October 29, 2009

UPSIkini ucap Selamat Menghadapi Peperiksaan

Warga kerja UPSIkini mengucapkan Selamat Menghadapi Peperiksaan Akhir Semester kepada seluruh mahasiswa UPSI yang sudah pun bermula beberapa hari lalu.

Untuk itu pihak UPSIkini juga memohon maaf atas kelewatan ucapan dan penangguhan operasi penyiaran berita dan laporan sebelum ini.

Walau bagaimanapun, pihak UPSIkini sedang berusaha untuk menstruktur semula tugas semua editor bagi membolehkan laporan terkini dapat disiarkan seperti biasa terutamanya dalam minggu peperiksaan.

Selamat Menghadapi Peperiksaan.

Teruskan bersama UPSIkini.

October 22, 2009

Semakan panggilan temu duga GSTS IPTA Sesi Okt/Nov 2009

Pihak Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa semakan temu duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) keluaran IPTA bagi sesi Okt / Nov 2009 telah dibuka bermula 22 Oktober sehingga 7 November 2009.

Semakan tersebut adalah bagi calon-calon yang telah memohon untuk mengisi jawatan tersebut melalui Sisitem Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Keluaran IPTA (e-gst) yang telah dibuka pada 10 Ogos hingga 10 September yang lalu.

Semakan ini boleh dibuat dengan melayari laman web KPM atau di alamat http://apps.emoe.gov.my/egst/tduga/index.cfm

October 21, 2009

AMI gesa Pro Kebajikan segera nyata pendirian

Tanjong Malim, 21 Okt. – Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI hari ini menggesa pimpinan Pro Kebajikan UPSI segera menyatakan pendirian berhubung keputusan sama ada mahu bertanding dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) akan datang ataupun sebaliknya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Presidennya, AMI berharap dengan membuat keputusan lebih awal, persiapan dan tindakan susulan dapat disusun supaya matlamat keputusan tersebut dapat dicapai.

Tambahnya, Pro Kebajikan perlu mengambil kira faktor luaran dan tidak hanya tertumpu kepada perbincangan dalaman untuk membuat keputusan berkenaan perkara tersebut.

Sambil menyokong kepada pandangan ahli MPP Pro Kebajikan yang menolak cadangan Biro Politik & Risikan (BPR) kumpulan tersebut, AMI mendakwa tindakan tidak bertanding akan merugikan bakat kepimpinan yang ada di kalangan mereka sekali gus melenyapkan harapan ribuan mahasiswa yang mahu melihat perubahan menyeluruh dalam kepimpinan MPP.

Majlis Tertinggi Pro Kebajikan pada ketika ini dikatakan masih lagi meneliti cadangan yang diusulkan BPR dan menerima pelbagai reaksi di kalangan penyokong kumpulan terbabit.

Bakal guru pegang janji Menteri Pelajaran 13 000 guru tambahan

Tanjong Malim, 21 Okt.- Bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mampu menarik nafas lega dengan pengumuman keperluan 13 000 guru tambahan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Muhyiddin mengeluarkan kenyataan tersebut dalam jawapannya kepada soalan Mohd Noor Othman (Hulu Terengganu) berkenaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan diganti dengan dasar baru, memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris(MBMMBI) mulai 2011.

Mengulas berkenaan kenyataan tersebut, Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis (gambar) berkata, kenyataan itu adalah positif untuk bakal guru dan sudah pasti janji tersebut dipegang apatah lagi apabila timbul isu penempatan akan dilewatkan baru-baru ini.

“Bakal guru sudah pasti positif dengan pengumuman tersebut dan kita akan berpegang kepada janji tersebut’, ulasnya.

Jelasnya lagi,”perkara tersebut akan menjadi satu lagi bukti bahawa guru memang diperlukan cuma apa yang menjadi persoalan sekarang adalah, kenyataan yang dikeluarkan adalah berhubung dengan isu MBMMBI yang menjurus kepada bekalan guru Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, bagaimana pula dengan guru-guru subjek lain. Jadi kita kena lihat juga keperluan guru-guru opsyen lain.”

Beliau sebelum ini mendedahkan kenyataan bekas Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein yang mengatakan sebanyak 26 000 kekosongan jawatan perguruan akan diisi sebagai maklum balas terhadap isu kemungkinan berlaku kelewatan penempatan.

Transkrip peperiksaan pelajar semester 8 boleh diambil pada Disember

Tanjong Malim, 21 Okt – Semua pelajar semester 8 yang telah menjalani praktikal boleh mengambil transkrip keputusan peperiksaan masing-masing pada awal Disember ini, dua minggu selepas mesyuarat senat bersidang pada 17 November ini.

Perkara tersebut disampaikan Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohd Zulhelmi Mohd Noor (gambar) selepas mendapatkan maklumat tersebut di Bahagian Akademik UPSI pagi tadi.

Katanya, transkrip tersebut hanya boleh diambil oleh pelajar terlibat dua minggu selepas mesyuarat senat bersidang dan tidak boleh diwakilkan oleh mana-mana pihak.

Berkenaan prosedur, pihak akademik akan memaklumkannya melalui ruangan pengumuman di MyUPSI Protal.

October 20, 2009

MPP Pro Kebajikan sepakat tolak cadangan BPR

Tanjong Malim, 20 Okt. – Semua lapan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan menolak cadangan Biro Politik & Risikan (BPR) Pro Kebajikan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kampus akan datang.

Koordinatornya, Akmal Madzir yang juga merupakan Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP mengatakan cadangan tersebut merupakan langkah ke belakang setelah Pro Kebajikan berjaya mendapat mandat besar mahasiswa pada PRK yang lalu.

“Kami dalam barisan MPP yang membawa nama Pro Kebajikan berpendapat cadangan tersebut merupakan langkah ke belakang yang tidak sejajar dengan kehendak mahasiswa yang sudah memberi kepercayaan kepada kita”, ulasnya.

Tambahnya, “meskipun kajian BPR membawa kepada cadangan tersebut, namun saya yakin dengan sokongan mahasiswa, terus bertanding adalah pilihan terbaik bagi memberi peluang kepada mahasiswa memilih barisan kepimpinan terbaik’.

Beliau mengulas perkara tersebut selepas timbul desas-desus mengatakan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan akan mempertimbang cadangan BPR Pro Kebajikan untuk tidak bertanding dalam PRK akan datang.

Sementara itu, Exco Akademik & Kerjaya MPP, Nur Aqilah Hanis dalam kenyataannya turut memberi respon yang sama – mahu Pro Kebajikan menghantar calon terbaik dalam PRK akan datang.

Katanya, penghormatan kepada arahan ketua adalah perlu namun keadaan semasa yang mahu perubahan menyeluruh dalam kepimpinan MPP menjadi tanggungjawab Pro Kebajikan untuk merealisasikannya di samping melahirkan kepimpinan yang dinamik dan bersifat kemahasiswaan.

“Semua ahli AMI UPSI dapat penempatan”- Presiden

Tanjong Malim, 20 Okt. – Presiden Alumni Mahasiswa Islam (AMI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersyukur apabila semua ahlinya mendapat penempatan masing-masing selepas berjaya menamatkan pengajian dan bergraduat pada Ogos lalu.

Beliau yang memaklumkan perkara tersebut kepada UPSIkini melahirkan rasa syukur dan gembira dengan khabar tersebut dan berharap semua ahli AMI akan terus memberi sumbangan dan bakti dalam kerjaya sebagai guru pula.

“Saya benar-benar bersyukur dan rasa gembira dengan perkhabaran tersebut dan ini menunjukkan bahawa kebergantungan kita kepada Allah di samping usaha dan doa yang dipanjatkan dimakbulkan-Nya”,ulasnya.

Dalam pada itu katanya, ada beberapa ahli AMI yang memohon untuk menangguh penempatan pada hujung Oktober ini kerana ingin menamatkan kontrak perkhidmatan di Sekolah Agama Rakyat di kawasan mereka yang berakhir hujung tahun ini.

October 19, 2009

Pameran Seni dan Kraf Tangan

Seluruh warga UPSI dijemput untuk menyaksikan ‘Pameran Seni dan Kraf Tangan Dalam Pendidikan Khas’ pada 23 Oktober (Jumaat) ini bertempat di Foyer Bangunan IPSI, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pameran akan bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang dengan tema "Penghargaan Seni Untuk Insan-Insan Istimewa”.

Program merupakan anjuran mahasiswa/i kursus pengajaran muzik, seni dan kraf tangan dalam pendidikan khas.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Khairul Izuan di talian +6019-4306209.


Pro Kebajikan pertimbang cadangan tak bertanding PRK

Tanjong Malim, 19 Okt – Pro Kebajikan UPSI, kumpulan mahasiswa UPSI yang mula mendapat perhatian sejak menang mengejut 8 kerusi termasuk 3 kerusi Umum pada Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lalu akan mempertimbangkan cadangan Biro Politik & Risikan kumpulan tersebut supaya tidak bertanding dalam PRK akan datang.

Cadangan tersebut dibentangkan Ketua Biro tersebut dalam satu mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan beberapa hari lalu.

Tindakan menarik diri dalam PRK akan datang disifatkan Biro tersebut sebagai langkah pilihan selepas mempertimbangkan beberapa perkara mengikut kajian yang dijalankan.

Dalam pembentangannya, Ketua Biro terbabit mengatakan, melalui risikan yang dibuat, sistem e-voting yang digunakan dalam pengundian berkemungkinan besar dimanipulasi pihak tertentu dalam memastikan calon Pro Kebajikan tewas.

Justeru katanya, adalah sesuatu yang agak sukar untuk menerajui kepimpinan MPP meskipun calon terbaik diletakkan selagi system tersebut digunakan.

Tambahnya, faktor lain yang mendorong kepada cadangan itu adalah bagi memberi penumpuan kepada organisasi lain yang lebih praktikal dalam pelaksanaan program-program yang selari dengan prinsip Pro Kebajikan.

Selain itu, biro tersebut juga mengusulkan sistem dwi tahunan yang mencadangkan Pro Kebajikan bertanding sekali dalam tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dikatakan menimbulkan pelbagai pandangan daripada ahli MT Pro Kebajikan.

Setiausahanya ketika mengulas perkara terbabit berkata cadangan itu masih belum diputuskan kerana beberapa faktor lain harus diambil kira.

“Perkara ini masih di peringkat cadangan kerana kita perlu menilai dari semua aspek sebelum membuat keputusan”,ulasnya

Ditanya adakah tindakan tersebut dipengaruhi faktor kekurangan calon untuk bertanding, beliau berkata, “setakat ini ramai yang menawarkan diri untuk bertanding atas nama Pro Kebajikan dan soal kurang calon memang tidak timbul”.

UPSI dijangka bakal mengadakan PRK awal tahun depan bersama-sama 4 kampus utama di Lembah Klang – UM, UKM, UPM, dan UIA.

Adriyani : Hati-hati beli tiket balik kampung

Tanjong Malim, 19 Okt – Menjelang cuti akhir semester bermula 23 November ini, perkhidmatan bas catar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing menjadi salah satu pilihan pelajar di sini.

Berikutan itu, ramai di kalangan pelajar yang menjadi agen menjual tiket perkhidmatan bas catar mengikut negeri masing-masing lebih awal bagi memudahkan urusan.

Mengulas berkenaan perkara tersebut, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Adriyani Yamin (gambar) mengingatkan pelajar supaya berhati-hati untuk menggunakan perkhidmatan tersebut.

Katanya, pelajar perlu memastikan tiket yang dibeli mempunyai jaminan untuk mengelak ditipu seperti yang berlaku sebelum ini.

“Rakan-rakan pelajar saya nasihatkan supaya berhati-hati dalam menggunakan perkhidmatan bas catar, dan kalau boleh pastikan tiket yang dibeli mempunyai jaminan perjalanan supaya tidak lagi ditipu seperti yang berlaku sebelum ini”, ulasnya.

Tambahnya lagi, “kepada mereka yang menjadi agen pula, pastikan anda juga tidak ditipu pengusaha-pengusaha bas, pastikan ada hitam putih”.

Dalam pada itu, beliau mengakui perkhidmatan bas catar memang membantu pelajar kerana perkhidmatan pengangkutan awam memang tidak mencukupi bagi menampung jumlah pelajar yang ramai semasa cuti bermula.

October 16, 2009

Gangguan bekalan elektrik di UPSI

Pihak Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB) UPSI memaklumkan bekalan elektrik akan diputuskan buat sementara waktu di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI bagi menjalankan kerja-kerja pemasangan kabel bawah tanah dan penyambungan bekalan elektirk di Bangunan E-Learning. Gangguan bekalan elektrik akan berlaku bermula pada jam 10.00 pagi 17 Oktober 2009 (Sabtu) sehingga 7.00 malam 18 Oktober 2009 (Ahad).

Antara lokasi yang terlibat adalah di kawasan yang menggunakan Pencawang Elektrik No. 1, 5 dan 7 iaitu :
  • Perpustakaan Tuanku Bainun
  • Auditorium
  • Bangunan Palapes dan Suksis
  • Galeri Seni
  • Bangunan Yusof Ahmad
  • Tangki Air
  • Blok A (JHEPA)
  • Blok B (Fakulti Bahasa)
  • Bangunan Suluh Budiman
  • Bangunan Pusat ICT
  • Tadahan Utara
  • Blok C dan D
  • Lampu Padang UPSI
Pihak JPPHB turut memohon agar semua pihak mengambil langkah awal keselamatan dengan menutup semua suis dan soket serta peralatan-peralatan elektrik sepanjang tempoh gangguan tersebut.

October 15, 2009

KPM tak kenal siapa kamu

Amran Kusrin
Okt 15, 2009

Semasa awal-awal dulu penulis menjejakkan kaki ke UPSI, langsung tak faham apa ke jadahnya Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB). Disuruh pula menyanyi dengan penuh semangat oleh abang-abang dan kakak-kakak 'bersama universiti' lagu Ibu Kandung Suluh Budiman (IKSB).

Kemudian mereka bersungguh-sungguh mahu membentuk anak-anak baru lahir ini bersama universiti. Bila tanya mereka apa ke jadahnya Anak@Ibu Kandung Suluh Budiman, dia pun tak tahu tapi tetap bertegas dialah satu-satunya yang bersama universiti. Itu strategi kempen sebelum UPSI tukar logo.

Apa yang ingin penulis kongsikan, sudah diberi petunjuk kepada kita dengan keputusan penempatan graduan UPSI baru-baru ini, rupa-rupanya KPM tak kenal siapa kita. Kamu AKSB ke IKSB ke Pro Kebajikan ke Pro Kualiti ke MPP ke JMK ke pemegang biasiswa KPM ke apa pun kamu hatta penerima Anugerah Nadi Wanita UMNO 2009 (bukan UMNO bagi, Kerajaan Malaysia yang bagi), KPM tak kenal siapa kamu.

KPM kenal kita dengan borang, ujian INSAK dan temuduga. Kamu lantang masa berkempen semasa pilihan raya nak buat stesen radio UPSI, tapi bila temuduga kamu buat lemah gemalai, KPM boleh nilai kamu. Kamu hebat ulang-ulang 6 7 kali nama kamu nak suruh orang kenal semasa kempen, tapi dalam ujian INSAK kamu dikategori orang yang suka guna kabel, kamu juga ditolak. Rupa-rupanya KPM tak kenal kamu. Kamu hebat tanda tangan surat jemputan itu dan ini, program telan juta-juta, bila isi borang salah, tak ada guna. KPM tak kenal kamu.

Jadi, mesejnya, kamu adalah kamu dan KPM hanya nak kenal kamu dalam 3 perkara tadi, borang, ujian INSAK dan temuduga. Siapa yang KPM kenal?

*penulis merupakan mantan sebuah persatuan di UPSI.

Pengambilan baru : Hanya empat program ditawar, tiada jaminan penempatan

Tanjong Malim, 15 Okt.- Pengambilan pelajar baru bagi ambilan Disember 2009/10 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hanya menawarkan empat program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan iaitu Sains Kejurulatihan, Seni Komunikasi Visual, Multimedia dan Teknologi Rekabentuk Berkomputer yang mengambil masa 4 tahun atau lapan semester pengajian.

Program dibuka kepada calon lulusan STPM, Matrikulasi dan Diploma untuk setiap program yang ditawarkan.

Kesemua program yang ditawarkan adalah untuk pasaran terbuka (open market) dan tidak mempunyai sebarang jaminan penempatan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) selepas tamat pengajian berdasarkan iklan yang disiarkan web permohonan atas talian UPSI.

Bagi mereka yang berminat, sila layari laman web www.upsi.edu.my/online.

80 graduan B & K gagal INSAK, temuduga

Tanjong Malim, 15 Okt – Kira-kira 80 graduan program Bimbingan & Kaunseling dilaporkan gagal dalam ujian INSAK dan temuduga menyebabkan graduan program tersebut antara yang terbanyak gagal dalam penempatan pada kali ini.

Perkara tersebut disampaikan oleh Ketua Jabatan Bimbingan & Kaunseling, Dr. Nasir malam semalam dalam satu program perjumpaan antara pelajar dan Penasihat Akademik di Dewan Peperiksaan UPSI.

Bilangan tersebut dikatakan yang terbanyak sejak UPSI mengeluarkan graduan dalam program tersebut.

Mantan ahli MPP dapat anugerah daripada UMNO

Tanjong Malim, 15 Okt – Seorang bekas pelajar UPSI yang juga merupakan ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sesi 2007/08, saudari Khasyatul Rodziah Ilias dilaporkan terpilih sebagai penerima Anugerah Nadi Negara Wanita UMNO 2009 sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Beliau antara 11 penerima anugerah yang dipilih di kalangan graduan muda. Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada mereka yang cemerlang akademik selain bertujuan membajai bakat kepimpinan sebagai persediaan melahirkan golongan pemimpin bagi melestarikan Malaysia.

Dalam kenyataan berkenaan anugerah yang diterimanya Khasyatul dipetik sebagai berkata anugerah yang diberi kepadanya akan menjadi pendorong untuk beliau terus bergiat aktif dan menjadi pendidik yang berkualiti.

Mengulas tentang perkara tersebut, Ketua Penerangan Pro Kebajikan UPSI mendakwa anugerah yang diterima Khasyatul yang juga merupakan mantan ahli MPP membuktikan beliau sudah mula aktif dalam politik khususnya parti UMNO sejak dalam pengajian di UPSI.

“Ini jelas, mereka sering dakwa ada pelajar terlibat dengan politik luar, dan saya nak sahkan perkara tersebut sekarang, merekalah yang terlibat dengan politik luar, parti UMNO tapi yang menghairankan pihak yang berkaitan buat nampak tak nampak saja perkara tersebut”,ulasnya.

Tambahnya lagi,”kenyataan beliau juga sudah membuktikan beliau terlibat dengan politik sejak dalam pengajian apabila beliau berkata ‘akan terus bergiat aktif’, maknanya sebelum ni pun dah aktif”.

Dalam pada itu, Pro Kebajikan turut menggesa pihak universiti berlaku lebih adil dalam memantau pergerakan pelajar dalam menyertai aktiviti parti politik di luar.

“Saya nak pesan kepada pihak yang bertanggungjawab, jangan bersikap ‘double standard’ dalam memantau perkara ini, bila parti UMNO kamu diam, bila ada aktiviti UMNO dan BN dalam kampus kamu diam, sebelum ini bukan main bersungguh-sungguh nak berlaku adil, tak mahu ada politik dalam kampus, tapi bila UMNO kamu senyap. Adil ke ini?,”katanya.

Terdahulu, Khasyatul Rodziah dilaporkan antara graduan yang gagal mendapat penempatan pada sesi kali ini.

Denggi : Wan Aini telah sedar dari koma

Tanjong Malim, 15 Okt. – Seorang siswi UPSI, Wan Aini Wan Ibrahim, pelajar semester satu program Pengajian Malaysia yang koma sejak 2 Oktober lalu akibat demam denggi dilaporkan sudah mula sedar semalam.

Demikian dimaklumkan Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Adriyani Yamin (gambar) kepada UPSIkini lewat malam semalam.

Menurutnya, kesihatan Wan Aini semkain pulih selepas hampir 2 minggu tidak sedarkan diri. Wan Aini kini walau bagaimanapun mempunyai masalah dari sege ingatannya dan mengambil masa untuk mengingati semula orang-orang yang dikenalinya sebelum ini. Setakat ini beliau dikatakan hanya mengingati ibu dan ayahnya serta beberapa orang sahaja.

Tambahnya, Wan Aini juga mengalami laptospirosis yang menyebabkan tangan dan kakinya berwarna kehitam-hitaman.

Sementara itu, Adriyani turut mengucapkan terima kasih dan rasa terharu beliau kepada rakan-rakan Wan Aini yang sanggup menjaga beliau sepanjang berada di hospital serta mengajak semua warga UPSI mendoakan kesihatan Wan Aini akan segera pulih.

October 14, 2009

Japanese Fiesta 2009

Pusat Bahasa Moden UPSI dengan kerjasama Japan Foundation akan menganjurkan Japanese Fiesta 2009 pada 19 hingga 22 Oktober ini. Program akan berlangsung bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Kampus Sultan Abdul Jalil UPSI.

Pelbagai aktiviti dan pameran akan dijalankan sepanjang program berlangsung. Antaranya Film Fiesta (Anime), Food Fiesta (Soba, Sushi, Tempura), Permainan Tradisional dan banyak lagi.

Program yang diadakan berkonsepkan kebudayaan dan latar belakang negara Jepun.

Semua warga UPSI dijemput hadir.

Seminar Kecemerlangan Ekonomi STPM 2009

Program Sekolah Bitara : Seminar Kecemerlangan Ekonomi STPM 2009 akan diadakan pada Khamis, 15 Oktober ini di Bilik Seminar Bitarasiswa, UPSI bermula jam 8.00 pagi.

Program merupakan anjuran Fakulti Perniagaan & Ekonomi (FPE) UPSI dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Batang Padang.

Semua warga UPSI yang berminat dijemput hadir.


Aktiviti Kokurikulum berlangsung seperti biasa pada hari Deepavali

Tanjong Malim, 14 Okt – Semua perjumpaan dan aktiviti kokurikulum berkredit bagi pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda akan berjalan seperti biasa pada 17 Oktober ini meskipun pada tarikh tersebut merupakan sambutan hari Deepavali.

Pengumuman tersebut dikeluarkan Pusat Kokurikulum UPSI dalam MyUPSI Portal kira-kira jam 11.05 minit pagi tadi.

Bagi pelajar kaum India yang menganuti agama Hindu, pelepasan akan diberikan kepada mereka pada tarikh tersebut dan mereka dikehendaki mengisi borang pengecualian mengikuti perjumpaan atau aktiviti kokurikulum di Pejabat Am Pusat Kokurikulum, UPSI.

'Posting' bukan hak keistimewaan pelajar UPSI

Amin Mukhlis
14 Okt 2009

Isu penempatan sememangnya isu sensitif yang boleh menggugat kestabilan dan keamanan di UPSI sekiranya ia berpanjangan. Biar apa isu yang timbul tetapi isu penempatan atau lebih kerap digunakan warga UPSI dengan perkataan ‘posting’ jangan sekali-kali disentuh.

Baru-baru ini heboh SATU MALAYSIA dengan khabar mengatakan 'posting' bakal dibeku. Kemudian diperbetul pula dengan kenyataan mungkin dilewatkan. Semuanya gara-gara laporan blog UPSIkini yang mengambil ucapan TNC Akademik & Antarabangsa UPSI semasa satu program di UPSI. Sampai sekarang pun masih ada bunyi-bunyi tentang isu ini.

Apapun yang mahu diperdebatkan tentang isu ini, satu perkara yang perlu disedari, “Penempatan bukan hak istimewa pelajar UPSI”. Itu seharusnya diakui pelajar UPSI. Tidak ada satu dokumen yang mengatakan pelajar UPSI mempunyai hak untuk mendapat penempatan, cuma mungkin pihak yang berkaitan berasa terhutang budi dengan sejarah UPSI dalam menjadi pusat melahirkan guru-guru sejak zaman sebelum kemerdekaan.

Hakikat ini semakin mula dizahirkan sedikit demi sedikit. Keadaan mula berubah setelah kementerian yang dulunya SATU menjadi DUA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). UPSI diletakkan di bawah KPT dan membesarkan anak yang mahu berbapakan KPM. KPM juga punya anak sendiri, IPGM, dan ada anak susuan – DPLI dan KPLI. UPSI di mana agaknya?

Memang UPSI ada mencetak Ijazah yang bertatahkan pendidikan namun bagi KPM Anak Kandung Suluh Budiman ini anak orang lain biarpun bin atau bintinya pendidikan. Tak ada dalam mana-mana wasiat mengatakan anak dari UPSI ini akan dilamar KPM untuk jadi menantu. Semuanya bermula bila KPM dan KPT bercerai. Dan hak istimewa posting tak terpakai oleh Anak Kandung Suluh Budiman!!

Mungkin keadaan ini akan kembali pulih apabila KPT merujuk semula dengan KPM untuk menjadi SATU keluarga semula. Mungkin boleh dipanjangkan kepada Tok Kadi yang SATU itu.

*penulis merupakan salah seorang pengikut setia UPSIkini yang telah menghantar pendapat beliau ke upsikini@gmail.com

DPLI : RM 45 dipotong sebab tak cukup sebulan

Tanjong Malim, 14 Okt. – Rungutan pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang mempersoalkan mengapa wang elaun mereka kurang RM 45.00 dipanjangkan oleh Exco Kebajikan & Kemasyarakatan majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Mohd Zulhelmi Mohd Noor (gambar) kepada pihak Bendahari UPSI pagi tadi.

Pihak Bendahari dalam penjelasannya kepada Zulhelmi berhubung perkara tersebut mengatakan pemotongan tersebut dibuat kerana pelajar-pelajar DPLI hanya mendaftar ke UPSI pada 2 Julai 2009 dan tidak cukup tempoh satu bulan.

Tambahnya, bayaran yang dibuat adalah mengikut bilangan hari mereka memulakan pengajian di UPSI dan pihak Bendahari juga sedang menunggu surat daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk menjadi bukti bahawa pemotongan yang dibuat bukanlah atas arahan daripada pentadbiran UPSI.

Sementara itu, pihak Bendahari turut memaklumkan proses pembayaran elaun pelajar DPLI biasanya dibuat sebelum 10 haribulan setiap bulan dan pelajar-pelajar boleh membuat semakan pada 10 haribulan.

Cenderamata UPSI, bilangan salah

Berkenaan tuntutan cenderamata UPSI yang masih belum diterima pelajar-pelajar DPLI, Zulhelmi mengatakan urusan tersebut di bawah perkhidmatan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan perkara tersebut berlaku kerana kekurangan bekalan.

Tambahnya, Bahagian Akademik telah menghantar bilangan yang kurang tepat dengan bilangan sebenar pelajar yang sepatutnya menerima cenderamata tersebut dan tempahan bekalan yang baru sedang dibuat.

Sekiranya tempahan telah siap, pelajar DPLI boleh membuat tuntutan cenderamata tersebut dan maklumat berkenaannya akan dimaklumkan melalui MyUPSI Portal.

UPSIkini buka ruangan pendapat

Tanjong Malim, 14 Okt – Selepas setahun beroperasi sebagai blog informasi warga UPSI, UPSIkini membuka ruang kepada pembaca untuk menyampaikan pandangan dan pendapat mereka melalui ruangan pendapat yang bakal diwujudkan.

Pendekatan memberi ruang kepada pembaca untuk menyampaikan pendapat mereka melalui artikel-artikel yang dikirimkan merupakan salah satu pembaharuan yang dibuat UPSIkini selepas setahun beroperasi di samping permintaan yang menggalakkan dari kalangan pembaca.

Menurut Ketua Editor UPSIkini, Mr. Teller, langkah ini diambil selepas melihat perkembangan yang positif di kalangan pembaca dengan kiriman-kiriman pendapat yang dihantar kepada UPSIkini sejak akhir-akhir ini.

“Sejak akhir-akhir ini kita menerima banyak pendapat yang berbentuk artikel di kalangan pembaca dan dengan adanya ruangan pendapat ini kita boleh ketengahkan pendapat-pendapat mereka untuk tatapan pembaca yang lain”, jelasnya.

UPSIkini menyambut ulang tahun pertama penubuhannya 10 Oktober lalu selepas setahun beroperasi.

Penempatan : PSR, B&K antara yang ramai gagal

Tanjong Malim, 14 Okt – Graduan program Pendidikan Sekolah Rendah (PSR) dan Bimbingan & Kaunseling dilaporkan antara program yang paling ramai gagal ditempatkan dalam keputusan penempatan pada kali ini.

Kegagalan ramai graduan PSR dikatakan mempunyai kaitan dengan persaingan yang perlu mereka lalui dengan lepasan Institut Perguruan Malaysia (IPGM) – di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia yang membekalkan tenaga pengajar di sekolah-sekolah rendah seluruh Malaysia.

Dalam pada itu, bagi graduan B&K pula, bilangan permohonan dikatakan terlalu ramai daripada keperluan sehingga memaksa pengambilan perlu dikurangkan di samping kegagalan calon melepasi temuduga dan ujian INSAK yang dijalankan.

Terdahulu, KPM melalui Ketua Penolong Setiausaha Unit Perkhidmatan Guru (1) memaklumkan kira-kira 400 calon yang memohon untuk mengisi jawatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) gagal dalam sesi temuduga dan ujian INSAK yang dijalankan seterusnya gagal ditempatkan ke sekolah-sekolah.

Selepas DPLI, DPAKK pula dakwa dianak tiri

Tanjong Malim, 14 Okt – Jika sebelum ini pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) mendakwa mereka dianak tiri, kini pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DPAKK) turut mendakwa perkara yang sama berlaku kepada mereka.

Menurut sumber yang menyampaikan perkara tersebut kepada UPSIkini, pelajar-pelajar DPAKK yang rata-ratanya merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merasakan sistem pengurusan bagi program mereka tidak begitu diambil berat pihak pentadbiran.

Dakwaan tersebut kata sumber, merujuk kepada pertanyaan yang dibuat oleh pelajar-pelajar DPAKK kepada pihak pentadbiran mengenai jadual peperiksaan dan prosedur pendaftaran kursus bagi semester hadapan yang masih belum diketahui sehingga hari ini.

Meskipun sudah beberapa kali menemui pihak fakulti bagi mendapatkan penjelasan, pegawai yang bertugas dikatakan hanya memberi jawapan ‘tak tahu’.

Dalam pada itu, urusan pendaftaran kursus bagi pelajar-pelajar DPAKK juga masih belum diketahui sehingga hari ini dan menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka mengapa urusan tersebut tidak selaras dengan pelajar-pelajar lain.

Sumber turut menambah, keadaan ini sudah lama menjadi rungutan di kalangan mereka namun tidak tahu di mana harus menyalurkannya kerana kebanyakan mereka merupakan pelajar lepasan SPM dan kurang arif dengan suasana belajar di universiti.

Program DPAKK merupakan program baru yang ditawarkan UPSI dengan tempoh pengajian selama 3 tahun.

October 13, 2009

Taklimat Praktikum Pelajar Matematik

Satu taklimat praktikum untuk semua pelajar Matematik (AT 14 & AT 48) akan diadakan pada 13 Oktober (Selasa) jam 8.00 malam bertempat di Auditorium Utama.

Semua Pelajar Program Pendidikan Matematik yang akan berpraktikum pada semester akan datang diwajibkan hadir.


Hairie diingat supaya jangan terlalu yakin

Tanjong Malim, 13 Okt – Kenyataan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI, Mohamad Hairie Abdullah yang mengeluarkan kata-kata “saya tak apa, saya MPP” berhubung dengan isu penempatan yang menjadi perhatian warga UPSI ketika ini diselar banyak pihak dan mengingatkan kepada beliau agar jangan terlalu yakin dengan kedudukan sebagai ahli MPP.

Kritikan terhadap kenyataannya itu disampaikan beberapa pembaca dalam ruangan komen dan e-mel UPSIkini. Dalam satu kiriman yang disampaikan oleh mantan sebuah persatuan di UPSI yang enggan dinamakan mendakwa Hairie harus melihat realiti yang berlaku dalam keputusan penempatan graduan pada kali ini.

Dakwanya, terdapat beberapa nama yang dulunya memegang jawatan dalam MPP gagal dalam sesi temuduga seterusnya gagal ditempatkan.

Katanya lagi ada di antaranya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang ahli politik namun turut gagal ditempatkan kerana pemilihan tidak melihat kepada jawatan yang dipegang walaupun pernah menjadi ahli MPP.

Pengirim turut memberi pesanan kepada pelajar UPSI agar tidak terpengaruh dengan dakyah kononnya wujud pembangkang atau sebaliknya di UPSI kerana ia hanyalah tuduhan yang dibuat untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak.

October 12, 2009

Kerana ramai gagal, KASIH anjur Bengkel Rahsia Lulus Posting

Tanjong Malim, 12 Okt – Isu penempatan yang masih menjadi topic perbualan hangat warga UPSI kini memberi ilham kepada Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) UPSI untuk menganjurkan ‘Bengkel Rahsia Lulus Posting’.

Penganjuran bengkel ini dikatakan mempunyai kaitan dengan suasana semasa di UPSI setelah timbul berita mengatakan penempatan pada kali ini menunjukkan bilangan calon yang gagal agak ramai berbanding sebelumnya.

Dalam pada itu, pada ruangan iklan program ini yang disiar di MyUPSI Portal, tertera kenyataan untuk menjelaskan kesahihan isu penempatan yang bakal dibekukan bermula tahun hadapan.

Bengkel yang membuka ruang kepada 300 peserta ini akan diadakan pada 24 Oktober ini bertempat di Dewan Kolej Ungku Omar dengan yuran penyertaan sebanyak RM 20.00.

“Saya tak apa, saya MPP” – Hairie

Tanjong Malim, 12 Okt – Kenyataan Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengatakan beliau tidak perlu risau berkenaan penempatan kerana mendakwa dirinya sebagai ahli MPP.

Beliau didakwa mengeluarkan kata-kata “saya tak apa, saya MPP” dalam satu mesyuarat bersama semua presiden persatuan dan kelab di UPSI ketika membincangkan isu penempatan pada tahun hadapan yang dikatakan akan berlaku kelewatan.

Kenyataannya itu melahirkan rasa kurang senang sebahagian ahli mesyuarat yang hadir dan menyifatkannya sebagai tindakan ‘lepas tangan’.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa khabar yang mengatakan penempatan akan dilewatkan sebagai isu yang dibuat oleh pihak tertentu dan menyeru ahli mesyuarat supaya tidak mempercayainya.

Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan tahap kualiti perkhidmatan kepada pelajar UPSI dengan mendapatkan padangan daripada presiden-presiden persatuan.

Minggu lalu warga UPSI dikejutkan dengan isu ‘lewat posting’ setelah disiar beberapa media.

Penempatan : Graduan gagal kecewa, disaran buat rayuan

Tanjong Malim, 12 Okt – Dalam kegembiraan sebahagian graduan yang telah mengetahui negeri penempatan mereka, ada juga di kalangan mereka yang kecewa apabila menerima surat mengatakan mereka gagal ditempatkan.

Dalam maklumat yang disampaikan kepada UPSIkini, graduan yang tidak berjaya mendapat penempatan adalah kerana gagal dalam temuduga. Selain itu, terdapat juga calaon yang gagal dalam ujian INSAK.

Dalam pada itu, beberapa graduan yang melahirkan rasa kecewa mereka dengan keputusan yang diterima mengatakan penempatan pada tahun ini antara yang ramai tidak berjaya.

Ini kerana, hampir semua kursus mempunyai pelajar yang gagal ditempatkan.

Sementara itu, semua graduan yang gagal mendapat penempatan disaran untuk membuat rayuan kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Saranan tersebut dinyatakan Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis apabila ditanya apakah tindakan yang boleh diambil bagi mereka yang gagal ditempatkan.

Katanya, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuka tempoh untuk rayuan bagi mereka yang gagal.

“Saya sarankan mereka yang gagal segera buat rayuan, pihak KPM ada maklumkan bagi calon yang gagal, boleh buat rayuan”, katanya.

Beliau sebelum itu mengucapkan tahniah bagi pihak MPP kepada semua graduan yang berjaya mendapat penempatan mereka.

October 9, 2009

UPSIkini sambut ulangtahun pertama

Penubuhan blog informasi UPSIkini yang genap setahun esok menjadi satu kejayaan seluruh warga kerja serta pengikut setia UPSIkini dalam menyampaikan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan bidang pendidikan dan isu-isu di UPSI.


Sempena ulangtahun pertama UPSIkini, warga kerja UPSIkini ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pembaca atas sokongan dan pandangan yang diberikan. Kami juga ingin memohon maaf sekiranya ada kekurangan dalam menyampaikan maklumat kepada anda semua. Sebagai blog informasi yang sentiasa mementingkan kualiti dalam menyampaikan maklumat, UPSIkini bersedia menerima pandangan daripada anda.

Teruskan Bersama UPSIkini

Penempatan Praktikum Januari 2010

Pihak Unit Latihan Mengajar & Jalinan Industri UPSI memaklumkan bahawa senarai nama pelajar yang akan berpraktikum telah dikeluarkan mengikut negeri-negeri iaitu Perak, Pahang, Selangur dan Kuala Lumpur.

Klik pada pautan di bawah untuk melihat senarai yang dikeluarkan.
Pihak ULM juga memaklumkan, sebarang permohonan untuk penukaran sekolah tidak akan dilayan.

Bagi mereka yang menghadapi masalah, sila rujuk ke pihak ULM.

Keputusan penempatan tahun ini diawalkan

Tanjong Malim, 9 Oktober – Keputusan penempatan bagi graduan yang memohon untuk mengisi jawatan Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) diawalkan daripada 21 Oktober seperti yang dimaklumkan sebelum ini kepada 16 Oktober.

Semua pemohon boleh menyemak keputusan penempatan mereka melalui portal Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula pada tarikh tersebut – 16 Okotber 2009.

Bagan Pinang : Gambar, bukti pegawai HEP cari pelajar UPSI

Tanjong Malim, 9 Okt – Rentetan daripada dakwaan seorang bekas pelajar UPSI yang ternampak staf Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI, Muzamil Mahil hadir pada hari penamaan calon di Bagan Pinang, UPSIkini menerima beberapa keping gambar daripada seorang sumber yang mahu ia didedahkan.

Katanya, gambar tersebut diambil bagi membuktikan memang ada pegawai daripada UPSI yang hadir pada hari penamaan calon untuk mencari bukti sekiranya ada pelajar yang hadir atau dilihat berada di kawasan Pilihan Raya Kecil itu berlangsung.

Gambar tersebut dipercayai diambil semasa hari penamaan calon PRK Bagan Pinang di sebuah stesen minyak di sana berdasarkan latar belakang gambar tersebut.

Tanpa ada ulasan yang panjang mengenai gambar yang dikirimkan, tertera tulisan “Kalau dulu mereka tangkap gambar kita, tapi sekarang kita tangkap pula gambar mereka, biar anak merdeka tahu, mereka claim duit rakyat hanya untuk tangkap gambar”.













October 8, 2009

Kenyataan Media berkaitan isu penempatan

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris hari ini mengeluarkan satu kenyataan media bagi menjelaskan pendirian dan pandangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hasil perbincangan bersama semalam. Berikut merupakan kenyataan yang dihantar ke UPSIkini.

-KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA-
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS (UPSI)
8 OKTOBER 2009


Berhubung berkenaan isu penempatan yang dikatakan akan dilewatkan bermula tahun hadapan, kami mewakili pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berusaha mendapatkan maklumat serta perbincangan dengan beberapa pihak bagi merungkai isu yang semakin menjadi perhatian di kalangan mahasiswa jurusan pendidikan di negara ini.

Menyedari tugas sebagai wakil pelajar, kami mengambil langkah untuk berhubung dengan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) bagi mendapatkan pandangan serta pendirian mereka berkenaan isu yang berbangkit ini.

Pada 7 Oktober 2009, jam 9.30 malam, saudari Adriyani Yamin, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP UPSI yang dtugaskan untuk menghubungi Presiden NUTP, Encik Hashim Adnan telah membuat perbincangan bersama beliau melalui panggilan telefon. Hasil daripada perbincangan tersebut, beberapa ketetapan dan jaminan telah dibuat. Berikut merupakan penjelasan dan pendirian NUTP hasil perbincangan yang dibuat berkenaan isu ini :

• Pihak NUTP menegaskan isu kelewatan untuk penempatan bermula pada tahun hadapan adalah tidak relevan apabila dilihat pada statistik persaraan guru-guru sedia ada.

• Situasi semasa ( tahun 2010 persaraan guru lebih ramai) menunjukkan bahawa isu ini tidak mungkin berlaku, apabila lebih ramai guru-guru baru diperlukan untuk mengisi kekosongan guru yang ada.

• Pendidikan merupakan elemen penting walau di mana sekalipun, justeru adalah tidak relevan jika faktor kekangan kewangan dijadikan sebagai alasan menyebabkan mahasiswa/i yang mengambil bidang pendidikan menjadi korban.

• Mahasiswa/i tidak perlu bimbang berkenaan dengan isu ini, dan melalui NUTP sendiri suara bakal-bakal guru ini boleh disalurkan dengan baik dan NUTP sedia membela bakal-bakal guru.

Justeru, kami berharap penjelasan dan pendirian NUTP ini boleh mengembalikan keyakinan dan semangat semua bakal guru, tidak kira sama ada di UPSI mahupun institusi lain untuk meneruskan usaha mencapai cita-cita menjadi seorang guru.

Mohd Zulhilmi bin Mohd Noor
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Adriyani binti Yamin
Exco Kebajikan & Kemasyarakatan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Akmal bin Madzir
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Norhafizawati bt Mahmad Razali
Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Nor Aqilah hanis Bt Mohd Yusof
Exco Akademik & Kerjaya
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Arif bin Mohamad
Exco Akademik & Kerjaya
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Mohd Hanif Azwan bin Abd Rahman
Exco kesenian & Kebudayaan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Norhisham bin Che Hamid
Exco Kesenian & Kebudayaan
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI

Adriyani : NUTP beri jaminan bela bakal guru

Tanjong Malim, 8 Oktober – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memberi jaminan untuk membela bakal guru berhubung isu penempatan yang dikatakan akan dilewatkan bermula tahun hadapan.

Kenyataan tersebut disampaikan Presiden NUTP, Hashim Adnan dalam satu perbualan telefon bersama Adriyani Yamin (gambar), Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI semalam.

Adriyani yang memaklumkan perkara tersebut kepada UPSIkini tengah hari tadi mengatakan NUTP berpendirian isu lewat ditempatkan tidak relevan sekiranya dilihat kepada statistik persaraan guru-guru pada tahun hadapan.

Tambahnya, faktor kewangan juga tidak seharusnya menjadi alasan yang akan menyebabkan bakal-bakal guru yang terdiri daripada pelajar-pelajar pendidikan menjadi korban.

Pada bahagian akhir kenyataannya, Adriyani menyeru semua mahasiswa terutama di UPSI supaya bertenang dalam berdepan dengan isu ini dan menjadikan jaminan pembelaan NUTP ini sebagai semangat untuk meneruskan pengajian.

Sementara itu, beliau yang mewakili MPP Pro Kebajikan akan mengeluarkan satu kenyataan media berkenaan hasil perbincangan bersama NUTP sebagai penjelasan kepada semua.

HBM : Pelajar DPLI ambil peluang adu masalah

Tanjong Malim, 8 Okt – Tindakan Exco-Exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan yang mengadakan ‘Hari Bersama Mahasiswa’ (HBM) pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) di Proton City dilihat sebagai langkah yang boleh meredakan pertelagahan yang berlaku di kalangan warga UPSI sejak akhir-akhir ini.

Program HBM yang dijalankan semalam di Bangunan Bilik Kuliah Proton City dilaporkan menjadi tumpuan pelajar-pelajar DPLI membuat aduan berkenaan masalah yang dihadapi sejak memulakan pengajian di UPSI.

Menurut Norhisyam Che Hamid (gambar), Exco Kesenian & Kebudayaan MPP UPSI, kebanyakan aduan yang diterima adalah berkenaan perkhidmatan bas, wang elaun dan bayaran balik wang pemeriksaan kesihatan sebanyak RM 80.00.

Mengulas tentang aduan yang dibuat, Norhisyam berkata pihaknya akan mengajukan perkara tersebut kepada pihak berkenaan dan aduan bertulis seperti ini akan menjadi bahan bukti sekiranya masalah tersebut masih tidak dapat diselesaikan.

“Aduan bertulis ini akan jadi bukti untuk kita bawa kepada pihak berkenaan dan insyaAllah maklum balas serta perkembangan berkenaan aduan yang dibuat kita akan kita samapaikan kepada mereka”, jelasnya.

Sementara itu, sebahagian besar pelajar DPLI yang mengadu turut mendakwa mereka menghadapi kesukaran untuk ke perpustakaan dan membuat urusan di kampus utama UPSI kerana terpaksa menunggu bas selama 2 jam untuk ke sana.

Untuk rekod, seramai 2320 pelajar mengikuti program DPLI di UPSI yang kebanyakannya tinggal di Proton City dan Kota Malim Prima, kira-kira 15 kilometer dari kampus utama UPSI.

Bicara Wanita Minggu Ini

Program Bicara Wanita anjuran Pusat Islam dengan kerjasama Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP UPSI pada minggu ini bakal membincangkan tajuk Feqah Wanita berkaitan Bersuci. Program akan berlangsung di Dewan Kulah J (DKJ) pada esok, 9 Oktober 2009 bermula jam 12.00 tengah hari sehingga 2.00 petang.

Tajuk akan dikupas oleh Ustazah Badariah Hj Ikhsan.

Pihak penganjur menjemput semua warga UPSI (wanita) untuk sama-sama hadir mengikuti program tersebut


October 7, 2009

Hairie anggap isu penempatan hanya permainan pihak tertentu

Tanjong Malim, 7 Okt – Isu penempatan yang bakal dilewatkan bermula tahun hadapan turut mendapat reaksi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Mohamad Hairie Abdullah.

Baliau dalam sebuah blog dipetik sebagai berkata isu penempatan dilewatkan hanyalah isu rekaan oleh pihak tertentu yang mahu mendapatkan publisiti dengan memutar belitkan kenyataan.

Kenyataannya itu dilihat bertentangan dengan apa yang heboh diperkatakan ramai pihak termasuk penuntut-penuntut program pendidikan di Institut Perguruan (IPG) dan IPTA lain.

Hairie sebelum ini juga dilihat sering bertentangan pendapat dengan beberapa Exco yang diwakili Pro Kebajikan sejak barisan kabinet MPP dibentuk tahun lalu.

Mengulas tentang kenyataan Hairie, Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP, Akmal Madzir menegaskan, perkara tersebut timbul bukan rekaan mana-mana pihak dan buktinya, pihak KPM sendiri mengakui perkara tersebut.

“Saya nak pesan kepada beliau, kalau tak mahu perjuangkan nasib mahasiswa, beliau boleh duduk di pejabat MPP dan tunggu kabinet bubar, bagi kami selagi kami memegang amanah sebagai wakil pelajar kami akan cuba cari jalan penyelesaian”, jelasnya.

Tambahnya lagi,” Sehingga kini, kita masih terus dapatkan jaminan dari pihak yang berkaitan, walaupun ada pendapat mengatakan perkara ini satu kemungkinan, namun sebagai wakil pelajar saya berasa bertanggungjawab untuk mendapatkan kepastian tentang perkara tersebut”.

Beliau dalam ulasannya juga mengatakan semua Exco MPP Pro Kebajikan telah menyusun pelan tindakan yang diambil bagi mendapatkan kepastian tersebut bukan sahaja untuk bakal graduan UPSI malah seluruh IPG dan IPTA lain yang mengambil program pendidikan.

Denggi : Keadaan Wan Aini membimbangkan

Tanjong Malim, 7 Okt – Keadaan kesihatan seorang mahasiswi UPSI yang dilaporkan menghidapi demam denggi berada dalam keadaan membimbangkan. Ini berikutan tahap kesihatannya yang dilaporkan masih belum pulih.

Menurut Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, saudari Adriyani Yamin, kondisi pelajar terbabit masih belum pulih dan sehingga kini beliau masih berada dalam jagaan pihak Hospital Slim River.

Beberapa hari sebelum ini, siswi terbabit dilaporkan semakin lemah dan kritikal apabila kadar degupan jantungnya dikatakan semakin perlahan.

Dalam pada itu, Adriyani turut memohon agar semua mahasiswa dan warga UPSI berdoa agar kesihatan Wan Aini dapat dipulihkan dan boleh meneruskan pengajian seperti biasa.

Wan Aini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Slim River Jumaat lalu selepas disahkan mengidap demam denggi.

Akmal : UPSI sedia jadi barisan hadapan bela bakal guru

Tanjong Malim, 7 Okt – Isu penempatan dilewatkan bermula tahun hadapan yang menjadi tumpuan ramai warga pendidik di seluruh negara mengundang pelbagai spekulasi sejak laporan berkenaannya disiarkan baru-baru ini.

Mengulas tentang perkara tersebut, Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Akmal Madzir, kepimpinan mahasiswa di UPSI bersedia untuk menjadi barisan hadapan dalam mencari jalan penyelesaian isu ini bagi membela bakal-bakal guru di seluruh negara.

“Kami di UPSI bersedia untuk menjadi barisan hadapan dalam mencari penyelesaian berkenaan isu yang berbangkit ini memandangkan UPSI merupakan satu-satunya IPTA yang menawarkan program pendidikan sepenuhnya, kita ambil tanggungjawab ini”, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menafikan bahawa pihaknya akan mengadakan satu himpunan esok bagi mendapatkan penjelasan daripada pihak pentadbiran UPSI.

“Kita tidak ada menganjurkan apa-apa himpunan setakat ini kerana kita ada peringkat-peringkat tindakan yang kita akan buat.

“Sehingga hari ini kita sudah dapatkan penjelasan TNC Akademik, Prof Dr Zakaria, KPM melalui Unit Perkhidmatan Guru dan sedikit maklumat daripada NUTP. Apa yang sedang kita tunggu adalah kenyataan rasmi daripada Menteri Pelajaran atau timbalannya bagi mendapatkan kepastian kedudukan isu ini dan sehingga hari ini saya dimaklumkan masih belum ada apa-apa respon daripada mereka, kita akan tunggu”, jelasnya.

Sementara itu katanya, beberapa pihak dari kalangan mahasiswa di IPTA lain sudah menghubungi beliau bagi membincangkan kerjasama yang boleh diambil untuk menangani isu tersebut.

Penempatan : Kenyataan bekas Menteri Pelajaran bukti kekosongan masih ada

Tanjong Malim, 7 Okt – Isu penempatan bakal-bakal guru yang dikatakan lewat bermula tahun hadapan semakin menjadi perhatian ramai berikutan laporan berkenaannya dikeluarkan beberapa hari lalu.

Terbaru, Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) mempersoal pengumuman bekas Menteri Pelajaran, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengatakan sebanyak 26 000 kekosongan jawatan perguruan akan diisi namun timbul pula kenyataan mengatakan akan berlaku kelewatan dalam penempatan seperti yang diwar-warkan baru-baru ini.


Keratan akhbar yang dipetik daripada Bernama bertarikh 4 November 2008 itu melaporkan Hishammuddin sebagai berkata sebanyak 26 000 kekosongan jawatan perguruan akan diisi meskipun keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut memberi jaminan “semua usaha dan program untuk mempertingkatkan pendidikan kepada anak bangsa pasti terus dipertahankan dalam apa jua keadaan kerana pendidikan amat penting”, menurut laporan dikeluarkan Bernama itu.

Mengulas berkenaan kenyataan tersebut, Aqilah mendakwa jumlah kekosongan jawatan perguruan menurut seperti yang dinyatakan bekas Menteri Pelajaran itu adalah satu jumlah yang besar dan secara kiraan kasar tidak sepatutunya berlaku kelewatan penempatan.

“Kalau diteliti kenyataan tersebut, memang dinyatakan pengisian 26 000 kekosongan itu untuk tahun hadapan iaitu tahun ini (2009), namun 26 000 kekosongan itu satu jumlah yang besar dan saya kira masih banyak kekosongan yang belum diisi.

“Jadi kita akan dapatkan data daripada pihak yang berkenaan untuk nyatakan berapa jumlah guru yang telah ditempatkan pada tahun ini, kalau masih kurang saya kira lebih baik jangan dilewatkan penempatan, penuhkan kekosongan yang ada supaya perjalanan sistem pendidikan negara dari segi keperluan tenaga pengajar dan sumber yang dibekalkan institusi-institusi yang terlibat tidak terjejas,”, jelasnya.

Beliau walau bagaimanapun tidak menolak punca kelewatan bukan kerana tiada kekosongan tetapi berpunca daripada kelembapan ekonomi negara.

“Saya juga berpendapat memang puncanya daripada keadaan ekonomi negara bukan kerana tiada keperluan, namun saya pegang kenyataan bekas Menteri Pelajaran sebelum ini, walau dalam keadaan apa sekalipun usaha dan program mempertingkatkan pendidikan kepada anak bangsa harus dipertahankan”, ujarnya.

Terdahulu, beliau bersama beberapa Exco lain dalam MPP dilaporkan berusaha mendapatkan pandangan NUTP berkenaan isu tersebut.

Akmal sokong pendirian NUTP

Tanjong Malim, 6 Oktober – Akmal Madzir, Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI hari ini menyokong pendirian NUTP melalui Presidennya, Hashim Adnan yang mengatakan pendidikan bukanlah satu kos tetapi adalah pelaburan demi masa depan negara dalam isu penempatan yang disiarkan Malaysiakini.

Beliau dalam kenyataannya juga bersetuju dengan NUTP supaya jalan penyelesaiaan diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya secara peribadi bersetuju dengan apa yang dinyatakan oleh Presiden NUTP dan sememangnya jalan penyelesaian harus diambil kerana ia melibatkan satu isu yang besar, isu modal insan dalam pendidikan di negara kita,”jelasnya.

Ditanya apakah tindakan beliau dan rakan-rakan dalam MPP bagi membantu menyelesaikan perkara tersebut beliau berkata, pihaknya akan mengadakan satu mesyuarat khas bersama Majlis Tertinggi Pro Kebajikan bagi membincangkannya dan pertemuan bersama mahasiswa akan turut diatur dalam mendapatkan pandangan.

Dalam pada itu katanya, penjelasan daripada menteri berkaitan juga akan diambil kira dalam memutuskan apakah tindakan yang akan dibuat.

Isu penempatan mendapat perhatian ramai pihak termasuk penuntut-penuntut di Institut Perguruan (IPG) dan IPTA lain sejak kenyataan penempatan mungkin dilewatkan dinyatakan Prof Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa (TNC A&A) UPSI dan KPM beberapa hari lalu.

October 6, 2009

Keputusan penempatan graduan tahun ini dijangka keluar 21 Oktober

Tanjong Malim, 6 Oktober – Penempatan bakal guru yang akan ditempatkan pada tahun ini tidak mengalami sebarang masalah sekiranya melepasi temuduga dan ujian INSAK yang dijalankan Ogos lalu.

Kenyataan itu dimaklumkan Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis selepas dimaklumkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) petang tadi.

Beliau turut memaklumkan, Unit Perkhidmatan Guru (UPG) dijangka akan mengeluarkan keputusan penempatan bagi calon yang layak pada 21 Oktober ini dalam portal KPM sementara 26 Oktober, tarikh melaporkan diri di Jabatan Pelajaran Negeri penempatan masing-masing.

Walau bagaimanapun, mereka yang akan ditempatkan ke negeri Sabah dan Sarawak akan mengetahui keputusan tersebut pada minggu ini, katanya selepas mendapat info tersebut dari pihak UPG.

Terdahulu, UPSIkini juga menerima maklumat yang sama dari pembaca-pembaca yang mendakwa SMS berkenaannya sudah tersebar luas sejak tengah hari tadi di kalangan mereka yang sedang menunggu pengumuman keputusan penempatan masing-masing.

Lewat ‘posting’ : TNC A&A perjelas kenyataan

Tanjong Malim, 6 Oktober - Sejurus selepas laporan berkenaan kenyataan kelewatan penempatan bagi graduan pendidikan termasuk UPSI, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa (TNC A&A) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa menjelaskan kenyataan beliau tempoh hari dalam e-mel yang dikirimkan ke upsikini@gmail.com.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkannya tempoh hari mengatakan kelewatan penempatan yang dijangka berlaku tahun hadapan itu adalah satu kemungkinan dan sehingga kini pihak UPSI masih belum menerima sebarang pekeling berkenaan perkara tersebut daripada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atau Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPTM).

Penjelasan 5 perenggan itu turut diselitkan dengan nasihat dan pandangan beliau kepada seluruh mahasiswa UPSI sekiranya kelewatan penempatan benar-benar berlaku.

Berikut merupakan petikan e-mel yang dikirim kepada UPSIkini.



KPM : 400 gagal, 20% - 30 % graduan UPSI

Tanjong Malim, 6 Oktober – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memaklumkan kira-kira 400 graduan gagal dalam temuduga dan ujian INSAK pada Julai lalu bagi melayakkan mereka ditawarkan sebagai Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) dan 20 hingga 30 peratus daripadanya adalah graduan daripada UPSI.

Kenyataan tersebut dimaklumkan Ketua Penolong Setiausaha Unit Perkhidmatan Guru (1), Encik Saupi Rajali kepada Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Nur Aqilah Hanis yang menghubungi pegawai terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu penempatan daripada KPM pagi tadi.

Katanya, kegagalan calon yang menjalani temuduga dan ujian INSAK baru-baru ini berkemungkinan berpunca daripada kurangnya persediaan di kalangan calon

Dalam pada itu, kegagalan calon-calon daripada UPSI memang sesuatu yang memeranjatkan ramai pihak di KPM.

Sementara itu, pegawai terbabit turut mengesahkan kenyataan yang dikeluarkan Prof Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UPSI berhubung masalah penempatan yang bakal dihadapi graduan yang mengisi jawatan GSST pada tahun hadapan.

Ini katanya, merupakan langkah menjimatkan perbelanjaan apabila bilangan penempatan tahunan dikurangkan daripada 4 kali sebelum ini kepada 2 kali sahaja bermula tahun hadapan.

Oleh itu, para graduan terpaksa menunggu dalam satu tempoh yang tidak ditetapkan untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah.

Tambahnya, semua graduan tidak kira sama ada daripada UPSI, Institut Perguruan (IPG), pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), pemegang biasiswa KPM atau selainnya akan berhadapan dengan prosedur yang sama namun keutamaan diberikan kepada pemegang biasiswa yang layak (lulus ujian INSAK).

Bagi melaksanakan mekanisme baru penempatan 2 kali setahun, pengambilan akan dibuat pada bulan yang menunjukkan bilangan paling ramai pelajar bergraduat.

Beliau dalam penjelasannya turut mengesahkan kenyataan berkenaan pemberhentian program DPLI untuk tahun hadapan namun keputusan itu bergantung kepada penilaian dan ketetapan yang dibuat oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG).

Isu penempatan kembali menjadi isu penting warga UPSI selepas kenyataan berkenaannya diucapkan TNC A&A minggu lalu dalam satu program di sini.

Cuma lewat bukan beku, TNC A&A sahkan kenyataan masalah ‘posting’

Tanjong Malim, 6 Oktober – “Bukan beku cuma dilewatkan.”Berikut kenyataan spontan Prof Dr. Zakaria Kasa, Timbalan Naib Canselor Akademik & Antarabangsa UPSI ketika menjelaskan perkara tersebut kepada Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik & Kerjaya MPP yang menemui beliau awal pagi semalam.

Menurut Zakaria, apa yang diucapkannya dalam acara perasmian 'Simposium Halatuju Pendidikan Fizik Di Malaysia' tempoh hari merupakan kenyataan yang harus diterima semua pihak terutama di pihak pelajar kerana ia bukan sahaja melibatkan UPSI malah seluruh institusi yang menawarkan program pendidikan.

Dalam pada itu katanya, punca utama keadaan ini berlaku adalah disebabkan kelembapan ekonomi negara dan masalah kewangan yang dihadapi dalam pentadbiran Kerajaan Malaysia.

Ketika ditanya adakah isu lambakan guru menyumbang kepada tindakan tersebut, beliau berkata masalah utama adalah kewangan namun di pihak Institut Perguruan (IPG) yang ditadbir di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga dilaporkan akan mengeluarkan graduan pertama Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan sedikit sebanyak menambah bilangan bakal guru.

Sementara itu, pihak KPM sememangnya akan memberi keutamaan kepada pemegang Biasiswa KPM untuk ditempatkan ke sekolah-sekolah selepas tamat pengajian.

DPLI tak terkecuali

Pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) juga dikatakan tidak terlepas daripada isu lewat ‘posting’ seperti yang dihadapi bakal graduan lain di semua IPTA dan IPG tahun depan.

Dalam penjelasan Zakaria dalam perbincangan bersama Nur Aqilah Hanis, Exco Akademik & Kerjaya MPP, pelajar-pelajar DPLI juga bakal menghadapi situasi yang sama dengan bakal graduan lain dalam isu ‘posting’ ini.

Jelasnya, DPLI juga berkemungkinan lewat ditempatkan ke sekolah-sekolah selepas mereka menamatkan pengajian mereka tahun hadapan, tidak seperti pelajar DPLI sebelum-sebelum ini.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada semua warga UPSI agar tidak meletakkan kesalahan atau punca masalah ini kepada pelajar DPLI kerana program ini merupakan program di bawah KPM dan pelajar DPLI yang terpilih hanyalah individu yang mengisi pelaksanaan program tersebut bagi menjayakannya.

Ditanya apakah akan ada lagi pengambilan DPLI selepas ini, beliau berkata tidak ada lagi pengambilan DPLI selepas ini, pengambilan ini adalah yang terakhir.

Pelajar UPSI perlu bersedia dan terima hakikat

Zakaria juga dalam penjelasannya meminta agar semua pelajar UPSI bersiap sedia dengan makluman awal ini dan harus menerima hakikat bahawa keadaan seperti ini pasti akan berlaku dan secara kebetulan masalah tersebut timbul pada ketika ini.

Namun katanya, ini bukanlah bermakna palajar langsung tidak berpeluang untuk menjadi guru, cuma pelajar perlu mempelbagaikan kemahiran supaya peluang untuk masa depan juga akan lebih luas.

October 4, 2009

UPSI guna semula logo lama, kekal tulisan jawi

Tanjong Malim, 4 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kembali menggunakan logo lamanya dalam usaha mengekalkan tulisan jawi yang tertera dan tahun bermulanya era SITC.

Penggunaan semula logo tersebut mula meluas dan disedari ramai setelah mendapati tatapan utama laman web UPSI memaparkan logo tersebut bersama Jata Malaysia.


Penggunaan semula logo tersebut dikatakan sebagai langkah mengekalkan logo asal UPSI yang digunakan semasa awal penubuhannya pada Mei 1997. Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan ramai tokoh bahasa UPSI mahu loga asal dikekalkan yang memaparkan tulisan jawi Universiti Pendidikan Sultan Idris di samping catatan tahun penubuhan SITC, 1922, di dalam logo tersebut.

Langkah ini walau bagaimanapun dikatakan bakal menelan belanja agak besar dalam penjenamaan semula dengan menukar kembali semua logo baru UPSI kepada logo lama tersebut, menurut beberapa pihak.

Logo baru UPSI sebelum ini diperkenal dan digunakan sebagai logo rasmi UPSI bagi menukar logo lama semasa UPSI di bawah pentadbiran Tan Sri Dato' Dr Muhammad Rais Abdul Karim yang menjadi Naib Canselor UPSI pada ketika itu.