
Tanjong Malim, 19 Okt – Pro Kebajikan UPSI, kumpulan mahasiswa UPSI yang mula mendapat perhatian sejak menang mengejut 8 kerusi termasuk 3 kerusi Umum pada Pilihan Raya Kampus (PRK) yang lalu akan mempertimbangkan cadangan Biro Politik & Risikan kumpulan tersebut supaya tidak bertanding dalam PRK akan datang.
Cadangan tersebut dibentangkan Ketua Biro tersebut dalam satu mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi Pro Kebajikan beberapa hari lalu.

Tindakan menarik diri dalam PRK akan datang disifatkan Biro tersebut sebagai langkah pilihan selepas mempertimbangkan beberapa perkara mengikut kajian yang dijalankan.
Dalam pembentangannya, Ketua Biro terbabit mengatakan, melalui risikan yang dibuat, sistem e-voting yang digunakan dalam pengundian berkemungkinan besar dimanipulasi pihak tertentu dalam memastikan calon Pro Kebajikan tewas.
Justeru katanya, adalah sesuatu yang agak sukar untuk menerajui kepimpinan MPP meskipun calon terbaik diletakkan selagi system tersebut digunakan.
Tambahnya, faktor lain yang mendorong kepada cadangan itu adalah bagi memberi penumpuan kepada organisasi lain yang lebih praktikal dalam pelaksanaan program-program yang selari dengan prinsip Pro Kebajikan.
Selain itu, biro tersebut juga mengusulkan sistem dwi tahunan yang mencadangkan Pro Kebajikan bertanding sekali dalam tempoh dua tahun.
Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dikatakan menimbulkan pelbagai pandangan daripada ahli MT Pro Kebajikan.
Setiausahanya ketika mengulas perkara terbabit berkata cadangan itu masih belum diputuskan kerana beberapa faktor lain harus diambil kira.
“Perkara ini masih di peringkat cadangan kerana kita perlu menilai dari semua aspek sebelum membuat keputusan”,ulasnya
Ditanya adakah tindakan tersebut dipengaruhi faktor kekurangan calon untuk bertanding, beliau berkata, “setakat ini ramai yang menawarkan diri untuk bertanding atas nama Pro Kebajikan dan soal kurang calon memang tidak timbul”.
UPSI dijangka bakal mengadakan PRK awal tahun depan bersama-sama 4 kampus utama di Lembah Klang – UM, UKM, UPM, dan UIA.