PNGK sekurangnya 2.75."

Selain itu, maklum balas itu juga menyatakan "Pengambilan pelajar ke program pendidikan guru di IPTA adalah berlandaskan ujuran yang dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) pada setiapa tahun. Kepada UPSI biasanya diunjurkan sekitar 50% hingga 60% pelajar, iaitu dalam lingkungan 2,300 orang pelajar baharu setiap kali pengambilan. "

August 10, 2011

Nordin Kardi mulakan tugas, jemput Awang Adek dalam Dialog Ekonomi Melayu


Tanjong Malim, 10 Julai - Tan Sri Nordin Kardi (gambar) yang juga merupakan Penyandang Kerusi Za'aba Universiti Pendidikan Sultan Idris yang baru dilantik baru-baru ini, telah memulakan tugas beliau dengan menganjurkan satu dialog bertajuk Ekonomi Melayu.

Dialog yang akan membincangkan survival Ekonomi Melayu tersebut akan disampaikan oleh jemputan khas Dato' Awang Adek , Timbalan Menteri Kewangan sebagai panel utama.

Tarikh : 24hb Ogos (Rabu)
Waktu : 3ptg - 8 mlm (Berbuka puasa)
Lokasi : Dewan Konvensyen E-Learning UPSI, Tanjung Malim.
Jemputan : Dato' Awang Adek (Timbalan Menteri Kewangan)


Dalam hal berkaitan, forum ini merupakan anjuran bersama ALMA Keris, Kowaris, Yayasan Albitan dan Tan Sri Nordin Kardi yang juga merupakan mantan Naib Canselor UUM.

Graduan kecewa, dakwa UPSI tak lagi janjikan jawatan guru

Tanjong Malim, 10 Julai - Seorang graduan lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang baru berkonvokesyen hujung Julai baru-baru ini menyatakan rasa kekecewaan berhubung status graduan Upsi yang dikatakan tidak lagi dijanjikan jawatan sebagai guru.

Luahan itu dinyatakan individu tersebut dalam satu ruangan forum akhbar Utusan Malaysia yang bertajuk 'Malang Nasib Graduan Upsi' (klik). Katanya "UPSI tidak lagi menjanjikan sebarang jawatan guru untuk graduannya seperti dulu. Anda adalah bakal graduan untuk pasaran terbuka."

Selain itu, katanya lagi "Sepanjang istiadat berlangsung, kesemua ucapan yang diberikan oleh pihak pengurusan UPSI membayangkan seolah-olah kesemua kami akan keluar dan menjadi guru seperti kebiasaannya."

"Hakikatnya, hanya pelajar-pelajar di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sahaja yang akan ditawarkan jawatan guru. Kami yang selebihnya dikategorikan sebagai graduan UPSI Pasaran Terbuka."

Tambahnya lagi,"UPSI gagal membuat sebarang perjanjian muktamad dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi menjamin tempat kesemua graduannya sebagai bakal guru"

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan mahasiswa Upsi katanya"kepada semua pelajar UPSI amnya dan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI khususnya, harap bangun daripada mimpi anda."

Dalam hal berkaitan, surat yang disiarkan dalam forum akhbar Utusan Malaysia tersebut tidak mempunyai nama sebenar penulis sebaliknya menggunakan nama samaran 'Graduan Kecewa'.