October 31, 2010

Sidang Dewan Pendidik “Panas”

Tanjong Malim, 31 Okt- Sidang Dewan Pendidik ‘SDP’ telah berjaya dilangsungkan setelah begitu lama ditunggu oleh seluruh pimpinan pelajar. Medium tersebut merupakan satu pentas perbincangan terbaik kerana segala masalah boleh diadu terus kepada pihak yang sepatutnya.

Pengarah program, Noranoo Ariffin merangkap Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa MPP mengucapakan ribuan terima kasih kepada semua peserta yang hadir semalam kerana tanpa mereka sudah tentu program pada hari ini tidak dapat dijalankan. Walaupun ramai pelajar telah balik ke kampong, tetapi kehadiran para sidang dewan dalam ‘SDP’ semalam menunjukkan komitmen mereka terhadap permasalahan mahasiswa. Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pegawai yang hadir kerana sanggup meluangkan masa bersama kami, ujarnya menerusi email.

Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP), Mohd Zahar Mohamed Nor turut menyatakan rasa gembira diatas kejayaan sidang yang berlangsung selama saparuh hari semalam. “Sidang agak panas seketika apabila usul berkaitan pendaftaran kursus daripada saudara Redzuan (Pengerusi Sekretariat Rukun Negara) dibahas.” Saya juga turut mengambil bahagian dalam perbahasan tersebut kerana keadaan yang agak kronik melanda para pelajar apabila bermulanya masa pendaftaran kursus. Kita mintak bahagian akademik semak balik sama ada sistem yang digunakan ini patut diteruskan atau kembali kepada sistem yang lama. Hal ini adalah kerana demi kebajikan mahasiswa, ujarnya lagi. Keadaan menjadi tegang apabila ramai yang bangun untuk meluahkan rasa tidak puas hati terhadap sistem tersebut menyebabkan speaker dewan terpaksa menyekat laluan kerana masa yang terbatas.

Walaubagaimanapun beliau melahirkan rasa kesal dengan kehadiran MPP yang amat sedikit. Hanya 10 orang yang hadir sedangkan kita membawa masalah mahasiswa. “saya berharap agar pada masa akan datang MPP dapat menyertai sidang seperti ini demi kebaikan bersama,” tambah beliau dalam email tersebut. Sidang yang bermula sekitar 9.40 pagi itu selesai setelah semua usul dibaca pada pukul 2.10 petang.

October 29, 2010

Malaysia sebagai Hub Hiburan: Tanda runtuhnya Institusi Pendidikan

Tanjong Malim, 29 Okt- Mahasiswa Pendidik hari ini mengeluarkan kenyataan kesal dan kecewa mengenai cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan malam dalam memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP), baru-baru ini.

Menurut Koordinator Mahasiswa Pendidik, Saudara Zahar, beliau menyatakan bahawa hub hiburan yang dicadangkan ini langsung tidak mentransformasikan Malaysia malah lebih malang lagi cadangan yang dangkal ini menunjukkan tanda akan runtuhnya institusi pendidikan.

“Saya mewakili mahasiswa pendidik ingin menyatakan rasa kesal dan kecewa dengan cadangan menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam. Malaysia akan dapat ditransformasikan bukan dengan memperbanyakkan kelab hiburan tetapi hanya dengan memberikan pendidikan yang terbaik buat rakyatnya.

“Pendidikan boleh menjamin masa depan Negara yang gemilang. Kelab hiburan yang bakal dibina bukan sahaja mengundang masalah sosial yang semakin parah, tetapi juga bakal meruntuhkan institusi pendidikan di Negara ini,” katanya.

Beliau turut menambah agar rancangan ini dibatalkan dan segala bajet untuk pembinaan kelab hiburan yang melalaikan ini dapat disalurkan ke arah penambahbaikkan terhadap institusi-institusi pendidikan.

“Oleh yang demikian, saya mewakili semua bakal pendidik ingin menegaskan pendirian bahawa kami tidak sesekali bersetuju dengan cadangan untuk pembinaan kelab-kelab hiburan yang boleh melalaikan. Apa yang menjadi kepentingan kerajaan sekarang adalah memberikan pendidikan yang terbaik kepada rakyat Malaysia kerana dengan pendidikan, Negara akan mengalami transformasi yang jauh lebih baik dari sekarang,”tambahnya lagi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang mana salah satu cadangan untuk memacu industri pelancongan adalah dengan menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam.

October 27, 2010

Takziah buat Prof. Shah- Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 27 Okt- Pro kebajikan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA), Prof. Dr. Shaharuddin Bin Abd Aziz atas pemergian ayahanda tercinta beliau jam 10 malam tadi.

Menurut wakil Pro Kebajikan yang dihubungi berkata, beliau mewakili semua mahasiswa mengucapkan takziah dan semoga roh ayahanda kepada TNC HEPA di rahmati oleh Allah s.w.t.

“Saya mewakili semua mahasiswa UPSI ingin mengucapkan takziah kepada Prof Shah atas ayahanda beliau yang telah kembali ke rahmatullah jam 10 malam tadi. Kami dari pro kebajikan mendoakan semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman.

Dalam pada itu, wakil terbabit turut memberikan peringatan kepada seluruh warga UPSI agar sentiasa menjadi hamba yang terbaik dan dicintai oleh Allah s.w.t.

“Sesungguhnya yang pergi tetap pergi. Kita yang masih hidup hanya akan menunggu janji yang telah Allah katakan dalam Al-Quran melalui Rasulullah. Kita sebagai hamba, perlu bersedia sebelum dipanggil oleh Allah untuk menghadapnya. InsyaAllah, masa kita akan tiba namun bagaimana keadaan kita kembali, itu lah yang perlu kita mulakan dari sekarang,”tambahnya.

Al-Fatihah.

October 23, 2010

Inspirasi IFF, pelajar Upsi anjur Muslim World Fashion Show

Tanjong Malim, 23 Oktober – Sekumpulan mahasiswa daripada program Pendidikan Kemahiran Hidup, Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Pendidikan Sultan Idris akan mengadakan Muslim World Fashion Festival bertempat di Auditorium Upsi.

Program tersebut akan diadakan pada 30 Oktober , jam 8 pagi dan semua mahasiswa dijemput hadir bagi memeriahkannya. Dikatakan program tersebut merupakan salah satu daripada aktiviti pelajar Kemahiran Hidup yang termasuk dalam salah satu subjek yang dipelajari.

Dalam pada itu, wujud suara kritis daripada beberapa mahasiswa agar pengisian program tersebut menepati tuntutan aurat yang ditetapkan oleh agama supaya ianya tidak menjadi kontroversi seperti isu Islamic Fashion Festival (IFF) yang bercanggah dengan nilai agama sebagaimana mendapat bantahan daripada NGO dan pelajar Islam seluruh Negara.

Wakil Pimpinan Bitara nafi kenyataan bersama pemuda Umno

Tanjong Malim, 23 Oktober – Wakil Pimpinan Bitara yang mengeluarkan kenyataan berunsur kerbersamaan dengan pemuda Umno semalam telah menafikan perkara tersebut. Beliau menyifatkan bahawa kenyataan tersebut telah disalah erti.

Beliau tetap dengan pendirian bahawa AUKU perlu dimansuhkan disamping menyatakan bahawa mahasiswa perlu dibenarkan berpolitik. Katanya “masih ramai yang menunjukkan keterbukaan terhadap parti luar seperti PAS namun hanya seperti gajah di depan mata tidak nampak namun kuman seberang laut boleh dilihat dengan jelas.”

Dalam ulasannya lagi, “jika dahulu PAS menentang keras AUKU hingga sanggup buat demonstrasi jalanan tp kini apabila YB Khairy Jamaluddin selaku ketua pemuda UMNO Malaysia ingin memperjuangkan AUKU dipinda telah menjadi masalah dan ditentang pula orang-orang PAS termasuklah penyokong mereka di universiti.”

Tambahnya “ disini kita boleh melihat bahawa, pemimpin yang benar-benar memperjuangkan hak mahasiswa dan pemimpin yang memperjuangkan demi ideologi yang hanya retorik semata-semata demi meraih undi di masa pilihan raya. "jangan jadi lidah bercabang seperti biawak", ujarnya.

Speaker's Corner 27 Oktober

Makluman kepada seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, satu Speaker's Corner (Sudut Pidato) akan diadakan pada 27 Oktober ini, bermula jam 12 - 2.00 petang bertempat di ruang legar Bangunan E-Learning.

Borang penyertaan dan peraturan boleh di muat turun menerusi laman sesawang Upsi Portal dan dihantar kepada Unit Pengucapan Awam Bahagian Pembangunan Pelajar, Aras 2 Blok A JHEPA atau hubungi Nik Azrul Nik Kamaruddin (MPP) 0194606034. Sijil penyertaan disediakan.

October 22, 2010

Kes Histeria: MP anjur bacaan Yasin malam ini

Tanjong Malim 22 Oktober – Berhubung kes histeria yang dikatakan semakin kerap berlaku melibatkan mahasiswi dibeberapa kolej kediaman Upsi , Mahasiswa Pendidik (MP) mengambil insiatif menganjurkan bacaan Yasin pada malam ini.

Menurut e-mail yang diterima dari Koordinator Mahasiswa Pendidik (MP) Mohd Zahar, beliau menerima beberapa aduan berhubung kes hysteria yang semakin kerap berlaku melibatkan mahasiswi. Katanya, “saya amat berharap supaya kes-kes hysteria ini dapat dicegah kerana ianya dapat memberi kesan tidak baik kepada tumpuan pelajaran mahasiswi yang berkenaan.”

Beliau turut menyaranakan kepada semua agar dapt menguruskan emosi dari sebarang tekanan yang boleh melemahkan jiwa kerana jiwa yang lemah akan mudah terdedah kepada histeria disamping menyarankan agar mahasiswi mengingkatkan amal ibadat yang boleh mencegah kes itu daripada berlaku.

Katanya juga, “kita telah mengambil insiatif untuk mengadakan majlis bacaan Yasin bertempat di Surau al-Falah selepas solat maghrib nanti, moga-moga dengan inisiatif kecil yang diambil ini dapat mencegah kes tersebut dari berulang, “ ujarnya

Pegawai JHEPA : Speaker’s Corner jangan jadi wadah pertikai dasar kerajaan

Tanjong Malim, 22 Oktober – Pegawai Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini telah mengeluarkan beberapa peringatan berhubung perlaksanaan Speaker’s Corner yang dikatakan semakin mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa disini.

Menurut wakil MP (Mahasiswa Pendidik) Nik Azrul, beliau telah mendapat satu peringatan daripada beberapa orang pegawai JHEPA agar kandungan pidato yang ingin dilontarkan oleh mahasiswa tidak menyentuh atau mempertikaikan sebarang dasar kerajaan yang telah ditetapkan.

Beliau menyifatkan bahawa, mahasiswa dibenarkan untuk menyatakan sebarang pendirian berhubung sebarabg isu kebajikan, sosial, politik kampus dan lain-lain asalkan tidak menyentuh isu-isu sensitif serta mempertikaikan dasar kerajaan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Dalam hal berkaitan, Speaker’s Corner yang seterusnya akan diadakan pada Rabu depan dan dikatakan bakal menyaksikan perdebatan hebat antara beberapa kelompok mahasiswa disini.

Pimpinan Bitara bersama pemuda Umno perjuang AUKU

Tanjong Malim, 22 Oktober - Mengulas berhubung keterlibatan mahasiswa IPTA dalam Perhimpunan Agung UMNO yang telah di keluarkan oleh Upsikini semalam, wakil Pimpinan Bitara telah menyatakan pendirian mereka bahawa mahasiswa sewajarnya dibenarkan berpolitik sebagaimana yang dinyatakan oleh Pemuda Umno semalam.

Menurut Farhan, wakil Pimpinan Bitara yang juga sinonim dengan panggilan 'Berahim Ali Upsi' dari kalangan mahasiswa disini turut mengatakan bahawa 'biarkan mahasiswa berpolitik demi lanskap tanah air. Katanya " Pemuda UMNO sekarang ingin meminda akta AUKU demi politik Malaysia..macam mana teruk politik (mungkin dalam Umno) pun kita kena juga berpolitik bagi menentukan siapa akan mentadbir negara kita, " ujarnya dalam ulasan di Facebook.

Dalam pada itu, Pemuda Umno semalam telah menyatakan pendirian mereka bagi memperjuangkan isu kebebasan mahasiswa berpoltik dan meminda AUKU bagi memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa dalam menyatakan pendirian mereka. Namun, kenyataan terbabit didakwa bersifat 'double standard' kerana mereka dikatakan mempunyai kuasa kerajaan.

Dalam hal berkaitan , kenyataan Pimpinan Bitara tersebut telah menonjolkan muka sebenar mereka yang didokongi oleh anasir politik kepartian luar. Terdahulu, Pimpinan Bitara merupakan salah satu 'front' yang mentadbir kerusi MPPUPSI kini selepas berlaku pertembungan dengan wadah Mahasiswa Pendidik Universiti Pendidikan Sultan Idris pada Pilihan Raya Kampus (PRK) lepas. Dikatakan Pimpina Bitara lebih cenderung kepada parti pemerintah.

Bila ‘Posting’ : KPM belum maklum kepada universiti

Tanjong Malim, 22 Oktober – Penempatan bakal guru yang dijangka akan disenaraikan pada 21 Oktober ini belum lagi dikeluarkan oleh pihak KPM. Menurut sumber sebelum ini, Unit Perkhidmatan Guru (UPG) dijangka akan mengeluarkan keputusan penempatan bagi calon yang layak pada 21 Oktober dalam portal KPM, sementara 26 Oktober tarikh melaporkan diri di Jabatan Pelajaran Negeri penempatan masing-masing.

Menurut Mohd Amin Mat Sidik, Exco Akademik dan Kerjaya MPPUPSI, beliau telah mengajukan hal terbabit kepada Timbalan Naib Canselor Akademik UPSI, Prof. Zakaria Kasa .Walau bagaimana pun, TNCA telah menyatakan bahawa setakat ini pihak KPM tidak memaklumkan kepada universiti berhubung bila tarikh penempatan bagi lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) dikeluarkan berbanding Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang telah ditempatkan baru-baru ini.

Dalam kenyataan beliau, TNCA mengatakan bahawa isu berhubung pertembungan penempatan DPLI dan ISMP telah dibawa ke perbincangan bersama KPM dan mungkin akan diatasi dalam RMK 10 nanti. Sekarang kita masih menggunakan dasar yang sama.

Menurut Mohd Amin, beliau akan mendapatkan respon terkini dari TNCA sendiri dan akan memaklumkannya dari semasa ke semasa kepada semua graduan Upsi yang baru berkonvokesyen baru-baru ini. Katanya, "kita diperingkat Mahasiswa Pendidik juga sedang cuba membawa suara penyelesaian terhadap isu ini dengan menyatakan pendirian kita kepada pihak atasan agar diselesaikan dengan baik"

Terdahulu, UPSIkini juga menerima pelbagai respon dari pembaca-pembaca yang mendakwa keputusan penempatan akan dikeluarkan pada 21 Oktober, namun mereka kecewa kerana ianya masih belum dikeluarkan oleh KPM. Mereka dikatakan menunggu pengumuman keputusan penempatan masing-masing.

October 21, 2010

Perhimpunan Agung UMNO: Mahasiswa Upsi terlibat?

Tanjong Malim, 21 Oktober - Malaysiakini semalam telah mendedahkan penglibatan dua mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa telah menjadi anak didik muda Umno yang mengambil bahagian sebagai pengiring dalam raptai penuh perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Oktober lalu.


Mengulas hal berkenaan, Koordinator MPP Mahasiswa Pendidik yang juga merupakan Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI menyatakan bahawa jika kerajaan dibawah KPT memang benar-benar komited dan adil dalam melaksanakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), sepatutnya kes ini di siasat dengan teliti dan jangan bersikap "double standard."

Katanya " saya mewakili mahasiswa Upsi mengecam keterlibatan mahasiswa dengan parti politik yang secara terang melanggar Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) dalam perkara 15 yang menyebut larangan bagi mana-mana mahasiswa menyertai parti politik.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa wujud ramai lagi mahasiswa dari universiti lain yang turut terlibat termasuk dari Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Wacana: Mahasiswa Masa Kini dan Cabaran Pendidik Masa Hadapan

Makluman kepada seluruh warga kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris, satu wacana bertajuk Mahasiswa Masa Kini dan Cabaran Pendidik Masa Hadapan akan diadakan pada malam ini bertempat di Surau al-Falah. Wacana tersebut menampilkan motivator terkemuka Saudara Amin Idris yang juga berpengalaman dalam dunia mahasiswa. Topik perbincangan berkaitan dunia kemahasiswaan dan prospek masa hadapan pendidik akan diadakan seperti berikut:

October 20, 2010

Laptop pegawai TNCHEPA dicuri, wujud dakwaan kecurian ada motif politik

Tanjong Malim , 20 Oktober - Baru-baru ini Universti Pendidikan Sultan Idris digemparkan dengan satu kes kecurian komputer riba milik pegawai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI Prof. Dr. Shaharudin Abd Aziz. Komputer riba tersebut dikatakan telah dicuri dipejabat beliau oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Dalam pada itu, Upsikini telah menerima e-mail dari seorang individu yang menyatakan bahawa kecurian tersebut mempunyai motif politik yang dilakukan oleh pihak tertentu yang berkepentingan. Kecurian terbabit telah berjaya dirakam menerusi sebuah CCTV dipejabat tersebut dan telah disebarkan menerusi laman Facebook.

Dalam hal berkaitan,pihak keselamatan UPSI sedang giat untuk mengesan individu terbabit dan dikatakan satu laporan telah dibuat bagi menjejak individu terbabit untuk diambil tindakan undang-undang.

video

October 19, 2010

Istiadat Konvokesyen: Penghargaan buat Semua

Tanjong Malim, 19 okt- Pro Kebajikan hari ini merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak sempena Istiadat konvokesyen ke 12 sidang kedua yang berjalan dengan lancar dan sangat baik.

Menurut wakil Pro Kebajikan yan ditemui berkata, tanpa peranan dan kerjasama semua pihak, istiadat konvokesyen tersebut tidak dapat berlangsung dengan sempurna.

“Saya mewakili Pro Kebajikan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada bahagian akademik khususnya dan semua bahagian amnya atas pengorbanan yang dicurahkan untuk menjayakan konvokesyen kali ini. Semoga mereka yang terlibat mendapat ganjaran daripada Allah.

Wakil Pro kebajikan tersebut juga berkata, anugerah anumerta yang dianugerahkan kepada arwah Norazmi juga membuktikan kesungguhan dan keprihatinan pihak universiti kepada kebajikan mahasiswa dan mahasiswi.

“Anugerah anumerta yang dianugerahkan kepada sahabat kita, arwah Norazmi membuktikan bahawa unit kebajikan Hal Ehwal Pelajar dan unit pengijazahan begitu prihatin mengenai kebajikan mahasiswa. Terima kasih kepada HEP dan unit pengijazahan. Semoga dengan anugerah itu, dapat mengubati perasaan keluarga arwah,” katanya.

“Saya juga ingin menambah, buku konvokesyen yang diberikan ketika istiadat juga amat menarik. Dengan gabungan warna hijau dan kekuningan, menaikkan lagi semangat para graduan. Lagipun, saya memang minat warna-warna hijau ni. Terima kasih kepada ‘designer’ buku konvo kali ini,” tambahnya sambil berseloroh.

Untuk makluman, istiadat konvokesyen ke 12 sidang kedua berlangsung dengan jayanya mulai 13-17 Oktober dan dihadiri oleh Canselor UPSI, Sultanah Perak Darul Ridzuan, Tunku Bainun.

October 16, 2010

Speaker's Corner 20 Oktober ini

Makluman kepada seluruh mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris, satu Speaker's Corner( Sudut Pidato) akan diadakan pada 20 Oktober ini, bermula jam 11 - 1.00 petang bertempat di ruang legar Bangunan E-Learning.

Koordinator MP ( Mahasiswa Pendidik) Mohd Zahar Mohamed Nor yang juga merupakan Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI menyarankan agar mahasiswa sama-sama turun untuk menghangatkan Speaker's Corner pada hari tersebut.

Speakers Corner adalah medium untuk mahasiswa menyatakan pandangan dan luahan mereka berhubung hal kebajikan, sosial dan lain-lain. Kepada mana-mana mahasiswa yang berminat untuk berpidato, pendaftaran boleh dibuat dengan mengisi borang penyertaan yang disediakan. Maklumat aktiviti seperti berikut:


Tarikh : 20 Oktober 2010
Masa : 11.00 PAGI - 1.00 petang
Tempat : Ruang legar Bangunan E-Learning

Borang penyertaan dan peraturan boleh di muat turun menerusi laman sesawang Upsi Portal dan dihantar kepada Unit Pengucapan Awam Bahagian Pembangunan Pelajar, Aras 2 Blok A JHEPA atau hubungi Herwan Herman (MPP) – 019 3778938 dan Mohd Zahar Mohamed Nor (MPP)- 013 4103763. Sijil penyertaan disediakan.

Dalam hal berkaitan, Speaker's Corner pada hari tersebut dikatakan akan turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

October 12, 2010

Takziah kepada keluarga Norazmi- Pro Kebajikan

Tanjong Malim, 12 Okt- Pro Kebajikan hari ini merakamkan ucapan takziah kepada semua yang mengenali terutama keluarga kepada arwah Norazmi, mangsa kemalangan maut di Kilometer 223 Lebuhraya Utara Selatan.

Saudara Akmal Madzir ketika dihubungi berkata, beliau mewakili rakan-rakan dari Pro Kebajikan yang akan bergraduasi mengucapkan takziah dan mendoakan semoga arwah Norazmi ditempatkan dikalangan orang-orang soleh.

“Saya mewakili rakan-rakan pro kebajikan, ingin merakamkan takziah kepada keluarga arwah. Kami mendoakan arwah ditempatkan dikalangan orang yang soleh. Kami turut berdoa agar Allah memberikan ketabahan kepada keluarga arwah,”katanya.

Menurut Aqilah yang dihubungi pula berkata, beliau menyarankan agar unit pengijazahan UPSI boleh memberikan kesempatan kepada ahli keluarga arwah atau wakilnya menerima ijazah bagi pihak arwah.

“Saya turut bersimpati atas kejadian yang berlaku. Jadi saya bercadang agar salah seorang ahli keluarga atau wakil arwah dapat diberikan kesempatan untuk menerima ‘scroll’ bagi pihak arwah pada sesi yang sepatutnya dihadiri oleh arwah,” katanya.

“Sesungguhnya Allah lebih menyayangi arwah Norazmi. Cita-cita arwah untuk bergelar guru juga merupakan niat yang mulia dan moga-moga menjadi pahala buat arwah,” tambahnya lagi.

Semalam, satu kemalangan maut telah berlaku di kilometer 223 Lebuhraya Utara Selatan di mana mengorbankan 12 orang mangsa termasuk arwah Norazmi Abdul Karim, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni UPSI, manakala 40 orang lagi cedera. Al-Fatihah.