October 30, 2008

Penyelewengan wang mahasiswa RM 36 000 tetap akan dibuka semula

Pro Kebajikan dalam satu sidang bersama semua penyokong mereka kelmarin turut mnyentuh isu RM 36 000 yang menjadi isu besar sebelum ini. Dalam kenyataan tersebut, Pro Kebajikan akan berusaha membawa kes tersebut untuk pengetahuan umum terutamanya seluruh mahasiswa UPSI yang mahukan penjelasan terperinci berkenaan kes tersebut [klik]. Apabila ditanya adakah kes tersebut menjadi salah satu agenda dalam perubahan yang ingin dibawa, beliau dipetik sebagai berkata telus dan adil adalah prinsip yang akan dibawa dalam Pro Kebajikan dan seluruh mahasiswa ingin tahu ke mana perginya RM 36 000 duit mahasiswa yang dilesapkan , kami akan mencari jawapannya. Jelasnya lagi, Pro Kebajikan menolak segala bentuk penipuan yang boleh merosakkan kredabiliti MPP sebagai organisasi penting mahasiswa.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Pro Kebajikan tidak akan bertolak ansur dalam hal yang berkaitan dengan penyelewengan apatah lagi dengan menggunakan wang mahasiswa.
"Kita tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan penyelewengan dan penipuan yang melibatkan wang mahasiswa", kata beliau.Tambahnya lagi,"kita akan menjunjung amanah mahasiswa yang diberikan kepada kita sebaik mungkin".
Beliau turut mengingatkan kepada semua mahasiswa bahawa Pro Kebajikan sedia dikritik dan ditegur kerana mahasiswa berhak melakukan sedemikian dalam usaha menambahbaik perkhidmatan dan tugas yang dipikul.

October 29, 2008

UPSI Portal jadi ’pasar malam maya’

Laman portal rasmi UPSI yang menjadi sumber penyebaran maklumat kepada semua warga UPSI semakin kurang digunakan sebagai wadah penyebaran informasi berguna melainkan dilambakkan dengan iklan-iklan yang berunsur perniagaan semata-mata. Kenyataan ini dibuat oleh seorang wakil Pro Kebajikan petang tadi yang melihat UPSI Portal tidak lagi digunakan untuk menyebarkan maklumat yang bermanfaat tetapi sebagai medium pengiklanan produk seperti ’pasar malam maya’.
”Saya melihat sejak akhir-akhir ini kegunaan UPSI Portal semakin menyimpang jauh daripada medium yang disediakan untuk percambahan idea dan pembinaan intelektual mahasiswa dalam menyampaikan pandangan”,ulasnya. ”Keadaan ini sebenarnya menggambarkan satu suasana yang menyedihkan di kalangan mahasiswa yang sepatutnya menggunakan kemudahan itu untuk menyampaikan pandangan dan idea, bukan sebagai medium pengiklanan produk semata-mata”, tambahnya lagi.
Sementara itu, seorang mahasiswa ketika ditanyakan berkenaan UPSI portal, beliau berkata, ”Saya tidak nampak apa-apa yang boleh dikongsi di UPSI portal melainkan mengiklankan produk dan kadang-kadang terdapat juga iklan skim cepat kaya”. Katanya lagi,”Saya juga jarang melawati portal tersebut kecuali kalau ada perkara mustahak seperti mengisi borang penginapan kolej, barulah saya melayari portal tersebut”.
Upsikini turut meninjau Portal tersebut dan dakwaan wakil Pro Kebajikan yang mengatakan UPSI Portal seperti ’pasar malam maya’ ternyata benar apabila deretan iklan terdapat di ruangan tersebut.
UPSI portal dibangunkan oleh Pusat ICT UPSI sebagai laman interaktif yang membolehkan semua warga UPSI berkongsi dan menyampaikan maklumat di dalam ruangan yang disediakan.

Rundingan jalan terbaik setakat ini

Kemelut pembentukan kabinet masih lagi menjadi tanda tanya mahasiswa di sini hari ini. Sehubungan dengan itu, Jurucakap Pro Kebajikan menyampaikan hasrat mereka untuk membuat rundingan dengan semua ahli MPP bagi merombak semula kebinet dan membentuk kabinet yang benar-benar adil. Kenyataan ini dibuat selepas majlis pertemuan dengan penyokong Pro Kebajikan semalam.
“Kita akan cuba buat rundingan dalam satu dua hari ini tetapi kalau tidak ada respon yang positif kita akan ambil tindakan selanjutnya dengan menyatakan bantahan kepada pihak yang berkenaan,”ulas beliau. Beliau turut menegaskan bahawa Pro Kebajikan akan sentiasa menyusun strategi bagi memastikan suara mahasiswa dalam PRK baru-baru ini dihormati dan diberi perhatian.
Upsikini dilaporkan satu persidangan tergempar melibatkan semua ahli MPP akan diadakan malam ini.

Upsikini disaran tubuh kelab

Dalam kehangatan isu kabinet MPP yang menerima pelbagai respon daripada pembaca, Upsikini disaran oleh beberapa pihak untuk menubuhkan kelab Upsikini sebagai kelab yang berdaftar di bawah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan berperanan menjadi medan kewartawanan mahasiswa. Saranan tersebut dibuat melalui beberapa e-mel yang dikirimkan kepada Upsikini sebelum ini. Ketika diajukan perkara ini kepada Ketua Editor Upsikini yang hanya mahu dikenali sebagai Mr. Teller, beliau menjelaskan perkara ini mungkin boleh direalisasikan tetapi kebebasan dalam menyampaikan maklumat harus diberikan kepada Upsikini kerana itu adalah prinsip asas kita semasa Upsikini diwujudkan. Beliau turut menyatakan hasrat untuk melihat Upsikini menjadi sumber maklumat utama bagi menyampaikan sebarang perkembangan terkini kampus kepada pembaca khususnya warga UPSI. Upsikini juga menerima beberapa saranan untuk membangunkan sebuah portal interaktif yang mengandungi ruang forum dan maklumat lain selain berita terkini yang disampaikan.
Sejak diwujudkan pada 10 Oktober 2008, Upsikini sudah mencecah lebih 9000 hit.

Pro Kebajikan : Kepimpinan ke arah memahasiswakan mahasiswa

Pertemuan beberapa penyokong Pro Kebajikan bersama wakil mereka yang menang dalam PRK tempoh hari mencapai satu kata putus yang jelas. Komitmen untuk memenuhi kebajikan mahasiswa akan menjadi fokus utama dan perubahan tetap akan dibuat. Dalam pertemuan tersebut Upsikini dilaporkan semua persoalan dapat dijelaskan dengan baik dan diterima penyokong mereka. Wakil Pro Kebajikan yang memberi penerangan menegaskan bahawa persoalan merebut jawatan dalam Majlis Tertinggi bukan atas dasar jawatan tetapi mahu melihat sistem dipatuhi dan mengambil kira pilihan mahasiswa.
“Kita bukan pilih jawatan, tapi mengapa sistem yang dikatakan demokrasi, adil dan telus sewenang-wenangnya dilanggar tanpa memikirkan apa yang telah disuarakan mahasiswa. Di mana sistem yang dikatakan berintegriti itu?”,katanya. Tambahnya lagi,”jawatan itu hanya alat untuk kami bergerak, dan kami tidak akan lari dari landasan menjaga kebajikan semua tidak kira penyokong kami atau tidak dan kepimpinan yang ingin kami bawa adalah ke arah ‘memahasiswakan mahasiswa’.”
Dalam pada itu, wakil tersebut turut menjelaskan bahawa tidak timbul soal gila jawatan kerana mahasiswa sudah matang untuk fikirkan siapa yang gila jawatan sebenarnya kalau semua nak disapu.
Apabila ditanyakan apakah tindakan susulan mereka menuntut untuk mendapatkan beberapa kerusi MT, beliau mengatakan perkara itu masih dalam perbincangan dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Sementara itu, beberapa penyokong yang hadir mendesak agar mereka menuntut beberapa kerusi MT secepat mungkin. Selain itu, pertemuan ini turut membahaskan tentang sistem pemilihan yang dibuat bagi pembentukan kabinet MPP yang menggunakan AUKU. Wakil tersebut menjelaskan AUKU adalah satu-satunya sumber rujukan yang boleh dibuat kerana MPP tidak ada perlembagaannya sendiri.
“Inilah yang menjadi salah satu masalahnya. Badan mahasiswa yang penting begini tidak ada perlembagaan. Saya sendiri mencari Perlembagaan MPP tapi sampai sekarang tidak ditemui. Mungkin saya belum jumpa atau sememangnya tidak ada”, ulas beliau.
Pertemuan yang berlangsung selama 1 jam 30 minit ini turut membuka ruang kepada penyokong yang hadir untuk menyampaikan masalah mereka.

October 28, 2008

Penyokong Pro Kebajikan jumpa wakil mereka malam ini

Beberapa penyokong Pro Kebajikan akan membuat pertemuan dengan wakil mereka yang menang dalam PRK malam ini. Mereka dikatakan akan membuat pertemuan itu bagi membincangkan apakah kedudukan sebenar kabinet yang dibentuk baru-baru ini dan tindakan terbaik yang perlu diambil. Penyokong Pro Kebajikan yang mahu wakil mereka duduk di kerusi Majlis Tertinggi menjelaskan bahawa mereka bekerja dalam kempen sebelum ini bermatlamat untuk ada wakil mereka memegang jawatan MT dan membuat perubahan. Dalam pada itu, wakil Pro Kebajikan yang akan memberi penerangan tentang keadaan semasa ini mengingatkan kepada penyokong mereka agar tidak mengambil tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan dan oleh sebab itu pertemuan ini diadakan. Walau bagaimanapun Upsikini tidak dimaklumkan di mana pertemuan itu akan diadakan.
Isu pembentukan kabinet yang menimbulkan keraguan banyak pihak semakin menjadi perhatian di kalangan mahasiswa sejak senarai kabinet itu dilaporkan Upsikini baru-baru ini.

October 27, 2008

Mahasiswa minta penjelasan

Beberapa mahasiswa di sini hari ini meminta pihak yang berkaitan memberi penjelasan berkenaan pembentukan kabinet yang dilihat bertentangan dengan proses demokrasi. Seorang mahasiswa tahun 2, Siti, dilaporkan sebagai berkata, penafian beberapa calon umum yang menang PRK untuk menyandang kerusi Majlis Tertinggi seolah-olah sudah dirancang dan bertentangan dengan apa yang sudah disuarakan mahasiswa.
“Kami telah memberi undi tertinggi kepada Akmal. Ini isyarat jelas bahawa mahasiswa mahu beliau menjadi pemimpin nombor satu,”katanya. Tambahnya lagi,”Majlis Perwakilan Pelajar adalah badan yang mewakili mahasiswa dan sepatutnya wakil yang berada di situ adalah mereka yang dipilih oleh keseluruhan mahasiswa dan Akmal adalah orangnya.” Beliau juga meminta agar pihak yang berkaitan memberi penjelasan apakah status kabinet yang dilaporkan sekarang ini, sama ada sah atau tidak dari sudut perlembagaan.
Seorang lagi mahasiswa, Sofian, yang memberi respon kepada isu ini menjelaskan bahawa beliau tidak mempunyai masalah siapa yang duduk di kerusi YDP tetapi biarlah adil kepada mahasiswa.
”Soal siapa yang duduk di kerusi YDP tidak ada masalah bagi saya tetapi janganlah sampai suara mahasiswa yang memilih 3 calon umum yang menang tempoh hari diketepikan. Mereka seharusnya berada dalam Majlis Tertinggi sebagai peneraju utama MPP”,ulasnya.
Upsikini dilaporkan penyokong-penyokong Pro Kebajikan kurang berpuas hati dengan struktur kabinet yang dibentuk baru-baru ini dan akan membuat pertemuan dengan ahli MPP Pro Kebajikan bagi mendapatkan penjelasan.

Hazwan : Saya pernah jadi Ketua Asrama sekolah

Isu pembentukan kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masih lagi hangat diperkatakan di kalangan mahasiswa. Terbaru, Upsikini dilaporkan, Nazarul Hazwan, yang dikatakan akan memegang jawatan Penolong Bendahari dalam Majlis Tertinggi MPP mendakwa bahawa beliau pernah memegang jawatan sebagai Ketua Asrama semasa di sekolah. Kenyataan itu timbul apabila kelayakan calon untuk memegang satu-satu jawatan itu ditimbulkan di kalangan ahli MPP yang hadir. Beliau yang kini berada di semester 3, menang kerusi Umum dalam PRK tempoh hari. Hazwan walau bagaimanapun disenaraikan sebagai Penolong Bendahari selepas mesyuarat kali ketiga bagi pembentukan kabinet MPP dibuat kelmarin.
Pembentukan kabinet yang dilihat didominasi Pro Kulaiti menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan mahasiswa sehingga ada yang mendakwa senarai kabinet tersebut tidak sah dan perlu dibentuk semula.

October 26, 2008

Dominasi Pro Kualiti kerusi MT MPP timbul tanda tanya

Struktur kabinet MPP yang dilaporkan Upsikini semalam membawa kepada satu lagi polemik politik kampus UPSI. Berdasarkan kepada kabinet tersebut, keseluruhan kerusi MT MPP didominasi Pro Kualiti yang hanya memenangi 2 kerusi umum dan tidak memperoleh majoriti 2/3 dalam penguasaan jumlah kerusi yang dipertandingkan apabila Pro Kebajikan berjaya memperoleh 8 kerusi, 3 Umum dan 5 fakulti. Kerusi nombor satu MPP dilaporkan bakal disandang Hairie, ahli MPP daripada Fakulti Bahasa yang menang tanpa bertanding. Rata-rata mahasiswa masih tertanya-tanya apakah 3 calon Pro Kebajikan yang menang kerusi umum tidak layak untuk seorang pun duduk di kerusi MT. Persoalan ini diajukan kepada Ihsan, mahasiswa yang sering memberi pandangan bernas dalam memperkatakan tentang politik kampus UPSI.

Upsikini : Assalamualaikum, Ihsan. Bersua sekali lagi.
Ihsan : Waalaikumsalam..

Upsikini : Makin panas rasanya kampus kita ni.
Ihsan : Begitulah nampaknya. (ketawa)

Upsikini : Baik, kita terus kepada perbincangan kita. Pada pandangan Ihsan, apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam pembentukan kabinet MPP?
Ihsan : Sebelum itu, saya ingatkan, MPP berada dalam satu perebutan kerusi yang mana tidak ada kelebihan dari sudut nombor bagi mana-mana kumpulan. Pro Kualiti 13 kerusi, tiada 2/3, manakala Pro Kebajikan, 8 kerusi. Mengikut apa yang sepatutnya berlaku, Pro Kebajikan memperoleh kelebihan dari segi kerusi umum yang dimenanginya. Tetapi sebaliknya berlaku kerana kedua-dua pihak tak faham apa sebenarnya yang perlu dilakukan dalam menentukan kerusi MT. Saya kira itu sudah dijelaskan Upsikini dalam beberapa post yang saya baca. Apapun kita nak lihat, sekarang ini siapa yang layak dari sudut apa?undian atau pengalaman kepimpinan. Sebab itu saya katakan, kalau semua ahli MPP itu jujur dan telus, kepentingan peribadi harus diketepikan, lihat kepada matlamat yang ingin dibawa bersama.

Upsikini : Saudara mengatakan tentang kepentingan peribadi, adakah saudara rasa perkara itu wujud dalam hal menentukan kerusi ini?
Ihsan : Kepentingan peribadi harus dilihat dalam skop yang lebih luas. Kadang-kadang bukan kepentingan peribadi orang yang duduk di kerusi itu, tetapi kepentingan pihak tertentu. Itu juga dikatakan kepentingan peribadi. Baik, baru-baru ini saya lihat tentang pendedahan penyelewengan wang MPP RM36 000. Saya rasakan kemahuan untuk dominasi MT ada kaitan dengan kes ini. Berkemungkinan kes ini akan digali oleh mereka yang nak dapatkan jawapan. Siapa yang boleh berbuat demikian? Kedudukan yang paling berhak dan berkuasa untuk buka semula kes ini mungkin datangnya dari MT yang boleh dikatakan jawatan yang membuat dasar. Jadi ini mungkin faktornya apabila Pro Kebajikan tidak diberikan ruang langsung untuk pegang mana-mana jawatan MT apatah lagi YDP.

Upsikini : Apakah saudara rasakan ini faktor utama?
Ihsan : mungkin ya mungkin tidak. Tapi ia tetap menjadi faktor.
Upsikini : Pada pandangan saudara, adakah dengan cara menguasai kerusi MT, Pro Kebajikan akan hilang taringnya?
Ihsan : Itu bergantung kepada bagaimana mereka ingin melaksanakan tugas yang diamanahkan. Saya kira mereka lebih tahu soal kepimpinan dan amanah ini. Cuma, sekiranya mereka hanya di bawah, mereka akan hanya melaksana bukan merancang.

Upsikini : Apa yang boleh saudara katakan tentang kabinet yang dibentuk semalam?
Ihsan : Ini semua adalah perkara yang sudah dirancang. Saya pasti kedua-dua pihak sudah membuat rancangan masing-masing. Cuma kadangkala pihak yang tiada suara pendesak akan tewas. Secara peribadi saya dapat rasakan ada campurtangan luar yang mahu kabinet ini dibentuk begini. Latar belakang semua calon adalah daripada mereka yang tiada pengalaman berada dalam MPP. Jadi saya pasti, ada campurtangan.

Upsikini : Siapa agaknya?
Ihsan : (ketawa). Upsikini cari sendiri. Saya tiada wartawan.(ketawa)

Upsikini : Baiklah. Terima kasih atas pandangan saudara. Mungkin kita boleh bincang lagi selepas ini.
Ihsan : Boleh. Tak ada masalah. Saya sedia berkongsi.

Upsikini : Terima Kasih. Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam

Hairie akui wujud 2 kumpulan dalam MPP

Mesyurat kali ketiga yang disertai semua ahli MPP semalam bagi membentuk kabinet MPP membawa kepada satu lagi fasa dalam politik kampus UPSI. Kabinet yang di luar jangkaan itu, menampilkan semua calon Pro Kualiti dalam kerusi Majlis Tertinggi (MT). Ketika bersidang semalam, Upsikini dilaporkan bahawa Hairie mengakui wujud dua kelompok dalam barisan MPP kali ini. Pengakuan ini dibuat setelah mendapati penentuan kepada kerusi nombor satu MPP itu sering dibahaskan oleh 2 pihak secara berkumpulan. Walau bagaimanapun, kerusi itu ditentukan melalui undian yang dibuat oleh semua yang hadir dalam mesyuarat tersebut termasuk wakil etnik. Perkara ini juga telah menimbukan pelbagai tanggapan dan sehingga kini, masih wujud spekulasi mengatakan bahawa kabinet yang dibentuk semalam tidak sah.
Kewujudan 2 kumpulan yang bertanding dalam PRK kali ini mula disedari apabila 2 kata kunci iaitu ‘kualiti’ dan ‘kebajikan’ sering digunakan di kalangan mereka yang bertanding.

October 25, 2008

Pro Kebajikan nafi letak jawatan

Semua calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK beberapa hari yang lalu menghantar kenyataan rasminya ke Upsikini menafikan perletakan jawatan mereka di dalam MPP petang tadi. Kenyataan tersebut dihantar setelah timbul khabar angin mengatakan mereka akan meletakkan jawatan berikutan pembentukan kabinet yang didominasi Pro Kualiti untuk kerusi Majlis Tertinggi. Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Pro Kebajikan tidak akan mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan pengundi kepada mereka dan akan berusaha memastikan pembentukan kabinet mengikut kaedah yang betul dan diyakini seluruh masyarakat kampus seterusnya bersedia menabur bakti kepada mahasiswa seluruhnya. Dalam kenyataan itu juga, Pro Kebajikan merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan atas segala sokongan dan kepercayaan daripada pengundi yang diberikan kepada mereka.
Ahli MPP Pro Kebajikan tidak mendapat sebarang kerusi MT MPP dalam pembentukan kabinet semalam meskipun mempunyai 3 calon yang menang kerusi umum dalam PRK tempoh hari.

Undian terus meningkat walaupun Akmal dinafikan sandang kerusi YDP

Undian yang diwujudkan Upsikini bagi melihat calon mana yang paling layak untuk menyandang kerusi YDP MPP mendapati undian terhadap Akmal Madzir, calon umum yang menang dengan undian terbanyak dalam PRK yang lalu terus mendominasi undian dengan 74%. Meskipun telah dilaporkan bahawa kabinet telah dibentuk awal pagi tadi, undian terhadap Akmal terus meningkat. Daripada 199 pengundi yang mengundi setakat ini (sehinga jam 6.45 p.m., 25 Oktober), Akmal menerima 149 undi. Hairie yang dilaporkan bakal menyandang kerusi YDP memperoleh 26 undi diikuti Hazawan dan Aqilah, masing-masing 9 undi. Enam lagi pengundi memilih tiada dalam senarai.
Akmal dilaporkan hanya memegang Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah selepas kabinet dibentuk awal pagi tadi.

Sistem undi : wakil etnik tidak termasuk

Kaedah undian yang duguna pakai dalam menentukan ahli MPP yang berhak duduk di kerusi-kerusi tertentu dalam kabinet menimbulkan persoalan siapa yang dibenarkan untuk mengundi. Seorang pegawai UPSI yang berpengalaman dalam proses PRK mengatakan wakil etnik tidak termasuk dalam mereka yang dibolehkan untuk mengundi bagi pemilihan calon jawatan-jawatan dalam kebinet terutamanya kerusi Majlis Tertinggi. Ini berikutan pengumuman rasmi PRK yang berakhir tempoh hari oleh Sakretariat PRK tidak menyatakan nama-nama wakil etnik tersebut. Wakil-wakil etnik yang mendapat kerusi dalam MPP sebenarnya adalah atas lantikan Naib Canselor dan sehingga saat ini mereka belum lagi dilantik oleh Naib Canselor tetapi mereka yang bertanding dalam PRK tempoh hari sudah layak digelar ahli MPP atas pengumuman rasmi oleh Sakretariat PRK. Apabila ditanya bila wakil etnik ini layak digelar ahli MPP, pegawai tersebut dipetik sebagai berkata mereka hanya sah sebagai ahli MPP setelah Naib Canselor melantik mereka iaitu ketika Watikah Perlantikan diberikan. Ketika mengulas mengenai AUKU Perkara (5) yang menyebut “Keputusan-keputusan MPP hendaklah dibuat mengikut undi majoriti yang tidak kurang daripada dua pertiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi”, beliau mengatakan perkara itu memang benar dan termaktub di dalam AUKU tetapi hanya mereka yang menang bertanding dan diisytiharkan oleh Sakretariat MPP sahaja yang layak untuk memilih. Oleh yang demikian, sesuatu keputusan itu perlu mendapat 2/3 undian atau 14 undi sekiranya semua 21 ahli MPP hadir. Sekiranya bilangan undi kurang daripada itu, keputusan tersebut dikira tidak sah. Pegawai tersebut turut mengingatkan agar ahli MPP benar-benar memahami kandungan AUKU sebelum menggunakannya kerana sekiranya berlaku pelanggaran dalam AUKU dan tidak mengikut seperti apa yang dimaksudkan, pihak yang membantah atas kesilapan itu dibolehkan untuk membawa perkara tersebut ke mahkamah kerana AUKU merupakan akta yang diterima dalam perbicaraan di mahkamah.
Isu undi dalam memilih Majlis Tertinggi MPP terutamanya kerusi YDP timbul setelah dikatakan wakil etnik mengambil bahagian dalam proses undi dalam pembentukan kabinet semalam.

AUKU : Pemegang jawatan MPP dan ahli MPP punya perbedaan

Upsikini menerima respon yang pelbagai berikutan kabinet MPP yang dilaporkan awal pagi tadi. Seorang pengirim e-mel yang member respon kepada isu ini menjelaskan bahawa, ramai di kalangan mahasiswa tidak faham kandungan AUKU itu sendiri. Beliau menjelaskan bahawa Perkara 52 (3) mengatakan ‘MPP hendaklah memilih dari kalangan ahli-ahlinya seorang “Yang DiPertua, seorang Naib Yang DiPertua, seorang Setiausaha dan seorang Bendahari dan hanya mereka sahaja yang menjadi pemegang-pemegang jawatan dalam MPP, melainkan jika dibenarkan selainnya secara bertulis oleh Naib Canselor, pemegang-pemegang jawatan yang dibenarkan sedemikian oleh Naib Canselor hendaklah dipilih oleh MPP dari kalangan ahli-ahli MPP”. Berdasarkan kepada perkara ini, didapati bahawa pemegang jawatan MPP itu hanya terdiri daripada YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari dan selain dari itu hanyalah ahli MPP. Jika deselidik pula pada perkara 52 (2) (b) yang menjelaskan tentang bagaimana MPP dipilih, perkara ini menjelaskan

52 (2) Persatuan hendaklah memilih suatu Majlis Perwakilan Pelajar (“MPP”) mengikut cara yang berikut:

(a) pelajar berdaftar setiap Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi dan Institut hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh Dekan Fakulti dan Sekolah atau Ketua Pusat, Akademi, atau Institut, mengikut mana-mana yang berkenaan, beberapa pelajar berdaftar yang sama bilangannya sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, masing-masing daripada Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademi, dan Institut itu untuk menjadi wakil dalam MPP, dan

(b) keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar hendaklah memilih melalui undi rahsia yang dijalankan oleh mana-mana pegawai yang dilantik oleh Naib Canselor bagi maksud itu, beberapa orang pelajar berdaftar, sebagaimana yang ditentukan oleh Naib Canselor, untuk menjadi wakil-wakil dalam MPP dan bilangan pelajar-pelajar itu hendaklah dalam apa jua keadaan, tidak melebihi setengah daripada bilangan wakil-wakil yang dipilih di bawah perenggan (a)

Berdasarkan kepada perkara tersebut, pemegang-pemegang jawatan MPP (YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari) sebenarnya adalah wakil yang dipilih oleh keseluruhan pelajar-pelajar berdaftar melalui undi rahsia dan ini merujuk kepada kerusi Umum. Oleh yang demikian, mereka yang layak untuk duduk di kerusi Majlis Tertinggi atau pemegang jawatan MPP seperti yang dinyatakan AUKU adalah mereka yang bertanding atas kerusi yang diundi atau dipilih oleh keseluruhan pelajar dan bukan kerusi fakulti yang hanya dipilih atau diundi oleh sebahagian daripada keseluruhan pelajar. Maka selain daripada itu, wakil tersebut hanya boleh diklasifikasikan sebagai ahli MPP dan sekiranya ada jawatan tertentu seperti Exco dan sebagainya, maka kebenaran bertulis daripada Naib Canselor diperlukan.
Maka dengan itu, pemegang jawatan MPP (YDP, NYDP, Setiausaha dan Bendahari) seharusnya mereka daripada kerusi umum dan bukan daripada kalangan mereka yang bertanding di kerusi Fakulti. Dalam perenggan terakhir e-mel tersebut, beliau menyatakan bahawa beliau adalah salah seorang yang terkejut dengan keputusan itu dan memang di luar jangkaannya.
Kabinet yang dibentuk semalam mengenepikan 3 calon umum daripada Pro Kebajikan untuk menyandang mana-mana kerusi Majlis Tertinggi menimbulkan pelbagai spekulasi di kalangan mahasiswa.

[Eksklusif] Akmal diketepikan, hanya pegang Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah

Mesyuarat ahli MPP malam yang bersidang bagi menentukan kabinet MPP telah berakhir sebentar tadi dengan beberapa keputusan yang mengejutkan. Meskipun menang dengan undi terbesar dalam kerusi Umum, Akmal yang dijangka menyandang kerusi nombor satu MPP dilaporkan hanya memegang jawatan sebagai Exco Latihan dan Pembangunan Sahsiah. Berikut merupakan struktur organisasi kabinet yang diputuskan malam ini.

Yang DiPertua : Mohamad Hairie bin Abdullah (FB-menang tanpa bertanding)

Timbalan Yang DiPertua : Nor ‘Ain Bt. A. Razak (umum-4011 undi)

Naib Yang Dipertua : Syaiffuldin bin Mohamad (FPE-315 undi)

Setiausaha Agung : Mohd Razik bin Khalid (FTMK-164 undi)

Pen. Setiausaha Agung : Muzaitul Akmar bin Mohammad (FTMK-159 undi)

Bendahari : Muhammad Asree bin Abd Aziz (FSSK-1276 undi)

Pen. Bendahari : Muhamad Nazarul Hazwan Bin Abd Razak (umum-3729 undi)

Exco Ekonomi & Keusahawanan : Mohd Fitri bin Amil(FSKPM-544 undi), Nurul Illyana bt Mohamad((FPE-244 undi)

Exco Perhubungan Awam & Antarabangsa : Lee Sun ju(etnik cina-menang tanpa bertanding), Punethan(etnik india-menang tanpa bertanding)

Exco Sukan & Rekreasi : Mohd Nor Faiz bin Mat Ali(FSS-menang tanpa bertanding), Siti Nor Hazliza binti Rosli(FSS-menang tanpa bertanding)

Exco Penerbitan & Informasi : Mohd Firdaus bin Mohd Fauzi(FSM-menang tanpa bertanding), Siti Khairiah binti Jajuli (FB-menang tanpa bertanding)

Exco Perpaduan & Integrasi : Armadi bin Derus(etnik Sabah-103 undi), Bornifes(etnik Sarawak-49 undi)

Exco Kesenian & Kebudayaan : Norhisham bin Che Hamid (FSM-menang tanpa bertanding), Mohd Hanif Azwan Bin Ab Rahman(FST-1389 undi)

Exco Kebajikan & Kemasyarakatan : Mohd Zulhilmi Bin Mohd Noor(FSKPM-483 undi), Adriyani binti Yamin(FSSK- 906 undi)

Exco Akademik & Kerjaya : Arif bin Mohamad(umum-3757 undi), Nur Aqilah Hanis binti Mohd Yusof(umum-3532 undi)

Exco Latihan & Pembangunan Sahsiah : Akmal bin Madzir(umum-4124 undi), Norhafizawati binti Mahmad Rozali(FST-1055 undi)

Upsikini dilaporkan keputusan untuk melengkapkan kabinet dihujani pelbagai hujah bagi mencari formula terbaik meletakkan calon dalam beberapa kerusi penting. Kaedah secara undian digunakan untuk beberapa kerusi Majlis Tertinggi iaitu Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua apabila terdapat pertandingan antara Pro Kualiti dan Pro Kebajikan. Akmal dikatakan menawarkan diri merebut ketiga-tiga jawatan tersebut namun tidak ada satu pun yang dimenanginya. Kaedah undian ini dibuat berdasarkan Perkara 52 (5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang menyatakan ‘keputusan-keputusan MPP hendaklah dibuat mengikut undi majoriti yang tidak kurang daripada dua per tiga daripada ahli-ahli yang hadir dan mengundi'. Bagi jawatan-jawatan lain, penetapan dibuat secara persetujuan sebulat suara. Kabinet yang dibentuk ini dijangka bakal menjadi perdebatan hangat seluruh masyarakat kampus. Walau bagaimanapun. kabinet yang dibentuk ini belum mendapat pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak.
Mesyuarat kali ketiga yang bermula pada jam 10.00 malam tadi berakhir pada jam 1.47 pagi.

*( )-kerusi yang dimenangi dan jumlah undi yang diraih.

October 24, 2008

Perebutan kerusi YDP boleh jejas perpaduan MPP

Senario perebutan kerusi Yang DiPertua (YDP) MPP yang berlaku sejak keputusan PRK diumumkan boleh menjejaskan perpaduan semua ahli MPP untuk menerajui kepimpinan mahasiswa dalam masa setahun dari sekarang. Ini berikutan suasana menjadi agak kelam kabut apabila dikhabarkan kerusi panas itu menjadi pergelutan 2 kumpulan yang menang dalam PRK kali ini. Meskipun sudah diperjelaskan oleh Sakretariat PRK dan Dato’ Naib Canselor bahawa tidak ada sebarang kumpulan dalam PRK kali ini, namun penafian terhadap keputusan pengundi secara majoriti yang diberikan kepada Akmal Madzir menunjukkan wujud kumpulan di kalangan mereka yang menang. Seorang mahasiswa semester 7, Khairi dipetik sebagai berkata suasana yang berlaku kini boleh menjejaskan perpaduan di kalangan ahli MPP itu sendiri dan kemungkinan kemelut ini akan berlarutan sepanjang setahun mereka berada di dalam organisasi MPP tetapi perkara ini dapat dielakkan sekiranya mereka benar-benar professional setelah YDP dilantik nanti.
Tambahnya lagi, perpaduan ini agak sukar untuk dibina apabila wujud campur tangan pihak-pihak tertentu dalam pentadbiran MPP dan seterusnya kerenggangan hubungan di kalangan mereka akan mempengaruhi prestasi perkhidmatan mereka sebagai badan yang menjaga kebajikan mahasiswa. Sementara itu, berkemungkinan juga, isu ini akan mempengaruhi mereka sehingga menyebabkan mereka bersifat kepuakan dan tidak lagi bekerja dalam satu pasukan.
MPP yang dipilih melalui proses demokrasi seharusnya bersifat neutral dalam hal ini dan mahasiswa sudah semestinya mengharapkan sesuatu daripada mereka. Perpaduan di kalangan ahli dalam menerajui organisasi yang mewakili suara mahasiswa seharusnya utuh dan professional meskipun wujud sedikit pergolakan dalaman. Apa yang pasti, mahasiswa akan menilai mereka setelah mandat diberikan kepada mereka.
Kerusi YDP dikatakan akan ditentukan malam ini setelah 3 kali bersidang bagi tujuan tersebut.

Lebih 5000 hadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Majlis Sambutan Hari Raya Aidlifitri merupakan program tahunan UPSI yang diadakan bagi meraikan mahasiswa sempena Hari Raya Aidilfitri. Jamuan yang bermula pada jam 11.30 pagi semalam dikunjungi lebih 5000 mahasiswa dari pelbagai kaum.
Jamuan yang dikelolakan oleh HEP dan dibantu beberapa persatuan mahasiswa menyediakan pelbagai juadah makanan mengikut gerai-gerai yang disediakan . Rata-rata mahasiswa yang hadir berpuas hati dengan kepelbagaian jenis hidangan yang disajikan. Majlis yang diadakan di ruang parkir tempat kereta Auditorium turut dihadiri beberapa pegawai universiti bagi memeriahkan majlis.
Akibat sambutan yang luar biasa pada tahun, makanan yang disediakan dikatakan habis lebih awal berbanding tahun-tahun sebelum ini. Majlis berakhir pada jam 3.00 petang.
Majlis Sambutan Aidilfitri tahun ini diadakan agak lewat berbanding tahun-tahun sebelum ini bagi memberi laluan kepada perjalanan PRK yang berakhir 22 Oktober yang lalu.

Ramai mahu Akmal teraju kepimpinan MPP

Dalam beberapa jam lagi, persidangan semua ahli MPP untuk kali ketiga akan diadakan bagi membincangkan siapa berhak menerajui kepimpinan MPP kali ini selepas menemui jalan buntu semalam. Perebutan kerusi nombor satu itu dikatakan antara yang paling dramatik apabila calon yang ingin diketengahkan mempunyai kelebihan masing-masing. Upsikini yang sempat bertanyakan kepada beberapa mahasiswa mendapati ramai yang mahu Akmal Madzir menerajui tampok kepimpinan MPP kali ini. Seorang mahasiswa yang ditemui mengatakan bahawa Akmal berhak untuk kerusi tersebut berdasarkan jumlah undi yang diterimanya dan beliau menang dalam kerusi umum.
“Saya lihat Akmal layak untuk kerusi itu dan seluruh mahasiswa memilihnya berdasarkan jumlah undi tertinggi yang diraihnya tempoh hari. Jadi mengapa perlu dipertikaikan lagi?”,katanya.
Dalam tinjauan yang dibuat selepas pengumuman rasmi calon yang menang bertanding, rata-rata mahasiswa memilih Akmal berdasarkan kemenangannya di kerusi Umum dan pengalaman yang beliau ada. Seorang ahli Persatuan Mahasiswa Sains disebut sebagai berkata, Akmal memang mempunyai bakat kepimpinan yang mampu membawa sesuatu kepada UPSI.
“Saya telah bersama beliau dalam PMS. Beliau memang mempunyai bakat kepimpinan yang tersendiri dan saya kira beliau bukan sahaja layak malah memang sepatutnya jawatan itu diberikan kepadanya”,katanya. Tambahnya lagi “kalau Akmal diletakkan pada jawatan yang lain pun saya percaya beliau tetap menjalankan tugasnya dengan baik”.
Beberapa hari sebelum ini, isu memilih siapa yang bakal menyandang kerusi YDP menjadi perbualan hangat di kalangan mahasiswa dan seluruh mahasiswa ternanti-nanti siapakah yang akan menjadi pemimpin nombor satu mereka.
MPP dikehendaki melengkapkan kabinet selepas 14 hari keputusan rasmi calon yang menang diumumkan.

Kerusi YDP MPP masih belum dapat ditentukan

Upsikini dilaporkan mesyuarat ahli MPP bagi menentukan YDP MPP telah tamat kira-kira pada jam 2.00 pagi. Mesyuarat ditangguhkan selepas tidak ada kata putus untuk menentukan siapa yang berhak menyandang kerusi tersebut. Setelah lebih 4 jam bermesyuarat mereka dikatakan telah mengeluarkan hujah masing-masing bagi memenangkan calon mereka bagi mengisi kerusi panas itu.
Mesyuarat malam tadi ditangguhkan dan dijangka perebutan kerusi nombor satu itu akan menjadi lebih panas setelah melihat perkembangan terkini yang melalui jalan buntu.
Mesyuarat seterusnya akan diadakan pada malam ini.

Ahli MPP masih bermesyuarat tentukan YDP

Sehingga saat ini, Upsikini dilaporkan ahli MPP 2008/09 masih lagi bermesyuarat untuk menentukan siapa yang wajar diletakkan sebagai orang nombor satu MPP. Pergelutan untuk merebut kerusi tersebut adalah seperti yang dijangkakan iaitu antara Hairie dan Akmal. Kumpulan Pro Kualiti yang mahu menggunakan kaedah undian dibantah Pro Kebajikan yang mahu sistem demokrasi dipatuhi. Akmal dikatakan telah mendapat mandat terbesar daripada pengundi dan selayaknya diberikan penghormatan menyandang kerusi tersebut. Perbincangan dikatakan masih diteruskan untuk mencari formula terbaik menentukan siapa berhak duduk di kerusi tersebut. Upsikini masih lagi menunggu laporan terkini daripada wartawan yang bertugas.

October 23, 2008

Yang Dipertua MPP mungkin ditentukan malam ini

Perjumpaan kali kedua semua ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi ini pada malam ini berkemungkinan membincangkan struktur kabinet yang akan dibentuk. Sumber melaporkan kepada Upsikini, pertemuan semua ahli MPP yang menang tempoh hari akan membincangkan siapa yang akan diberi mandat menyandang kerusi nombor satu MPP. Pertemuan malam ini juga dikatakan akan hangat dengan perebutan dua calon yang diwar-warkan berpotensi untuk duduk di kerusi tersebut iaitu Akmal dan Hairie. Perbincangan malam ini dikatakan akan tertumpu kepada siapa yang paling berhak menyandang kerusi tersebut.
PRK UPSI kali ini menyaksikan perkembangan politik mahasiswa yang semakin diberi perhatian.

Hairie atau Akmal

Dalam kemeriahan suasana PRK tempoh hari yang telah berakhir semalam dengan pengumuman keputusan rasmi daripada Sakretariat PRK, UPSI hari ini masih lagi menunggu-nunggu siapa calon yang akan diangkat untuk menyandang kerusi nombor satu Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Tinjauan Upsikini mendapati kedua-dua calon, Hairie dan Akmal bakal berentap bagi mengisi kerusi YDP MPP sebelum jawatan-jawatan lain diisi. Berdasarkan kepada undian secara online yang diwujudkan Upsikini, sehingga jam 2.30 petang, 23 Oktober, Akmal mendahului Hairie dengan peratus pengundian sebanyak 73% berbanding Hairie, 9%. Desas-desus mengatakan pemilihan bagi jawatan YDP akan dibuat secara undian semua ahli MPP yang menang tempoh hari. Beberapa sumber mengatakan pertandingan merebut jawatan YDP kali ini bukan hanya antara Hairie dan Akmal tetapi melibatkan 2 kumpulan yang diwar-warkan sebelum ini iaitu Pro Kualiti dan Pro Kebajikan. Pro Kualiti menguasai 13 kerusi iaitu 2 kerusi Umum dan 11 kerusi Fakulti manakala Pro Kebajikan menguasai 3 kerusi Umum dan 5 kerusi Fakulti. Hairie (Pro Kualiti) yang merupakan ahli MPP daripada kerusi Fakulti Bahasa perlu melalui jalan sukar untuk menyandang kerusi YDP kerana beliau memenangi kerusi tersebut tanpa bertanding dan beliau hanya bertanding untuk kerusi fakulti. Ura-ura mengatakan bahawa beliau berbuat demikian bagi memastikan beliau menang dalam PRK kali ini dan mengaharapkan kerusi Umum akan dikuasai oleh Pro Kualiti. Keadaan sebaliknya memperlihatkan rancangan tersebut digagalkan dengan kemaraan Akmal (Pro Kebajikan) yang meraih undi tertinggi dan diiringi dengan kemenangan 2 lagi calon Pro Kebajikan, Arif dan Nur Aqilah Hanis .
Menurut sumber yang mengirimkan e-mel kepada Upsikini malam tadi, kemungkinan besar undian untuk merebut kerusi tersebut akan melibatkan ahli MPP daripada kerusi etnik yang merupakan ahli yang dilantik oleh Naib Canselor. Sumber tersebut menegaskan wakil kerusi etnik sepatutnya tidak boleh terlibat dalam pengundian calon yang merebut kerusi YDP kerana wakil tersebut adalah lantikan Naib Canselor dan bukan mereka yang bertanding seperti calon-calon yang telah diumumkan menang semalam. Bagi pihak Pro Kualiti, mereka mengharapkan undian daripada wakil etnik begi mendapat undi majoriti untuk calon mereka. Namun, sekiranya wakil etnik tidak terlibat, calon mereka tidak akan mendapat undi majoriti kerana Pro Kebajikan telah menafikan penguasaan 2/3 Pro Kualiti apabila 8 calon mereka menang dalam PRK kali ini. Semua kerusi yang dipertandingkan adalah sebanyak 21 kerusi. Pro Kualiti dikatakan hanya memerlukan satu kerusi lagi untuk mendapat penguasaan 2/3.
Ihsan, mahasiswa yang mencetuskan pendapat mengatakan wujudnya Pro Kualiti dan Pro Kebajikan sebelum ini mengatakan, sekiranya semua ahli MPP yang dipilih telus dan jujur, mereka sepatutnya tidak ada masalah untuk mengangkat Akmal sebagai YDP. Ini berikutan mereka sudah menghadiri beberapa kursus sebelum ini dan telah bersama mengakui semuanya adalah sealiran. Jadi tidak timbul keraguan untuk memberi laluan kepada Akmal memegang jawatan YDP. Tidak perlu ada undian kerana rekod menunjukkan Akmal telah mendapat undian terbanyak iaitu 4124 undi dan ini bererti beliau telah diuji dan diterima majoriti mahasiswa berbanding Hairie yang menang tanpa bertanding malah hanya bertanding untuk kerusi fakulti. Dari segi pengalaman pula katanya, kelebihan berpihak kepada Akmal yang sudah lama bergelumang dengan dunia kepimpinan dan pernah menjawat jawatan tertinggi di kolej dan persatuan. Ini menunjukkan beliau sudah ada pengaruh yang cukup besar untuk menyandang kerusi tersebut.
Pembentukan kabinet MPP dikatakan akan bermula malam ini yang akan bersidang untuk kali kedua. Mereka diberi tempoh 14 hari untuk membentuk kabinet MPP sebelum diberi watikah perlantikan oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob.

Rashid masih berpeluang?

Keputusan PRK yang diumumkan secara rasmi semalam selepas tamat waktu bantahan memperlihatkan tidak ada perubahan senarai calon yang menang dalam pengumuman selepas waktu undian Selasa lalu. Namun, ura-ura mengatakan Rashid, calon umum yang tewas dalam pertandingan PRK kali ini masih mempunyai peluang untuk merebut kerusi umum sebelum kabinet dibentuk. Menurut seorang sumber yang menemui Upsikini pagi tadi, Rashid mungkin boleh menganggotai MPP sekiranya salah seorang calon kerusi umum yang menang tempoh hari menarik diri daripada menganggotai MPP. Berdasarkan keputusan PRK yang diumumkan, Rashid menduduki tangga ke 6 selepas Nur Aqilah Hanis dengan perbezaan undi sebanyak 107 undi. Sekiranya salah seorang daripada calon umum yang menang menarik diri berkemungkinan Rashid akan menggantikan kerusi tersebut. Ada cakap-cakap mengatakan calon yang mungkin akan berbuat demikian adalah Mohamad Nazarul Hazwan. Ini berikutan beliau masih berada di semester 3 dan masih berpeluang untuk bertanding pada PRK akan datang. Rashid sebelum ini disebut-sebut sebagai calon yang akan merebut kerusi nombor satu MPP.
Sekiranya diselidik kembali, Rashid berkemungkinan juga tidak akan berjaya menggantikan kerusi tersebut kerana beliau tidak melalui proses bantahan sebelum keputusan rasmi dikeluarkan. Rashid mungkin berjaya menggantikan tempat tersebut sekiranya beliau membuat bantahan ke atas mana-mana calon yang menang dan sekiranya bantahan itu diterima dan diakui oleh calon tersebut, Rashid akan diangkat menggantikan satu kerusi yang kosong. Walau bagaimanapun, tempoh bantahan telah tamat dan tidak ada sebarang bantahan yang dibuat dalam tempoh itu. Ada juga pendapat mengatakan Rashid tidak mungkin dapat menggantikan kerusi yang dikosongkan selepas waktu bantahan kerana sekiranya calon yang menang menarik diri, kerusi itu akan dibiarkan kosong dan tidak akan ada pengganti.
Hazwan juga dkatakan tidak akan semudah itu melepaskan kerusi yang telah dimenanginya kerana sekiranya beliau menganggotai MPP kali ini dan tidak dicalonkan sebagai YDP, beliau akan berpotensi besar mendapatkan jawatan nombor satu tersebut pada PRK akan datang. Hazwan dan Rashid juga dilaporkan antara calon yang berada dalam pool ‘Pro Kualiti’.
Malam ini, semua calon yang menang akan bersidang untuk kali kedua dan berkemungkinan besar kabinet MPP akan dibentuk.

Mahasiswa mahu MPP turun padang

Keputusan rasmi PRK yang diumumkan petang tadi selepas tamat waktu bantahan mengesahkan calon-calon yang menang semalam dinobatkan sebagai barisan kepimpinan MPP yang baru. Rata-rata mahasiswa yang ditemui berpuas hati dengan keputusan yang dikeluarkan dan ini menunjukkan proses demokrasi masih wujud di UPSI. Dalam satu tinjauan yang dibuat bersama mahasiswa, mereka dikatakan menginginkan kepimpinan yang komited dan mahu turun padang bersama mahasiswa di bawah. Seorang pelajar semester 5, yang mahu dikenali sebagai Amir, dipetik sebagai berkata, mahasiswa tidak terlalu memandang apa bentuk program yang mereka buat dan ke mana mereka telah pergi sepanjang memegang jawatan MPP tapi kami mahu MPP sedia turun padang dan tinjau masalah yang kami hadapi secara terus. Seorang lagi mahasiswa memberi pendapat bahawa MPP harus ke depan dalam memperjuangkan kebajikan mahasiswa dan maklumkan kepada kami segala perkembangan yang berlaku dalam sesuatu masalah dan ini akan mendekatkan lagi mahasiswa di bawah dengan MPP.
Beberapa pengirim e-mel kepada Upsikini juga meminta agar kepimpinan baru MPP membuang rasa bangga dengan jawatan dan sentiasa mendengar dan bertindak dengan aduan daripada mahasiswa. Sementara itu, ada pendapat mengatakan MPP yang baru ini harus terus berjumpa mahasiswa dengan mengadakan satu program interaksi bersama mahasiswa di kolej-kolej kediaman dan di situ mahasiswa boleh mendengar harapan barisan MPP baru dan harapan mahasiswa kepada mereka. Pengirim itu juga dipetik sebagai berkata, kami mahu melihat mereka berucap selepas mendapat kemenangan kerana ucapan mereka semasa berkempen pasti berbeza dengan ucapan selepas mencapai kemenangan dan dari situ kita akan mula mengenali mereka secara lebih dekat. Upsikini juga menerima banyak pendapat yang mahu satu program bersama MPP baru ini diadakan bagi mendengar pidato mereka mengenai hala tuju yang ingin dibawa selain mendengar keluhan mahasiswa yang ingin disampaikan kepada barisan MPP baru.

Keputusan bagi kerusi etnik

Calon bagi kerusi etnik India, S. Punethan, semester 5, menang tanpa bertanding petang tadi. Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding bagi kerusi tersebut, menang tanpa bertanding selepas tiada pencabar lain yang ingin merebut kerusi tersebut. Kerusi etnik Cina pula disandang oleh Leow Su Ju yang turut menang tanpa bertanding. Bagi kerusi etnik Sabah, Armadi menang dengan jumlah undian sebanyak 103 undi berbanding Freddy Au yang hanya berjaya meraih undi sebanyak 81 undi. Bagi kerusi etnik Sarawak pula, Bonifest dilaporkan menang dengan jumlah undi sebanyak 49 undi menewaskan Stanley, 26 undi dan Janet, 24 undi.
Kemenangan ini melengkapkan 4 kerusi etnik untuk PRK kali ini.
Malam ini semua calon yang menang bermesyuarat untuk kali pertama selepas keputusan rasmi PRK dikeluarkan tengah hari tadi selepas tamat waktu bantahan.

October 22, 2008

Daripada seorang penjual nasi lemak kepada ahli Majlis Perwakilan Pelajar

Kebanyakan daripada kita pasti terkejut dengan kemenangan yang diraih calon umum Arif bin Mohamad dengan jumlah undian sebanyak 3757 undi. Beliau yang turut tidak menyangka dengan keputusan itu merasakan kemenangan ini adalah ujian Allah kepadanya. Jika ditanya kepada penghuni Kolej Harun Aminurrashid, pasti mereka mengenali beliau. Beliau bukan dikenali kerana memegang jawatan di kolej tetapi dikenali sebagai penjual nasi lemak dan beberapa makanan lain. Beliau yang menjalankan perniagaan bergerak dari rumah ke rumah seringkali muncul di hadapan pintu rumah penghuni KHAR pada waktu malam. Perniagaan yang dibuat secara bergerak itu membuatkan seluruh warga KHAR di blok lelaki akan mengingati beliau sehinggakan semasa hari pembuangan undi semalam rata-rata para pengundi KHAR mengenalinya sebagai ’arif nasi lemak’.
Arif pernah bertanding pada PRK sesi lepas namun tewas dan pada PRK kali ini beliau berada di tangga ke-3 dalam kerusi umum.
Arif dikatakan antara calon ’Pro Kebajikan’ yang memperjuangkan supaya subjek Pendidikan Islam menjadi subjek teras dalam pengajian di UPSI.
Arif dijangka akan menyandang kerusi Majlis Tertinggi dalam organisasi MPP kali ini.

Siapa layak untuk duduk di kerusi nombor satu MPP

Seluruh mahasiswa yang mengikuti perkembangan PRK pada kali ini pasti tertanya-tanya siapakah calon yang layak untuk duduk di kerusi Yang Dipertua yang merupakan kerusi penting dalam organisasi kepimpinan mahasiswa.
Berdasarkan keputusan PRK yang diumumkan semalam, Akmal Madzir disebut-sebut sebagai antara calon yang layak memegang jawatan itu berikutan jumlah undi yang diraih beliau. Akmal memperoleh jumlah undi tertinggi dalam kerusi umum iaitu sebanyak 4124 undi. Untuk rekod, Akmal sebelum ini memegang jawatan sebagai Presiden Persatuan Mahasiswa Sains selain pernah menjadi Exco Perpaduan dan Kerohanian dalam Jawatankuasa Mahasiswa Kolej, Kolej Ungku Omar. Berdasarkan 2 jawatan tertinggi yang pernah dipegang beliau selain penglibatan dalam beberapa program lain sebelum ini, beliau mempunyai potensi besar untuk menyandang kerusi YDP MPP sesi ini.
Calon kerusi umum lain yang berkemungkinan merebut kerusi ini adalah Muhamad Nazarul Hazwan Bin Abd Razak yang juga memenangi satu kerusi umum dengan jumlah undi sebanyak 3729 undi. Beliau juga dikatakan antara calon pilihan yang berpotensi merebut kerusi tersebut berdasarkan pengalaman beliau menyertai pelbagai program.
Seorang lagi calon yang dikatakan berpotensi untuk kerusi tersebut adalah Mohd Hairie bin Abdullah yang menang tanpa bertanding untuk kerusi Fakulti Bahasa. Beliau juga dikatakan mempunyai pengalaman dalam banyak program di peringkat universiti seperti Pertandingan Tilawah Al-Quran IPTA dan sebagainya. Beliau yang sudah lama bergiat aktif dalam Kelab Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) mempunyai banayk pengalaman dalam program universiti.
Upsikini juga dilaporkan ada ura-ura mengatakan kepimpinan MPP kali ini akan mengubah landskap organisasi yang akan dibentuk. Berkemungkinan juga Nur Aqilah Hanis akan dicadangkan memegang jawatan nombor satu itu setelah berjaya menang kerusi umum. Ini berikutan sokongan dan pengalaman beliau yang mampu menjadi kredit untuk beliau memegang jawatan itu. Beliau yang mempunyai pengalaman dalam Jawatankuasa Mahasiswa Kolej, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) turut berpotensi untuk merebut jawatan tersebut. Selain itu beliau turut memegang beberapa jawatan tertinggi di dalam beberpa persatuan di peringkat universiti. Beliau juga pernah memenangi Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat UPSI bagi kategori pelajar wanita selain menjadi pendebat UPSI dalam beberapa pertandingan debat. Ada cakap-cakap mengatakan orang nombor satu mahasiswa berkemungkinan diberi kepada golongan wanita setelah melihat kepimpinan universiti yang dipimpin oleh Naib Canselor wanita iaitu Prof Dato’ Dr. Aminah Ayob.
Berdasarkan kepimpinan yang lalu, kabinet MPP akan dibentuk melalui 2 kaedah iaitu sama ada lantikan terus Naib Canselor atau mandat daripada ahli MPP Yng diberikan kepada calon tersebut.
Perkembangan yang pelbagai ini memberikan satu suasana yang cukup menarik dalam PRK kali ini.
Kabinet MPP dijangka dibentuk dalam beberapa hari lagi selepas tempoh selama seminggu diberikan kepada mereka berbuat demikian.

Tiada Bantahan

Upsikini dilaporkan sehingga jam 12.00 tengah hari tadi, tiada sebarang bantahan yang dibuat ke atas keputusan PRK semalam. Kesemua calon yang menang diumumkan semalam selepas peti undi e-vote ditutup tepat jam 7.00 petang semalam oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr Aminah Ayob. Beliau yang berpuasa semalam tetap mahu mengumumkan terus keputusan PRK bagi mengelakkan tanggapan buruk sesetengah pihak terhadap sistem yang digunapakai pada PRK kali ini.
Setelah tiada bantahan yang dibuat sepanjang tempoh bantahan bermula jam 8.30 pgi sehingga 12.00 tengah hari tadi, maka keputusan semalam dikatakan sah dan satu surat pengesahan kemenangan akan dikeluarkan oleh Sakretariat PRK.
Sementara itu, petang ini merupakan pemilihan bagi wakil etnik yang memeperuntukkan 4 kerusi iaitu kerusi etnik Sabah, Sarawak, Cina dan India. Mahasiswa etnik yang disebutkan akan turun mengundi bagi merebut 4 kerusi tersebut yang dijadualkan pada jam 4.00 petang ini.

Kekalahan Rashid mengejutkan mahasiswa

Keputusan PRK UPSI semalam sememangnya menepati beberapa ramalan yang dibuat sebelum tibanya hari mengundi. Namun terdapat beberapa keputusan yang di luar jangkaan terutamanya kekalahan calon umum Abdul Rashid Husain. Beliau yang mendapat sokongan padu daripada segenap lapisan mahasiswa di sini mengejutkan seluruh kampus apabila beliau hanya mampu meraih 3425 undi yang meletakkan beliau berada di tempat keenam selepas Nur Aqilah Hanis. Beliau yang membawa manifesto yang cukup meyakinkan dengan cadangan kad diskaun pelajar dan tambang murah tiket penerbangan pelajar Sabah dan Sarawak walau bagaimanapun dikatakan paling menyerlah dalam setiap rapat umum dengan trademark ‘alright!’. Upsikini yang cuba mencari maklumat faktor kekalahan Rashid mendapati beliau berkemungkinan tewas akibat sabotaj beberapa pihak melalui blog-blog yang mengecam beliau dengan pelbagai tohmahan. Selain itu, Upsikini sempat menemui seorang mahasiswa semester 1 yang begitu kecewa dengan kekalahan Rashid dipetik sebagai berkata bahawa Rashid adalah calon pilihan kami kerana beliau begitu dikenali di kalangan kami.
“Saya cukup kecewa dengan keputusan ini kerana pada kami semester 1 kami begitu mengenali beliau. Beliau begitu menonjol semasa Minggu Suai Kenal dulu dan dia memang layak menang”,katanya.
Seorang lagi mahasiswa yang ditemui berkata, Rashid sememangnya calon yang berpotensi menang kerana manifesto penggunaan kad diskaun sangat menarik dan bertepatan dengan keadaan semasa kini.
“Manifesto beliau adalah yang terbaik yang saya lihat berbanding calon-calon lain. Saya memang tak dapat terima keputusan ini. Saya harap dia dapat buat bantahan terhadap keputusan ini kerana saya yakin pasti ada calon yang menang ada melakukan kesalahan semasa proses PRK.”ujarnya.
Seorang mahasiswa Sabah pula berkata, Rashid merupakan satu-satunya calon yang meletakkan manifesto berkaitan mahasiswa Sabah dan Sarawak.
“Saya memang mengharapkan dia menang. Dialah satu-satunya calon yang memahami kesusahan kami dengan harga tiket yang mahal untuk pulang ke Sabah atau Sarawak.”katanya. Tambahnya lagi,”saya akan tetap terus menyokong dia walaupun dia kalah kerana mungkin dia akan menjadi suara yang boleh mendesak MPP yang dilantik melaksanakan manifesto mengurangkan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak”.
Kekalahan Rashid bakal mewujudkan satu lagi polemik politik mahasiswa UPSI.
Sebelum ini Rashid pernah didedahkan oleh Upsikini berkenaan kesalahan melanggar peraturan PRK yang lalu dengan mengedarkan flyers semasa hari pengundian.

Hikmah difitnah

Menjelang beberapa jam hari membuang undi, beberapa flyers dan dakwaan fitnah terhadap beberapa calon yang bertanding memberi hikmah kepada mereka apabila individu yang dikaitkan dengan fitnah tersebut hari ini mampu tersenyum lebar dengan kemenangan yang dikecapi dalam PRK kali ini. Tiga individu yang difitnah oleh dakwaan tidak berasas itu dinamakan sebagai Akmal bin Madzir, TG Abdul Ghafar dan Mohd Fadhiri Ariffin. Akmal bin Madzir yang difitnah terlibat dalam penyelewengan wang Persatuan Mahasiswa Sains bersama Tengku Abdul Ghafar hari ini mencatatkan kemenangan dengan majoriti tertinggi setelah keputusan PRK diumumkan petang tadi. Beliau yang tidak menyangka kemenangan besar itu menjadi milik beliau berharap agar pemfitnah tersebut akan dibukakan pintu hatinya.” Saya tidak berasa takut dengan dakwaan itu kerana saya tahu itu adalah fitnah dan orang kenal siapa saya’, katanya. Beliau yang menang dalam merebut kerusi umum dalam PRK kali ini melahirkan rasa syukurnya dengan kemenagan ini.
Fadhiri pula merupakan mangsa fitnah sebuah blog melahirkan rasa syukurnya apabila calon beliau, Mohamad Hanif Azwan bin Ab Rahman menang dalam merebut kerusi Fakulti Sains & Teknologi dengan jumlah undi tertinggi. Fadhiri yang telah menjawab dakwaan fitnah menggelapkan wang RM 600 itu melahirkan rasa syukurnya dengan kemenangan calonnya itu.
Sebagai rekod, Akmal memperoleh 4124 undi manakala Hanif 1389 undi.

October 21, 2008

Kumpulan “Kebajikan” menang bergaya

Keputusan PRK yang diumumkan petang tadi dilihat menepati ramalan ramai pihak berdasarkan manifesto dan strategi kempen calon-calon 'kebajikan' yang berkesan. Kumpulan ‘Kebajikan’ yang diwar-warkan sebelum ini benar-benar membuktikan mereka relevan meskipun dilabel sebagai ‘basi’ dan sebagainya. Menurut sumber, daripada 11 kerusi yang ditandingi, mereka berjaya menawan 8 kerusi yang mana 3 daripadanya merupakan kerusi umum. Calon-calon daripada kumpulan ‘kebajikan’ ini dikatakan mempunyai kekuatan dari segi sokongan mahasiswa di kalangan mereka yang begitu komited dengan gerak kerja kempen sehingga saat terakhir. Mereka juga dikatakan berupaya menarik perhatian ramai pengundi dengan isu dan manifesto yang dibawa dalam PRK kali ini.
Kumpulan ini berjaya menafikan majoroti 2/3 kumpulan yang dikenali sebagai 'kualiti' setelah berjaya menawan 8 kerusi daripada 21 kerusi yang dipertandingkan. Calon Pro Kebajikan yang menang dalam PRK kali ini adalah Akmal Madzir(umum), Nur Aqilah(umum), Arif(umum),Hanif Azwan(FST),Norhafizawati(FST),Mohamad ZUlhilmi(FSKPM),Adriyani(FSSK)dan Hisham(FSM)yang menang tanpa bertanding. Manakala calon Pro Kebajikan yang tewas pula adalah Wan Nasron(umum), Nazira(umum), Nurul Iman(FSSKPM) dan Suhainizam(FTMK).

Keputusan PRK menepati ramalan

Keputusan PRK kali ini memperlihatkan sesuatu yang telah dijangka akan berlaku. Seluruh kampus merasakan keputusan ini adalah kemenangan mahasiswa yang mahukan perubahan. Berikut merupakan keputusan penuh yang diumumkan Dato' Naib Canselor di SITC jam 7.00 petang tadi.

Kerusi Umum
1.Akmal bin Madzir (4124)
2.Nor ‘Ain Bt A. Razak (4011)
3.Arif bin Mohamad (3757)
4.Muhamad Nazarul Hazwan Bin Abd Razak (3729)
5.Nur Aqilah Hanis Bt Mohd Yusoff (3532)
6.Abdul Rashid bin Husain (3425)
7.Azmi bin Mohamad Sofian (3075)
8.Nabila Soraya Hani Binti Mohd Ayob (3046)
9.Wan Nasron bin Wan Mohd Nasir (2979)
10.Nazira binti Jiat (2645)
11.Munirah binti Ab Wahab (2372)

Kerusi Fakulti Perniagaan & Ekonomi
1.Syaiffuldin Bin Mohamad (315)
2.Nurul Illyana Binti Mohamad (244)
3.Nor Rasyidah Binti Mohd Rasid (201)
4.Engku Mohamad Fakhrudin Bin Engku Alwi (195)
5.Mohd Azizi bin Sitam (123)

Kerusi Fakulti Sains & Teknologi
1.Mohd Hanif Azwan Bin Ab Rahman (1389)
2.Norhafizawati Bt Mahmad Rozali (1055)
3.Noor Sa’adah Binti Haji Jailani (708)
4.Mahfuzah Binti Md Nazimuddin (650)

Kerusi Fakulti Sains Kognitif & Pembangunan Manusia
1.Mohd Fitri Bin Amil (544)
2.Mohd Zulhilmi Bin Mohd Noor (483)
3.Nor Afiti binti Mohd Basri (440)
4.Yuniza Binti Ab Jusoh (412)
5.Nurul Iman binti Amirudin (330)
6.Nurul Ain Nabihan Binti Basharludin (269)

Kerusi Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan
1.Muhammad Asree Bin Abdul Aziz (1276)
2.Adriyani Binti Yamin (906)
3.Mastura Binti Abdul Ghani (744)

Kerusi Fakulti Teknologi Maklumat & Komunikasi
1.Mohd Razik bin Khalid (164)
2.Muzaitul Akmar Binti Mohammad (159)
3.Suhainizam Bin Sharif (153)

Keputusan rasmi PRK ini hanya akan diumumkan setelah tempoh bantahan esok bermula jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Taktik mengedar flyers tetap digunakan untuk mempengaruhi

Seawal jam 7.00 pagi, Upsikini menerima laporan mengatakan terdapat ribuan flyers disebarkan di seluruh kampus dan kolej kediaman. Tempat-tempat yang menjadi sarang flyers ini adalah di kawasan-kawasan yang sering digunakan pelajar seperti laluan pejalan kaki, tempat menunggu bas, sekitar bilik kuliah dan kawasan koridor di kolej kediaman. Sumber yang menjadi wakil calon kepada seorang calon yang bertanding hari ini melaporkan, ribuan flyers yang dikutip berunsur fitnah dan bermotif untuk menjatuhkan kredabiliti beberapa calon yang bertanding seperti Akmal Madzir, Wan Nasron dan beberapa calon lain. Katanya lagi, ini menujukkan bahawa mereka gentar dengan kebangkitan beberapa calon yang dikatakan mempunyai peluang besar untuk menang dalam PRK kali ini.
Seluruh warga kampus sedang menunaikan tanggungjawab mereka pada ketika ini bagi memilih barisan kepimpinan MPP untuk sesi 2008/09.

[dikemaskini 10.00 malam]Sekitar hari pembuangan undi PRK UPSI

8.15 pagi : Semua calon dan wakil calon berkumpul di hadapan SITC menunggu kehadiran Dato’ Naib Canselor. Sakretariat juga turut membuat persiapan terakhir bagi memastikan proses mengundi lancar.
8.25 pagi : Dato’ Naib Canselor tiba di SITC.
8.30 pagi : Dato’ Naib Canselor memberi sedikit kata aluan dan membuka sistem e-vote untuk memasukkan kata kunci. Sebanyak 12001 pengundi yang layak mengundi.
8.35 pagi : Sistem dibuka dan seorang pengundi diminta memulakan pengundian bagi melihat sama ada sistem berjalan dengan baik atau tidak.
8.45 pagi : Sistem secara rasmi dibuka untuk semua 7 pusat pengundian.
9.00 pagi : Pengundi-pengundi mula berbaris panjang untuk mengundi.Dato' Naib Canselor beredar dari SITC.
9.15 pagi : Aduan diterima oleh beberapa pengundi mendakwa terdapat calon umum yang tidak timbul di skrin computer. Sakretariat menyisat aduan.
9.20 pagi : Semua pusat mengundi diminta menghentikan proses pengundian buat sementara waktu.
9.25 pagi : Dakwaan didapati benar dan pegawai yang bertanggungjawab diminta menyelesaikan masalah.
9.35 pagi : Dato’ Naib Canselor tiba di SITC untuk melihat masalah yang berlaku.
9.40 pagi : Sistem dimulakan semula dan Dato’ Naib Canselor membuat password baru bagi memulakan sistem.
9.45 pagi : Semua maklumat calon dikemaskini dan Dato’ Naib Canselor membuka peti undi e-voting semula. Semua calon dibenarkan tampil ke hadapan untuk membuktikan sistem telus dan tiada unsure sabotaj. Masa tamat mengundi dilewatkan kepada jam 7.00 petang.
9.50 pagi : Semua pusat mengundi dibuka semula
10.00 pagi : Semua 138 mahasiswa yang telah mengundi dihubungi melalui telefon bagi memaklumkan bahawa mereka perlu mengundi semula.
10.15 pagi : Dato’ Naib Canselor selesai membuka semula peti undi e-voting.
10.30 pagi : Pengundi mula beratur untuk mengundi
11.00 pagi : Semua pusat pengundian berjalan lancar. SITC dan Bitarasiswa menjadi tumpuan pelajar setakat ini.
12.30 tgh hari : Peratus pengundi yang keluar mengundi setakat ini hanya sekitar 18%.
1.00 tgh hari : Beberapa calon dan wakil calon yang berkumpul di depan pusat pengundian diarah beredar kerana dikhuatiri mempengaruhi pengundi yang ingin mengundi.
2.00 petang : Semua pusat mengundi berjalan dengan lancar. Cuaca mendung dan dijangka hujan akan turun petang ini. Pengundi yang datang mengundi masih dalam keadaan terkawal. Proses pengundian diteruskan tanpa waktu rehat.
4.30 petang : Cuaca hujan menyebabkan bilangan pengundi kurang di beberapa pusat pengundi. Maklumat mengatakan peratusan undi hanya sekitar 52%
6.00 petang : Hujan masih turun dan jumlah penghundi meningkat kepada 60%
6.30 petang : Beberpa pusat mengundi dilaporkan sudah lengang. Calon dan penyokong bergerak ke SITC untuk pengumuman keputusan.
6.45 petang : Dato’ Naib Canselor tiba bersama pendaftar dan beberapa pegawai kanan university.
7.00 petang : Pengumuman keputusan PRK.

Flyers bertebaran di Kolej Harun Aminurrashid

Upsikini dilaporkan terdapat banyak flyers yang bertebaran di blok-blok Kolej Harun Aminurrashid (KHAR). Flyers-flyers yang disebar pihak tertentu dikatakan antara strategi bagi mempengaruhi pengundi-pengundi di sini untuk mengundi calon-calon yang dinyatakan. Ratusan flyers yang dijumpa mempromosi calon tertentu untuk diundi dengan penerangan ringkas mengenai manifesto mereka. Sumber turut mengatakan terdapat flyers-flyers yang memburuk-burukkan calon tertentu. Selain itu, terdapat juga surat-surat layang yang dipercayai mempunyai motif menjatuhkan kredabiliti calon tersebut. Walau bagaimanapun sumber tidak menyatakan siapa calon yang menjadi mangsa dalam pengedaran flyers tersebut.
Proses pengundian akan bermula pada jam 8.30 pagi ini di 7 pusat pengundian.

‘Mohon maaf secara terbuka’ – Fadhiri


Fitnah yang dilemparkan kepada Mohd Fadhiri Bin Ariffin melalui sebuah laman blog (cintaupsi.blogspot.com) yang mendakwa Fadhiri menggelapkan wang sebanyak RM 600 ketika beliau memegang jawatan sebagai Bendahari Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) Kolej Ungku Omar mendapat perhatian ramai semasa rapat umum malam tadi setelah calon umum Nur Aqilah Hanis tampil membuat penafian. Fadhiri yang kesal dengan fitnah itu menegaskan supaya pihak yang terlibat membuat pengakuan dan memohon maaf secara terbuka bagi membersihkan nama baiknya. Dalam e-mel yang dikirimkan kepada Upsikini, beliau dipetik sebagai berkata akan membawa perkara ini ke tengah jika pemfitnah tersebut tidak tampil untuk memohon maaf secara terbuka. Beliau juga melampirkan sepucuk surat penafian daripada Pembantu Pengurus Asrama Kolej Ungku Omar, Encik Raizol Ramli bagi menjelaskan bahawa dakwaan itu adalah fitnah dan berniat jahat. Beliau yakin bahawa dakwaan yang berbentuk fitnah ini semata-mata dibuat bagi tujuan PRK.
Dalam PRK kali ini, Fadhiri bertindak sebagai Pencadang kepada seorang calon kerusi Fakulti Sains dan Teknologi saudara Mohd Hanif Azwan b. Ab Rahman.

Penulis UPSIkini ucap ‘Selamat Mengundi’

Assalamualaikum w.b.t.
Saya selaku penulis blog UPSIkini ingin mengucapkan selamat mengundi buat semua mahasiswa yang bakal membuat keputusan mereka beberapa jam dari sekarang. Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan memberi kritikan membina dalam menambahbaik kandungan berita dan pendapat dalam ruang UPSIkini. UPSIkini merupakan satu lembaran baru dalam menyebar maklumat kepada mahasiswa UPSI dalam pelbagai hal. Buat masa ini, UPSIkini lebih menumpukan kepada berita-berita berkaiatn PRK kerana UPSIkini merasakan PRK adalah penting bagi mahasiswa dalam memilih pemimpin mahasiswa yang berupaya mengangkat suara mahasiswa.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa laman sesawang lain yang memberi kredit kepada UPSIkini setelah beberapa berita dipetik melalui blog ini. Ini merupakan salah satu suntikan semangat buat saya untuk meneruskan perjuangan UPSIkini.
InsyaAllah, UPSIkini akan terus menyebarkan maklumat terkini berkenaan UPSI supaya mahasiswa sentiasa dihidangkan dengan berita-berita segar.
Saya juga berhasrat untuk menjadikan UPSIkini sebagai satu wadah penyebar maklumat yang diyakini dan InsyaAllah saya akan memperkenalkan diri saya secara terbuka apabila tiba masanya.
’Selamat mengundi semua!!’Semoga anda diberi hidayah untuk memilih Pemimpin yang Terbaik..

Laporan Harakahdaily naik semangat calon

Laporan Harakahdaily yang menyebut UPSI sebagai pelopor kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakob, menaikkan semangat juang calon-calon di sini. Dalam laporan tersebut pengarang menjelaskan kesatuan pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris merupakan antara bidan yang telah berusaha keras menyambut dan meguruskan kelahiran sebuah negara merdeka. Laporan itu juga menyebut UPSI akan berentap dalam PRK kali ini. Pengarang turut menyampaikan pandangannya dalam PRK UPSI yang berkaitan e-voting dalam proses pengundian. Seorang calon yang ditemui mengatakan beliau sudah lama sedar akan keadaan itu dan sejarah memang sudah mencatatkan UPSI yang dulunya MPSI sebagai maktab pejuang kemerdekaan. Seharusnya mahasiswa sedar dan perlu berjiwa besar dalam memperjuangkan suara mahasiswa. Beliau juga menyebut sebagai berkata sememangnya perkara ini menaikkan semangat saya untuk mencuba sedaya upaya mengembalikan kegemilangan UPSI seperti MPSI suatu masa dahulu.
Hari pengundian yang tinggal beberapa jam lagi menyaksikan pertemuan yang pasti membuat para pengundi ternanti-nanti keputusannya.
Laporan lengkap Harakahdaily boleh dirujuk di sini.[Klik]

’Kenyataan wujud pembangkang di UPSI adalah tindakan terdesak’ – calon

Tindakan mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi lepas, saudara Raimi Rahim adalah tindakan terdesak yang ingin mempengaruhi mahasiswa. Seorang calon yang ditemui malam tadi mengatakan tindakannya mendakwa wujud pembangkang di UPSI adalah tindakan yang mahu memburuk-burukkan pihak yang tidak sehaluan dengannya.
”Saya kira beliau sudah tenggelam punca apabila sokongan mahasiswa sudah tidak lagi meihak kepada beliau dan proksinya yang bertanding pada PRK kali ini”,katanya.
”Tindakan menggelarkan orang lain pembangkang adalah tidak berasas sama sekali kerana Naib Canselor sendiri mengakui tidak ada istilah itu pada PRK kali ini”, ujarnya lagi.
Raimi dikatakan tertekan dengan pelbagai tuduhan kepada beliau dan barisan kepimpinannya berkenaan penyelewengan wang RM 36 000 akaun MPP dan laporan akhbar Harakah yang menamakan beliau sebagai pemberi maklumat terhadap taktik kotor PRK yang lalu.

”Jangan cuba mengedar flyers haram” – Sakretariat

Sakretariat PRK memberi amaran kepada semua yang hadir dalam rapat umum malam tadi agar tidak sekali-kali mengedar flyers selepas tamat waktu berkempen lebih-lebih lagi flyers haram yang menyetakan beberapa nama calon. Dalam pertemuan bersama Upsikini malam tadi, sakretariat tersebut disebut sebagai berkata mana-mana pelajar yang ditangkap mengedar flyers haram akan dibawa ke pihak tatatertib dan sekiranya yang melakukannya adalah calon atau wakil calon kemungkinan kelayakannya bertanding akan dibatalkan.
”Saya ingatkan kepada semua agar jangan mengedar flyers sama ada yang disahkan atau tidak selepas waktu tamat berkempen kerana tindakan itu jelas melanggar peraturan PRK”,katanya. Tambahnya lagi,”kita tidak mahu perkara ini berlaku kerana kita komited untuk memastikan PRK kali ini benar-benar bersih dan telus”.
Upsikini sebelum ini melaporkan pendedahan yang dibuat oleh seorang pengirim e-mel yang menamakan Abdul Rasyid bin Husain yang bertanding kerusi Umum dan Syaiffuldin bin Mohamad yang bertanding kerusi Fakulti Ekonomi dan Perniagaan sebagai individu yang pernah terbabit dalam mengedar flyers haram semasa hari pengundian.
Hari pengundian yang bermula 8.30 pagi hingga 6.00 petang bakal menyaksikan perebutan kerusi yang sengit antara calon yang bertanding.

Salah seorang mahasiswa yang ditangkap dikenal pasti

Maklumat terkini berkaitan mahasiswa yang ditangkap mengedar flyers haram selepas tamat rapat umum malam tadi mengenal pasti salah seorang mahasiswa yang terbabit. Mahasiswa tersebut yang bernama Allamsa Paduppa, semester 1, mendakwa bahawa beliau diarah untuk mengedar flyers tersebut. Beliau yang mengambil kursus Pendidkan Sains Sukan menjelaskan bahawa beliau tidak tahu bahawa mengedar flyers tersebut merupakan kesalahan semasa PRK. Sakretariat dikatakan akan mengambil tindakan lanjut atas kesalahan tersebut yang melanggar peraturan berkempen.
Beberapa taktik kotor dijangka akan digunakan dengan berleluasa oleh pihak tertentu menjelang hari mengundi esok.

3 mahasiswa edar flyers haram ditangkap

Tepat jam 12.00 tengah malam tadi merupakan waktu akhir bagi tempoh berkempen setelah 5 hari bermula sejak 16 Okotober lalu. Upsikini dilaporkan terdapat 2 mahasiswa yang ditangkap oleh Sakretariat setelah didapati mengedar flyers yang tidak mempunyai cop pengesahan daripada pihak Sakretariat PRK. Mahasiswa terbabit yang ditangkap disoal siasat sebaik sahaja sakretariat mendapati flyers tersebut merupakan flyers haram. Flyers tersebut yang tercatat beberapa nama calon dikatakan salah satu strategi pihak yang terbabit bagi memancing undi. Seorang mahasiswa yang sempat menerima flyers terbabit mengatakan bahawa flyers tersebut menyatakan calon-calon yang merupakan daripada kumpulan Pro Aspirasi.
”Saya melihat nama-nama calon yang dicatatkan seperti Rashid, Azmi, Ain, Nabila Soraya, Hazwan dan Munirah merupakan calon yang dikenali daripada kumpulan Pro Aspirasi. Jadi ini memang sudah saya jangka akan berlaku berdasarkan pengalaman yang lalu”,katanya.
Pertembungan dua kumpulan dalam PRK kali ini semakin jelas semasa berlangsungnya rapat umum malam tadi.

Sekitar rapat umum calon umum di Kolej Harun Aminurrashid

Rapat umum yang dianjurkan pihak Sakretariat PRK yang bertempat di Kolej Harun Aminurrashid lancar. Rapat umum yang dimulakan agak lewat akibat hujan terpaksa diubah tempatnya daripada gelanggang bola tampar ke Foyer Blok 1. Kempen bermula pada jam 10.15 minit malam berlangsung dalam keadaan terkawal pada awalnya tetapi sedikit kecoh selepas beberapa calon selesai berucap. Kebijaksanaan Sakretariat PRK yang menjadi pemudahcara rapat umum tersebut menenangkan keadaan dengan memberi amaran kepada mereka yang membuat provokasi mendapat sokongan daripada hadirin yang hadir untuk mendengar manifesto calon. Sepanjang rapat umum ini calon begitu tenang menyampaikan hujah dengan cara yang tersendiri diselang seli dengan sorakan para penyokong. Calon terakhir yang menyampaikan manifesto, Nur Aqilah Hanis bt. Mohd Yussof membuat kejutan apabila membuat penjelasan berkenaan dakwaan fitnah yang dilakukan oleh penulis sebuah blog terhadap rakannya Mohd Fadhiri bin Ariffin. Dakwaan fitnah yang mengatakan Mohd Fadhiri menggelapkan wang sebanyak RM600 semasa beliau memegang jawatan sebagai Bendahari Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Ungku Omar dijalaskan oleh beliau dengan disertakan surat penafian daripada Penolong Pengurus Asrama Kolej Ungku Omar, Encik Raizol Ramli. Penjelasan ini menjadi perhatian seluruh hadirin yang hadir dan mendapat tepukan gemuruh selepas ucapannya tamat.
Setelah selesai rapat umum pada jam 11.20 minit malam, beberapa penyokong menghampiri seorang wakil calon Nur Aqilah. Upsikini dilaporkan bahawa penyokong tersebut merupakan kumpulan Pro Aspirasi yang berang dengan tindakan wakil calon tersebut bersorak dengan ungkapan ‘revolusi’ dan ‘perubahan’ yang disahut hadirin yang hadir. Upsikini cuba mendapatkan wakil calon tersebut bagi mendapatkan maklumat tetapi gagal kerana dibawa beredar dari tempat kejadian oleh rakan-rakannya.
Hadirin yang menyaksikan kejadian itu segera beredar bagi menyuraikan keadaan. Beberapa minit selepas itu, mantan YDP MPP sesi lalu, secara tiba-tiba menyampaikan ucapan bagi menjelaskan beberapa perkara. Upsikini sempat mengikuti ucapan tersebut dan dalam nada yang lantang beliau mendakwa terdapat golongan pembangkang di UPSI. Sakretariat yang sedar akan ucapan itu segera menghentikan beliau daripada terus berucap setelah mendapat aduan daripada beberapa mahasiswa. Peraturan PRK kali ini melarang mana-mana pihak melabel calon-calon dengan gelaran atau kumpulan tertentu. Upsikini dilaporkan bahawa beliau berhasrat untuk menafikan laporan akhbar Harakah berkenaan taktik kotor PRK yang lalu yang menggunakan namanya sebgai pemberi maklumat.
Pada masa yang sama Upsikini sempat meninjau kawasan sekitar tempat berkempen. Rata-rata calon yang ditemui sedang sibuk mengedar kad nama mereka bagi memancing undi mahasiswa di sini.
Tepat jam 12.00 tengah malam, sakretariat melarang calon meneruskan aktiviti kempen dan mengarahkan semua mahasiswa beredar dan balik ke bilik masing-masing.
Esok merupakan hari penentuan PRK UPSI bagi memilih ahli MPP sesi 2008/09. Waktu pengundian yang bermula pada jam 8.30 pagi sehingga 6.00 petang bakal menyaksikan pertarungan sengit semua kerusi terutamanya kerusi umum.

October 20, 2008

Mahasiswa mahu penyelewengan PRK lalu turut diperjelas



PRK lalu yang penuh dengan pelbagai tuduhan negatif menjadi satu tanda tanya di kalangan mahasiswa apabila mantan YDP MPP sesi 2007/08, saudara Raimi Rahim mendedahkannya dengan mengutus surat kepada Harakah, sebuah akhbar parti politik. Kebanyakan mahasiswa masih belum menyedari akan pendedahan ini kerana bimbang dilabel sebagai pembangkang sekiranya didapati menyimpan akhbar tersebut. Sebelum ini Upsikini melaporkan bahawa mahasiswa mempersoal pendedahan tersebut. Terbaru, Upsikini diminta oleh beberapa pengirim e-mel yang mahu isu itu turut diperjelas selain isu penyelewengan wang MPP. Dalam pada itu, pihak yang bertanggungjawab digesa untuk telus dan jangan sekali-kali menganggap mahasiswa tidak ambil peduli tentang hal-hal ini. Seorang mahasiswa semester 1 yang ditemui sebagai berkata, beliau merasa terkejut dengan isu-su ini kerana suasana UPSI yang dilihat tenang sebelum ini rupa-rupanya dipenuhi dengan pelbagai masalah dalaman yang pada pandangan saya begitu besar dan perlu diberi perhatian seajarnya.
Seorang lagi responden yang ditemui berkata, semua isu yang berlaku merupakan perkara biasa dalam berorganisasi tetapi apa yang penting ialah pihak yang berkenaan perlu professional dalam menanganinya supaya warga UPSI khususnya mahasiswa diperjelaskan perkara tersebut dalam keadaan yang terkawal.
Isu penyelewengan PRK yang lalu menjadi satu artikel yang hangat diperkatakan awal bulan lalu.

Tempoh berkempen tinggal kurang 6 jam

Tempoh berkempen bagi calon-calon yang layak bertanding selama 5 hari bermula 16 Oktober kini hanya tinaggal kurang 6 jam. Pada malam ini akan diadakan rapat umum yang bertempat di Kolej Harun Aminurrashid bagi calon-calon yang bertanding untuk kerusi Umum dan di Kolej Aminuddin Baki bagi calon yang bertanding untuk kerusi Fakulti. Dijangka suasana pada malam ini akan lebih hangat dengan pembentangan manifesto semua calon yang bertanding dan sorakan para penyokong calon masing-masing. Tinjauan mendapati kempen PRK kali ini agak luar biasa dari aspek ‘perang poster’ yang dapat dilihat di merata kawasan kampus dan kolej kediaman. Ini berikutan persiapan jentera calon masing-masing dalam memastikan calon mereka menang. Seorang wakil calon yang ditemui malam tadi mengatakan bahawa kelainan dari segi perang poster memang dirasai kerana ruang-ruang kosong yang menjadi tumpuan pelajar akan penuh dengan poster calon berbanding PRK yang lalu.
“Saya begitu merasai kelainannya kerana saya lihat ruang-ruang yang menjadi tumpuan pelajar akan dipenuhi poster dan di sesetengah kawasan, memang tidak ada ruang untuk menggantung poster jika lewat”,katanya.
Tempoh berkempen sebelum ini dilanjutkan daripada 2 hari kepada 5 hari selepas Naib Canselor mempertimbangkan menganjak hari pembuangan undi ke tarikh 21 Oktober 2008.

Anak didik individu yang terlibat dalam penyelewengan didedah

Upsikini hari ini menerima e-mel yang mendedahkan calon-calon yang dikatakan sebagai anak didik individu yang terlibat dalam penyelewengan wang MPP yang dilaporkan Upsikini semalam. Dalam e-mel tersebut, beliau menjelaskan bahawa sememangnya kumpulan Pro Aspirasi masih wujud tetapi tidak menggunakan nama tersebut dalam PRK kali ini. Buktinya, mereka menggunakan taktik kempen yang sama dan penyokong yang tidak berbeza corak sokongannya seperti PRK sebelum ini ketika berkempen. Beliau meminta agar mahasiswa menilai calon-calon ini sebelum memberi undi kepada mereka. Calon-calon yang didakwa sebagai anak didik individu yang terlibat dalam penyelewengan tersebut adalah Abdul Rashid bin Husain, Nor ‘Ain binti A Razak, Muhamad Nazarul Hazwan Abd Razak, Munirah binti Ab Wahab, Azmi bin Mohamad Sofian dan Syaiffuldin bin Mohamad. Pada sesi MPP yang lalu, mantan YDP MPP merupakan proksi kuat beberapa individu yang terlibat dan atas dasar itu beliau dilantik sebagai YDP MPP. Ulasnya lagi, ini merupakan perancangan yang begitu tersusun bagi melenyapkan kes ini. Dalam perenggan terakhir e-mel tersebut beliau sekali lagi menyarankan mahasiswa menolak pemimpin yang dinyatakan kerana mereka ternyata anak didik Pro Aspirasi.
Kiriman lain yang diterima mengatakan bahawa kes ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia adalah kes lama dan isu basi yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu bertujuan memenangi PRK kali ini semata-mata. Tambahnya, kes itu tidak ada kena mengena dengan kepimpinan MPP yang lalu kerana itu di luar bidang kuasa MPP. Beliau juga meminta agar mahasiswa tidak mudah percaya dengan taktik kotor ini kerana MPP yang akan naik sesi ini tidak langsung mempunyai kaitan dengan individu yang didakwa menyeleweng wang tersebut. Beliau walau bagaimanapun optimis, calon yang berkelayakan akan menang pada PRK kali ini meskipun dilabel sebagai Pro Aspirasi.
PRK kali ini memperlihatkan satu suasana yang begitu sihat apabila calon-calon bijak menggunakan peluang berkempen sepenuhnya walaupun bukan dalam sesi rapat umum.

Mahasiswa gesa individu terlibat beri penjelasan

Berita mengenai penyelewengan kewangan MPP yang didedahkan Upsikini semalam terus mendapat perhatian dan respon daripada mahasiswa UPSI. Peti masuk e-mel Upsikini dihujani dengan pelbagai respon dan pendapat mahasiswa. Rata-rata respon yang diterima meminta individu yang terlibat menjelaskan perkara tersebut secara terbuka kepada seluruh mahasiswa UPSI. Upsikini juga menerima satu pendapat yang dikirim melalui e-mel tengah hari tadi supaya MPP lepas membentangkan laporan kewangan mereka untuk dinilai oleh mahasiswa. Ulasnya, ini adalah sebagai langkah menunjukkan kepimpinan mahasiswa yang telus dan berani berdepan dengan mahasiswa. Dalam pada itu, beliau menegaskan mahasiswa tidak mahu pemimpin yang seperti kata pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’. Esok merupakan hari pengundian bagi menentukan barisan kepimpinan baru MPP UPSI bagi sesi 2008/09.

Wang dikeluarkan secara tunai melalui kaunter.

Isu penyelewengan wang sebanyak lebih RM 36 000 yang dilaporkan Upsikini semakin menadapat perhatian pelbagai pihak. Sebelum ini Upsikini merujuk kepada MayBank Cawangan Tanjong Malim dan hasil perbincangan bersama pegawai bank tersebut didapati wang yang dikeluarkan adalah melalui kaunter secara tunai. Upsikini cuba mendapatkan rekod individu yang mengeluarkan wang tersebut tetapi gagal kerana rekod tersebut dikatakan sudah 2 tahun dan jika ada sekalipun perlu melalui prosedur yang memakan masa. Walau bagaimanapun, wang yang dikeluarkan masih menjadi tanda tanya pelbagai pihak tentang perbelanjaannya.

‘Kualiti’ dan ‘kebajikan’ merupakan bayangan kumpulan calon

Sebelum ini Upsikini melaporkan tentang persamaan kata kunci beberapa calon dalam cogan kata yang digunakan mereka. Wartawan Upsikini yang mencari maklumat tentang perkara ini akhirnya menemui pengirim e-mel, Ihsan setelah satu pertemuan diaturkan. Ikuti temubual wartawan upsikini bersama Ihsan yang dibuat di sebuah restoran sekitar Kelompang.
Upsikini : Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam..Sila duduk.
Upsikini : Terima kasih..Agak panas juga PRK kali ini…
Ihsan : Begitulah nampaknya. Biasalah tu, zaman mahasiswa ni, begitulah keadaannya.
Upsikini :Baik, Ihsan. Saya mahu terus kita bincangkan mengenai e-mel yang Ihsan hantar kepada Upsikini untuk mengupas tentang persamaan cogan kata yang digunakan calon merupakan bukti ada kumpulan di sebaliknya. Apa yang Ihsan dapat kupaskan berkenaan perkara ini.
Ihsan : Saya sebenarnya pernah berada dalam banyak organisasi. Tetapi mungkin kehadiran saya tidak disedari kerana saya memang tidak akan memegaang apa-apa jawatan dalam organisasi. Berbalik kepada persoalan tadi, sememangya persamaan ini saya sedari apabila meneliti semua flyers nama dan kain rentang calon-calon. Memang wujud perkara ini. Saya melihat persamaan ini memang disengajakan dan telah dirancang. Tapi saya tidak menolak kepada andaian kebetulan pada awalnya. Namun, setelah saya selidiki latar belakang calon-calon tersebut, memang membuktikan mereka ini punyai kumpulan yang tertentu dan berselindung dengan cogan kata agar tidak melanggar peraturan PRK yang ditetapkan iaitu tidak bertanding dalam bentuk berkumpulan.
Upsikini : Melalui latar belakang yang Ihsan selidiki, apakah bentuk persamaan yang Ihsan dapati?
Ihsan : Baik. Satu soalan yang memang saya jangka akan ditanya (ketawa). Sebelum ini penonjolan Pro Aspirasi itu sungguh menyerlah dalam perjalanan PRK yang lalu. Ini memang terbukti. Saya kira semua orang yang mengikuti perjalanan PRK yang lalu memang tahu. Tetapi, bedanya kali ini adalah kumpulan itu dibayangkan dengan kata kunci yang cukup signifikan kepada kumpulan tersebut. Dalam analisis yang saya buat, calon-calon yang menggunakan kata kunci ‘kualiti’ ini kebanyakannya merupakan ahli Kelab Sahabat Mahasiswa Universiti (SMU) yang sangat terkenal sebagai jentera Pro Aspirasi pada PRK sebelum-sebelum ini. Jadi, saya lihat, kata kunci ‘kualiti’ boleh saya katakan sebagai bayangan Pro Aspirasi.
Upsikini: Apakah Ihsan sudah pastikan semua ini kerana kenyataan mengatakan Pro Aspirasi menggunakan kata kunci ‘kualiti’ ini sesuatu yang boleh membawa persepsi yang pelbagai.
Ihsan : Saya ingin jelaskan di sini bahawa peraturan yang meletakkan agar calon tidak membawa penampilan sebagai berkumpulan dalam pertandingan kali ini memang menjadi satu cabaran bagi semua calon kecuali mereka yang benar-benar bebas. Kebanyakan calon yang bertanding merupakan mereka yang pernah bergiat aktif dalam organisasi atau persatuan sebelumnya. Maka, kehadirannya untuk bertanding sudah semestinya didokong oleh rakan-rakan dalam organisasi tersebut. Tambahan pula, rakan-rakannya itu juga turut bertanding. Jadi, keadaan ini memang berlaku. Saya katakana kata kunci ‘kualiti’ yang digunakan beberapa calon menggambarkan mereka ini sealiran dan setelah diselidiki, memang benar. Apabila dikaitkan pula dengan persatuan atau kelab yang diceburinya sebelum ini, memang kelab itu secara bebas sebelum ini dilihat sebagai jentera Pro Aspirasi. Sebab itu saya katakana, ‘kualiti’ merupakan bayangan Pro Aspirasi.
Upsikini : Baik. Bagaimana pula dengan kata kunci ‘kebajikan’? Adakah wujud juga persamaan seperti yang dilontarkan Ihsan sebentar tadi.
Ihsan : Berkenaan dengan calon yang menggunakan ‘kebajikan’ pula, saya kira juga ada persamaan di kalangan mereka. Melalui analisis yang sama yang saya gunakan, calon-calon ini juga punya susur galur kegiatan berpersatuan dalam kumpulan yang sama tetapi tidak semua. Ini ada sedikit perbezaan. Latar belakang mereka tidak dalam satu persatuan yang sama. Tetapi persamaan yang saya lihat adalah dari segi perwatakan. Ini mungkin juga secara kebetulan tetapi perkara ini jika dikupas dengan teliti, kita perlu akui mereka ini mempunyai matlamat yang sama. Dalam konteks berkumpulan, mereka juga seperti kumpulan yang tadi, tdak mahu ditonjolkan seolah-olah berkumpulan.
Upsikini: Adakah mereka ini boleh digelar sebagai kumpulan Pro Mahasiswa?
Ini satu persoalan yang cukup baik. Saya pada mulanya memang merasakan ini boleh dijadikan hujah. Tetapi jika kita lihat senario di universiti-universiti lain, pembawakan Pro M itu berbeda dengan kumpulan ini. Pro M memang terkenal dengan perwatakan yang keras dan sering mendesak dan mahasiswa melihat mereka adalah golongan pendesak yang cukup baik. Berbeda dengan Pro Aspirasi yang saya katakan tadi. Pro Aspirasi di universiti lain hampir sama pembawakannya dengan kita di sini. Berkenaan Pro M tadi, saya lihat kumpulan ini belum layak untuk memegang atau menggelar mereka sebagai Pro M. Mungkincukup sekadar kita mengenali mereka dengan nama ‘kebajikan’(ketawa)Saya juga pernah bersembang dengan seseorang yang menggelar dirinya Pro M namun pada saya orang itu ‘syok sendiri’ keran tidak ada langsung ciri-ciri Pro M itu padanya. Mungkin dia bangga dengan gelaran itu (ketawa).
Upsikini: Apakah pandangan Ihsan berkenaan penggunaan dua kata kunci ini?
Ihsan : Saya suka melihat kepada aspek realistik, kemampuan serta fungsi. Calon-calon kualiti ini begitu agresif dengan manifesto mereka. Saya mengikuti siri kempen mereka secara dekat. Dari sudut realistic saya kira tidak begitu meyakinkan meskipun cadangan mereka itu berupaya membuat mahasiswa merasa seronok. Dari sudut kemampuan pula saya tidak nampak kekuatannya. Saya ambil contoh mewujudkan kad diskaun. Saya difahamkan perkara ini sudah lama dipraktik di UM tetapi hasilnya tidak seperti yang dijangka. Malah membawa kesusahan pula kepada mahasiswa di sana. Kad yang dijanjikan boleh memberi faedah diskaun kepada mereka sebaliknya membawa kesusahan apabila ditipu keran permohonan untuk kad itu juga perlu dibayar. Kemampuan yang saya maksudkan adalah merujuk kepada penyelarasan dan kaedah yang diperlukan untuk mengatasinya. Saya kira ini sasuatu yang agak sukar dan berisiko tinggi. Dari sudut fungsi, kita perlu berbalik kepada basis penubuhan MPP itu. Semua mahasiswa tahu MPP diwujudkan berfungsi untuk kebajikan. Maka, bagi calon yang betul-betul focus kepada kebajikan lazim dan bukan lazim mempunyai kekuatan di sini. Meskipun calon-calon yang menggunakan ‘kebajikan’ sebagai kata kunci manifesto mereka, tidak bermakna mereka ini dilihat calon yang terbaik. Ini kerana jika kata kunci sahaja yang digunakan tetapi tidak dipersembah dengan satu gagasan manifesto yang jelas dan meyakinkan, saya kira mereka juga tidak ke mana. Oleh itu, tidak ada kelebihan pada penggunaan kata kunci selain menggambarkan mereka ini berada dalam satu kumpulan tertentu.
Upsikini : Soalan terakhir dari saya. Bagaimana peluang calon ‘kualiti’ dan ‘kebajikan’ ini dalam PRK kali ini?
Ihsan : Dari segi peluang saya kira sama rata. 50 50. Kekuatan masing-masing ada. Cuma bagaimana mereka menggunakan peluang dan strategi berkempen itu. Pengalaman cukup penting dalam hal ini. Jadi hikmah di sebalik mereka yang bertanding meskipun ditakdirkan kalah, mereka sudah ada pengalaman yang tidak semua mahasiswa ada.
Upsikini : Terima kasih kepada Ihsan atas kerjasama dan perkongsian idea yang cukup baik. Assalamualaikum.
Ihsan : Waalaikumsalam

“Patutlah mengapa mereka nak sangat kerusi MPP”- pembaca

Pembongkaran satu kes yang melibatkan penyelewengan berjumlah lebih RM 36000 malam tadi menjadi satu isu hangat apabila bukti akaun turut didedah untuk tatapan mahasiswa UPSI. Upsikini menerima banyak respon daripada pembaca melalui e-mel sebaik sahaja berita ini dikeluarkan. Dalam satu emel yang bertajuk ‘baru saya tahu’ kiriman Wan, beliau mengatakan barulah saya tahu mengapa mereka begitu ingin menjadi MPP walaupun secara zahir kita lihat tidak ada apa-apa keistimewaan yang mereka dapat sekiranya menang dan menjadi MPP. Rupa-rupanya ada perkara besar yang cuba dilenyapkan.
Melalui tinjauan yang dibuat, mahasiswa sudah tahu tentang perkara ini tetapi tidak pernah melihat bukti terhadap dakwaan tersebut dan tindakan Upsikini mendedahkannya adalah satu tindakan yang akan membuka mata ramai pihak.
Satu lagi e-mel yang diterima pagi tadi meminta Upsikini mendedahkan siapa ‘orang-orang’ mereka yang akan bertanding kali ini bagi membolehkan pelajar membuat penilaian sendiri sebelum membuang undi esok. Katanya lagi, pendedahan penyelewengan ini perlu bagi mahasiswa tahu akan hal sebenar dan kita akan tolak pemimpin yang bersekongkol dengan perkara ini.
Esok, 21 Oktober merupakan tarikh pembuangan undi PRK UPSI di 7 pusat pengundian bermula jam 8.30 pagi sehingga 6.00 petang.

October 19, 2008

Akaun Bank MPP 2006/07 dibongkar

Isu akaun MPP sesi 2006/07 yang tidak diaudit masih belum selesai sehingga kini. Upsikini menerima bukti yang dijanjikan sumber sumber yang mahu identitinya dirahsiakan. Isu berkaitan penyelewengan kewangan MPP sesi 2006/07 menjadi salah satu isu hangat pada PRK yang lalu. Menurut sumber, kewangan yang diseleweng berjumlah lebih RM 36 000 itu masih belum selesai sehingga kini. Katanya lagi, penyata kewangan yang tidak diaudit tersebut jelas menunjukkan ada penyelewengan berlaku. Dalam pendedahan yang dibuat, sumber menunjukkan bukti bahawa wang yang dikeluarkan pada tarikh tertentu tidak munasabah dan disyaki diseleweng. Dalam tempoh 3 hari sebanyak RM21 050.00 telah dikeluarkan secara tunai iaitu sebanyak RM 13 850.00 pada 19 September 2006 dan RM 7200.00 pada 21 September 2008 dan wang itu tidak tahu ke mana perginya kerana tidak diaudit. Selain itu, dalam penyata tersebut turut tercatat pengeluaran wang tunai sebanyak RM 5180.00 pada 12 Oktober 2006 dan RM 5440.00 pada 24 November 2006. Pengeluaran lain yang dikatakan diseleweng adalah sebanyak RM 1000 pada 21 Februari 2007, RM 2300 pada 28 Februari 2007 dan RM 1700 pada 20 Mac 2007. Di samping itu, akaun tersebut juga dikatakan tidak diketahui sama ada diizinkan atau tidak dari segi peraturan universiti. Sumber turut menjelaskan bahawa tidak ada mana-mana pertubuhan, persatuan atau kelab dalam universiti ini yang memiliki akaun khas begini melainkan ‘panjar wang runcit’ atau ‘petty cash’ yang perlu diaudit. Dakwaan penyelewengan ini timbul apabila tidak ada audit yang dibuat terhadap akaun ini.
MPP sesi tersebut yang diketuai saudara Ahmad Faizul dan timbalannya Mohd Najib Sahir dikatakan antara yang bertanggungjawab dalam kes ini. Barisan MPP sesi yang seterusnya yang diketuai oleh saudara Mohd Izwan Shahril dan dibantu oleh timbalannya Noratiqah binti Mohd Amin juga didakwa turut terlibat dalam penyelewengan ini. Seorang lagi yang turut terlibat disebut oleh sumber tersebut bernama Noreen Ziana Abd Aziz. ‘Master mind’ dalam kes ini dakwa sumber tersebut adalah Noratiqah Mohd Amin yang menjadi ahli MPP selama 2 penggal. Kes itu disenyapkan apabila kerusi MPP pada sesi lepas dikuasai oleh Pro Aspirasi yang kebanyakannya rapat dengan individu yang terlibat. Upsikini cuba menghubungi mantan MPP yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan tetapi tidak berjaya.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) pada sesi kes itu berlaku merupakan barisan Pro Aspirasi. Pada PRK sesi lepas isu ini menjadi perdebatan hangat di kalangan mahasiswa dan calon-calon yang bertanding. Sumber turut mengingatkan bahawa terdapat calon pada PRK kali ini yang menjadi anak didik kepada MPP sesi yang lalu dan sudah pasti perkara penyelewengan ini akan terus didiamkan dan tidak mustahil berulang sekiranya mereka diangkat sebagai MPP.
PRK kali ini menjadi perhatian banyak pihak berikutan kehangatan suasana politik semasa.









Isu penyelewengan akaun MPP RM 36 000 masih belum selesai.

Upsikini dilaporkan tentang isu penyelewengan wang Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang masih belum selesai hingga kini. Isu yang hangat diperkatakan pada PRK yang lalu dibangkitkan semula bagi mendapat penjelasan jelas berkenaan isu itu daripada pihak berkaitan. Penyelewengan yang berlaku dikatakan semasa MPP dikuasai oleh Pro Aspirasi yang sememangnya kuat pada ketika itu. Upsikini juga diberi jaminan oleh sumber bahawa satu bukti berkenaan penyelewengan tersebut akan diserah kepada Upsikini untuk hebahan menjelang hari pengundian pada 21 Oktober nanti untuk mahasiswa membuat penilaian kepada prestasi Pro Aspirasi yang dikatakan tidak wujud pada PRK kali ini.

Cogan kata calon punya persamaan

Calon-calon yang bertanding pada PRK kali ini dikatakan lebih bersedia dari segi kempen melalui poster dan kain rentang. Seluruh kawasan kampus dan kolej kediaman dilihat telah dipenuhi dengan poster dan kain rentang calon di segenap sudut ruang. Upsikini menerima kiriman emel malam tadi daripada seorang sumber yang mahu dikenali sebagai Ihsan mengatakan terdapat persamaan cogan kata beberapa calon yang bertanding kali ini. Dalam emel tersebut beliau menjelaskan, setelah dianalisis, beliau mendapati 2 perkataan utama yang banyak digunakan calon adalah ‘kualiti’ dan ‘kebajikan’. Beliau bagaimanapun tidak mengemukakan calon-calon yang menggunakan kata kunci tersebut. Tambah beliau, merujuk kepada analisis ini, dilihat terdapat satu pola perbandingan yang mewujudkan seolah-olah terdapat 2 kumpulan. Sekumpulan calon menggunakan ‘kualiti’ sebagai kata kunci dalam cogan kata mereka dan sekumpulan lagi menggunakan kata kunci ‘kebajikan’. Beliau yang turut mengikuti perkembangan PRK ini mendakwa kemungkinan terdapat kumpulan dalam pertandingan kali ini memang ada tetapi tidak dilabel dengan nama-nama tertentu sepeti PRK yang lalu. Namun katanya, ada juga calon yang tidak menggunakan 2 kata kunci ini dan boleh jadi mereka ini adalah calon bebas. Beliau berpendapat trend pertandingan kali ini sedikit berbeza yang mana calon-calon begitu berhati-hati kerana tidak mahu dilabel dan dilihat berkumpulan. Buktinya, calon-calon bimbang untuk berhujah kerana dikhuatiri mempunyai persamaan dengan calon yang lain dan ini boleh mengundang persepsi yang mengatakan calon-calon tersebut bergerak secara berkumpulan. Dalam perenggan akhir emel tersebut, beliau mengatakan pertembungan 2 kumpulan ini mungkin boleh dinamakan pertandingan antara kualiti dan kebajikan.
Naib Canselor UPSI walaubagaimanapun menegah mana-mana pihak yang ingin melabel mana-mana calon dengan Pro Aspirasi dan bukan Pro Aspirasi melalui kain rentang yang dinaikkan di kampus

Laungan ‘Revolusi’ dan ‘Perubahan’ bergema

Rapat umum yang diadakan semalam sekali lagi menyaksikan keberanian beberapa calon ke depan membentangkan manifesto. Rapat umum yang bermula agak lewat malam tadi sekitar kira-kira jam 11.00 malam bergema dengan laungan 'revolusi' dan 'perubahan' di kalangan mahasiswa yang hadir. Suasana menjadi agak riuh apabila seorang mahasiswa yang memakai topi hitam secara tiba-tiba melaungkan kata-kata tersebut dan diikuti oleh mahasiswa yang lain. Sakretariat PRK yang berada di tempat kejadian hanya membiarkan dan kata-kata itu terus menerus dilaungkan apabila calon selesai berucap. Pada malam ini dijangka suasana kempen melalui rapat umum di Kolej Aminuddin Baki dan Kolej Harun Aminurrashid akan menjadi lebih gamat apabila penganjurannya diatur oleh pihak sakretariat dan pemberitahuan mengenainya telah diedarkan kepada mahasiswa minggu lepas.

October 18, 2008

Hanya Naib Canselor dan Pengarah Pusat ICT tahu “kata laluan”

Tempoh berkempen yang tinggal 3 hari lagi menyaksikan perang poster dan pengedaran flyers semakin rancak. Menjelang 21 Oktober ini, semua pihak terutamanya mahasiswa sedang mengenalpasti siapa calon pilihan mereka. Pada 21 Oktober ini, pihak sakretariat PRK yang diketuai Timbalan Naib Canselor HEP & A, Prof. Dr. Sahahrudin Abd Aziz sekali lagi membuat pembaharuan berkaitan sistem e-voting. Pada hari pengundian nanti, semua 7 pusat pengundian dikatakan hanya akan dibuka selepas Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Aminah Ayob, memasukkan kata laluan bagi membolehkan sistem beroperasi. Upsikini dilaporkan, “kata laluan” tersebut hanya akan dipegang oleh Naib Canselor dan Pengarah Pusat ICT. Langkah ini adalah merupakan satu lagi inisiatif yang dibuat bagi menunjukkan kesungguhan sakretariat membersihkan tanggapan negative pengundi. Bagi melihat keputusan PRK, Naib Canselor juga yang akan menutup sistem itu apabila “kata laluan” tersebut dimasukkan. Menurut sumber, proses pengundian itu akan dibuka pada jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 6.00 petang. Keputusan pengundian dijangka diumum pada hari tersebut jam 6.45 petang di Dewan SITC. Keputusan rasmi pula akan diumum pada keesokan hari selepas tamat sesi rayuan dan bantahan keputusan kira-kira pada jam 12.00 tengah hari.