September 30, 2009

KHAR bergegar, kesan gegaran gempa bumi di Sumatera

Tanjong Malim, 30 September – Satu gegaran dilaporkan berlaku di bangunan Kolej Kediaman Harun Aminurrashid kira-kira jam 6.15 petang tadi.

Sumber yang menyampaikan maklumat tersebut kepada UPSIkini melaporkan gegaran dirasai di semua bangunan KHAR. Semua penghuni juga diarahkan turun selepas menyedari berlaku gegaran.

Pada jam 6.40 petang, arahan membenarkan semua penghuni naik ke rumah masing-masing.

Sementara itu, satu amaran bahaya dikeluarkan oleh pihak kolej dan meminta semua penghuni berada dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya gegaran berlaku.

Gegaran dikatakan kesan daripada gegaran gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter yang berlaku di Selatan Sumatera kira-kira pada jam 6.38 petang tadi, menurut sebuah laman berita online.

Dalam pada itu, sumber berita online turut melaporkan Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran tsunami kepada Indonesia, Malaysia, India dan Thailand berikutan gempa bumi berukuran 7.6 mangnitud melanda barat Sumatera, jam 6.20 petang tadi.

Pemberian cenderamata : Kesan adanya wakil Pro Kebajikan dalam MPP

Tanjong Malim, 30 September – Setelah 2 sidang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebelum ini tidak memberi cenderamata hasil kutipan yuran MPP daripada semua pelajar, sidang kali ini pemberian cenderamata tersebut diberikan semula.

Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan, pemberian semula cenderamata tersebut selepas 2 sidang MPP sebelum ini tidak memberikannya merupakan kesan apabila adanya wakil Pro Kebajikan dalam barisan MPP pada sidang kali ini.

“Pro Kebajikan melalui wakil kita dalam MPP memang ada menyuarakan tentang hal tersebut dan kita sememangnya menyokong pemberian cenderamata tersebut.

“Inilah kesan apabila wakil kita (Pro Kebajikan) berada dalam barisan MPP kerana setiap apa yang melibatkan kepentingan mahasiswa, kita akan suarakan”,katanya.

Dalam pada itu katanya sikap Majlis Tertinggi MPP yang tidak memaklumkan tentang pemberian itu kepada ahli MPP Pro Kebajikan merupakan tindakan biasa kerana tidak mahu menunjukkan kerjasama MPP Pro Kebajikan dalam pemberian cenderamata itu.

“Wakil kita dalam MPP memang ada maklumkan bahawa mereka tidak dimaklumkan tentang pemberian cenderamata itu kepada mahasiswa dan kita tahu itu langkah yang diambil mereka untuk menunjukkan seolah-olah MPP Pro Kebajikan tidak bekerjasama dalam usaha pemberian cenderamata tersebut namun apa yang lebih penting dengan adanya wakil kita dalam MPP, hak mahasiswa dikembalikan”,ulasnya.

Pengumuman pemberian cenderamata tersebut diumumkan semalam dalam MyUPSI Portal yang akan dibuat pada 2 dan 5 Oktober ini – melibatkan pelajar semester 1 hingga 5 Fakulti Sains Sukan (FSS) dan Fakulti Perniagaan & Ekonomi (FPE).

September 29, 2009

Ke mana elaun DPLI RM 104 492.80?

Ke mana perginya RM 104 492.80 wang elaun pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah sekiranya benar dakwaan bayaran elaun mereka kurang RM 45.04 untuk bayaran 2 bulan elaun mereka seperti yang dilapor UPSIkini semalam.

Dalam satu kiriman e-mel yang dihantar ke upsikini@gmail.com, pengirim mempersoalkan bagaimana wang yang sepatutnya dimasukkan ke akaun pelajar DPLI boleh berkurangan dan tidak dinyatakan ke mana perginya wang tersebut.

Dalam pada itu, pengirim mendakwa kemungkinan wang itu disimpan dalam satu akaun bagi mendapatkan pulangan dalam bentuk faedah.

Tambahnya, jumlah yang diperoleh mungkin tidak begitu besar sekiranya RM 104 492.80 itu yang disimpan, namun sekiranya diambil jumlah elaun sebulan iaitu RM 1337.67 bagi 2 320 orang pelajar, pulangan faedah yang diterima mencecah ratusan ribu ringgit.

Pengirim membuat dakwaan tersebut dengan mengaitkan pembayaran wang elaun pelajar DPLI yang diberi hanya untuk 2 bulan – berbeza dengan universiti lain yang membayar penuh elaun 3 bulan.

Sementara itu, bayaran lain yang dituntut mereka sebanyak RM 80.00 berikutan kegagalan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan (medical check-up) turut membawa pulangan puluhan ribu ringgit, hasil faedah yang diperolehi.


MPP Pro Kebajikan komited mahu AGM diadakan sebelum PRK

Tanjong Malim, 29 September – Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan berpendirian Mesyuarat Agung MPP yang melibatkan seluruh mahasiswa UPSI perlu diadakan sebelum Pilihan Raya Kampus (PRK).

Menurut koordinator MPP Pro Kebajikan, Akmal Madzir, desakan kepada Yang Dipertua MPP, saudara Mohamad Hairie Abdullah masih dibuat supaya melaksanakan AGM ini berikutan tempoh setahun perkhidmatan MPP 2008/09 sudah hampir tamat.

“Sehingga kini, kami masih terus membuat desakan kepada beliau (Hairie) supaya AGM ini diadakan kerana semua pihak sedar bahawa setiap pertubuhan atau badan yang mewakili mahasiswa di sini wajib mengadakan AGM, apatah lagi badan penting seperti MPP”,jelasnya.

Tambahnya,”adalah sesuatu yang memalukan sekiranya MPP yang mengaku mewakili seluruh mahasiswa takut untuk berdepan dengan mahasiswa bagi melaporkan segala perbelanjaan wang mahasiswa dan program yang telah dijalankan setelah mandat diberikan kepada ahli MPP yang dipilih”.

Dalam pada itu, beliau turut berhasrat untuk menjelaskan beberapa persoalan yang ditujukan kepadanya berikutan keengganan beliau meneruskan Pertandingan Tilawah IPTA yang sudah dijalankan sebelum ini.

Sementara itu, kelapan-lapan ahli MPP Pro Kebajikan katanya sudah bersedia dengan laporan lengkap setiap biro yang dipegang untuk dibentangkan kepada mahasiswa di samping jumlah perbelanjaan yang menggunakan wang Tabung MPP.

Ditanya adakah MPP Pro Kebajikan akan mengambil langkah mengadakan AGM tanpa penyertaan ahli MPP yang lain, beliau berkata perancangan tersebut ada dibuat tetapi masih menunggu jawapan daripada YDP MPP sama ada beliau berminat ataupun tidak.

Cadangan untuk mengadakan AGM dibuat beberapa minggu lalu oleh Exco Akademik & Kerjaya MPP, saudara Arif Mohamad. UPSIkini yang membuat undian bagi mendapatkan respon pembaca menunjukkan 92% menyokong cadangan tersebut.

Kes Audi : AMI UPSI rancang jumpa Salahuddin Ayub di Bagan Pinang

Tanjong Malim, 29 September – Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI merancang untuk mengadakan satu pertemuan bersama YB Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Kubang Kerian di Bagan Pinang untuk membangkitkan kes Audi ke Parlimen.

Setiausaha AMI UPSI dalam kenyataannya kepada UPSIkini, perancangan itu dibuat selepas mendapati masa untuk berjumpa dengan Ahli Parlimen terbabit sangat sesuai apabila beliau dijangka berada di sana sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian di Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

“Kami fikir itulah masa yang paling sesuai untuk berjumpa dengan beliau dan mungkin beberapa ahli parlimen lain untuk membincangkan kes tersebut seterusnya meminta beliau membangkitkannya dalam sidang Parlimen akan datang”,ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pemilihan Salahuddin sebagai salah seorang Ahli Parlimen yang dipilih untuk diadu kes tersebut adalah berdasarkan beberapa faktor dan merupakan hasil perbincangan bersama selepas Pro Kebajikan menyerahkan semua bukti kepada mereka.

“Kita pilih beliau atas beberapa sebab dan kebetulan beliau dijangka akan berada di Bagan Pinang sepanjang tempoh PRK di sana, jadi kita ambil peluang ini juga selepas Pro Kebajikan memberi kepercayaan kepada kami untuk meneruskan usaha membawa kes ini ke Parlimen”,katanya.

Ditanya sama ada kes itu akan turut dimaklumkan kepada 2 ahli Parlimen yang disebut-sebut sebelum ini iaitu YB Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan YB Nizar Jamaludin (Bukit Gantang), beliau berkata perkara tersebut akan dibincang kemudian kerana maklumat yang mengatakan kedua-dua ahli parlimen tersebut merupakan ahli parlimen pilihan Pro Kebajikan untuk dimaklumkan kes tersebut hanyalah khabar angin.

“Itu kita akan bincang kemudian dan mungkin juga kita akan jumpa mereka tetapi buat masa sekarang ini kita cuba untuk jumpa YB Salahuddin dulu”,jelasnya.

Kes Audi mula mendapat perhatian ramai selepas 2 keping gambar yang memaparkan bendera parti komponen Barisan Nasional (BN) digantung di dalam Dewan Auditorium Utama UPSI yang dipercayai digunakan sebagai tempat program parti tersebut.



September 28, 2009

Kenyataan elaun DPLI dibayar ikut hari cetus tanda tanya

Tanjong Malim, 28 September – Meskipun elaun pelajar-pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) telah dibayar untuk dua bulan pada 16 September lalu, namun masih timbul pelbagai tanda tanya di kalangan mereka berkenaan beberapa perkara yang berkaitan dengan jumlah bayaran yang diterima.

Dalam satu ulasan yang disampaikan kepada UPSIkini, seorang penghantar komen mempersoalkan kenyataan seorang staf Bendahari UPSI yang mendakwa bayaran elaun pelajar DPLI dibuat mengikut hari setelah merujuk kepada perbezaan amaun yang dikreditkan ke akaun mereka.

Manurutnya, mereka dimaklumkan bahawa jumlah yang bayaran elaun yang bakal mereka terima untuk setiap bulan sepanjang tempoh mengikuti program DPLI adalah sebanyak RM 1337.67. Namun katanya, jumlah bayaran untuk dua bulan yang diterima mereka baru-baru ini hanya RM 2630.30, kurang RM 45.04.

Berdasarkan kepada perbezaan jumlah bayaran tersebut, beberapa pelajar DPLI katanya telah merujuk perkara tersebut kepada pihak Bendahari dan jawapan yang diterima mengatakan bayaran elaun DPLI dibayar mengikut bilangan hari.

Kenyataan tersebut katanya bukan sahaja mengelirukan malah bercanggah dengan apa yang disampaikan dalam satu taklimat kepada pelajar-pelajar DPLI sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi penghantar komen yang dipercayai daripada kalangan pelajar DPLI mendakwa pihak Bendahari turut berjanji untuk membuat pembayaran semula RM 80.00 yang merupakan wang perkhidmatan pemeriksaan kesihatan (medical check-up) dalam masa sebulan selepas gagal menyediakan perkhidmatan tersebut seperti yang dijanjikan. Namun sehingga kini, bayaran tersebut masih belum diterima mereka meskipun tuntutan itu telah dibuat 3 bulan yang lalu.

Kedua-dua aduan ini sekali lagi menjadi isu di kalangan pelajar DPLI di sini yang sedikit sebanyak menjejaskan kredabiliti pihak Bendahari dalam menguruskan wang pelajar.

Program selepas raya ditangguh, pemerhati anggap petanda PRK sudah hampir

Tanjong Malim, 28 September – Beberapa program selepas raya yang melibatkan beberapa persatuan dilaporkan perlu ditangguh kepada satu tarikh lain, menurut seorang sumber yang memaklumkan perkara tersebut kepada UPSIkini beberapa hari lalu.

Penangguhan tersebut dikatakan berkait rapat dengan Pilihan Raya Kampus (PRK) UPSI yang dijangka diadakan Oktober ini.

Sumber tersebut mendakwa seorang pegawai HEP ada memaklumkan kepadanya bahawa semua program dalaman selepas cuti Hari Raya Aidilfitri berkemungkinan terpaksa ditangguh dan dianggap ramai pemerhati sebagai petanda PRK sudah semakin hampir.

Sebelum ini, UPSIkini melapaorkan tarikh yang dijangka berlakunya PRK adalah pada 10 Oktober berdasarkan maklumat yang diperolei melalui beberapa sumber.

Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

September 19, 2009

Hampir semua sudah balik kampung, tinggal pelajar Sabah & Sarawak

Tanjong Malim, 19 September – Hampir keseluruhan pelajar Semenanjung di UPSI dilaporkan sudah balik ke kampung halaman masing-masing pada hari ini. Kesemua kolej kediaman lengang dan hanya kelihatan pelajar-pelajar daripada Sabah dan Sarawak.

Pada pagi ini kelihatan masih ada pelajar yang menunggu bas di kaunter SKS KL Taman Bahtera, Hulu Bernam dan Stesen bas di Pekan Tanjong Malim untuk ke Kuala Lumpur.

Sementara itu, pelajar-pelajar bukan Melayu dilaporkan turut mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing pada hari ini.

Bagi pelajar Sabah dan Sarawak, beraya di UPSI bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka yang sduah berada di tahun 2. Namun bagi mereka yang masih di semester 1 dan 2, ini merupakan pengalaman pertama mereka beraya di Tanjong Malim.

Pihak UPSI walau bagaimanapun akan mengadakan jamuan Hari Raya untuk meraikan mereka esok di Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) jam 9.00 pagi esok.

Di kampus utama, semua pintu masuk ditutup kecuali di pintu utama bagi kenderaan keluar masuk. Unit keselamtan juga dilaporkan akan mempertingkatkan kawalan serta tahap keselamatan sepanjang cuti Hari Raya ini bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak dingini berlaku.

September 18, 2009

Aidilifitri : Kampus, kolej mulai lengang

Tanjong Malim, 18 September – Suasana sekitar kampus dan kolej kediaman dilaporkan mulai lengang selepas hampir 75% pelajar pulang ke kampung halaman masing-masing bermula Rabu lalu.

Tinjauan UPSIkini di beberapa kaunter dan pejabat sekitar kampus dan kolej kediaman masih lagi beroperasi seperti biasa hari ini meskiun sebahagian besar kaki tangan dan pensyarah sudah bercuti hari ini.

Pada pagi ini juga, pelajar-pelajar dilihat menunggu bas di kaunter SKS KL Taman Bahtera dan stesen bas di pekan Tanjong Malim untuk ke Kuala Lumpur. Namun, terdapat juga pelajar yang akan menaiki kereta api malam ini menuju ke utara tanah air.

Dalam pada itu, hampir semua kuliah pada hari ini dibatalkan pensyarah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar pulang ke kampung masing-masing lebih awal.

UPSI akan mula bercuti selama seminggu bermula esok dan akan dibuka semula 28 September ini.

Kandas : Bas disediakan petang ini

dikemaskini, 2.55 p.m.Berikutan perhatian serius yang diberikan Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP, saudara Mohd Zulhilmi Mohd Noor dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) terhadap masalah yang berlaku kepada kira-kira 200 pelajar yang terkandas untuk pulang ke Kota Bharu malam semalam, pihak HEP mengumumkan bas akan disediakan kepada semua pelajar yang terlibat petang ini.

Pengumuman itu dikeluarkan Timbalan Naib Canselor (HEP&A), Prof Dr. Shahrudin Abd Aziz.

Sehingga jam 2.00 petang tadi, maklumat daripada sumber mengatakan kesemua bas persiaran yang akan membawa pelajar-pelajar yang terkandas malam tadi akan bertolak pada jam 5.00 petang.

Kesemua mereka yang terlibat diminta menunggu di pintu pengawal keselamatan Kolej Zaaba (KZ) dan Kolej Aminuddin Baki (KAB).

Zulhilmi ketika dihubungi berkata beliau mengambil berat berkenaan perkara ini dan berharap tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Saya dan rakan-rakan dalam MPP Pro Kebajikan memang mengambil berat dengan apa yang berlaku dan harapnya tidak lagi berulang pada masa akan datang",ujarnya.

Dalam pada itu, beliau yang masih berada di Tanjong Malim mengucapkan terima kasih kepada pihak HEP yang turut prihatin dengan apa yang berlaku.


"Saya selaku wakil pelajar mengucapkan terima kasih kepada pihak HEP yang prihatin dengan apa yang berlaku",katanya.

Kandas : Suhaimi SMU nafi terlibat

Tanjong Malim, 18 September – Pelajar yang didakwa terbabit dalam menguruskan bas catar , saudara Suhaimi menafikan beliau terlibat dalam menguruskan perkhidmatan bas catar seperti yang didakwa.

Beliau yang terkejut dengan laporan mengatakan beliau merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkhidmatan tersebut menafikan perkara tersebut , menurut e-mel yang dikirimkan kepada UPSIkini kira-kira jam 8.40 pagi tadi.

Dalam pada itu, orang kuat SMU ini dipetik dalam emel tersebut mendakwa pelajar yang menguruskan bas catar tersebut mempunyai nama yang sama dengan beliau dan kini berada di semester 4 dan bukan beliau yang kini berada di semester 6.

UPSIkini sebelum ini dilaporkan seorang sumber bahawa beliau merupakan pelajar yang bertanggungjawab dalam menguruskan perkhidmatan bas catar yang terkandas malam semalam.

Kandas : UPSI tiada bas

terkini, 8.11 a.m. Kira-kira jam 8.11 pagi tadi, Encik Mohammad Fauzi Khalid, pegawai HEP yang dihubungi saudara Zulhilmi, Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP memaklumkan UPSI tidak mempunyai bas pada hari ini bagi memberi bantaun kepada pelajar yang terkandas untuk pulang ke Kota Bharu malam semalam.

Namun, pihak HEP sedang berusaha mencari jalan untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.

Pegawai terbabit yang turut mendapatkan bilangan sebenar pelajar yang terlibat daripada beliau memaklumkan tindakan segera akan diambil namun pelajar diminta bersabar kerana hal ini akan dimaklumkan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP&A), Prof Dr. Shaharudin Abd Aziz terlebih dahulu.


Kandas : Bas Mahligai harapan pelajar terkandas, Zulhilmi cuba dapatkan bas UPSI

Tanjong Malim, 18 September – Semua pelajar terkandas yang tidak mempunyai inisiatif lain untuk pulang ke kampung dilaporkan hanya mengharapkan bas Mahligai yang dijangka akan menyediakan perkhidmatan perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan jam 2.00 petang ini.

Berikutan itu, rata-rata pelajar yang terlibat dalam penipuan bas catar malam semalam hanya bergantung harap kepada perkhidmatan bas tersebut

UPSIkini yang dihubungi seorang sumber berkata, meskipun bas Mahligai akan menyediakan perkhidmatan ke Kota Bharu pada petang ini, namun itu bukanlah sebagai ganti rugi kepada apa yang berlaku terhadap kira-kira 200 pelajar yang ditipu tersebut dan mereka yang ingin menggunakan perkhidmatan bas mahligai ini perlu membeli tiket baru yang disediakan pihak syarikat.

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI yang dihubungi UPSIkini bagi mendapatkan perkembangan terkini berkata, beliau akan ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) pada pagi ini untuk mendapatkan maklum balas berkenaan permohonan bas UPSI bagi memberi bantuan kepada mereka yang terlibat.

Dalam pada itu katanya, seorang pegawai HEP yang dihubunginya dilaporkan akan membuat permohonan segera kepada Penolong Pendaftar untuk mendapatkan bas UPSI seperti yang dicadangkannya malam semalam.

Namun katanya, pegawai terbabit tidak dapat memberi jaminan sama ada permohonan itu diluluskan atau tidak kerana sebahagian pemandu yang bertugas di Unit Pengangkutan UPSI sudah bercuti. Katanya lagi permohonan itu juga bergantung sama ada bas UPSI masih ada atau sebaliknya pada hari ini.

Jamuan Hari Raya

Satu jamuan Hari Raya akan diadakan khusus kepada pelajar-pelajar yang tidak pulang beraya di kampung di Perkarangan Bangunan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Blok A pada Ahad, 1 Syawal 1430 H bersamaan 20 September 2009 selepas solat sunat Aidilfitri kira-kira jam 9.00 pagi. Pihak penganjur juga menyediakan bas dari Kolej Ungku Omar (KUO) dan Kolej Aminuddi Baki (KAB) untuk ke tempat program.

MPP Pro Kebajikan ucap selamat hari raya, tahniah kepada UPSIkini

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan menyampaikan salam Aidilfitri kepada seluruh warga UPSI dengan iringan doa agar semua berbahagia di hari lebaran. Berikut merupakan ucapan ringkas yang dikirimkan kepada UPSIkini.

"Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kami, ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat samua warga UPSI dan seluruh muslimin muslimat yang mengenali kami. Kami mendoakan agar kalian semua diberikan nikmat kebahagiaan dalam menyambut hari lebaran ini.

Kepada UPSIkini, teruskan usaha murni anda dalam menyampaikan maklumat kepada seluruh warga UPSI. Tahniah kami ucapkan kepada seluruh warga kerja UPSIkini.

Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin."



200 pelajar terkandas ditipu agen bas catar

Tanjong Malim, 28 Sept. – Kira-kira 200 mahasiswa di Kolej Aminuddin Baki (KAB) dan Kolej Za’ba (KZ) terkandas apabila bas yang dijanjikan untuk membawa mereka ke Kota Bharu tidak muncul. Mereka yang dijadual bertolak pada jam 8.30 malam ini dikatakan telah tertipu dengan membeli tiket bas catar yang diuruskan oleh seorang pelajar di sini.

Dilaporkan hampir RM 20,000 lesap hasil dari kutipan tiket sebanyak RM 94 daripada 200 pelajar untuk perjalanan dua hala.

Melihat reaksi daripada kejadian tersebut, rata-rata pelajar yang terlibat terdiri daripada pelajar semester satu. Tinjauan UPSIkini ke tempat kejadian mendapati mereka yang terlibat berasa terkilan dan marah dengan apa yang berlaku.

Kelihatan juga beberapa pelajar menangis sebaik sahaja mengetahui mereka ditipu apabila bas yang sepatutnya mereka naiki malam ini tidak muncul-muncul.

Seorang pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad yang berang dengan apa yang berlaku berkata beliau dan rakan-rakannya begitu kecewa dengan apa yang berlaku dan tidak menyangka perkara sebegini berlaku kepadanya meskipun sering mendengar perkara sedemikian berlaku dalam berita-berita di televisyen dan akhbar apabila menjelang hari raya.

”Nak kata marah tu memang marah la...Selalu dengar dalam tv orang yang kena, kali ini tak sangka kami pula yang kena”, katanya.

Seorang pelajar perempuan yang ditemui pula menangis memikirkan bagaimana untuk pulang berhari raya yang dijangka disambut Ahad ini.

”Wang dah lesap, tak tahu macam mana nak balik, duit dalam bank pun tak cukup nak beli tiket lain, jadi terpaksa juga pinjam ngan kawan tapi itu kalau ada lagi bas, kalau dah tak ada bas macam mana”,katanya.

Sementara itu, pihak pengurusan KAB turut turun ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku di samping menenangkan pelajar dan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Dalam pada itu, mereka dikatakan telah dijanjikan bas pulang pada esok sekitar jam 2.30 petang. Namun, sumber mengatakan mereka tetap perlu mengeluarkan wang untuk mendapatkan tiket bas tersebut

Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Pro Kebajikan, saudara Mohd Zulhilmi Mohd Noor yang turut hadir ke tempat kejadian dilaporkan akan mengambil tindakan segera memaklumkan perkara tersebut ke bahagian pengangkutan UPSI bagi mendapatkan bas untuk membantu pelajar yang terbabit pulang.

”Kita memandang serius masalah ini dan akan menghubungi pihak pengangkutan UPSI untuk membantu mereka pulang ke kampung masing-masing dan dalam keadaan begini saya harap pihak universiti dapat memberi bantuan sewajarnya”,jelasnya.

Berikutan itu , satu laporan polis telah dibuat dan dilaporkan pihak polis telah hadir ke tempat kejadian sekitar jam 12.30 malam tadi untuk mengambil keterangan.

September 17, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Seluruh warga kerja UPSIkini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca dan pengikut setia UPSIkini.

Sempena Aidilfitri ini kami juga ingin memohon ampun dan maaf kepada semua pembaca di atas kesilapan sepanjang mengendalikan blog informasi ini.

UPSIkini juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat bercuti kepada seluruh warga UPSI.

Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir & Batin.

Pilihanraya Kampus UPSI dijangka 10 Oktober

Tanjong Malim, 17 September – Tarikh Pilihan Raya Kampus mungkin jatuh pada hari Sabtu, 10 Oktober 2009, dua minggu selepas pelajar kembali dari cuti Hari Raya Aidilfitri, kata seorang sumber yang menyampaikan maklumat tersebut kepada UPSIkini semalam.

Menurut sumber itu lagi, tarikh penamaan calon akan diadakan pada 7 Oktober, 3 hari sebelum tarikh membuang undi.

Dalam pada itu katanya, pra syarat sebelum menawarkan diri menjadi calon masih dikekalkan dengan format yang lama iaitu perlu menghadiri kursus yang dianjurkan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI yang dijangka akan diadakan pada 3 dan 4 Oktober ini.

Namun katanya, pihak yang akan mengendalikan kursus tersebut akan diberikan kepada Biro Tata Negara yang diketahui ramai pihak sebagai agen Pro Barisan Nasional.

Sistem e-voting juga dikatakan akan dikekalkan sebagai kaedah mengundi yang digunapakai dalam PRK kali ini

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa pihak sudah mula menjalankan kempen awal dalam menonjolkan diri di kalangan pelajar di sini. Antaranya kata sumber, mereka telah cuba menarik perhatian mahasiswa dengan mengedar ‘mask’ kepada pelajar-pelajar yang menunggu bas untuk pulang ke kampung di beberapa kawasan di sini.

Sementara itu, ramai pemerhati menjangkakan PRK pada kali ini bakal menyaksikan pertembungan sengit dua kumpulan besar di UPSI selain beberapa calon bebas di beberapa kerusi yang dipertandingkan.

September 16, 2009

Lewat daftar kena denda, lewat bayar elaun bagaimana?

Tanjong Malim, 16 September – Isu lewat membayar elaun pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini dipersoalkan seorang pengirim e-mel yang dipercayai pelajar semester 7.

Beliau yang menyampaikan rasa kecewa dengan sistem pentadbiran di UPSI menulis bagaimana kesalahan dan kecuaian pelajar diambil tindakan dengan mengenakan pelbagai denda seperti yang dialaminya kerana lewat mendaftar praktikal beberapa minggu lalu atas alasan mahu mendisiplinkan pelajar namun tidak pula diamalkan oleh pihak pentadbiran di UPSI.

Beliau mengambil contoh bagaimana pihak Bendahari yang lewat dalam menguruskan pembayaran elaun pelajar DPLI dalam memperkatakan isu yang diutarakan.

Ikuti pandangan beliau dalam kiriman yang dihantar ke upsikini@gmail.com.


DPLI Geografi runsing belum terima elaun

Tanjong Malim, 16 September – Pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) yang mengambil kursus Geografi di sini runsing apabila mereka dikatakan masih belum menerima elaun yang sepatutnya diterima hari ini seperti rakan-rakan mereka yang lain.

Mereka dilaporkan tidak menerima elaun tersebut meskipun hampir semua rakan-rakan mereka berpusu-pusu ke mesi ATM untuk mengeluarkan wang elaun yang dibayar Bendahari UPSI hari ini.

Dalam pada itu, beberapa sumber mengatakan keadaan tersbut berlaku kerana kegagalan mereka mengemaskini nombor akaun di dalam myportal seperti yang diarahkan pihak Bendahari sebelum ini.

Namun, apa yang menjadi tanda tanya di kalangan mereka yang mangambil kursus Geografi adalah adakah kesemua daripada mereka ini tidak membuat perkara tersebut.

UPSIkini juga dilaporkan terdapat sebilangan pelajar DPLI yang belum menerima elaun mereka atas beberapa sebab teknikal . Antaranya adalah kegagalan mereka mengemaskini nombor akaun Bank Islam di dalam myportal seperti yang diarahkan sebelum ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pelajar DPLI di universiti-universiti lain dilaporkan menerima wang elaun penuh untuk empat bulan lebih awal daripada UPSI yang hanya membayar elaun untuk 2 bulan pada hari ini.

92% setuju AGM diadakan

Undian bagi mendapatkan maklum balas pembaca UPSIkini berkenaan gesaan MPP Pro Kebajikan supaya Mesyuarat Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang melibatkan semua mahasiswa diadakan menunjukkan 92% atau 127 daripada keseluruhan 137 pengundi bersetuju dengan cadangan itu manakala hanya 7% atau 10 pengundi berpendapat sebaliknya.

Gesaan yang disuarakan Exco Akademik & Kerjaya MPP, saudara Arif Mohamad itu dibuat beberapa minggu yang lalu bagi membentangkan segala perbelanjaan MPP sepanjang tempoh satu sidang memegang jawatan tersebut.

Beliau juga mendakwa MPP mempunyai sejumlah wang yang agak besar daripada kutipan yuran MPP setiap pelajar yang mendaftar masuk ke UPSI dan mahasiswa berhak tahu ke mana wang itu digunakan.

Dalam pada itu, katanya, MPP seharusnya bertanggungjawab dalam melaporkan perkara tersebut secara terbuka agar kepimpinan MPP sentiasa bersih dan dilihat bersih daripada penyalahgunaan wang pelajar dan mengembalikan hak tersebut kepada mereka.

Beberapa minggu selepas gesaan itu dibuat, Arif bersama tujuh lagi ahli MPP Pro Kebajikan menyatakan komitmen untuk terus mengadakan AGM tersebut meskipun tidak dipersetujui ahli MPP yang lain.

Dalam kenyataannya itu, beliau berkata MPP Pro Kebajikan bersedia menerima sagala teguran dan kritikan daripada mahasiswa dan akan melaporkan segala perbelanjaan yang digunakan dalam program yang dianjurkan mereka.

Walau bagaimanapun, Yang Dipertua MPP, saudara Mohamad Hairie Abdullah sehingga hari ini masih belum mengeluarkan sebarang jawapan berkenaan cadangan tersebut.

Perutusan Hari Raya Aidilfitri MPP Pro Kebajikan

PERUTUSAN HARI RAYA EIDUL FITRI 2009/14230H

MPP PRO KEBAJIKAN

UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS


Assalamualaikum wbrkth dan Salam Kebajikan,

Segala puji dan syukur kepada Allah, Tuhan sekalian alam di atas segala nikmat dan rahmat yang telah dianugerahkan kepada kita selaku para hambaNya yang diberi kemudahan untuk berada dibumi Universiti Pendidikan ini. Tasbih, tahmid dan istighfar kita ucapkan bagi menyucikan segala dosa,noda dan kekurangan diri kita yang tidak pernah lekang dari kecuaian serta kemaksiatan kepada-Nya.


Selawat dan salam kita lafazkan khusus untuk junjungan besar Rasulullah sallallhu alaihi wasallam, Nabiyyul Rahmah, petunjuk kepada mereka yang rindukan hidayah, inginkan salamah,juga berkat di dunia dan akhirat.


Sahabat-sahabat dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dikasihi,

Selamat menyambut Aidulfitri dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan UPSI. Hari kemenangan bagi ahli-ahli ibadah yang telah berjaya kembali kepada fitrah setelah tiga puluh hari melatih nafsu buas untuk menjadi muthmainnah (tenang/tunduk) dan juga menjadi orang-orang yang bertakwa.


Dalam detik masa yang penuh berharga dan barakah ini marilah kita sama-sama merenung sejenak hari-hari yang telah berlalu dalam bulan yang penuh mulia yang telah kita lalui bersama-sama di Universiti Pendidikan tercinta ini.

Bersama kita bersyukur sekiranya kita berjaya mendidik jiwa kita ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Sudah pastinya, latihan tadarrus al-Quran, tarawih berjamaah, majlis ilmu dan qiam ditengah malam menjadi kenangan manis bulan ramadhan dibumi UPSI yang tercinta ini, yang tidak akan dapat dilupakan oleh kita semua dan sayugia jangan dilupakan pada hari-hari yang mendatang.


Bersama kita ishtighfar, jikalau ruang masa di bulan Ramadhan ini hanya diulit tidur panjang yang lena, kata-kata yang tidak bermakna atau sekadar mengisi perut yang lapar di waktu berbuka. Apatah lagi membuat dosa. Kami memohon ampun dari-Mu ya Allah.


Rakan-rakan mahasiswa dan seluruh warga UPSI sekalian,

Perjuangan menuntut ilmu di bumi Universiti Pendidikan Sultan Idris ini penuh dengan duka lara. Sentiasa teringatkan suasana permai desa dan senyum tawa ibunda dan ayahanda. Manis riang juga timbul sekali sekala ketika bersama-sama sahabat tercinta yang menjadi anggota keluarga di mana-mana jua. Sudah menjadi lumrah dunia mahasiswa. Al-Imam al-Syafei berkata ilmu tidak akan dapat dicapai melainkan dalam keadaan susah dan derita. Maka marilah kita sama-sama menggunakan peluang keberadaan di kampung halaman untuk memohon maaf kepada kedua ibu-bapa, kaum kerabat, sahabat-sahabat dan seluruh umat Islam amnya.


Bagi yang tidak pulang, bersabarlah. Di hari raya ini usahlah banyak kita melayan perasaan sedih teringatkan ayah bonda dan sanak saudara dikampung atau yang telah pergi. Banyakkan bertakbir dan hayatilah roh hari raya yang diajarkan oleh agama kita. Hari raya ialah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam. Keperitan dan mehnah yang dilalui di Universiti Pendidikan ini kadang-kadang diperlukan oleh kita untuk menjadi matang juga mengenal kehidupan. Islam dalam sejarahnya yang agung juga tidak terlepas dari dikunjung ujian dan dugaan.


Jagalah Keselamatan Diri dan Berhati-hati Bagi yang Memandu

Menyedari dan menginsafi tanggungjawab kami selaku kepimpinan pelajar UPSI, kami dengan rendah hati memohon sahabat-sahabat mahasiswa berhati-hati dan senantiasa menjaga keselamatan diri tatkala pulang dan datang dari kampung. Bagi yang menaiki bas terutamanya yang terpaksa menaikinya di KL, berwaspadalah dan bawalah teman seiring semasa perjalanan ke Kuala Lumpur. Senantiasa prihatin terhadap barang-barang penting seperti komputer riba, dompet dan sebagainya agar tidak tercicir.


Bagi yang memandu kenderaan sama ada kereta atau motorsikal, berhati-hatilah ketika memandu dan pastikan kenderaan sahabat selamat dan berada dalam keadaan baik sebelum meneruskan perjalanan pulang. Jangan memandu dengan tergesa-gesa, bersabarlah di jalan raya. Moga-moga kita dilindungi Allah dari musibah.


Kirimkan Ucapan Salam Aidilfitri Dari Kami

Kami barisan MPP Pro-Kebajikan ingin memohon sahabat-sahabat mahasiswa sekalian untuk menyampaikan ucapan salam eidulfitri buat ayahanda dan ibunda tercinta dan tidak lupa juga buat sanak saudara dikampung. Sampaikanlah ucapan selamat sejahtera dan salam kemenangan dari kami teman seakidah dan se-Islam sahabat sekalian.


Mohon Kemaafan dari Segala Kesilapan,

Akhir kalam, cukuplah sekadar itu dari kami barisan MPP Pro-Kebajikan. Kami dengan rendah hati memohon kemaafaan dari seluruh sahabat-sahabat mahasiswa dan seluruh warga Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dicintai ini atas segala kesilapan dan kekurangan kami disepanjang tahun sebelum ini. Moga-moga dengan kemaafan diberikan kita dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan atas nama Islam.


Marilah kita doakan semoga Ramadhan yang telah kita lalui benar-benar diterima oleh Allah s.w.t sebagai bekalan kita di hari akhirat kelak. Sambutlah Hari Raya pada kali ini dengan penuh rasa keinsafan dan syukur yang tidak terhingga kepada Tuhan. Sesungguhnya nikmat Allah yang dianugerahkan tidak bertepian. Gunakanlah hari raya ini untuk kita mengukuhkan lagi ukhuwwah dan persaudaraan antara kita semua dan berusahalah untuk kita menjadi Ummatan Wahidah Fil Amal al-Islami (umat yang bersatu dalam amal Islam.

Salam Aidulfitri,


Akmal b. Madzir

Norhafizawati bt. Mahmad Rozali

(Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPPUPSI 08/09)


Arif b. Mohamad

Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yusoff
(Exco Akademik dan Kerjaya MMPUPSI 08/09)


Mohd Zulhilmi b. Mohamad

Adriyani bt. Yamin

(Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan MPPUPSI 08/09)


Norhisyam b. Che Hamid

Mohd Hanif Hazwan b. Ab. Rahman
( Exco Kesenian dan Kebudayaan MPPUPSI 08/09
)


Pelajar mula tinggalkan Tanjong Malim hari ini

Tanjong Malim, 16 September – Kemeriahan hari raya lebih dirasai ketika bersama-sama dengan keluarga dan sanak-saudara di kampung. Di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjong Malim, para pelajarnya sudah mula meninggalkan Tanjong Malim hari ini untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dilaporkan sebahagian pelajar-pelajar di sini mengambil keputusan pulang ke kampung lebih awal pada hari ini berikutan kehabisan tiket untuk ke destinasi masing-masing.

Bagi perjalanan ke utara tanah air, dilaporkan sebahagian besar pelajar di sini pulang menggunakan perkhidmatan kereta api.

Sementara itu, perkhidmatan bas catar yang diusahakan beberapa pelajar di sini turut membantu mengurangkan masalah kekurangan tiket untuk perjalanan ke kampung masing-masing.

Dijangkakan lebih 50% pelajar akan meninggalkan Tanjong Malim menjelang esok.

Desakan berjaya, pelajar DPLI berpusu-pusu ke ATM

Tanjong Malim, 16 September – Mesin ATM Bank Islam dan beberapa bank lain penuh sesak dengan pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) sejak awal pagi tadi untuk mengeluarkan wang elaun mereka yang dilaporkan dibayar hari ini oleh pihak Bendahari UPSI.

Tinjauan yang dibuat mendapati semua ATM Bank Islam termasuk di pekan Tanjong Malim penuh sesak dengan pelajar DPLI yang beratur panjang untuk mengeluarkan wang elaun mereka.

Dalam pada itu, timbul juga cakap-cakap di kalangan mereka UPSI masih belum membayar sepenuhnya wang elaun mereka yang sepatutnya dibayar untuk 3 bulan seperti di universiti-universiti lain apabila mendapati wang yang dikreditkan ke akaun mereka hanya untuk 2 bulan.

Walau bagaimanapun, rata-rata mereka yang ditemui bersyukur dengan berita gembira ini dan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang berusaha mempercepatkan proses pembayaran elaun mereka ini.

Mereka sebelum ini dikatakan telah membuat desakan beberapa kali kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) dan Bendahari UPSI berjaya mempercepatkan proses pembayaran wang elaun mereka yang sebelum ini dilaporkan hanya akan dimasukkan selepas Hari Raya Aidilfitri.

September 15, 2009

Bahagian Akademik tolak permohonan kurang denda, Aqilah dakwa surat diedar tanpa pengetahuan

Tanjong Malim, 15 September – Usaha Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saudari Nur Aqilah Hanis memohon kepada Bahagian Hal Ehwal Akademik UPSI supaya dikurangkan denda yang dikenakan ke atas pelajar atas kesalahan lewat mendaftar praktikal beberapa minggu lalu ditolak Bahagian Hal Ehwal Akademik.

Penolakan permohonan itu menurut surat yang dikirimkan kepada beliau mengatakan perkara tersebut merupakan penetapan yang dibuat oleh Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kewangan Kali Ke-20 Bil. 3/2003 yang bertujuan melancarkan proses pengurusan akademik dan mendisiplinkan pelajar.

Di samping itu, surat yang ditandatangani Timbalan Pendaftar Kanan (Akademik), Puan Azzah Abdul Latiff turut merujuk kepada Kaedah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Perkara Akademik) 2008 yang menyentuh perkara yang berkaitan akademik yang perlu dipatuhi oleh pelajar.

Dalam perkembangan berkaitan, Aqilah mendakwa beliau terkejut apabila mendapati surat yang ditujukan kepadanya itu diedar di beberapa kawasan sekitar kampus tanpa pengetahuannya dan hanya mengetahui berkenaan surat tersebut hari ini meskipun tertera cop penerimaan surat tersebut pada 1 September lalu.

Katanya lagi, beliau tidak pernah menerima surat asal tersebut dan pelik apakah tujuan surat tersebut diedarkan kepada pelajar.

“Saya tak pernah tengok salinan asal surat yang ditujukan kepada saya itu, Cuma pagi tadi ada beberapa rakan yan ucap terima kasih kerana sudah berusaha mengutus surat supaya denda tersebut dikurangkan walaupun ditolak pihak Akademik.

“Kemudian apabila diselidiki, rupa-rupanya sudah ada pihak yang mengedar surat itu ke beberapa kawasan sekitar kampus dan saya tidak tahu apa tujuan pihak tersebut mengedarkannya”,katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pihak yang mengedar surat tersebut bertujuan memberi mesej negatif kepada pelajar terhadap usaha yang dilakukannya.

“Mungkin mereka nak sabotaj usaha yang kami buat untuk meringankan beban pelajar dengan denda yang dikenakan namun apa dengan edaran surat itu sebenarnya pelajar tahu kita dah usaha untuk kurangkan denda yang dikenakan.

Apabila ditanya apakah tindakan seterusnya selepas Pihak Akademik memberi respon sedemikian, beliau berkata:

“Berkenaan kandungan surat itu saya masih belum menelitinya sama ada benar penetapan yang dikatakan itu selari dengan apa yang digariskan dalam menentukan jumlah denda dan kita akan lihat bagaimana kaedah dan jumlah bayaran di universiti-universiti lain.”


September 14, 2009

Ceramah Perdana Bersamamu Palestin

Seringkali kita dengar tentang rintihan rakyat Palestin yang ditindas berikutan kekejaman Israel. Untuk itu satu Ceramah Perdana Bersamamu Palestin akan diadakan di Dewan Bandaran Ipoh (bersebelahan Masjid Negeri Ipoh) pada 25 Ramadhan 1430 H bersamaan 15 September 2009 jam 9.30 malam.

Ceramah akan disampaikan oleh Sheikh Dr Muhammad Mahmoud Siyam, mantan Imam Masjid Al-Aqsa.

Untuk itu, bagi mereka yang ingin mendengar sendiri pengalaman serta rintihan sebenar rakyat Palestin, anda dijemput hadir ke program tersebut.


Bendahari : Peruntukan sudah diterima, minta pelajar kemaskini nombor akaun

Bendahari UPSI yang ssebelum ini menerima pelbagai rungutan dan aduan berkenaan pembayaran elaun pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), mengesahkan wang peruntukan untuk membayar wang elaun kepada semua pelajar DPLI telah diterima.

Dalam kenyataan itu juga, pihak Bendahari mengingatkan kepada pelajar yang terlibat agar mengemaskini nombor akaun Bank Islam di dalam portal pelajar bagi memastikan proses pembayaran tidak mengalami masalah.

Sementara itu, pihak Bendahari turt mengingatkan agar tindakan segera dalam menegamaskini nombor akaun Bank Islam diambil tindakan serta-merta agar wang elaun dapat dibayar sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri.

Untuk rekod, kira-kira 2320 pelajar bakal menerima elaun pertama mereka selepas lebih 2 bulan mengikuti program DPLI di sini.

Mahasiswa diingat berhati-hati dalam perjalanan pulang ke kampung

Tanjong Malim, 14 September – Exco Kebajikan & Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Mohd Zulhilmi Mohd Noor mengingatkan kepada semua pelajar yang akan pulang ke kampung dengan kenderaan sendiri supaya berhati-hati dalam perjalanan mereka.

Beliau yang memberi peringatan tersebut berkata, kes kemalangan jalan raya banyak juga yang melibatkan pelajar IPT kerana sebahagian daripada mereka memilih untuk memandu kereta dan menunggang motorsikal masing-masing untuk pulang ke kampung.

“Dalam banyak kes kemalangan jalan raya menjelang musim cuti perayaan, pelajar IPT tidak terlepas daripada berdepan dengan risiko tersebut kerana sudah ramai di kalangan pelajar yang mempunyai kenderaan dan memilih untuk pulang dengan kenderaan yang dimiliki.

“Tapi malangnya tak ramai yang mengambil berat berkenaan pemeriksaan (servis) kenderaan mereka sebelum pulang ke kampung dan sikap cuai semasa memandu yang boleh membawa mereka kepada kecelakaan jalan raya”,katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan pelajar berkenaan kes kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UPSI baru-baru ini supaya mengelakkan diri daripada memandu ketika mengantuk.

“Saya juga nak ambil kesempatan untuk berpesan kepada rakan-rakan semua agar elakkan daripada memandu apabila berasa mengantuk kerana kes baru-baru ini yang melibatkan pelajar UPSI dilaporkan kemalangan kerana memandu dalam keadaan mengantuk”,ujarnya.

Mahasiswa UPSI akan mula bercuti pada 19 September sehingga 27 September ini. Namun, rata-rata pelajar dilaporkan akan pulang ke kampung halaman masing-masing lebih awal daripada tarikh tersebut berikutan tarikh Hari Raya Aidilfitri dijangka jatuh pada 20 September ini sehari selepas cuti bermula.

Pelajar persoal sikap ‘double standard’ penguatkuasaan etika pemakaian

Tanjong Malim, 14 September – Isu etika pemakaian yang menjadi perdebatan di kalangan mahasiswa di sini sejak akhir-akhir ini menimbulkan satu lagi persoalan kepada pihak penguatkuasa peraturan tersebut.

Terbaru seorang pelajar yang tidak mahu dinamakan mempersoalkan bagaimana penguatkuasaan etika pemakaian ini dilaksanakan terhadap pelajar dari China yang dilihat memakai pakaian yang bertentang dengan apa yang digariskan oleh pihak universiti.

Katanya lagi, sikap double standard ini sedikit sebanyak membuatkan kita merasakan UPSI tidak serius dalam melaksanakan peraturan yang ditetapkan.

“Saya melihat penguatkuasaan undang-undang tidak menyeluruh dan membuatkan ramai bertanya apa kelebihan mereka sebagai pelajar antarabangsa yang datangnya dari China dan kita di sini”,katanya.

“Saya bukan nak mempersoalkan peraturan yang dibuat tetapi mempersoalkan pelaksanaan yang dibuat kerana pakaian yang mereka pakai memang terang-terangan bertentangan dengan apa yang digariskan dan adakalanya begitu menjolok mata”,tambahnya lagi.

Dalam pada itu, katanya, keadaan ini mendapat lebih perhatian di kalangan pelajar semasa di bulan Ramadhan ini yang diketahui ramai sebagai bulan yang perlu menjaga segala panca indera daripada perkara-perkaa yang boleh mengurangkan pahala puasa.

Isu etika pemakaian ini mula mendapat perhatian selepas beberapa pelajar mempersoalkan kaedah pelaksanaan peraturan tersebut yang dikatakan tidak konsisten dan sering berubah-ubah.

September 12, 2009

Penyokong MU UPSI yakin benam Tottenham malam ini

Tanjong Malim, 12 September – Penyokong Manchester United dari kalangan mahasiswa UPSI yakin Manchester United mampu membenam kemaraaan pasukan Tottenham Hotspur yang semakin menjadi sebutan ramai di kalangan peminat bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan rekod tanpa kalah sejak permulaan musim.

Salah seorang peminat setia pasukan MU, Saleh, pelajar tahun 3 UPSI, dalam komennya berkenaan perlawanan tersebut yakin MU tidak akan goyah dengan kemaraan Tottenham.

“Saya yakin MU tak ada masalah untuk berdepan dengan Tottenham malam ini kerana MU merupakan pasukan yang berpengalaman menangani tekanan-tekanan sebelum dan semasa perlawanan malah pernah berdepan dengan pasukan yang lebih hebat daripada Tottenham sebelum ini”,ulasnya.

Tambahnya lagi,”Walau bagaimanpun MU perlu mencari gol pendahuluan lebih awal kerana Tottenham sudah semestinya memberi saingan sengit pada perlawanan ini dalam pertengahan perlawanan kerana mereka sedar ini adalah antara perlawanan yang menetukan KPI mereka”.

Dalam pada itu, beberapa kawasan tumpuan peminat bola sepak EPL seperti di restoran mamak dan kedai-kedai makan di sekitar Tanjong Malim dijangka dipenuhi kedua-dua peminat pasukan ini yang akan berentap kira-kira jam 12.25 pagi ini.

Walau bagaimanapun, peminat pasukan MU di UPSI yang akan turun menyaksikan perlawanan ini dijangka lebih ramai berbanding Tottenham yang baru menunjukkan prestasi cemerlang mereka pada musim ini.

Tottenham yang kini berada di tangga kedua liga di belakang Chelsea masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua empat perlawanan manakala MU berada di bawah Tottenham dengan 9 mata kurang 3 daripada Tottenham.

Program Giat Amal Ramadhan KHAR

Program ‘Giat Amal Ramadhan’ anjuran Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) di bawah kelolaan Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah JMK KHAR menjemput untuk sama-sama menyertai ‘Iftar Jamaie’ yang akan diadakan pada hari ini, 22 Ramadhan 1430 H bersamaan 12 September 2009 bertempat di Foyer Blok 2 dan Blok 3.


Pada 23 Ramadhan 1430 H bersamaan 23 September 2009 pula, program Qiamullail akan diadakan pada jam 4.30 pagi dan diteruskan dengan Sahur Perdana. Kuliah Subuh juga akan diadakan selepas solat subuh.

Pada sebelah malamnya pula jam 10.30 malam, Majlis Khatam Al-Quran dan Perasmian Penutup Program Giat Amal Ramadhan dijangka akan disempurnakan oleh Pengetua KHAR, Prof Madya Dr. Ahmad Zaidi Johari.


September 11, 2009

Pelajar China mula tonjol identiti, cari ahli kumpulan tarian Hip Hop

Tanjong Malim, 11 September – Pelajar antarabangsa dari China yang melanjutkan pelajaran mereka di UPSI bermula Julai lalu semakin selesa dengan suasana di sini dan mula menonjolkan identiti mereka.

Terbaru, mereka dilaporkan sedang mencari ahli untuk satu kumpulan tarian Hip Hop yang cuba untuk ditubuhkan di sini dengan menampal iklan di beberapa kawasan kediaman pelajar.

Keratan iklan yang memaparkan tulisan berbahasa mandarin pada awal huraian iklan itu antara lain mempelawa orang luar untuk menyertai kumpulan mereka selain mendakwa mereka merupakan pelajar yang mengambil program penarian.

Selain itu, iklan yang berlatar belakangkan imej wanita berpakaian menjolok mata itu, turut menyediakan tawaran pelbagai jenis kursus penarian yang dibuka kepada orang luar dan mengalu-alukan penyertaan mereka yang berminat dalam bidang tarian.

Meskipun di dalam perenggan iklan itu meletakkan sasaran kepada orang luar namun di bahagian tepi ruangan iklan tersebut tercatat perkataan ‘recruit students’ dan tulisan berbahasa cina berwarna merah yang dipercayai mempunyai maksud yang sama.

Penyebaran iklan ini walau bagaimanapun menimbulkan tanda tanya adakah mereka mahu menubuhkan kumpulan tarian yang tidak melibatkan pelajar atau sebaliknya.

UPSIkini yang menghubungi Exco Kesenian & Kebudayaan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), saudara Norhisham Che Hamid bagi mendapatkan kepastian tentang perkembangan tersebut mendakwa beliau tidak mendapat maklumat tentang perkara tersebut dan akan menyiasat sama ada cadangan penubuhan kumpulan itu melibatkan UPSI atau sebaliknya.

Dalam pada itu, beliau mengeluarkan kenyataan awal untuk menolak sebarang cadangan penubuhan kelab atau kumpulan kesenian yang tidak membina intelektual mahasiswa dan tidak selari dengan imej seorang pendidik.

Sebelum ini UPSIkini melaporkan 4 pelajar China yang melanjutkan pelajaran mereka di sini bermula awal Julai lalu telah mengambil keputusan berhenti daripada meneruskan pengajian.

Pelajar DPLI rayu elaun masuk sebelum raya

Tanjong Malim, 11 September – Khabar mengatakan wang elaun pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah hanya akan dimasukkan ke akaun mereka selepas raya menimbulkan rasa kurang senang pelajar DPLI di sini.

Rata-rata mereka yang memberi respon mengenai khabar tersebut merayu kepada pihak UPSI agar elaun mereka dapat dimasukkan sebelum Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut pada 20 September ini.

Salah seorang pelajar DPLI yang mahu dikenali sebagai Siti mengadu kepada UPSIkini melalui kiriman e-mel yang diterima, beliau merasa berat hati untuk pulang beraya di kampung kerana ahli keluarganya mengharap beliau dapat membantu keluarga dalam membuat persiapan sempena Aidilfitri ini.

Dalam pada itu katanya, beliau sering risau apabila menjawab panggilan telefon daripada ahli keluarganya yang bertanya bila beliau akan pulang ke kampung untuk beraya bersama kerana bimbang mengecewakan mereka apabila balik dengan tangan kosong.

Tambahnya lagi, meskipun keluarganya tidak meminta apa-apa daripada beliau, namun perasaan ingin membantu sebagai anak sulung dan harapan keluarga merasakan dirinya mempunyai tanggungjawab tersebut.

Sementara itu, berita mengenai bila wang elaun pelajr DPLI akan dimasukkan ke akaun mereka menimbulkan pelbagai maklum balas. Ada pihak yang mengatakan wang tersebut akan dimasukkan pada minggu hadapan sebelum cuti hara raya bermula dan tidak kurang juga yang mendakwa wang tersebut hanya akan dimasukkan selepas hari raya atas alasan pentadbiran.

Namun, pihak Bendahari UPSI yang bertanggungjawab dalam hal ini, sehingga hari ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut.


MPP Pro Kebajikan : AGM tetap diadakan

Tanjong Malim, 11 September – Mesyuarat Agung Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI akan tetap diadakan oleh MPP Pro Kebajikan meskipun tidak mendapat persetujuan Yang Dipertua MPP, saudara Mohamad Hairie Abdullah.

Penegasan itu dilontarkan Exco Akademik & Kerjaya MPP, Arif Mohamad ketika menjawab persoalan sama ada MPP Pro Kebajikan bersedia untuk mengadakan Mesyuarat Agung tersebut ataupun sebaliknya.

Beliau turut menegaskan MPP Pro Kebajikan komited dalam membentangkan segala perbelanjaan dan pengurusan program yang dilaksanakan malah bersedia menerima teguran dan kritikan mahasiswa.

“Kami dalam MPP Pro Kebajikan akan tetap adakan AGM untuk memenuhi hak seluruh mahasiswa UPSI dan kita juga bersedia menerima sebarang teguran, kritikan daripada mereka”, jelasnya.

Dalam pada itu katanya, AGM akan turut memberi ruang kepada mahasiswa memberi cadangan untuk menambah baik badan tertinggi mahasiswa itu pada masa akan datang.

“Kita juga sedia mendengar dan menerima semua cadangan daripada mahasiswa sama ada di peringkat persatuan, JMK atau mana-mana mahasiswa untuk kita perbaiki dan ambil tindakan untuk menambah baik MPP pada masa akan datang”,ujarnya.

Ditanya tidakkah tindakan mengadakan AGM tanpa persetujuan YDP dilihat membelakangkan beliau, Arif berkata perkara tersebut tidak timbul kerana bagi MPP Pro Kebajikan, dalam perkara ini mahasiswa adalah YDP yang patut diberi penghormatan.

“Isu membelakangkan beliau tidak timbul kerana kita sudah hantar surat, tapi tiada respon, jadi kita ambil pendekatan untuk buat bagi memenuhi hak mahasiswa sebagai pembayar yuran MPP dan bagi kami untuk perkara ini, mahasiswa adalah YDP”, katanya.

MPP Pro Kebajikan pada Julai lalu mencadangkan agar Mesyuarat Agung MPP melibatkan seluruh mahasiswa UPSI diadakan namun belum mendapat sebarang respon sehingga hari ini.

Ceramah Badar Al-Kubra & Majlis Khatam Al-Quran

Sempena memperingati peristiwa penting sirah Nabi yang berlaku dalam bulan Ramadhan, Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah Kolej Ungku Omar (KUO) akan menganjurkan satu ceramah “Badar Al-Kubra” yang akan disampaikan oleh Ustaz Anhar bin Opir.

Ceramah akan berlangsung di Dewan KUO pada 22 Ramadhan 1430 H bersamaan 12 September 2009 jam 9.30 malam.


Pada keesokannya pula, 23 Ramadhan 1430 H bersamaan 13 September 2009, Majlis Khatam Al-Quran akan diadakan di tempat yang sama (Dewan KUO) jam 9.30 malam.

Semua warga UPSI dijemput hadir.


September 10, 2009

Nawwar sifatkan provokasi ‘buluh runcing’ kesan buruk fahaman nasionalist

Tanjong Malim, 10 September – Provokasi sekumpulan 486 sukarelawan Indonesia yang melancarkan kempen ‘sapu Malaysia’ (sweeping Malaysia) dengan bersenjatakan buluh runcing disifatkan Mohd Nawwar Abu Mukhtar, mantan Presiden Persatuan Pendidikan Islam (PPI ) UPSI sebagai kesan daripada fahaman nasionalist dan boleh membawa kepada permusuhan antara satu sama lain.

Kumpulan terbabit yang menggelarkan mereka sebagai Kumpulan Pemuda Nasionalis Bendera kelmarin melancarkan kempen ‘sapu Malaysia’ dengan menahan kenderaan di jalan raya untuk mencari dan mengusir rakyat Malaysia.

Nawwar dalam ulasan berkenaan perkembangan tersebut menyifatkan provokasi ‘buluh runcing’ sekumpulan warga Indonesia itu sebagai kesan buruk daripada fahaman nasionalist dan bertentangan dengan nilai persaudaraan yang dipupuk dalam Islam.

“Inilah kesannya fahaman yang bercanggah dengan nilai-nilai keadilan dan kehormanian seluruh umat yang sudah tentunya tidak selari dengan apa yang diajar dalam Islam.

“Tapi malangnya orang Islam itu sendiri begitu berpegang kepada fahaman nasionalist ini dan akhirnya bertindak mengikut emosi sambil bermegah dengan semangat nasional”,ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak seluruh mahasiswa UPSI menilai di mana letaknya kewarasan fikiran sebagai manusia yang bertamadun apabila mengajak sesebuah negara berperang hanya kerana dakwaan mencuri tarian.

“Saya kira semua kita di sini boleh fikir, di mana letaknya kewarasan fikiran seorang manusia bertamadun apabila mengajak orang berperang hanya kerana sebuah tarian.

“Jadi saya ingin menasihatkan kepada warga UPSI terutamanya yang beragama Islam untuk sama-sama kita berpegang teguh apa yang telah diajar dalam agama kita kerana Islam itu sudah sempurna untuk diamalkan dan dipraktikkan dalam setiap aspek termasuk hal-hal yang berkaitan dengan budaya,”jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, media tempatan melaporkan Jakarta melalui Duta Besarnya memberi jaminan pihak pemerintah Indonesia akan mengambil tindakan bagi memastikan warga Malaysia di sana selamat.

Bicara Wanita minggu ini

Pusat Islam UPSI dengan kerjasama Biro Latihan & Pembangunan Sahsiah MPP UPSI akan meneruskan program berkala Bicara Wanita dengan tajuk yang dibawa pada minggu ini “Puasa Membina Keperibadian Muslimah” yang akan dikupas oleh Ustazah Wahibah Bt Twahir @ Hj Tahir.

Program akan diadakan pada hari Jumaat ini, 21 Ramadhan 1430 H bersamaan 11 September 2009 jam 12.00 tengah hari hingga 2.00 petang bertempat di Auditorium Utama.

Semua kakitangan dan mahasiswi UPSI dijemput hadir.


September 9, 2009

Kes Audi : Bukti baru didedah, Pro Kebajikan setuju serah kes kepada AMI

Pro Kebajikan hari ini mendedahkan bukti baru kes Audi kepada umum selepas berbuat demikian di hadapan penyokong mereka semalam.

Bukti terbaru merupakan sekeping gambar yang memaparkan bendera Barisan Nasional (BN) pada dinding di dalam Auditorium Utama UPSI.


Ketua Penerangan Pro Kebajikan yang menjelaskan pendedahan tersebut berkata maklumat yang diterima mengatakan gambar itu diambil semasa program parti politik tersebut berlangsung pada Disember 2007 yang merupakan program gerak kerja BN dalam mempersiapkan jentera menjelang Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008.

Ujarnya lagi, gambar-gambar yang diterima Pro Kebajikan berkaitan kes tersebut menunjukkan secara jelas bahawa BN pernah menggunakn UPSI untuk program parti mereka.

Walau bagaimanapun imej individu yang terdapat dalam gambar tersebut digelapkan. Menjelaskan perkara tersebut, beliau berkata imej individu itu ditutup kerana fokus pendedahan bukti tersebut adalah untuk menunjukkan bahawa program kepartian memang ada dijalankan di UPSI.

“Gambar individu itu memang kita tutup kerana fokus kita adalah untuk mendedahkan bahawa program kepartian memang ada dijalankan di UPSI dan kini kita tahu siapa yang dipergunakan sebenarnya”, jelasnya.

Tambahnya lagi,”soal siapa yang terlibat mungkin akan dibuat selepas ini dan setakat ini kita dah dedahkan 2 bukti yang jelas menunjukkan ada pihak di dalam UPSI dipergunakan parti politik tertentu meskipun sebelum ini mereka lantang menegah mahasiswa jangan terlibat dengan mana-mana parti politik”,tegasnya.

Sementara itu Pro Kebajikan turut mengumumkan persetujuan menyerahkan kes tersebut kepada Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI selepas perbincangan dibuat antara kedua-dua pihak semalam.

“Kes ini kita putuskan untuk serahkan kepada AMI selepas syarat yang kita letakkan dipersetujui walaupun banyak lagi bukti yang belum kita dedahkan dan AMI selepas ini bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang dibuat, bukti lain juga kita dah serahkan semuanya pada AMI”,katanya.

Dalam pada itu, rata-rata pemerhati yang mengikuti perkembangan kes ini menyifatkan tindakan Pro Kebajikan mendedahkan bukti baru ini bakal mengundang pelbagai spekulasi berkenaan siapa dalang di sebalik penganjuran program tersebut di UPSI.

Kes Audi mula menjadi perhatian warga UPSI sejak pendedahan pertama yang dibuat Julai lalu yang menunjukkan sekeping gambar bendera-bendera parti BN di dalam Auditorium Utama UPSI.


Forum sempena Nuzul Al-Quran

Program forum sempena Nuzul Al-Quran akan diadakan pada jam 2.00 petang ini bertempat di Auditorium Utama UPSI.

Forum akan menampilkan dua ahli panel jemputan, Dr Jamnul Azhar dan Ustaz Zulkifli Al-Bakri dari USIM.

Semua dijemput hadir.


Pro Kebajikan saran mahasiswa UM tolak e-voting

Tanjong Malim, 8 September – Pro Kebajikan UPSI hari ini menyarankan kepada pengundi-pengundi Pilihan Raya Kampus Universiti Malaya (UM) supaya menolak sistem e-voting yang mahu digunakan di kampus tersebut dalam PRK akan datang.

Saranan tersebut dibuat selepas pentadbiran UM dikatakan bakal menggunakan sistem tersebut untuk pilihan raya akan datang.

Menjelaskan saranan tersebut, Setiausaha Agung Pro Kebajikan berkata UM perlu menolak sistem tersebut kerana sistem e-voting sememangnya diragui ketelusannya dari banyak aspek.

Dalam pada itu katanya, sistem e-voting boleh dimanipulasi sekiranya pihak yang mengendalikan proses itu tidak benar-benar mempunyai prinsip adil apatah lagi kalau sebelum ini mereka pernah dikaitkan sebagai dalang menaja calon-calon yang kononnya bersama universiti.

“Sebagai universiti yang pernah dan sedang menggunakan sistem ini, kami sarankan mahasiswa UM menolak sistem e-voting dan saya kira tak perlu nak hujah mengapa kerana mahasiswa UM pasti boleh fikir apa yang bakal berlaku”,katanya.

Tambahnya lagi,”mahasiswa UM jangan mengharap untuk kembalikan sistem undian manual sekiranya sistem e-voting dah digunapakai kerana alasan demi alasan akan diberikan dan yang paling popular mereka akan kata tidak baik membazir kerana beribu-ribu sudah dilabur untuk bangunkan sistem ini”.

Terdahulu, pentadbiran UM telah menjalankan percubaan sistem ini di kolej-kolej kediaman dan dilaporkan sistem e-voting akan digunapakai dalam PRK bagi pemilihan Majlis Perwakilan Mahasiswa UM 2009/10.

September 8, 2009

Kes Audi : Pro Kebajikan dedah bukti baru esok, 09-09-09

Tanjong Malim, 8 September – Pro Kebajikan yang mendakwa mempunyai bukti baru berkenaan kes Auditorium Utama digunakan parti Barisan Nasional (BN) untuk program parti mereka menetapkan esok, 9 September 2009 untuk mendedahkan bukti baru tersebut.

Perkara tersebut dimaklumkan Ketua Penerangan Pro Kebajikan kepada UPSIkini tengah hari tadi.

Walau bagaimanapun katanya, pendedahan bersama penyokong dan pimpinan Pro Kebajikan akan dibuat malam ini di sebuah kediaman di sini selepas mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan dan hanya akan diserahkan kepada media esok.

Dalam pada itu, wakil Alumni Mahasiswa Islam (AMI) UPSI juga dilaporkan akan hadir bagi membincangkan hasrat mereka mangambil alih kes tersebut daripada Pro Kebajikan.

Pendedahan tersebut diramal ramai pemerhati bakal menimbulkan satu lagi tekanan kepada pihak yang berkaitan dalam usaha membongkar segala perkara-perkara di luar pengetahuan warga UPSI di sini.

Pro Kebajikan sebelum ini menetapkan 4 September untuk membuat pendedahan tersebut namun terpaksa ditunda kerana sebahagian besar pimpinan Pro Kebajikan mempunyai komitmen lain pada tarikh tersebut.

Adham Baba lawat UPSI, Pro Kebajikan dakwa petanda Pilihan Raya Kampus sudah hampir

Tanjong Malim, 6 September – Kehadiran Datuk Dr. Adham Baba dalam satu majlis berbuka puasa di sini didakwa Pro Kebajikan sebagai petanda Pilihan Raya Kampus sudah semakin hampir.

Menurut Ketua Penerangan Pro Kebajikan, bekas Setiausaha Parlimen KPT itu mempunyai rekod yang jelas dalam penglibatan beliau sebagai penggerak mahasiswa yang membawa ideologi parti politik tertentu ke dalam kampus dan kedatangannya sudah pasti membawa isyarat jelas PRK UPSI sudah hampir.

“Saya kira rata-rata mahasiswa di seluruh IPTA mengetahui bahawa beliau adalah penggerak sekumpulan mahasiswa untuk membawa ideologi parti politik tertentu di dalam kampus dan kita maklum kehadirannya ke UPSI pasti membawa petanda bahawa PRK sudah hampir”,katanya.

Adham yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Pasir Raja dikatakan antara pencatur utama kumpulan mahasiswa pro BN di dalam kampus. Namun, beliau dilihat tidak begitu ke depan selepas Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menjadi orang nombor satu kementerian tersebut selepas Dato’ Mustapha Mohamed yang kini berada di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Turut bersama dalam majlis berbuka puasa tersebut Timbalan Naib Canselor HEP&A, Prof. Dr. Shaharudin Abd Aziz, Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Encik Faiezi Othman, dan beberapa ahli MPP.

Beliau yang hadir atas jemputan berbuka puasa Persatuan Mahasiswa Johor UPSI turut bersama menunaikan solat terawih di Surau Al-Falah.


September 5, 2009

“Kehilangannya amat dirasai kami” – keluarga Norazlina

Jelawat, 5 September – “Kami sangat sedih dengan kehilangannya namun kami redha”. Begitulah ungkapan yang diluahkan keluarga Allahyarhamah Norazlina yang maut dalam satu kemalangan jalan raya 28 Ogos lalu.

Rombongan wakil UPSI yang menziarahi keluarga Allahyarhamah di Kampung Tualang Salak, Jelawat Kelantan selamat sampai kira-kira jam 10.00 pagi tadi dan disambut dengan linangan air mata nenek Allahyarhamah yang begitu terasa kehilangannya.

Allahyarhamah yang lebih mesra dengan panggilan Kak Long oleh keluarganya dikatakan begitu rapat dengan neneknya sejak dari kecil dan Allahyarhamah pernah dijaga beliau semasa kecil.

Menurut Mohd Noor, bapa Allahyarhamah, tiada tanda-tanda beliau ingin pergi sebelum kejadian malang itu menimpanya.

“Tak ada apa-apa tanda yang menunjukkan dia nak pergi Cuma lebih kurang jam 12.00 malam tu, arwah ada menelefon untuk ucap selamat hari lahir kepada saya dan kemudian dalam jam 3 pagi, adiknya pula telefon kata terlibat dengan kemalangan.

“Kemudaian saya terus ke tempat kejadian tapi saya dapat panggilan lepas tu untuk ke hospital pada jam 6.00 pagi”, katanya ketika ditanya Zulhilmi, salah seorang wakil rombongan ziarah tersebut.

Dalam pada itu, ibunya berkata Allahyarhamah mempunyai impian terakhir sebelum terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Arwah Kak Long ada pesan kepada saya minta saya tempah kek sebab Kak Long nak sambut ulangtahun hari lahirnya bersama abahnya dan ulangtahun perkahwinan kami, tapi tak sempat dia nak sambut bila saya dapat tahu dia dah tak ada”, katanya sebak mengingatkan arwah yang merupakan anak sulong dalam keluarga.

Sementara itu, pihak rombongan yang terdiri daripada Exco Kebajikan & Kemasyarakatan MPP, Mohd Zulhilmi Mohd Noor, Adriyani Yamin dan Exco Akademik & Kerjaya MPP, Nur Aqilah Hanis serta pegawai Jabatan hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) turut menyerahkan kutipan sumbangan daripada warga UPSI sebanyak RM 1538.10 dan barang-barang Allahyarhamah.

Mahasiswi dominasi kuota kursus kahwin anjuran Pusat Islam

Program kursus kahwin anjuran Pusat Islam UPSI yang merupakan program berkala Pusat Islam tidak pernah kekurangan peserta. Namun seringkali program ini didominasi kaum hawa atau mahasiswi.

Pada hari ini, Pusat Islam sekali lagi menjalankan program kursus kahwin ini dan seperti biasa bilangan mahasiswi berbanding mahasiswa begitu jauh nisbahnya.

Dilaporkan kira-kira 300 peserta yang menyertai kursus kahwin hari ini didominasi mahasiswi dengan purata nisbah 6 : 1.

Kursus yang dijalankan di tiga Dewan Kuliah iaitu DK M, DK J dan DK K itu diadakan dua hari, hari ini dan esok.

Turut serta menguruskan kursus tersebut, Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah MPP, saudara Akmal Madzir.

Arif : Hairie masih belum beri jawapan

Tanjong Malim, 5 September – Gesaan Exco Akademik & Kerjaya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Arif Mohamad kepada Yang DiPertua MPP supaya diadakan Mesyuarat Agung yang melibatkan seluruh mahasiswa untuk membentangkan laporan kewangan tahunan secara terbuka masih belum mendapat sebarang respon daripada ketuanya itu.

Perkara tersebut disampaikan beliau kepada UPSIkini malam tadi.

Beliau yang juga merupakan wakil MPP Pro Kebajikan membuat cadangan tersebut beberapa hari lalu komited untuk mengadakan Mesyuarat Agung itu sebagai salah satu pendekatan membuktikan ketelusan badan tertinggi mahasiswa itu dalam mengurus tadbir kewangan dan amanah mahasiswa.

“Setakat ini belum ada apa-apa respon daripada YDP mahupun MT MPP berkenaan perkara tersebut dan kita akan tunggu jawapan rasmi daripada mereka”,katanya.

“Agenda ini penting dalam kita menunjukkan ketelusan kita mengurus wang dan program yang dilaksanakan dan perlu kita ingat semua wang yang digunakan adalah wang mahasiswa semua, jadi mereka berhak tahu”, tambahnya lagi.

Sementara itu, undian UPSIkini yang meminta pandangan mahasiswa berkenaan cadangan tersebut setakat ini mencatatkan 93% pengundi bersetuju untuk cadangan itu dilaksanakan.

Pengajian Pondok Universiti

Bagi mengadaptasi suasana pengajian pondok di sebuah Institusi Pengajian Tinggi, Persatuan Pelajar Islam (PPI) UPSI dengan kerjasama Pusat Islam UPSI akan menganjurkan program pengajian pondok universiti yang masuk siri kedua pada Ahad, 16 Ramadhan 1430H bersamaan 6 September 2009 ini.

Program akan berlangsung di Dewan Sri Tanjung pada jam 9.00 hingga 11.00 pagi menampilkan Ustaz Anhar bin Opir, pensyarah Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.

Tajuk yang akan dibincangkan adalah berkenaan Fiqh Muamalah dan Fiqh Siyam (puasa).
Semua dijemput hadir.

September 4, 2009

Kes Audi : Pro Kebajikan tunda tarikh dedah bukti baru

Tanjong Malim, 4 September – Pro Kebajikan petang tadi memaklumkan pendedahan bukti baru kes audi yang dilaporkan akan dibuat hari ini terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

Exco Kebajikan, Aqilah ziarah keluarga Allahyarhamah Norazlina

Tanjong Malim, 4 September – Exco Kebajikan dan Kemasyarakatan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI, Mohd Zulhilmi Mohd Noor dan Adriyani Yamin dilaporkan akan menziarahi keluarga mangsa kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI) UPSI, AllahyarhamahNorazlina Mohd Noor petang ini.