September 8, 2010

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI MPP MAHASISWA PENDIDIK

PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI 2010/14231H MPP MAHASISWA PENDIDIK

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS

Assalamualaikum wbrkth dan Salam Mahasiswa Pendidik,

Terlebih dahulu marilah kita sama-sama mengucapkan segala puji dan syukur kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dianugerahkan kepada kita disamping diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan Sultan Idris tercinta ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.

Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, pemberi petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.

Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,

Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Mahasiswa Pendidik UPSI. Hari kemenangan bagi mereka yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) kepada Tuhannya dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.

Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.

Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Doakanlah kesejahteraan buat mereka. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.

Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu

Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti komputer riba, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.

Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah di jalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.

Ucapan takziah kepada yang ditimpa musibah

Kami barisan MPP Mahasiswa Pendidik dengan rasa rendah hati menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga sahabat kita Mohd Syarafie Sauli yang telah pergi dalam sebuah kemalangan maut baru-baru ini. Sesungguhnya kemalangan tersebut memberi satu pengajaran buat kita agar lebih berhati-hati ketika memandu, moga-moga kita selamat sampai ke destinasi.

Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami

Kami barisan MPP MahasiswaPendidik ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam Eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.

Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,

Akhir kata, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Mahasiswa Pendidik. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama kesejahteraan, keadilan, kebersamaan dan keeratan persaudaraan.

Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam).


Dari kami barisan MPP Mahasiswa Pendidik (MP)

Mohd Zahar b. Mohamed Nor

Atiqah bt. Mohamad Hasbi

(Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah)

Nik Azrul b. Nik Kamaruddin

(Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan)

Mohd Amin b. Mat Sidik

(Exco Akademik dan Kerjaya)

Noranoo bt. Arifin

(Exco Perhubungan Awam dan Antarabangsa)

Herwana bt. Herman

(Exco Kesenian dan Kebudayaan)

September 7, 2010

NC mohon maaf, ucap Selamat Menyambut Aidilfitri

Sempena menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Yg. Brbhg. Prof. Dato' Dr. Aminah Ayob telah merakamkan ucapan mohon maaf dan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada seluruh warga kampus. Ucapan tersebut dirakamkan menerusi sebuah klip video yang dikeluarkan oleh bahagian PTPMUPSI selama lebih 2 minit.

video

September 5, 2010

Tak balik raya: Jamuan khas raya untuk pelajar Sabah, Sarawak

Kepada mahasiswa Sabah, Sarawak dan mana-mana mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang tidak pulang berhari raya pada kali ini dijemput untuk mengahadiri jamuan khas hari raya seperti berikut:


Tarikh: 10 September 2010 bersamaan 1 Syawal 1431H
Masa : 9.00 pagi
Tempat : SITC
Anjuran : JHEPA

Jamuan tersebut akan berlansung selepas menunaikan solat sunat 'Idulfitri di Masjid Jamek, Tanjong Malim. Bas akan disediakan dari kolej kediaman ke Masjid Jamek. Dalam pada itu, dua buah bas juga turut disediakan kepada yang berminat untuk ke rumah terbuka di Putrajaya selepas jamuan raya di SITC.

Kemalangan maut: Al-Fatihah kepada Mohd Syarafi

Tanjong Malim, 5 September- Mahasiswa Pendidik UPSI hari ini merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang maut dalam kemalangan jalan raya pada petang semalam Mohd Syarafi b. Sauli.

Menurut saksi , mangsa maut dalam kemalangan yang melibatkan pertembungan maut dengan sebuah lori pengangkut di Machang Kelantan. Mangsa Mohd Syarafi meninggal dunia sekitar jam 7.00 petang semalam kerana mengalami kecederaan teruk di bahagian badan.

Mangsa yang juga mahasiswa Semester 6 program Sains Kejurulatihan dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampung namun ditakdirkan Allah, beliau telah pergi dalam satu kemalangan maut di Machang Kelantan.

NameMohd Syarafie Bin Sauli
Emailsyarafie85@yahoo.com.my
GroupStudent
Semester6
FacultyFakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan
ProgramAT43 - Sains Kejurulatihan
Level of StudyDEGREE - Ijazah Sarjana Muda Pendidikan

Dalam pada itu Mahasiswa Pendidik merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa “Saya mewakili Mahasiswa Pendidik merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa. Moga-moga rohnya ditempatkan bersama-sama orang yang soleh. Kami senantiasa berdoa, semoga Allah memberikan kesabaran kepada keluarga mereka", ujar Nik Azrul yang juga merupakan Exco Kebajikan MPPUPSI.

September 2, 2010

Perlantikan semula NC: Mahasiswa Pendidik ucap tahniah

Tanjong Malim, 2 September - MPP Mahasiswa Pendidik hari ini menyatakan ucapan sekalung tahniah kepada ibunda Naib Canselor Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Aminah Ayob kerana telah dilantik semula sebagai Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi sesi akan datang.

Menurut Koordinator Mahasiswa Pendidik, Mohd Zahar Mohamed Nor yang juga merupakan Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI menyatakan bahawa "kami mengucapkan sekalung tahniah kepada ibunda Naib Canselor Y.Bhg. Prof. Dato' Dr. Aminah Ayob diatas perlantikan semula sebagai Naib Canselor UPSI , dan kami dibarisan MPP sentiasa mendokong cita-cita dan nilai universiti dibawah kepimpinan Naib Canselor."

Mohd Zahar turut menyifatkan bahawa, perlantikan semula ibunda sebagai Naib Canselor merupakan satu anugerah kepada seluruh warga kampus kerana dedikasi dan kemesraan beliau memimpin universiti sebelum ini. Katanya 'kita bersyukur atas perlantikan semula ibunda Naib Canselor, saya sendiri amat menyayangi beliau dan beliau amat mesra dengan mahasiswa, cakna dan kami sendiri di barisan MPP tak ada banyak masalah untuk bertemu beliau. "

Dalam pada itu, MPP Mahasiswa Pendidik juga turut menyatakan hasrat untuk bertemu secara rasmi dengan ibunda Naib Canselor bagi menyatakan ucapan tahniah disamping menyifatkan bahawa ereka sentiasa mendokong aspirasi dan nilai kebitaraan universiti.