February 27, 2011

Pendedahan eksklusif : Percaturan awal kabinet MPP sebelum mesyuarat

Tanjong Malim, 27 Feb – 'Kumpulan Smile' yang dikatakan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan dan didakwa bebas akhirnya juga membentuk sebuah kumpulan yang dikatakan berperanan membuat percaturan awal sebelum kabinet sementara Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2010/2011 terbentuk pada 23 Februari lalu.

Menurut maklumat yang diperolehi, calon-calon yang menang telah dibawa ke Kalumpang untuk membentuk kabinet bayangan sebelum menghadiri taklimat bersama Prof. Dr. Shaharuddin pada petang Rabu lalu. Pertemuan tersebut dikatakan didalangi oleh mantan MPP lepas yang memainkan peranan penting dalam percaturan tersebut.

Dalam pada itu, rata-rata mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan barisan kepimpinan tertinggi (MT) MPPUPSI mendesak supaya ianya dirombak semula. Kabinet tersebut dikatakan tidak seimbang , berat sebelah dan mengenepikan kepercayaan mahasiswa kerana dirasakan tidak mampu untuk membawa perjuangan mahasiswa.

Selain itu, dikatakan Mohd Fauzi Mando yang juga merupakan Bendahari kabinet sementara MPP, turut di 'culik' dan dibawa bersama ke Kalumpang supaya mengikut perancangan Kumpulan 'Smile', manakala Ain Balqis yang juga merupakan wakil LMP turut ditelefon dan dipujuk supaya mengikut perancangan bagi membentuk kabinet bayangan sebelum mesyuarat pembentukan berlangsung.

Mohd Zahar, Koordinator MP ketika ditanya berkaitan perkara tersebut mengatakan bahawa beliau telah menduga perkara itu akan berlaku dan telah menerima beberapa maklumat berkaitan perkara tersebut. Katanya " atas sebab itu kita buat bantahan kepada pembentukan kabinet ini kerana kita punyai asas yang kukuh. Mereka sebelum ini berjanji tidak mahu mengikut jejak yang telah dibuat oleh aspirasi sebelum ini, tetapi kita lihat sama saja, mereka pun hipokrit juga," katanya.

Tambah beliau lagi “saya masih ingat lagi orang yang sama mencemuh dan menolak campur tangan orang luar dalam mana-mana perancangan yang melibatkan MPP sehinggakan berlaku masalah dalaman dalam program Minggu Suai Kenal (MSK) dahulu yang beliau sendiri jadi pengarah program. Nampaknya sama sahaja situasi yang berlaku sekarang, dia seolah-olah bercakap dengan nada lembut tetapi apa yang dikatakan berbalik pada diri sendiri" ujarnya.

Walau bagaimana pun, pihak MP menyatakan pendirian mereka bahawa bantahan yang dibuat adalah atas dasar kepercayaan dan desakan mahasiswa yang telah menyatakan pendirian mereka memilih calon MP, dan apa yang dibawa adalah hasrat bersama mahasiswa yang inginkan wujud keseimbangan dalam kepimpinan MPPUPSI dimana semua kumpulan diberi tempat yang seimbang dalam kepimpinan.

Dalam hal berkaitan, keseimbangan dalam kepimpinan MPP merupakan perkara penting yang mewujudkan kualiti kepimpinan, wujud ketelusan, tiada ketirisan dan penyelewangan dimana dengan adanya semua pihak dalam barisan kepimpinan MPP, wujud budaya 'check and balance' (semak dan imbang) , tegur menegur yang akhirnya akan membawa kebaikan untuk semua.




February 26, 2011

Aman Yasser: Sem. Khas, yuran 1 subjek RM120, ROS boleh tangguh

Tanjong Malim, 26 Februari- Berhubung pembukaan pengajian Semester Khas atau 'Short Sem' yang telah diumumkan beberapa hari lepas, pelbagai pertanyaan telah dibangkitkan oleh mahasiswa termasuk yuran pengajian dan penagguhan ROS bagi yang telah daftar.

Menurut Aman Yasser, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan MPPUPSI yang menghubungi pihak akademik menyatakan bahawa yuran pengajian yang dikenakan ialah sebanyak RM120 bagi satu subjek dan yuran tersebut akan ditolak daripada PTPTN semester hadapan.

Menurut beliau, "pembayaran yuran secara manual kepada bendahari, pemotongan yuran daripada PTPTN untuk semester yang akan datang. Selain itu, ada yuran perkhidmatan lain yang masih dalam perbincangan antara pihak akademik dan ahli-ahli senat universti dan juga kolej kediaman"ujarnya menerusi laman sosial Facebook.

Dalam pada itu, bagi yang telah mendaftarkan diri untuk menjalankan Rancangan Orientasi Sekolah (ROS), Aman menyifatkan setakat ini boleh ditangguhkan kepada tarikh lain namun masih belum disahkan secara rasmi.Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pelajar digalak ambil 'Short Sem', Amirul jelaskan maklumat berhubung kebajikan

Tanjong Malim, 26 Feb- Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris yang berada di semester 2 hingga 5 digalakkan untuk mengambil Semester Khas atau 'Short Sem' bagi memendekkan tempoh pengajian ekoran cuti panjang pada tahun ini.

Pengambilan 'Short Sem' dibuka kepada 2 sesi pengajian iaitu pada 2 Mei hingga 24 Jun dan 1 Julai hingga 26 Ogos sebagaimana dimaklumkan menerusi MyUpsiPortal (klik disini). Tempoh pengajian tersebut berlangsung selama 2 bulan dengan jumlah sebanyak 9 jam kredit bagi setiap sesi.

Dalam pada itu, Exco Kebajikan dan Perkhidmatan MPPUPSI , Amirul Afzan dan Amman Yasser hari ini telah mengeluarkan beberapa maklumat berkaitan kebajikan bagi mereka yang ingin mengambil 'Short Sem' menerusi laman sosial Facebook beliau.

Maklumat kebajikan berhubung pengajian tersebut adalah seperti berikut:

1) PTPTN tidak disediakan.

2) JHEPA menyediakan pinjaman dari tabung amanah kepada pelajar yang berminat.

3) Pelajar boleh memohon bantuan zakat di Pusat Islam.

4) Pengangkutan bas seperti biasa.

5) Minimum setiap kelas perlu mencukupi seramai 15 orang (bagi yang tidak cukup 15 orang tidak akan ditawarkan).

6) Kolej kediaman disediakan dan pembayaran dibuat mengikut tempoh kuliah (masih dalam perbincangan dengan pihak kolej).

7) Yuran pengajian untuk 'Short Sem' akan ditolak dari PTPTN semester hadapan.

Kepada yang berhajat untuk mengambil Semester Khas ini anda digalakkan untuk berjimat cermat bagi menampung kos sara hidup sepanjang pengajian. Sebarang persoalan boleh menghubungi:

Saudara MP Aman Yasser: 019 5238837
Saudara MP Amirul Afzan: 019 5172862

Daripada:Exco Kebajikan & Perkhidmatan MPPUPSI

February 25, 2011

Pimpinan Bitara: "Tahniah MT MPP didominasi aspirasi"

Tanjong Malim, 25 Feb- Pimpinan Bitara hari ini telah mengeluarkan kenyataan tahniah kepada barisan kabinet sementara Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dimana hampir semua MT didominasi oleh mereka.

Dalam satu kenyataan yang dibuat menerusi ahli mereka di laman sosial Facebook menyatakan "jika kita berbeza atas nama parti masing-masing, perlu anda ingat bahawa kami tetap menyokong dan mendukung ideologi yang sama, ASPIRASI!. Tahniah kepada barisan kabinet MPP yang baru, hampir keseluruhan kerusi Majlis Tertinggi didominasi oleh calon ASPIRASI.Tahniah"

Dalam hal berkaitan, Upsikini masih belum menerima sebarang respon terkini berhubung rombakan kabinet yang dituntut oleh MP. Namun dikatakan cubaan tersebut mungkin sukar.

'Open day' KAB buka ruang kugiran, asah bakat seni

Tanjong Malim, 25 Feb - Hari terbuka Kolej Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris membuka ruang pertandingan Kugiran kepada mahasiswa bagi mengasah bakat seni khususnya dalam seni muzik.

Kepada semua mahasiswa yang berbakat boleh menyertai pertandingan Kugiran (Band) yang akan diadakan pada 27 Feb (Ahad) dengan bayaran penyertaan RM20. Sebarang maklumat lanjut terus berhubung dengan individu yang tertera dibawah:



'Open day' KAB angkat tema 'ILMU', semua dijemput hadir

Tanjong Malim, 25 Feb - Seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan dijemput untuk meraikan Pesta Ilmu yang sedang berlangsung di Kolej Aminuddin Baki , Proton City yang telah bermula semalam sehingga Ahad ini. Program tersebut mengangkat tema 'Mahasiswa Berilmu Dominasi Tamadun Dunia'. Sebarang maklumat sila layari laman sosial Facebook Pesta Ilmu KAB UPSI 2011 (klik).



Kolumnis: Analisis pasca PRK UPSI (Bahagian 2)

Zulfadli Amzar
24 Februari

Sebaik barisan baru kabinet dibentuk, ramai yang bertanya dan terkejut atas pemilihan seorang wakil LMP sebagai bendahari MPP. Ramai yang ingin tahu apakah agenda di sebalik terpilihnya Fauzie sebagai bendahari? Adakah wujud strategi untuk memecah belahkan LMP dan MP yang sebelum ini berganding bahu atas satu semangat setia kawan di bawah panji Mahasiswa? Tidak dinafikan wujud desas-desus yang mempertikaikan tahap kesetiaan calon-calon LMP.

Satu lagi permainan politik dijelmakan. Kita sedar bahawa MP telah cukup cantik perjalanannya, strukturnya serta pengalamannya dalam PRK UPSI. Kita juga sedar bahawa LMP yang baru sahaja lahir di UPSI telah berjaya mendapat tempat di hati mahasiswa. Tidak mustahil, LMP yang baru sahaja lahir ini akan cuba dibunuh. Teori konspirasi ini ada asasnya. Kumpulan yang jelas menyokong agenda Pro-Mahasiswa akan terus ditentang oleh pihak-pihak yang mahu menjaga hati pihak atasan.

Suka saya ingatkan di sini, strategi memecahbelahkan pakatan ini akan berjaya andainya segelintir pihak yang beremosi atas apa yang berlaku terus leka dalam permainan politik si licik. Hasilnya nanti, perpecahan bukan dilakukan dari luar, sebaliknya dari dalam pakatan itu sendiri. Secara jujurnya, suara 11 orang yang menang takkan mampu mengalahkan 18 lagi yang terang-terang mempunyai asas Pro-Aspirasi.

Walau di mulut menyatakan BEBAS, tapi di hati tetap Aspirasi. Mengapa mereka tidak dapat menerima Pro-M? Sebab Pro-M dikatakan Pro-Demonstrasi. Pro-Pembangkang. Pro-Buat Kacau. Pro-Huru-Hara. Inilah masalahnya apabila politik luar dibawa masuk. Mereka mengatakan mereka tidak terlibat dengan politik luar.

Tetapi apa yang jelas mereka telah menyamakan Pro-M dengan Pembangkang. Walhal, tiada satupun campurtangan politik luar dalam Pro-M UPSI. Sedangkan duit rayuan pun dikumpulkan dalam kalangan ahli sendiri. Pro-M itu sendiri berjuang untuk mahasiswa. Jawatan itu sendiri adalah jawatan untuk mahasiswa. Mengapa perlu wujud istilah pembangkang?

Pencerahan minda sekali lagi. Pro-M bukan kaki demo. Pro-M hanya mahu menjadi pendesak. Mendesak secara profesional. Bukan emosional. Selama ini MPP menjadi ‘kawan baik’ pihak atasan dan hubungan ini tidak profesional. MPP ada peranan tersendiri dalam universiti. Membantu mahasiswa, menjadi perantara antara mahasiswa dan pihak pentadbiran serta menjadi ‘watchdog’ atas apa jua kelemahan pihak universiti.

Bukan hanya mengikut, mengangguk dan menyokong. Ya, kita sayang universiti kita. Namun, jangan hanya sayang universiti andai sahabat-sahabat disisihkan. Ramai pihak di luar sana mempertikaikan kredibiliti mahasiswa lepasan UPSI. Inilah masanya MPP memikiran cara bagaimana mahu menjadikan mahasiswa UPSI lebih progresif dan kompetitif sebaik bergraduasi nanti.

Secara ringkasnya, Pro-Mahasiswa UPSI menang dalam pertandingan. Cuma kita harus akui, kita kalah dalam permainan politik. Ya, kita sudah lalui berbagai halangan. Cubaan ‘bunuh’ sebelum bertanding, fitnah, ugutan serta tekanan dari pihak SPR yang jelas kurang memihak pada kita. PRK membuatkan semua pihak dalam Pro-M penat.

Namun, jadikan apa yang berlaku sebagai satu cabaran agar diperkemaskan lagi strategi pada masa akan datang. Kita sudah ada penyokong sendiri. Kita sudah dikenali. Akan datang, kita pastikan seluruh fakulti kita tandingi.

Ingat, pihak-pihak yang tidak suka akan kewujudan Pro-M sedang tersenyum lebar akan apa yang berlaku. Biarlah. Jangan pernah putus asa berkongsi dengan mereka apakah itu Pro-Mahasiswa sebenarnya. Mungkin ramai yang masih belum mengerti. Niat yang ikhlas. Doa yang tak pernah putus, Usaha yang tak pernah terhenti serta tawakkal kepada Allah. Insya Allah, perjuangan ini mendapat keredhaan-Nya. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Itu yang pasti!

Salam Mahasiswa!

Kolumnis: Analisis pasca PRK UPSI (Bahagian 1)

Zulfadli Amzar
24 Februari

Terlebih dahulu, tahniah diucapkan buat Pro-Mahasiswa UPSI kerana telah mencipta satu gelombang baru dalam PRK UPSI yang sebelum ini kurang warna-warni dan agak lesu. Majoriti kemenangan dari segi calon yang bertanding jelas menunjukkan mahasiswa memilih calon yang membawa slogan mahasiswa.

Sejak hari penamaan calon, Pro-M telah diasak dengan pelbagai cara untuk memastikan Pro-A terus menguasai MPP UPSI. Kecekalan dan kekentalan calon Pro-M yang jelas bertanding bukan atas desakan pihak ketiga tetapi atas niat memperjuangkan hak mahasiswa membuka mata semua pihak bahawa calon yang ikhlas berjuang akan secara mudah mendapat sokongan mahasiswa.

Rapat umum yang dijalankan jelas menunjukkan aura mahasiswa sudah melanda UPSI yang selama ini rata-rata rakyatnya tidak ambil kisah atau mengundi sekadar cukup syarat untuk tunaikan tanggungjawab. Kebanyakan mahasiswa sudah pandai menilai politik kampus cara matang dan bukannya politik mengikut tanpa arah tujuan.

Ugutan dan fitnah turut mewarnai PRK UPSI kali ini. SMS menakut-nakutkan mahasiswa bahawa andai menyokong Pro-M tidak akan posting nyata taktik lama yang sudah basi. Menakut-nakutkan mahasiswa bukanlah satu perkara yang bijak kerana jelas, mahasiswa sudah matang berfikir.

Hari pengundian juga tidak kurang hebatnya. KZ dan KAB yang dikatakan kubu kuat mahasiswa menyaksikan satu tragedi di mana berlakunya konspirasi untuk menghalang mahasiswa mengundi akibat terputusnya sambungan kabel talian telefon. Jelas di sini pihak Suruhanjaya Pilihanraya sendiri tidak cukup kemas sehinggakan perkara ini boleh berlaku. Kita sedar, ada agenda di sebaliknya. Cuma diharapkan mahasiswa bijak menilai apa yang telah berlaku.

Pengumuman keputusan PRK UPSI di SITC oleh YBHG. Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob menyaksikan laungan Mahasiswa bergema di dewan bersejarah bumi kelahiran pejuang kemerdekaan ini. Ada yang terus meninggalkan dewan. Ada yang menangis gembira. Menangis kecewa. Pelbagai bentuk emosi memenuhi dewan SITC pada waktu itu.

Tidak perlulah diulas siapa yang menang paling banyak baik calon umum mahupun fakulti, namun apa yang perlu difikirkan di sini ialah betapa gentarnya pihak di atas melihat perkembangan pilihan raya kampus kali ini sehinggakan berusaha sehabis mungkin untuk mengelakkan calon-calon Pro-M menguasai Majlis Tertinggi MPP UPSI. Cubaan mewujudkan pakatan dan usaha melobi sokongan dalam proses membina kabinet terus berlaku sebaik keputusan penuh diterima. Yang jelas kelihatan ialah dari kumpulan Senyum.

Calon LMP sendiri dilobi secara hebat oleh kumpulan Senyum. Pertama sekali, percaturan kumpulan senyum memang hebat. Taktik Shaiha yang memimpin kumpulan ini sungguh licik dan berjaya mendapat sokongan seluruh calon Pro-A. Tahniah atas kejayaan ini. Impian untuk melihat bukan golongan Pro-M yang menerajui MPP UPSI berjaya. Tahniah!

February 24, 2011

Pemilihan kabinet sementara ada unsur percaturan, Zahar minta dirombak

Tanjong Malim, 24 Feb - Pembentukan kabinet sementara Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris pada petang semalam menimbulkan pelbagai reaksi mahasiswa yang dikatakan inginkan yang terbaik dan wujud keseimbangan dalam sesi kepimpinan pada kali ini. Pelbagai respon dinyatakan mahasiswa menerusi laman sosial Facebook Upsikini.

Dalam pada itu, Mohd Zahar Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP) yang juga merupakan exco baru MPPUPSI menyatakan bahawa mereka akan membuat bantahan berhubung kabinet sementara yang dibentuk semalam kerana dipercayai ada unsur percaturan dan rancangan berkumpulan sebelum mesyuarat diadakan.

Mengulas perkara tersebut, beliau meminta YDP dan Setiausaha kabinet sementara agar memaklumkan kepada perwakilan untuk mengadakan mesyuarat tergempar rombakan kabinet dalam tempoh 3 hari bagi membincangkan kabinet baru yang lebih seimbang.

Dalam mengulas sesi mesyuarat semalam, beliau menyifatkan perbincangan tersebut mempunyai unsur berkumpulan apabila dengan jelas beberapa individu mendesak untuk diadakan pemilihan secara undian sebelum perbincangan kritikal dilakukan mengikut kemampuan dan penilaian berdasarkan kualiti individu yang dilantik.

Ujarnya, "kita melihat persoalan ini dari kaca mata mahasiswa yang inginkan yang terbaik, ini berkaitan keseimbangan dalam kepimpinan dan pentadbiran supaya berlaku proses 'check and balance' (semak dan imbang) yang akhirnya akan melahirkan kualiti kempimpinan yang lebih baik," katanya menerusi e-mail kepada Upsikini.



Amirul Afzan: Pertemuan praktikum bersama Dato' NC, medium nyatakan hasrat mahasiswa

Tanjong Malim, 24 Feb - Amirul Afzan Norakim yang merupakan Exco Kebajikan dan Perkhidmatan MPPUPSI sesi 2011/2012 hari ini menyatakan pandangan menerusi mesej ke laman sosial Facebook Upsikini bahawa pertemuan praktikum pelajar Sem 6 dan Sem 7 yang akan diadakan pada 28 Februari dan 2 Mac ini merupakan medium penting untuk menyatakan hasrat mahasiswa.

Dalam ulasan beliau, berikutan pelbagai persoalan yang timbul berkaitan praktikum bagi Sem 6 dan Sem 7, medium bersama Dato' NC merupakan wadah penting untuk menyatakan pandangan dan hasrat mahasiswa kerana Dato' secara langsung adalah antara yang mempunyai kuasa dalam menentukan dasar-dasar yang berkaitan.

Dalam hal berkaitan, makluman mengenai taklimat tersebut boleh dilayari menerusi laman sesawang MyUpsi Portal (klik disini).

PBC anjur 'Pesta CHUN'

Tanjong Malim, 24 Feb - Persatuan Bahasa Cina (PBC) Universiti Pendidikan Sultan Idris akan mengadakan program yang dinamakan Pesta CHUN bagi meraikan tahun baru Cina yang bakal diadakan sebagaimana berikut:


Menurut laman sosial Facebook (klik disini) berkaitan program tersebut, " Majlis ini akan dimulai dari pukul 3 petang hingga 10.30 malam . Terdapat pameran yang berkaitan dengan kebudayaan bangsa Cina pada pukul 3 petang hingga 7 malam dan persembahan – persembahan yang menarik akan disediakan pada pukul 7 malam hingga 10.30 malam"

Turut hadir merasmikan program ialah YB Dato' Lee Chee Leong ,Tim. Menteri Kementerian Dalam Negeri.

Mahasiswa cadang adakan pentas diskusi, bincang hala tuju MPP baru

Tanjong Malim, 24 Februari- Berhubung pembentukan kabinet baru yang telah dikeluarkan pada petang semalam, pelbagai spekulasi yang timbul dan mendapat pelbagai respon daripada mahasiswa yang rata-rata inginkan yang terbaik dalam kepimpinan MPPUPSI pada sesi ini.


Dalam kehangatan perbincangan berkenaan kabinet baru menerusi laman sosial Facebook Upsikini, wujud cadangan beberapa mahasiswa agar diadakan diskusi bebas antara 'front' melibatkan kumpulan mahasiswa yang ada di Upsi bagi membincangkan hala tuju kepimpinan MPPUPSI pada kali ini.

Suara tersebut disifatkan sebagai luahan rasa mahasiswa yang dahagakan satu perubahan yang radikal (menyeluruh) dalam kepimpinan MPP pada kali ini setelah lebih 10 tahun mengulangi sisi lesu kepimpinan badan tertinggi pelajar tersebut.

Dalam pada itu, LMP turut menyatakan pandangan agar diskusi tersebut diwujudkan bagi meraikan pelbagai pandangan mahasiswa seterusnya membentuk kepimpinan dan daya pemikiran mahasiswa Upsi kearah yang lebih matang.

Dalam hal berkaitan, senarai kabinet MPPUPSI sesi 2011/2012 telah dikeluarkan semalam, namun masih belum secara rasmi kerana menunggu proses mengangkat sumpah.

February 23, 2011

Pembentukan kabinet : HEP mungkin campur tangan

Tanjong Malim, 23 Feb. – Perkembangan Pilihan Raya Kampus UPSI kini sudah masuk kepada fasa menentukan kedudukan calon-calon yang menang dalam pembentukan kabinet. Paling mencuri perhatian adalah kerusi nombor satu MPP yang sehingga kini masih kabur calon yang layak.

Mahasiswa Pendidik yang menang 3 Kerusi Umum dikatakan bakal menawarkan koordinatornya dengan restu rakan gabungannya LMP, Mohd Zahar Mohamed. Namun dengan hanya 11 undi sokongan daripada gabungan tersebut belum cukup untuk beliau mendapat majoriti mudah bagi melayakkan beliau menyandang kerusi tersebut.

Walau bagaimanapun, Pimpinan Bitara dan beberapa calon lain juga dikatakan gagal memperoleh undi mencukupi bagi membolehkan calon mereka menyandang kerusi tersebut. Antara nama yang disebut-sebut bakal diangkat adalah Mohd Afiq Fikri Mislan dan Mohd Faizal Amir.

Berikutan itu, satu taklimat khas bersama Hal Ehwal Pelajar (HEP) bakal diadakan pada petang ini bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Kolumnis: MPPUPSI, siapa teraju?

Mengikuti perkembangan politik mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) agak unik berbanding IPTA lain. Tanpa ada persamaan dengan gerakan pelajar di serata IPTA, mahasiswa UPSI menghidangkan jenama yang berbeza dengan jenama sedia ada di kampus lain meskipun wujud beberapa persamaan di kalangan mereka.

Bermula dengan siri kempen yang agak meriah dengan kreativiti berpolitik ala ‘cikgu’ (takut tapi mahu), beberapa nama, slogan, cogan kata dipersembahkan di kalangan pengundi. Penulis yang hanya mengikuti perkembangan tersebut dari jauh dikhabarkan gelombang kuning nampaknya sedikit memeriahkan suasana kempen. Memang kreatif ! Dengan membekalkan belon kuning kepada penyokong, PRK kali ini nampaknya menelan belanja agak besar di kalangan mereka yang bertanding.

Pada awalnya, penulis merasakan mungkin wujud kumpulan yang mahu mengembalikan kuasa UPSI di persada institusi pendidikan di Malaysia bagi mendaulatkan kembali satu-satunya universiti yang menggunakan nama Sultan (Sultan Idris) dan warna kuning itu dipilih, namun tidak ada pula dalam ucapan calon-calon yang bertanding menyentuh soal itu. Yang ada isu mahasiswa yang mahu kemudahan itu dan ini, dan isu-isu domestik.

Keputusan pada Isnin lalu juga agak mengelirukan dan sedikit kabur. Selepas mengikuti laman sosial facebook dan berita yang dikatakan terkini dari upsikini.blogspot.com penulis cuba memahami jalur setiap calon yang bertanding.

Daripada apa yang penulis baca dan amati, seolah-olah tiada satu pun kumpulan berhak mengatakan mereka paling layak menerajui kepimpinan MPP kali ini. Mahasiswa Pendidik bersama LMP katanya menang paling banyak namun tidak cukup majoriti. Mereka hanya berjaya menafikan majoriti 2/3 pihak lawan seperti episod dua sesi yang lalu, hanya menang 8 kerusi.

Walau bagaimanapun, kebolehan individu mula menjadi pengukur dalam meletakkan calon terbaik dalam barisan hadapan MPP. Hal Ehwal Pelajar (HEP) katanya tak mahu masuk campur. Tapi biasalah, HEP memang begitu, katanya lain, buatnya lain. Nak bertanding perlu hadir kem katanya, sudahnya, tak hadir kem pun boleh bertanding. Itu biasa.

Apapun, harapan mahasiswa memang menggunung untuk melihat perubahan sebenar. Pembaharuan dalam kepimpipinan MPP kali ini ditagih pengundi. Mahasiswa juga punyai waktu untuk tentukan siapa yang mereka mahu meneraju MPP kali ini. Bisa saja mereka bertemu semua calon yang menang dan nyatakan sokongan mereka secara terang. Tapi beranikah mahasiswa di UPSI ni?

*Penulis dikenali dengan nama pena Zulhelmi Abid, merupakan antara penganalisis politik kampus Upsi pada kali ini yang menyatakan pandangan menerusi e-mail kepada Upsikini.

February 21, 2011

MPPUPSI dijangka wujud kabinet campuran, Pimpinan Bitara hilang dominasi

Tanjong Malim, 22 Feb- Berhubung keputusan Pilihan Raya Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris yang telah diumumkan pada petang semalam, wujud jangkaan bahawa Majlis Perwakilan Pelajar UPSI bakal diisi oleh kabinet campuran serta menyaksikan dominasi Pimpinan Bitara (Pro-A) selama kira-kira 12 tahun telah 'berkubur' dikampus Upsi .

Dalam keputusan yang diumumkan, gabungan Mahasiswa Pendidik dan LMP memenangi 11 kerusi iaitu 3 kerusi umum dan 8 fakulti termasuk meraih undi popular (majoriti) yang diperolehi oleh Amirul Afzan Norakim 3947, diikuti Aman Yasser Pramlee 3800 dan Mohd Zahar Mohamed Nor 3411.

Ketiga-tiga calon MP mengisi tempat teratas majoriti kerusi umum. Manakala dua kerusi umum lagi dimenangi oleh calon Kumpulan Mahasiswa 'Smile' , Muhammad Afiq Fikri 2921 dan calon 'Parti Cap Tapir' iaitu Mohd Faizal Amir 2305.

Dalam pada itu, kerusi fakulti pula menyaksikan Mahasiswa Pendidik dan LMP memenangi 8 kerusi dan menyapu bersih kerusi FPE, FSK . Manakala mereka menang masing-masing 1 kerusi di Fakulti Sains Matematik (FSM) Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) dan Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK)

Selain itu, Pimpinan Bitara dikatakan hanya memenangi 7 kerusi daripada daripada 23 kerusi yang dipertandingkan semalam. Majoriti kemenangan Pimpinan Bitara dilaporkan diperolehi daripada Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) dan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM).

Walau bagaimanapun, secara keseluruhan, daripada 29 kerusi MPPUPSI yang diperuntukkan, sebanyak 4 kerusi diperuntukkan kepada masing-masing etnik Sabah, Sarawak, Cina dan India, serta 2 kerusi IPS yang menang tanpa bertanding.

Manakala daripada 23 kerusi yang dipertandingkan semalam, gabungan MP dan LMP (Pro-Mahasiswa) menang 11 kerusi (3 umum, 8 fakulti), calon Kumpulan 'Smile' dikatakan menang 4 kerusi ( 1 umum, 3 fakulti), calon 'Parti Cap Tapir' 1 kerusi (umum) dan Pimpinan Bitara (Pro-Aspirasi) hanya mampu meraih 7 kerusi (fakulti) yang dipertandingkan.

Dalam hal berkaitan, kabinet Upsi masih dalam penentuan, semua kumpulan yang menang masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kerusi kabinet yang bakal dibentuk.

Laporan keputusan PRK UPSI

CALON UMUM

1.Amirul Afzan b. Norakim (3947)
2.Aman Yasser b.Pramlee (3800 )
3.Mohd Zahar Mohamed Nor (3411 )
4.Muhammad Afiq Fikri b. Mislan (2921)
5.Mohd Faizal b. Amir (2305 )

CALON FAKULTI

Fakulti Sains dan Kemanusiaan (FSK)

1.Ahmad Rusydan b. Sidek (933)
2.Lasmi b. Lukito (1111)


Fakulti Sains dan Matematik (FSM)

1.Nurfasihah bt. Zakaria (540)
2.Noor Hazimah Husan bt. Mohd Johar (515)


Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK)

1. Muhammad Azli bin Md Ali (517)
2.Nurfatin Nadia bt. Zulkipeli (427)

Fakulti Pengurusan dan Ekonomi (FPE)

1.Nursuhaila bt. Alias (359)
2.Mohd Fauzi b. Mandon (326)

Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV)

1.Ahmad Muhaimin bin Mohd Taib.
2.Nurain Balqis bt. Ismail


Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP)

1.Shahrael bin Abdul Kassim (84)
2.Siti Nur Salwa binti Kosnan (80)

Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia (FPPM)

1.Mohd Shahril bin Khasin
2.Norhidayah binti Harun

Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK)

1.Mohd Hafiz Amirul bin Amat
2.Zulfadzli Iman bin Naim

Fakulti Seni Komputeran & Industri Kreatif (FSKIK)

1.Mohd Saufi b. Harun
2.Wan Mohd Razuha bin Wan Md Zuhaidi


Keputusan rasmi PRK ini hanya akan diumumkan setelah tempoh bantahan esok bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Upsikini memohon maaf atas kelewatan laporan. Sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.


[dikemaskini jam 6.00 petang] Laporan khas sekitar hari pembuangan undi PRK UPSI

Upsikini membuat liputan khas sekitar hari pembuangan undi Pilihan Raya Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi sesi 2011/2012.

Pada pagi ini (8.00 pagi), bertempat di SITC, dijadualkan Naib Canselor Prof. Dato' Dr. Aminah bt. Ayob akan membuka proses pemilihan dengan memasukkan nombor 'password' pada sistem e-voting seterusnya memulakan proses pemilihan berkomputer (e-voting) di pusat-pusat pengundian yang disediakan.

Dijadualkan proses pemilihan akan tamat pada jam 5.00 petang dan calon yang berjaya akan diumumkan di SITC pada sekitar waktu yang sama. Pusat pengundian yang dibuka adalah seperti berikut:

Kampus utama

1) Ruang Legar , Bangunan Chanselori
2) Foyer KDP
3) Dewan SITC
4) Bitarasiswa
5)Bangunan E-Learning

Kolej Harun Aminurrashid (KHAR)
1) Foyer KHAR

Kolej Zaa'ba (KZ) & Aminuddin Baki (KAB)

1) Dewan Serbaguna KZ

Taman Universiti (Bernam )

1) Bilik Kuliah Taman Bernam

Bilik Kuliah Proton City

1) Ruang Legar Bilik Kuliah Proton City


8.00 pagi : Kelihatan beberapa orang calon dan wakil calon mula berkumpul di hadapan SITC menunggu kehadiran Dato’ Naib Canselor. Sekretariat juga turut membuat persiapan terakhir bagi memastikan proses mengundi lancar.

8.23 pagi : Dato' Naib Canselor kelihatan memasuki bangunan SITC diikuti beberapa pegawai ICT serta beberapa calon dan wakil calon.

8.51 pagi : Dato' Naib Canselor sedang memasukkan password baru (bukan password yang sama dengan pemilihan sesi lepas) bagi membuka sistem e-voting untuk elak kecurigaan. Dijangka jam 9.00 pagi sistem dibuka untuk pengundian.

9.00 pagi: Pengundian dibuka secara rasmi disemua pusat pengundian. Enam orang saksi memulakan pengundian di SITC sebelum dibuka di pusat-pusat lain. Proses pemilihan akan tamat pada jam 5.30 petang.

12.00 tengahari: Seramai 3148 daripada 10850 mahasiswa keseluruhanya yang keluar mengundi pada jam 12.05 tengahari. Selanjutnya, Fakulti Sains dan Matematik menunjukkan peratusan keluar mgundi paling ramai iaitu 42.58 peratus, manakala Fakulti Seni, Komputeran & Indusri Kreatif menunjukkan 1.28 %.

1.00 tengahari: Beberapa calon dan wakil calon yang berkumpul di depan pusat pengundian diarah beredar kerana dikhuatiri mempengaruhi pengundi yang ingin mengundi.

1.10 tengahari: Semua pusat pengundian berjalan lancar. SITC, pusat mengundi di kolej-kolej dan Bitarasiswa menjadi tumpuan pelajar setakat ini.Namun pergerakan mahasiswa masih perlahan disebabkan hari kuliah.

3.00 petang: Lebih 50% keluar mengundi. Semua pusat mengundi berjalan dengan lancar. Cuaca panas pada petang ini. Pengundi yang datang mengundi masih dalam keadaan terkawal. Proses pengundian diteruskan tanpa waktu rehat.

3.35 petang:59.40% keluar mengundi. Masa mengundi hanya tinggal sekitar 1 jam 50 minit.

4.30 petang:Peratus mengundi belum mencapai sasaran. Masa mengundi tinggal 1 jam sahaja. Semua pusat mengundi kelihatan tenang.

5.35 petang: Pusat pengundian ditutup. Pengumuman telah dibuat oleh Dato' Naib Canselor.



Laungan 'hidup mahasiswa' gegarkan KHAR

Tanjong Malim, 20 Feb- Sesi akhir rapat umum menyaksikan Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) digegarkan dengan laungan keramat berbunyi “hidup - hidup mahasiswa !” dilaungkan oleh lebih 300 mahasiswa dari kumpulan Mahasiswa Pendidik (MP) dan Legasi Mahasiswa Progresif(LMP) yang berkonvoi beramai-ramai dari Kolej Aminuddin Baki.

Sejurus tiba di KHAR, kumpulan tersebut berkumpul dan berarak ke medan rapat umum sambil melaungkan “hidup-hidup mahasiswa” dan laungan itu memberi kejutan besar kepada seluruh warga KHAR dan KUO serta disambut oleh kumpulan Pimpinan Bitara.

Menurut sumber yang dilaporkan, kira-kira lebih 100 penyokong Pimpinan Bitara berbaju biru berada di tempat rapat umum tersebut bertembung dengan lebih 300 mahasiswa terdiri dari penyokong MP dan LMP yang membawa 'gelombang kuning.'

Dalam pada itu, beberapa insiden kecil telah berlaku dan hampir mencetuskan pergaduhan antara kumpulan Pimpinan Bitara sebaik sahaja kumpulan MP dan LMP tiba di medan rapat umum tersebut.

Menurut saudara Zahar “ kita telah melihat sifat dan perilaku buruk kumpulan mereka (PB) yang dikatakan berpegang dengan nilai bitara, semua mahasiswa boleh menilai mereka yang mengaku kononnya membawa nilai bitara berbanding kumpulan MP dan LMP. Kita yakin dan percaya, mahasiswa UPSI tidak buta untuk menilai kumpulan ini.”

Fitnah pensyarah: Muzakkir Afiq disyaki terlibat


Tanjong Malim, 20 Feb - Wujud dakwaan bahawa, fitnah kepada pensyarah yang dikaitkan dengan seorang calon umum Abdul Hafiz Hilmi turut disyaki didalangi oleh calon Pimpinan Bitara, Muhd Muzakkir Afiq Musa, mantan MPPUPSI yang juga merupakan calon Fakulti Perniagaan dan Ekonomi.

Menurut sumber yang diterima Upsikini, Muzakkir disifatkan antara mereka yang mengenali Abdul Hafiz sebelum ini dan kemungkinan perkara tersebut turut dimainkan oleh beliau bagi menjatuhkan rakannya disamping beliau adalah antara penggerak utama Pimpinan Bitara.

Dalam pada itu, Muzakkir pada petang semalam telah dihubungi oleh pensyarah berkenaan, berhubung fitnah tersebut dan seterusnya laman fitnah yang disiarkan menerusi Facebook kelihatan telah di 'delete' oleh 'admin' nya.

Dalam hal berkaitan, pensyarah tersebut merupakan bekas pensyarah Muzakkir di Fakulti Sains Kemanusiaan sebelum beliau menukar kos ke Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.

February 20, 2011

Rapat umum: PB, MP,LMP cipta gelombang mahasiswa

Tanjong Malim, 20 Feb - Politik kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris mencatat sejarah baru apabila lebih 500 penyokong dari kumpulan Pimpinan Bitara, (PB), gabungan Mahasiswa Pendidik(MP) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) serta beberapa kumpulan lain menghangatkan sudut pidato pada malam ini.


Kesemua penyokong kumpulan tersebut tenggelam dalam 'gelombang kuning' yang melihatkan wujud belon-belon kuning terapung diudara disamping pakaian yang kelihatan seragam berwarna kuning.

Sudut pidato terakhir pada malam ini menyaksikan kesemua kumpulan sedang berarak menuju ke medan pidato KHAR bagi menyampaikan manifesto masing-masing.

E-voting : Amirul harap ketelusan

Tanjong Malim, 20 Feb – Amirul Afzan Norakim (gambar), mantan YDPKUO yang juga merupakan calon umum bagi pemilihan MPPUPSI pada sesi ini memohon pihak Sekretariat Pemilihan MPP (SPMPP) memantau sistem pemilihan menggunakan e-voting bermula pagi esok agar benar-benar telus dan tiada anasir mencurigakan.

Katanya “kita mahasiswa mahu agar sistem tersebut berjalan lancar dan tiada sebarang manipulasi dari mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan disepanjang proses pemilihan berlaku.”

Beliau turut menyifatkan bahawa , wakil pemantau mahasiswa turut digerakkan bagi melihat perjalanan sistem e-voting esok sehingga tamat pengundian.

Fitnah pensyarah: Abdul Hafiz Hilmi buat laporan Polis

Tanjong Malim, 20 Feb - Menurut laporan yang diterima Upsikini, satu laporan Polis telah dibuat oleh calon umum bagi pemilihan MPPUPSI, Abdul Hafiz Hilmi (gambar) pada jam 6.30 petang tadi bertempat di balai Polis Tanjong Malim.

Laporan tersebut telah dibuat beliau setelah wujud fitnah menerusi laman sosial Facebook yang mengaitkan kemasukannya ke Upsi atas usaha abangnya yang juga pensyarah di Fakulti Sains Sosial Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dalam pada itu, wujud dakwaan bahawa fitnah tersebut telah dibuat oleh Pimpinan Bitara yang cuba menjatuhkan beliau dengan menggunakan cara politik kotor dan sebagaimana yang dinyatakan oleh Koordinator Mahasiswa Pendidik Mohd Zahar, tindakan tersebut adalah biadap terhadap seorang pensyarah.

Dalam hal berkaitan, kenyataan beliau boleh diikuti menerusi laman sosial Facebook Kami Sokong Mahasiswa Pendidik.

Zahar: Pimpinan Bitara main ‘politik kotor’, fitnah pensyarah

Tanjong Malim, 20 Feb – Menurut Mohd Zahar Mohamed Nor, Koordinator MP yang juga merupakan calon umum bagi sesi pemilihan MPP sesi ini menyatakan bahawa Pimpinan Bitara terus memainkan ‘politik kotor’ ala Machiavelli yang menghalalkan apa saja cara asalkan mendapat kuasa.

Beliau mengulas bahawa permainan ‘politik kotor’ tersebut adalah tradisi mereka (Pimpinan Bitara) malah mereka turut menggunakan pegawai tinggi KPT dan beberapa pegawai JHEPA dalam membatalkan pencalonan Adam Adli bertanding semasa proses penamaan calon baru-baru ini.

“Terbaru, mereka memfitnah seorang pensyarah menerusi laman sosial Facebook yang dikaitkan dengan seorang calon umum gabungan MP dan LMP dengan cara yang tidak beradab terhadap seorang pensyarah yang memberi ilmu”, ujar beliau.

Beliau dalam masa yang sama turut menyatakan bahawa calon umum Abdul Hafiz Hilmi amat kecewa dengan tindakan tidak bemaruah tersebut dan dikatakan akan megambil tindakan sewajarnya serta telah membuat laporan Polis.

84 % dijangka keluar megundi

Tanjong Malim, 20 Feb – Menurut sebuah badan ‘survey’ mahasiswa berhubung pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (MPPUPSI) pada sesi ini, dijangka 84% mahasiswa akan membuang undi bagi menyatakan pendirian mereka.

Kajian tersebut dibuat oleh sekumpulan mahasiswa yang melakukan culaan lapangan berhubung kesedaran mahasiswa turun mengundi dalam PRK UPSI kali ini dan disifatkan kesedaran mahasiswa makin meningkat iaitu dijangkakan 84% mahasiswa akan turun mengundi berbanding 81% pada sesi pemilihan lepas.

Jika jangkaan tersebut tercapai, ini bermakna mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris mempunyai kesedaran yang baik berhubung tanggungjawab mereka dalam menilai pemimpin yang mampu memimpin mereka seterusnya menjadi golongan yang cakna perihal semasa.

Pimpinan Bitara yakin kekalkan kemenangan

Tanjong Malim, 20 Feb – Pimpinan Bitara menerusi e-mail kepada Upsikini hari ini menyatakan bahawa kumpulan mereka yakin bahawa akan mengekalkan kemenangan dalam sesi pemilihan MPPUPSI pada kali ini seterusnya mentadbir badan tertinggi mahasiswa buat kali ke 12.

Mereka menyatakan bahawa segala ruang dan peluang yang ada telah dimanfaatkan sebaik mungkin bagi meraih sokongan mahasiswa dan menyifatkan kepemimpinan gabungan Mahasiswa Pendidik dan LMP lemah dan tidak mampu bersaing.

Selain itu, mereka turut menyatakan, dengan menempatkan calon dibeberapa kerusi fakulti termasuk menempatkan bekas MPP lepas iaitu Muzakkir Afiq di kerusi FPE dan fakulti-fakulti lain, mereka yakin kemenangan akan berpihak kepada Pimpinan Bitara.

Dalam hal berkaitan, Pimpinan Bitara yakin akan memenangi kerusi Fakulti Bahasa, Fakulti Sains Sukan dan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi dengan majoriti besar.

Akmal: ‘Posting’, KPM tak kenal siapa kita

Tanjong Malim, 20 Feb – Akmal b. Madzir yang merupakan mantan Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI sesi 08/09 juga merupakan Koordinator Pro-Kebajikan, hari ini telah melontarkan pandangan menerusi e-mail kepada Upsikini bahawa ‘posting’ adalah hak Allah bukan hak manusia tentukan .

Akmal memberi respon berhubung isu ‘posting’ yang dikatakan telah dimainkan oleh Pimpinan Bitara bagi mengugut mahasiswa yang tidak mengundi mereka, tidak akan berjaya di ‘posting’kan. Katanya “ ‘posting’ bukan milik mereka untuk tentukan, ianya hak Allah. Sekiranya kita ikhlas untuk mendidik tentu Allah berikan kepada kita tempat (posting) tersebut.”

Ulas beliau lagi, “pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bukan melihat siapa kita, mereka tak kenal siapa kita, yang mereka kenal ialah sejauh mana kualiti diri kita, kemahiran memimpin, berkomunikasi dan segala kemahiran yang diperlukan, bukan dengan ‘mengampu’ seperti sesetengah pihak.”

Dalam pada itu beliau turut menyifatkan bahawa, rakan seangkatan beliau juga telah berjaya ‘posting’ malah ada yang sambil menyambung pengajian dalam ‘master’ (ijazah sarjana) termasuk mantan Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI, Nur Aqilah Hanis dan Arif Mohamed, Exco Kebajikan, Mohd Zulhelmi dan beberapa rakan yang lain telah berjaya ‘posting’ malah menjadi guru yang berkualiti.

Dalam hal berkaitan, Aklmal Madzir merupakan antara MPPUPSI yang lantang memperjuangkan isu mahasiswa pada sesi kemimpinan 08/09 dan kini telah bergelar sebagai seorang 'cikgu'.

PRK: Rapat Umum Malam Ketiga di KHAR Panas

Tanjung Malim, 19- Gelombang kuning melanda KHAR pada malam ini ketika sesi rapat umum berlangsung. Sebelum ke tempat rapat umum, para calon daripada Mahasiswa Pendidik (MP) dan Legasi Mahasiswa Progresif(LMP) berkumpul di gelanggang KHAR untuk membaca doa wehdah dan ternyata mendapat perhatian umum terutama penghuni KHAR.

Pada malam ini, kesemua calon daripada MP dan LMP membentangkan menifesto masing-masing disamping membuka minda mahasiswa tentang gerakan dan kebangkitan mahasiswa dewasa ini. Salah seorang calon daripada MP yang mendapat perhatian pendengar iaitu Abdullah Sidek Bin Saat, Fakulti Saian Kemanusiaan bertanding kawasan umum . Fokus beliau bermula rapat umum malam pertama sehingga malam ketiga berkaitan dengan pencerahan minda mahasiswa disamping menyedarkan mahasiswa berkenaan dengan gerakan mahasiswa kini terutama di UPSI.

Dalam pada itu, semasa calon-calon MP dan LMP memberikan ucapan, tindakan provokasi pihak Pimpinan Bitara terus dilakukan seperti tiupan wisel dan sebagainya. Kelihatan beberapa orang yang dikenal pasti penyokong Pimpinan Bitara masuk dalam kumpulan MP dan LMP bagi mencetuskan provoksi. Walau bagaimanapun, perkara tidak baik tidak barlaku berikutan penyokong MP dan LMP mengambil langkah berjaga-jaga bagi tidak termakan dengan helah pihak Pimpinan Bitara.

Selain itu, calon daripada LMP, Abdul Hafiz Hilmi merupakan seorang mahasiswa daripada Fakulti Sains Kemanusiaan bertanding bagi kawasan umum juga diberi perhatian. Menurut sumber upsikini, beliau berkata “pada tengahari ini sayadimaklumkan oleh seorang sahabat berkenaan dengan satu fitnah yang dilakukan dalam laman sosial Facebook yang menyatakan bahawa saya masuk ke UPSI adalah melalui pertolongan abang saya yang merupakan seorang pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan . Saya akan melaporkan kes ini kepada pihak polis dan akan mendakwa pihak berkenaan di mahkamah.”

February 19, 2011

MP, LMP sifatkan 'gelombang kuning' bakal melanda KHAR

Tanjong Malim, 19 Feb - Ketua Penerangan PRK Mahasiswa Pendidik telah melaporkan kepada Upsikini menerusi laman sosial Facebook bahawa 'gelombang kuning' bakal melanda Kolej Harun Aminurrashid dalam sesi rapat umum pada malam ini.


Setelah membuka tirai pidato dan membawa gelombang kuning ke Kolej Aminuddin Baki dan Koleh Za'ba semalam, mereka menyatakan bahawa gelombang tersebut akan diteruskan dengan lebih hebat di KHAR dalam sesi rapat umum pada malam ini.

Dalam hal berkaitan, sesi rapat umum di KAB dan KZ semalam menyaksikan pertembungan lebih 200 penyokong Pimpinan Bitara dengan gabungan MP dan LMP serta hampir mencetuskan pergaduhan ekoran provokasi.

SPMPP buat cop baru, elak kes penipuan berulang

Tanjong Malim, 19 Feb - Suruhanjaya Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris dilaporkan telah menggunakan cop baru untuk mengecop poster dan kad-kad calon.

Tindakan tersebut dikatakan diambil ekoran mengelak kes penipuan (klik disini) cop berulang seperti yang berlaku pada sesi pemilihan yang lepas dimana seorang pengurus calon daripada Pimpinan Bitara telah ditangkap membuat cop palsu.

Dalam pada itu, kumpulan mahasiswa disini turut memberi amaran agar pihak SPMPP pada kali ini bertindak lebih adil jika tidak mahu suara mahasiswa berkumandang .

Perkara tersebut dinyatakan ekoran pada sesi lepas, kes cop palsu tersebut tidak diambil peduli dan tidak dikenakan sebarang dakwaan kepada Pimpinan Bitara walau pun mempunyai bukti yang jelas.

PRK Upsi menyaksikan pertembungan 4 kumpulan

Tanjong Malim, 19 Feb - Pilihan Raya Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris pada kali ini menyaksikan berlaku 4 pertembungan kumpulan mahasiswa yang bakal merebut 5 kerusi umum dan 24 kerusi fakulti yang dipertandingkan.

Kumpulan tersebut terdiri daripada gabungan Mahasiswa Pendidik (MP) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Kumpulan Mahasiswa 'Smile', Kumpulan 'Cap Tapir' dan Pimpinan Bitara. Kesemua kumpulan ini dikatakan telah menghantar calon masing-masing dengan mewujudkan identiti berbeza menerusi nama dan logo yang digunakan.

Gabungan MP dan LMP dikatakan lebih pro kepada mahasiswa, Kumpulan Mahasiswa Smile pula dilaporkan digerakkan oleh mantan MPP sesi lepas iaitu Syaiha, Samuel dan beberapa yang lain yang dikatakan lahir dari rasa tidak puas hati terhadap Pimpinan Bitara pada sesi lepas.

Manakala Kumpulan 'Cap Tapir' digerakkan oleh 2 mahasiswa yang dikenali sebagai mahasiswa 'Cap Tapir' iaitu Faizal Amir dan Pimpinan Bitara adalah Pro-Aspirasi. Mereka dilaporkan bergiat aktif dilaman sosial Facebook dengan menggunakan nama dan logo masing-masing.

17 calon merebut 5 kerusi umum

Tanjong Malim, 19 Feb - Dilaporkan seramai 17 calon merebut 5 kerusi umum bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris pada sesi kali ini. Jumlah penyertaan ini dikatakan teramai dalam sejarah politik kampus disini.

Dalam pada itu, senarai nama calon yang layak bertanding dilaporkan menerusi MyUpsi Portal (klik) seramai 56 orang iaitu 17 calon umum , 39 calon fakulti (tidak termasuk calon yang menarik diri pada saat akhir).

Berdasarkan jumlah ini, pertembungan pemilihan kerusi umum pada kali ini dikatakan wujud 4 'parti' iaitu gabungan Mahasiswa Pendidik dan Legasi Mahasiswa Progresif seramai 6 calon, Parti 'Cap Tapir' 2 calon, Kumpulan Mahasiswa 'Smile' 3 calon dan selebihnya kumpulan Pimpinan Bitara.


February 18, 2011

Isu 'posting' terus jadi bahan kempen

Tanjong Malim, 18 Feb- Isu penempatan graduan pendidikan mengikut kekosongan yang berlaku sebelum ini terus dimainkan oleh beberapa pihak yang dikatakan mengugut mahasiswa kononnya mereka yang mengundi calon tertentu tidak akan berjaya 'posting' .

Sebelum ini, isu 'posting' sering dimainkan dan menjadi perhatian seluruh pengundi di sini. Isu 'posting' menjadi begitu hangat beberapa tahun lepas dikatakan tidak lagi relevan pada sesi ini kerana 'posting' tiada kaitan dengan pemilihan kepimpinan pelajar yang hanya berlaku di kampus.

Beberapa mahasiswa disini telah mengadu di mesej Facebook Upsikini bahawa mereka menerima beberapa mesej berkaitan 'posting' yang kononnya jika mengundi calon tertentu, mereka disenarai hitamkan.

Mar Cheer Hong: 'Mereka khianati saya'

Tanjong Malim, 18 Feb - Mar Cheer Hong ,calon Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang juga merupakan mahasiswa program Pengajian Malaysia dengan Pendidikan hari ini telah menyatakan bahawa beliau telah dikhianati oleh kelompok Pimpinan Bitara.

Perkara tersebut berlaku apabila kesemua wakil calon yang dijanjikan oleh Pimpinan Bitara tidak langsung membantunya dalam PRK malah disisihkan oleh mereka kerana beliau dikatakan sudah jelas 'atas kertas' tidak akan menang dalam PRK nanti.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan kelompok Pimpinan Bitara hanya berbaik bila terdesak, tersepit dan bila senang mereka dengan mudah 'menendang' kita. Katanya 'menyesal kerana tersilap pilih' dan turut menyatakan hasrat untuk menarik diri namun dikatakan tak dibenarkan.

Dalam hal berkaitan, ada ura-ura yang menyatakan bahawa beliau akan berucap di rapat umum pada malam ini dan akan menyatakan sokongan kepada Mahasiswa Pendidik dan LMP.

PRK : Calon bebas isytihar bersama MP

Tanjong Malim, 18 Feb - Seorang calon bebas yang dikenali sebagai Aman Yasser b. Pramlee, juga merupakan mahasiswa dari program Pengajian Malaysia hari ini telah membuat kenyataan akan bersama Mahasiswa Pendidik (MP).

Kenyataan tersebut dikatakan telah disahkan beliau pada malam tadi. Manakala, kelihatan pada tengah hari tadi beliau bersama beberapa penyokong MP,berkempen dibilik-bilik kuliah bagi meraih sokongan mahasiswa.

Dalam hal berkaitan, sebelum ini , Aman disifatkan sebagai sebilangan calon bebas yang cenderung kepada Pimpinan Bitara namun telah membuat kenyataan penting pada hari ini bahawa beliau teguh bersama MP.

Dalam pada itu, dalam sesi kempen disini, beliau telah membuat satu kenyataan, katanya ' saya memilih jalan benar untuk bersama Mahasiswa Pendidik kerana kita semua adalah bakal pendidik'

Dalam hal berkaitan, Aman Yasser adalah merupakan calon umum bagi pemilihan MPP pada kali ini.